Dr. Ahmad Sanusi Azmi
45.8K subscribers
1.62K photos
85 videos
2 files
1.41K links
Telegram rasmi Dr. Ahmad Sanusi Azmi.
Download Telegram
Zikir Subbuhun Quddus
=======
1. Sedarkan kita bahawa zikir "Subbuhun Quddus" yang sering kita ucapkan adalah lafaz yang sering dibaca oleh Rasulullah di dalam rukuk dan sujud Baginda. Perkara ini diceritakan sendiri oleh Saidatina Aisyah:

إِنَّ رسولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم كان يقولُ في ركوعِهِ وسجودِهِ: "سُبُّوحٌ قُدُّوسٌ، ربُّ الملائكةِ والروحِ

"Sesungguhnya Rasulullah sering membaca dalam rukuk dan sujud Baginda (zikir ini): Subbuhun Quddus Rabul Malaikati War Ruh" (HR Muslim).

2. Yang dimaksudkan dengan lafaz Subbuh adalah sifat Allah yang disucikan daripada segala kekurangan dan kejahatan. Kata Abu Ishaq al-Zajjaj:

السُّبُّوحُ: الذي يُنزَّهُ عن كلِّ سُوءٍ

Perkataan Subbuh membawa maksud "Yang Disucikan dari segala kejahatan."

3. Maksud yang lebih kurang sama dinukilkan oleh al-Imam al-Nawawi yang menyebutkan:

وقال ابنُ فارسٍ والزَّبيديُّ وغيرُهما: سبُّوحٌ هو اللهُ عز وجل، فالمرادُ بالسُّبُّوحِ القُدُّوسِ: الُمسَبَّحُ الُمقدَّسُ

"Ibn Faris dan al-Zabidi menjelaskan bahawa Subbuh itu bermaksud (sifat) Allah (sendiri) iaitu Zat Yang Disucikan dan Dibersihkan dari segala kekurangan."

4. Berdasarkan hadis ini juga, ia memberikan makumat tambahan kepada kita bahawa adalah harus untuk kita melafazkan zikir ini di dalam rukuk dan sujud kita.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Forwarded from Dunia Palestin 🇵🇸
𝗥𝗔𝗞𝗔𝗠𝗔𝗡 𝗥𝗜𝗧𝗨𝗔𝗟 𝗟𝗘𝗠𝗕𝗨 𝗠𝗘𝗥𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡 𝗚𝗘𝗢𝗣𝗢𝗟𝗜𝗧𝗜𝗞 𝗣𝗔𝗟𝗘𝗦𝗧𝗜𝗡

Ritual Lembu Merah atau 'Red Heifer' adalah upacara yang ingin dilaksanakan oleh orang Yahudi sebelum merobohkan Masjid Al-Aqsa bagi membolehkan kuil ketiga dibina di Baitulmaqdis.

Bagaimanakah kesan terhadap geopolitik di Palestin dan sekitarnya jika dilaksanakan? Dengarkan webinar ini untuk mendapatkan penjelasannya.

- Rakaman penuh webinar beserta
sesi soal jawab selama 1½ jam
- E-sijil dan slide diberikan

𝗗𝗮𝗽𝗮𝘁𝗸𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗸𝗮𝗿𝗮𝗻𝗴.
Klik di sini: bit.ly/duniapalestin005

Guna kod kupon 𝗥𝗔𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝟱𝟬 untuk mendapatkan diskaun 50%.
Tips Istiqamah Selepas Ramadan
========
1. Ramadan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Apakah kita akan meninggalkan semua amalan ibadah yang telah kita lakukan sepanjang Ramadan ini? Kekuatan berpuasa 30 hari, tarawih lapan rakaat dan bacaan Quran yang banyak seharusnya diteruskan.

2. Beberapa hadis yang dinukilkan daripada Rasulullah ﷺ seharusnya menjadi pemangkin buat kita untuk terus konsisten dalam melakukan amal ibadah seusai Ramadan. Antaranya ialah:

3. Bagi bacaan al-Quran, Rasulullah ﷺ mengingatkan kita bahawa kedudukan seseorang di akhirat kelak adalah bergantung kepada akhir ayat yang dibaca. Lagi banyak di baca, lagi tinggi kedudukan kita. Justeru, bacaan al-Quran mesti diteruskan setelah Ramadan. Sabda Rasulullahﷺ:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ : اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ ، كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا ، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا ) .

Sabda Rasulullah ﷺ: " Di akhirat kelak, ahli al-Quran akan dikatakan kepada mereka: “Bacalah (al-Quran) dan naiklah (ke syurga) serta tartilkanlah (bacaanmu) sebagai mana engkau membacanya secara tartil sewaktu di dunia. Sesungguhnya kedudukan dan tempat tinggalmu (di syurga) berdasarkan akhir ayat yang engkau baca”. (HR. Tirmizi dan Abu Daud)

4. Bagi amalan puasa pula, Rasulullah ﷺ dikatakan konsisten berpuasa tiga hari setiap bulan (selain Ramadan). Berpuasa tiga hari ini hanyalah 10% sahaja daripada jumlah puasa Ramadan kita sebanyak 30 hari. Perkara ini diceritakan oleh Aisyah dalam sebuah hadis:

عن مُعَاذَةُ الْعَدَوِيَّةُ، أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ؟ "، قَالَتْ: "نَعَمْ"، فَقُلْتُ لَهَا: "مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ كَانَ يَصُومُ "، قَالَتْ: لَمْ يَكُنْ يُبَالِي مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ يَصُومُ

Maksudnya: Muazah pernah bertanya kepada Aisyah: Apakah Rasulullah berpuasa tiga hari pada setiap bulan? Aisyah menjawab: “Ya.” Muazah kemudian bertanya: Rasulullah berpuasa pada hari apa (berkenaan 3 hari tadi)? Aisyah menjawab: Baginda tidak kisah dari hari apa pun.”

Ini bermakna, Bagindaﷺ akan meneruskan amalan berpuasa ini sebanyak tiga hari setiap bulan, tidak kira hari apa pun. Yang penting konsisten meneruskan amalan berpuasa yang telah kita lakukan sepanjang bulan ini.

5. Manakala bagi amalan solat tarawih pula, kita boleh terus konsisten melakukannya dengan solat sunat witir setelah isyak. Saidina Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullahﷺ berpesan kepada beliau tentang tiga amalan yang tidak pernah beliau tinggalkan sepanjang beliau hidup iaitu “(1) Solat witir, (2) Puasa tiga hari setiap bulan dan (3) Solat Duha (HR al-Bukhari). Kata Abu Hurairah:

فعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: " أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ: صِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: Kekasih aku (Rasulullahﷺ) berpesan kepada aku tiga perkara (yang tidak aku tinggalkan sehingga aku mati) iaitu: Puasa tiga hari sebulan, Solat Duha dan Solat Witir sebelum tidur.

6. Salin hadith di atas, dan tampal ditempat yang mudah dilihat. Mudah-mudahan ia sentiasa menjadi peringatan buat kita untuk konsisten dan istiqamah melakukan amalan yang telah kita lakukan di dalam bulan Ramadan. 

Moga Allah membimbing kita untuk istiqamah setelah Ramadan.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Beberapa Sunnah Di Hari Raya
=========
Terdapat beberapa sunnah yang boleh dilaksanakan oleh kita sebagai muslim dalam meraikan Aidilfitri ini. Antaranya ialah:

1. Menzahirkan kegembiraan. Berdasarkan hadis, pada hari perayaan ini Rasulullah membiarkan orang-orang Sudan mempamerkan permainan senjata mereka sebagai tanda kegembiraan. Malah Baginda membiarkan kanak-kanak perempuan menyanyi. Perkara ini direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari yang menyebutkan:

وَكَانَ يَوْمَ عِيدٍ يَلْعَبُ السُّودَانُ بِالدَّرَقِ وَالْحِرَابِ

“Pada hari perayaan, orang-orang Sudan bermain (mempamerkan perlawanan) perisai dan senjata mereka.” (Sahih al-Bukhari)

1.1 Dengan sebab itu al-Imam Ibn Hajar menyebutkan:

إِظْهَار السُّرُورِ فِي الْأَعْيَادِ مِنْ شِعَارِ الدِّينِ

“Menzahirkan kegembiraan pada hari raya adalah salah satu daripada syi’ar agama.” (Fath al-Bari)

2. Memakai Pakaian Yang Terbaik. Menurut al-Imam Ibn al-Qayyim, Rasulullah dikatakan memakai pakaian terbaik ketika hari raya. Saidina al-Hasan pernah menyebutkan:

أَمَرَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَلْبَسَ أَجْوَدَ مَا نَجِدُ

“Rasulullah mengajak kami memakai pakaian yang terbaik yang ada di sisi kami.” (HR al-Tabrani dan al-Hakim)

3. Makan Sebelum Menunaikan Solat Raya. Kita disunatkan untuk makan dahulu sebelum menunaikan Solat Hari Raya. Saidina Anas pernah meriwayatkan hadis yang menyebutkan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ يَغْدُو يَوْمَ الفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ

“Sesungguhnya Nabi SAW tidak akan keluar pada Hari Raya AidilFitri sehinggalah beliau makan terlebih dahulu beberapa biji tamar.”

4. Bertakbir Ketika Keluar Menunaikan Solat. Menurut al-Imam al-Zuhri, Rasulullah ﷺ bertakbir sepanjang perjalanan menuju ke tempat solat AidilFitri. Kata beliau:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ، فَيُكَبِّرُ حَتَّى يَأْتِيَ الْمُصَلَّى

Sesungguhnya Rasulullah SAW keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri dan Baginda bertakbir sehingga sampai ke tempat solat.

5. Berjalan Kaki Ke Tempat Solat. Sekiranya kita mampu, sebaiknya kita hendaklah berjalan kaki ke tempat solat raya kerana Baginda Nabi ﷺ sentiasa melakukan sedemikian. Kata Saidina Abdullah bin Umar:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ إِلَى الْعِيدِ مَاشِيًا، وَيَرْجِعُ مَاشِيًا

Sesungguhnya Nabi SAW keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri dalam keadaan berjalan kaki dan pulang juga berjalan kaki.

6. Pulang Solat Melalui Jalan Berbeza. Salah satu sunnah Rasulullah ﷺ juga adalah menggunakan jalan yang berbeza ketika pulang dari solat sunat hari raya. Saidina Jabir menceritakan:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ

“Sesungguhnya Nabi SAW pergi dan pulang dari menunaikan Solat Aidilfitri menggunakan jalan yang berbeza.”

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Elakkan Unsur Maksiat Di Hari Raya
===========
1. Tidak salah untuk bergembira di hari raya. Menurut Ibn al-Arabi, dinamakan hari itu sebagai hari raya kerana manusia mengulangi kegembiraan mereka pada setiap tahun. Bererti hari raya adalah hari kita menzahirkan kegembiraan.

2. Ini selaras dengan sunnah Rasulullahﷺ. Berdasarkan riwayat dari Saidatina Aisyah, terdapat dua orang hamba perempuan menyanyi menzahirkan kegembiraan mereka pada hari raya. Perkara ini ditegur oleh Saidina Abu Bakar. Melihat insiden tersebut, Rasulullah ﷺ berkata kepada Abu Bakr: (Biarkan mereka, wahai Abu Bakr), Sesungguhnya setiap kaum mempunyai Hari Raya, dan ini adalah Hari Raya kita. Tindakan Rasulullahﷺ ini seolah membiarkan mereka menzahirkan kegembiraan mereka selagimana tiada unsur maksiat. (HR al-Bukhari dan Muslim)

3. al-Imam al-Bukhari turut meriwayatkan perbuatan Bani Arfidah (dari Habsyah) yang bermain (tarian) pedang pada Hari Raya bagi menzahirkan kegembiraan mereka. Perbuatan ini pada awalnya ditegur oleh Saidina Umar. Namun Rasulullah ﷺ membiarkan mereka dengan alasan yang sama iaitu menzahirkan kegembiraan pada hari Raya.

4. Ada satu point yang menarik di sini. Secara umumnya, Rasulullah ﷺ membiarkan mereka menzahirkan kegembiraan mereka kerana itulah hari bagi mereka meraikan kegembiraan setelah beribadah.

5. Namun bagi kumpulan yang mempunyai kefahaman yang lebih mendalam, reaksi mereka tidak begitu. Kita lihat bagaimana Abu Bakar dan Umar mempunyai reaksi yang berbeza apabila kegembiran itu hanya dizahirkan dengan nyanyian dan permainan. 

6. Perkara yang sama berlaku kepada Saidina Ali bin Abi Talib. Seorang lelaki telah masuk ke rumah Ali di hari Raya dan dia mendapati Ali makan roti yang telah keras pada hari tersebut. Lantas lelaki tersebut menegur Ali: Apakah engkau memakan roti keras pada Hari Raya ini? Saidina Ali lantas menjawab: “Hari Raya yang sebenar adalah hari apabila Allah menerima amalan kita. Dan setiap hari yang tidak kita lakukan maksiat adalah hari Raya buat kita!”

7. Justeru, adalah wajar bagi seorang Muslim menzahirkan kegembiraan mereka pada Hari Raya. Ia adalah perkara yang selaras dengan Sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah. Namun, perayaan kita bukanlah satu perayaan apabila tercemar dengan unsur-unsur maksiat. Benarlah kata Saidina Ali: “Setiap hari yang tidak kita lakukan maksiat adalah hari raya buat kita!”

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Jangan Tinggal Selawat Pada Nabi
========
1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menjelaskan bahawa selawat yang kita bacakan buat Baginda Nabi akan disampaikan kepada Nabi sendiri. Dalam erti kata yang lain, Baginda tahu kita berselawat. Sabda Rasulullah:

وَصَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلَاتكُمْ تبلغني حَيْثُ كُنْتُم

“Dan berselawatlah ke atasku. Sesungguhnya selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana jua kamu berada.” (Sunan Abu Daud - dinilai sanad yang Sahih oleh Ibn Hajar)

2. Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam Mula Ali al-Qari menukilkan padandangan al-Imam al-Tiibi yang seakan menjelaskan bahawa para malaikat menyampaikan kepada Baginda tentang selawat yang dibacakan buat dirinya. (Fayd al-Qadir)

3. Begitulah hebatnya kedudukan selawat ke atas Nabi. Dalam al-Quran sendiri menjelaskan bagaimana Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi.

4. Malah mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Nabi akan mendapat kedudukan yang dimuliakan di sisi Allah di akhirat kelak. Sabda Rasulullah:

أولى النَّاس بي يوم القيامة أكثرُهم عليَّ صلاةً

“Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku.” (HR al-Tirmizi - dinilai Hasan)

5. Dengan itu, perbanyakkanlah selawat ke atas Rasulullah. Amalkanlah sunnah Baginda Nabi sebagai tanda kasih kepada Rasulullah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi