Akauntan ditipu RM2.2 juta pelaburan saham

Johor Bahru: Seorang akauntan warga emas kerugian lebih RM2.2 juta selepas selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan saham.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, lelaki tempatan berusia 75 tahun itu membuat laporan polis, semalam selepas percaya dirinya ditipu dan mengalami kerugian RM2,276,000.

Beliau berkata, warga emas itu melaporkan, ketika di rumah pada 19 Disember lalu, mangsa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp berkaitan pelaburan pembelian saham.

"Mesej itu memberi penerangan berkenaan cara melabur dan menjanjikan keuntungan lumayan, mudah dan dalam masa yang singkat.

"Tertarik dengan keuntungan dijanjikan, mangsa mengikut arahan suspek dengan memuat turun aplikasi serta mendaftar akaun di aplikasi itu bagi memantau pelaburannya," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian memulakan pelaburan pada Mei dan Jun lalu dengan memasukkan wang ke beberapa akaun bank atas arahan suspek.

Katanya, mangsa melihat status pelaburannya di aplikasi yang diberikan dan mendapati ia mencatatkan keuntungan berjumlah RM12.9 juta.

"Teruja dengan keuntungan yang dipaparkan, mangsa memutuskan untuk mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh.

"Bagaimanapun, suspek mengarahkan mangsa membayar komisen berjumlah RM1.6 juta dan mangsa tidak membuat bayaran berkenaan kerana mengesyaki dia ditipu," jelasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: Jun 17, 2024 @ 11:04am
Polis tahan empat lelaki larikan, pukul dan rakam gambar bogel tiga remaja

JOHOR BAHRU: Tiga remaja lelaki mendakwa dilarikan oleh sekumpulan lelaki dari sebuah pasar raya di bandar raya ini sebelum dipukul serta dirakam gambar bogel, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 6.45 pagi semalam.

“Mangsa mendakwa didatangi 10 lelaki termasuk seorang dikenali dan dilarikan dengan tiga kereta ke sebuah lokasi yang tidak dapat dipastikan.

“Suspek memukul dan merakam gambar bogel mangsa serta mengugut akan menularkan gambar itu sekiranya kejadian itu terbongkar.

“Suspek kemudiannya melarikan diri bersama-sama dengan barangan peribadi milik mangsa dan meninggalkan mangsa di lokasi yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera iaitu lebam di bahagian muka dan tangan berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Katanya, mangsa kemudian ke balai polis untuk membuat laporan.

Susulan itu, katanya polis menahan empat lelaki warga tempatan termasuk tiga juvana berusia antara 15 hingga 20 tahun di kawasan Skudai pada 8 malam tadi.

“Turut dirampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini, polis turut menemui semula barangan milik mangsa.

“Keempat-empat suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Khamis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Katanya, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.

“Usaha mengesan beberapa suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini agar menyalurkan kepada pegawai penyiasat di talian 013-6062618,” katanya.

Join telegram
t.me/Komunitijohor
Itu gambar lama, suspek dah didakwa

Segamat: Kejadian tembok depan rumah Ketua Polis Daerah Segamat di Jalan Johor Bahru-Seremban di sini disimbah cat adalah foto lama yang tular semula.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian itu berlaku pada Februari lalu dan suspek berusia 31 tahun sudah pun ditangkap di Taman Perling, di sini, 5 Februari lalu.

"Turut dirampas satu tin cat dan barang-barang lain yang digunakan semasa kejadian. Suspek mempunyai dua rekod lampau kes khianat dan satu kes samun.

"Saringan air kencing mendapatinya negatif dadah. Suspek sudah dituduh di mahkamah majistret pada 6 Februari lalu dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara selepas gagal membayar denda RM2,500.

Sebelum ini tular foto tembok kediaman rasmi Ketua Polis Daerah Segamat disimbah cat dan sekeping nota meminta kedai dadah di daerah ini dihapuskan.

Ahmad Zamry berkata, siasatan mendapati suspek mendakwa melakukan perbuatan tersebut kerana sering terdengar bisikan ghaib.

"Suspek mendakwa terdengar bisikan ghaib disyaki halunisasi menyatakan suspek terlibat kes dadah dan menjadi buruan polis.

"Akibat daripada itu suspek menyasarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat sebagai tanda protes," ujar beliau.

Zamry berkata, disebabkan kehadiran polis di pos pengawal, suspek mengubah sasaran dengan melakukannya di rumah Ketua Polis Daerah Segamat.

Disiarkan pada: Jun 18, 2024 @ 4:46pm
Johor umum peruntukan RM54.79 juta bina rumah, baik pulih rumah

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM54.79 juta menerusi dua inisiatif bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata dua inisiatif itu adalah bagi membina rumah baharu dan membaik pulih rumah sedia ada.

Beliau berkata, sebanyak 328 unit rumah akan dibina manakala 1,368 unit rumah akan terbabit dalam inisiatif baik pulih.

"Bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM32 juta bagi inisiatif Bina Baharu Rumah membabitkan 328 unit manakala RM22.79 juta bagi inisiatif Baik Pulih Rumah membabitkan 1,368 unit," katanya menerusi hantaran baharu di Facebook rasminya, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, usaha penyelarasan dan pemerkasaan inisiatif itu akan sentiasa dilaksanakan dengan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin masyarakat setempat.

Selain itu, katanya, ia membabitkan kerjasama daripada pelbagai agensi seperti Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Southern Volunteers (SV) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Kerjasama dan penyelarasan ini penting bagi memastikan kerajaan membantu golongan yang benar-benar memerlukan pada kadar yang segera.

"Semoga segala inisiatif ini dapat meningkatkan taraf hidup Bangsa Johor dan memberi sinar bahagia buat mereka yang memerlukan," jelasnya.
1 Maut, 8 cedera dalam kemalangan berhadapan Legoland

ISKANDAR PUTERI: Satu maut, lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Volkwagen Passat dan sebuan Toyota Innova, berhadapan Legoland, di Lebuh Persisiran Pantai Johor Bahru Nusajaya, malam tadi.

Mangsa maut adalah pemandu Toyota Innova akibat cedera parah.

Manakala tujuh lagi penumpang kenderaan berkenaan cedera dan dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Pemandu kereta Volkwagen Passat juga seorang lelaki turut cedera dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan usat gerakan operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan jam 10.30 malam.

Justeru sebuah jentera bersama 9 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan dua, Hairulnizam Mohd Noh bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Volkwagen Passat dan sebuan Toyota Innova terbabit dalam kemalangan. kesemua mangsa tidak tersepit” katanya.

Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Innova maut ditempat kejadian manakala mangsa yang lain mengalami kecederaan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Identiti kesemua mangsa dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan polis.

Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 12.33 pagi tadi.
Polis buru pemandu lori langgar lari

KOTA TINGGI - Polis memburu seorang pemandu lori berhubung kes langgar lari di Kilometer (KM) 30, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran lampu isyarat Taman Sri Saujana, pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kes kemalangan berkenaan sekitar jam 4 petang.

"Siasatan mendapati kes berkenaan telah tular di laman sosial Facebook melibatkan tiga kenderaan.

"Kenderaan terlibat adalah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu oleh seorang wanita warga tempatan berusia 34 tahun, Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun dan lori jenis Ford Rigid yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 55 tahun.

"Dalam kemalangan itu, kesemua pemandu disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Kes disiasat di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 10 L 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan yang dipandu dan menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.