Tumpahan minyak dari Singapura: Hampir 200 nelayan tak dapat turun ke laut

KOTA TINGGI: Hampir 200 nelayan di pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit, Pengerang di sini, terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat turun ke laut sejak lima hari lalu akibat kesan tumpahan minyak.

Ia berikutan kejadian pelanggaran kapal Jumaat lalu di sebuah pelabuhan dalam wilayah Singapura, yang menyebabkan tumpahan minyak sebanyak 400 tan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nelayan Pengkalan Sungai Rengit, Rosli Mohd Ali, 56, berkata sejumlah 183 nelayan yang menjadi ahli persatuan itu terpaksa menunggu sehingga kesan tumpahan minyak di kawasan pesisir pantai di Sungai Rengit pulih bagi mengelak lebih banyak kerugian dialami.

Katanya, kejadian disedari komuniti nelayan Isnin lalu, sewaktu mencari hasil laut di perairan Sungai Rengit.

"Kita sedar apabila nampak tompokan hitam terapung di laut, terus kita tarik jaring dan pulang ke jeti. Sampai saja di jeti, baru kita nampak kesan banyak tompokan minyak di tepi pantai.

"Keesokkannya nelayan tidak boleh turun ke laut untuk menangkap ikan, kesan minyak ini jika terkena pada peralatan nelayan seperti jaring, pelampung dan tali memang tiada maaf, kena buang terus.

"Jaring nelayan ini ada simpulan yang kita panggil buku untuk mata jaring, kena minyak memang tidak hilang. Apabila kita pakai juga jaring yang tercemar dan rosak, hasil tiada sebab berbau," katanya ketika ditemui di Pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit hari ini.

Rosli berkata, kejadian tumpahan minyak pernah terjadi 10 tahun lalu, di mana kesannya sangat teruk kepada komuniti nelayan.

Katanya, ketika itu lebih 30 bot nelayan terkena minyak sehingga ke dek apabila arus kuat dan berombak membawa air yang tercemar minyak ke kawasan muara sungai, yang menempatkan bot mereka.

"Tompokan minyak ini mengikut arus, apabila pasang akan masuk ke muara sungai dan surut pula akan tersangkut. Apabila panas di kawasan pantai akan nampak berketul-ketul minyak, kalau ikutkan pelanggaran kapal itu berlaku di Singapura, tetapi boleh sampai ke sini.

"Dalam situasi ini, kalau kita turun juga ke laut kerugian itu akan berlipat kali ganda. Peralatan nelayan bukan murah, jaring putih yang siap sehelai harganya mencecah RM360. Biasa nelayan laut dalam macam kami inia kan pakai 60 helai. Jadi, boleh kira ruginya kami kalau semua peralatan itu rosak terkena minyak.

"Kita tahu seandainya buat laporan pihak berkaitan akan ganti, tetapi ia mengambil masa hampir sebulan untuk siapkan jaring. Kena tunggu lagi lama.

"Lebih baik kami tunggu pihak berkuasa membersihkan pantai dan laut daripada rugi berganda," katanya yang sudah 30 tahun menjadi nelayan laut dalam dan nelayan pantai.
4 nelayan hilang, bot dinaiki tenggelam di perairan Tanjung Segenting

BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) lima kru bot nelayan tempatan yang hilang akibat bot yang dinaiki tenggelam sekitar pukul 6.00 pagi di perairan Tanjung Segenting, Batu Pahat, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff bin Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam memaklumkan bahawa terdapat bot nelayan tempatan tenggelam di posisi kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, Batu Pahat, Johor.

Menurut maklumat awal kejadian, bot nelayan itu dinaiki oleh lima orang kru yang berumur di antara 43 hingga 62 tahun dan merupakan rakyat tempatan yang telah keluar ke laut untuk memukat ikan. Keadaan cuaca yang buruk dan ombak besar telah menyebabkan bot terbalik seterusnya tenggelam.

Sejurus menerima maklumat, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Op CARILAMAT pada pukul 9.00 pagi dan Bot Penggalang 30 dari Zon Maritim Batu Pahat telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

Ketika di lokasi, bot nelayan tersebut kelihatan hampir tenggelam sepenuhnya.

Seorang mangsa, Tan Siak Bin, 43 tahun telah ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan yang berada berhampiran dan diserahkan kepada Bot Penggalang 30 untuk dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail.

Op CARILAMAT bagi empat lagi kru bot nelayan yang masih belum ditemui diperluaskan dengan penambahan radius kawasan pencarian kepada 23 batu nautika persegi.

Selain aset dari Maritim Malaysia, aset dari Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut terlibat dalam operasi pada hari ini.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan boleh menghubungi talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.
kenderaan eksiden dn terbakar dilingkaran medini legoland
'Kita berharap mereka memakai peralatan keselamatan, berpaut pada objek terapung'

Batu Pahat: Peluang empat nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki karam ditemui selamat masih ada sekiranya mereka memakai peralatan kecemasan atau berpaut pada mana-mana objek terapung.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, namun begitu sehingga 5 petang ini, pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) belum menemui petunjuk.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat, ketika kejadian kelima-lima nelayan itu sempat keluar dari bot pukat tunda terbabit.

"Kita masih berharap semua mangsa selamat, kita beranggapan sekiranya mereka memakai peralatan keselamatan dan mungkin mangsa berpaut pada apa-apa objek terapung, ada kemungkinan untuk mangsa selamat masih ada.

"...atau diselamatkan oleh nelayan lain atau komuniti melalui perairan terbabit, berkemungkinan peluang mereka masih hidup tetap ada.

"Namun, sekiranya apa yang dikatakan tadi tidak berlaku, akan terjadi perkara di sebaliknya," katanya pada sidang media Op Carilamat kru bot nelayan hilang di Zon Maritim Batu Pahat, di sini, hari ini.

Empat nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian 6 pagi semalam adalah tekong, Chia Kah Chong, 51, serta awak-awak Lee Poh Ling, 68, Tan Hai Lan, 62, dan Daud Darus@Hamid, 53.

Hanya Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Kesemua mangsa dilaporkan keluar ke laut pada 8 malam Khamis lalu melalui jeti nelayan di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit.

Sementara itu, Mohd Haniff berkata, setakat jam 5 petang ini, pasukan Carilamat belum menemui sebarang petanda mereka masih hidup.

Beliau berkata, operasi pada hari pertama melangkaui 27 batu nautika sebelum diperluaskan kepada 65 batu nautika membabitkan pencarian di permukaan laut.

"Hari ini, enam aset laut dan juga dua pesawat digunakan daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, pasukan gerakan udara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam." katanya.

Disiarkan pada: Jun 22, 2024 @ 6:58pm
Bot nelayan karam: 1 mayat jumpa, 3 masih hilang

Batu Pahat: Seorang daripada empat nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot pukat tunda dinaiki karam, ditemukan lemas, malam ini.

Mayat, Chiah Kah Chong, 53, yang juga tekong ditemui nelayan yang kebetulan melalui lokasi terbabit, pada 7 malam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, mayat kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat.

Beliau berkata, mayat kemudian diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk tindakan lanjut.

Setakat ini, hanya tiga lagi mangsa bot nelayan karam belum ditemui iaitu Lee Poh Ling, 68, Tan Hai Lan, 62, dan Daud Darus@Hamid, 53.

Seorang lagi mangsa Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Disiarkan pada: Jun 22, 2024 @ 10:50pm
170 tiang lampu dipasang September atasi jalan gelap Perling-Lebuh Raya Pasir Gudang

Oleh Omar Ahmad

Jun 24, 2024 @ 10:49am

bhnews@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Masalah jalan gelap di laluan dari Perling menghala ke Lebuh Raya Pasir Gudang, di sini, dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri mengambil maklum isu kemalangan jalan raya yang berpunca daripada ketiadaan lampu jalan di laluan terbabit, dan projek pencahayaan lampu jalan di kawasan berkenaan adalah bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Justeru, beliau berkata, pihak MBJB akan melaksanakan kerja-kerja pemasangan 170 tiang lampu di laluan (FT17) Kilometer (KM) 2.6 Jalan Pasir Gudang hingga KM9.4 Lebuh Raya Pasir Gudang menghala ke Perling pada September depan.

"Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa jalan berkenaan juga terbabit dalam projek pelebaran Lebuh Raya Pasir Gudang (Fasa 3) yang kini sedang dalam proses pelantikan perunding oleh Kementerian Kewangan.

"Projek ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan dijangka bermula awal tahun depan. Terima kasih kepada MBJB dan KKR atas inisiatif baik ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 20 saat menunjukkan sebuah kereta serta motosikal mengalami kemalangan akibat mengelak babi hutan yang melintas jalan raya dalam keadaan gelap di lokasi berkenaan.

Video itu mendapat reaksi negatif netizen dengan ramai berpendapat situasi jalan gelap dan rosak tidak sepatutnya berlaku di Johor yang berstatus negeri maju.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, beliau amat berharap kerja-kerja menaik taraf laluan terbabit dapat dilakukan dengan segera bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

"Semoga usaha ini dapat mewujudkan sistem rangkaian jalan raya yang lebih kondusif dan selamat buat semua pengguna, insya-Allah," katanya.
Rangka manusia ditemui, dijangka rungkai misteri kehilangan pelajar sejak sebulan lalu

Oleh Alias Abd Rani

Jun 24, 2024 @ 4:50pm

bhnews@bh.com.my

BATU PAHAT: Misteri kehilangan seorang bakal calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak sebulan lalu, dijangka terjawab susulan penemuan rangka manusia di tepi tebing Jalan Yong Peng, berdekatan Kompleks Penghulu Linau, di sini, hari ini.

Rangka itu ditemui pada tengah hari tadi bersama-sama sebuah motosikal hampir sama digunakan Hafiz Fauzan Abd Halid, 17, berdasarkan nombor pendaftaran seperti dihebohkan ahli keluarganya di media sosial selepas kehilangannya.

Motosikal terbabit ditemui tersangkut celah batang pokok bersebelahan kebun durian. Selain itu, turut ditemui jaket dan juga topi keledar.

Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai penemuan rangka terbabit.

Hafiz Fauzan adalah pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR) dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada malam 25 Mei lalu, untuk menonton bola sepak bersama rakannya di Parit Ju, Tongkang Pechah.

Bapanya Abd Halid Sugiman, 44, berusaha mencarinya termasuk meninjau di beberapa jalan yang mungkin dilalui sepanjang Jalan Tongkang Pechah ke Parit Raja dan Jalan Sri Bengkal, namun tiada petunjuk diperoleh.

Ini kerana, bapanya khuatir terdapat kemungkinan anak ketiga daripada tujuh beradik terjatuh dalam parit.

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan keluarga Hafiz Fauzan serta bantuan rakan kepada bapanya namun menemui jalan buntu.

Hafiz Fauzan dilaporkan meminta izin bapanya mahu menonton perlawanan akhir bola sepak dengan menunggang sebuah motosikal

"Selepas menjemputnya, kami keluar makan bersama-sama di Yong Peng, jadi kami tiba di rumah sekitar jam 10 malam. Dia pun minta izin keluar nak tonton final bola sepak di rumah rakannya itu," katanya.