Itu gambar lama, suspek dah didakwa

Segamat: Kejadian tembok depan rumah Ketua Polis Daerah Segamat di Jalan Johor Bahru-Seremban di sini disimbah cat adalah foto lama yang tular semula.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian itu berlaku pada Februari lalu dan suspek berusia 31 tahun sudah pun ditangkap di Taman Perling, di sini, 5 Februari lalu.

"Turut dirampas satu tin cat dan barang-barang lain yang digunakan semasa kejadian. Suspek mempunyai dua rekod lampau kes khianat dan satu kes samun.

"Saringan air kencing mendapatinya negatif dadah. Suspek sudah dituduh di mahkamah majistret pada 6 Februari lalu dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara selepas gagal membayar denda RM2,500.

Sebelum ini tular foto tembok kediaman rasmi Ketua Polis Daerah Segamat disimbah cat dan sekeping nota meminta kedai dadah di daerah ini dihapuskan.

Ahmad Zamry berkata, siasatan mendapati suspek mendakwa melakukan perbuatan tersebut kerana sering terdengar bisikan ghaib.

"Suspek mendakwa terdengar bisikan ghaib disyaki halunisasi menyatakan suspek terlibat kes dadah dan menjadi buruan polis.

"Akibat daripada itu suspek menyasarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat sebagai tanda protes," ujar beliau.

Zamry berkata, disebabkan kehadiran polis di pos pengawal, suspek mengubah sasaran dengan melakukannya di rumah Ketua Polis Daerah Segamat.

Disiarkan pada: Jun 18, 2024 @ 4:46pm
Johor umum peruntukan RM54.79 juta bina rumah, baik pulih rumah

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM54.79 juta menerusi dua inisiatif bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata dua inisiatif itu adalah bagi membina rumah baharu dan membaik pulih rumah sedia ada.

Beliau berkata, sebanyak 328 unit rumah akan dibina manakala 1,368 unit rumah akan terbabit dalam inisiatif baik pulih.

"Bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM32 juta bagi inisiatif Bina Baharu Rumah membabitkan 328 unit manakala RM22.79 juta bagi inisiatif Baik Pulih Rumah membabitkan 1,368 unit," katanya menerusi hantaran baharu di Facebook rasminya, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, usaha penyelarasan dan pemerkasaan inisiatif itu akan sentiasa dilaksanakan dengan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin masyarakat setempat.

Selain itu, katanya, ia membabitkan kerjasama daripada pelbagai agensi seperti Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Southern Volunteers (SV) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Kerjasama dan penyelarasan ini penting bagi memastikan kerajaan membantu golongan yang benar-benar memerlukan pada kadar yang segera.

"Semoga segala inisiatif ini dapat meningkatkan taraf hidup Bangsa Johor dan memberi sinar bahagia buat mereka yang memerlukan," jelasnya.
1 Maut, 8 cedera dalam kemalangan berhadapan Legoland

ISKANDAR PUTERI: Satu maut, lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Volkwagen Passat dan sebuan Toyota Innova, berhadapan Legoland, di Lebuh Persisiran Pantai Johor Bahru Nusajaya, malam tadi.

Mangsa maut adalah pemandu Toyota Innova akibat cedera parah.

Manakala tujuh lagi penumpang kenderaan berkenaan cedera dan dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Pemandu kereta Volkwagen Passat juga seorang lelaki turut cedera dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan usat gerakan operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan jam 10.30 malam.

Justeru sebuah jentera bersama 9 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan dua, Hairulnizam Mohd Noh bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Volkwagen Passat dan sebuan Toyota Innova terbabit dalam kemalangan. kesemua mangsa tidak tersepit” katanya.

Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Innova maut ditempat kejadian manakala mangsa yang lain mengalami kecederaan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Identiti kesemua mangsa dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan polis.

Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 12.33 pagi tadi.
Polis buru pemandu lori langgar lari

KOTA TINGGI - Polis memburu seorang pemandu lori berhubung kes langgar lari di Kilometer (KM) 30, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran lampu isyarat Taman Sri Saujana, pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kes kemalangan berkenaan sekitar jam 4 petang.

"Siasatan mendapati kes berkenaan telah tular di laman sosial Facebook melibatkan tiga kenderaan.

"Kenderaan terlibat adalah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu oleh seorang wanita warga tempatan berusia 34 tahun, Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun dan lori jenis Ford Rigid yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 55 tahun.

"Dalam kemalangan itu, kesemua pemandu disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Kes disiasat di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 10 L 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan yang dipandu dan menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
Budak lima tahun maut dirempuh van sekolah

Pasir Gudang: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dirempuh sebuah van sekolah di hadapan kediamannya di Jalan Suria, Bandar Seri Alam di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 11.35 pagi berlaku ketika pemandu van iaitu seorang wanita berusia 50 tahun menurunkan mangsa dan abangnya berusia enam tahun yang juga murid pra sekolah di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pemandu van meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa melepasi kenderaan itu menerusi bahagian belakang van.

Menurutnya, pemandu yang beranggapan kanak-kanak perempuan itu turut mengekori abangnya mula bergerak sebelum merempuh kanak-kanak itu yang lalu di hadapan van.

"Pemandu kemudian turun untuk melihat mangsa dan memaklumkan kepada ibu mangsa sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Masai untuk rawatan.

"Akibat kejadian, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan merbahaya.

Katanya, pemandu van berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
'Tumpahan diesel dari Singapura sudah merebak ke Johor'

JOHOR BAHRU: Insiden tumpahan minyak yang berlaku susulan perlanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, Singapura pada Jumaat lalu dikesan sudah merebak ke perairan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, berkata kejadian itu berlaku susulan kuantiti tumpahan minyak hasil pelanggaran itu adalah besar iaitu membabitkan kira-kira 400 tan.

Katanya, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura sudah memaklumkan secara rasmi mengenai insiden pelanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, sehingga menyebabkan tumpahan minyak low sulphur Marine Fuel Oil (MFO) 380 di perairan republik itu, yang berlaku Jumaat lalu.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor juga sudah menerima pemakluman daripada Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) bahawa ada pencemaran minyak dikesan di Pantai Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi.

"Semalam, sekitar jam 9.30 pagi, JAS Johor dan MPP juga sudah melakukan tinjauan di Pantai Sungai Rengit, Pengerang, dan mendapati sememangnya terdapat pencemaran minyak di pantai berkenaan.

"Rondaan dan pemantauan di Pantai Sungai Rengit akan diteruskan hari ini bagi memastikan tahap keseriusan pencemaran daripada tumpahan minyak itu.

"Sekiranya perlu, Pelan Tindakan Pembersihan Pantai akan diaktifkan bagi menjalankan operasi kerja-kerja pembersihan di pantai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, sebuah kapal dari Belanda, Vox Maxima, dilaporkan melanggar kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor, di Terminal Pasir Panjang, Singapura.

Kejadian itu menyebabkan kapal tangki minyak itu mengalami kebocoran hingga berlaku limpahan minyak mengalir ke kawasan perairan dan laut di Terminal Pasir Panjang.

Pihak berkuasa Singapura dilaporkan memperluaskan usaha pembersihan ke lebih banyak kawasan perairan republik itu berikutan tumpahan minyak besar telah dikesan merebak sehingga ke perairan Changi, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, semua agensi berkaitan laut dan perairan negara sudah dimaklumkan susulan aduan pencemaran tumpahan minyak di perairan Pengerang, Kota Tinggi oleh MPP.

Katanya, susulan pemakluman insiden tumpahan minyak itu, JAS Johor memohon bantuan Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS); Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ); Pejabat Daerah Kota Tinggi dan MPP, untuk membantu aktiviti rondaan dan pengesanan pencemaran di perairan negara.

"Selain itu, pemakluman sama turut diberikan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia); Pasukan Polis Gerakan Marin; Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Angkatan Pertahanan Awam (APAM); Dialog Terminals Pengerang Sdn Bhd, serta PETRONAS Pengerang untuk membantu dalam aktiviti rondaan di laut bagi mendapatkan maklumat lanjut keadaan semasa pencemaran," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin, berkata hasil tinjauan pihak berkuasa tempatan, tumpahan minyak yang mencemari sekitar pantai dan perairan Singapura, telah pun merebak ke perairan Kota Tinggi sejak semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor berkata, tumpahan minyak itu diunjurkan akan merebak sehingga pantai Teluk Ramunia, Kota Tinggi.

"Satu mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Pegawai Daerah Kota Tinggi akan diadakan hari ini untuk mencapai ketetapan tertentu serta langkah-langkah intervensi yang perlu dilakukan bagi mengelakkan pencemaran lebih teruk lagi," katanya.
Tumpahan minyak dari Singapura: Hampir 200 nelayan tak dapat turun ke laut

KOTA TINGGI: Hampir 200 nelayan di pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit, Pengerang di sini, terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat turun ke laut sejak lima hari lalu akibat kesan tumpahan minyak.

Ia berikutan kejadian pelanggaran kapal Jumaat lalu di sebuah pelabuhan dalam wilayah Singapura, yang menyebabkan tumpahan minyak sebanyak 400 tan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nelayan Pengkalan Sungai Rengit, Rosli Mohd Ali, 56, berkata sejumlah 183 nelayan yang menjadi ahli persatuan itu terpaksa menunggu sehingga kesan tumpahan minyak di kawasan pesisir pantai di Sungai Rengit pulih bagi mengelak lebih banyak kerugian dialami.

Katanya, kejadian disedari komuniti nelayan Isnin lalu, sewaktu mencari hasil laut di perairan Sungai Rengit.

"Kita sedar apabila nampak tompokan hitam terapung di laut, terus kita tarik jaring dan pulang ke jeti. Sampai saja di jeti, baru kita nampak kesan banyak tompokan minyak di tepi pantai.

"Keesokkannya nelayan tidak boleh turun ke laut untuk menangkap ikan, kesan minyak ini jika terkena pada peralatan nelayan seperti jaring, pelampung dan tali memang tiada maaf, kena buang terus.

"Jaring nelayan ini ada simpulan yang kita panggil buku untuk mata jaring, kena minyak memang tidak hilang. Apabila kita pakai juga jaring yang tercemar dan rosak, hasil tiada sebab berbau," katanya ketika ditemui di Pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit hari ini.

Rosli berkata, kejadian tumpahan minyak pernah terjadi 10 tahun lalu, di mana kesannya sangat teruk kepada komuniti nelayan.

Katanya, ketika itu lebih 30 bot nelayan terkena minyak sehingga ke dek apabila arus kuat dan berombak membawa air yang tercemar minyak ke kawasan muara sungai, yang menempatkan bot mereka.

"Tompokan minyak ini mengikut arus, apabila pasang akan masuk ke muara sungai dan surut pula akan tersangkut. Apabila panas di kawasan pantai akan nampak berketul-ketul minyak, kalau ikutkan pelanggaran kapal itu berlaku di Singapura, tetapi boleh sampai ke sini.

"Dalam situasi ini, kalau kita turun juga ke laut kerugian itu akan berlipat kali ganda. Peralatan nelayan bukan murah, jaring putih yang siap sehelai harganya mencecah RM360. Biasa nelayan laut dalam macam kami inia kan pakai 60 helai. Jadi, boleh kira ruginya kami kalau semua peralatan itu rosak terkena minyak.

"Kita tahu seandainya buat laporan pihak berkaitan akan ganti, tetapi ia mengambil masa hampir sebulan untuk siapkan jaring. Kena tunggu lagi lama.

"Lebih baik kami tunggu pihak berkuasa membersihkan pantai dan laut daripada rugi berganda," katanya yang sudah 30 tahun menjadi nelayan laut dalam dan nelayan pantai.