INFO SEMASA OFFICIAL
790K subscribers
192K photos
43.3K videos
27 files
24.9K links
Memaparkan maklumat awal dan kemaskini terkini berkaitan kemalangan, bencana, jenayah dan isu-isu semasa dalam dan luar negara setiap hari.
Download Telegram
Penyamun guna gerudi pecah tabung surau lepas Subuh

Oleh NOR SHAFAWATI YUP
25 Mac 2025, 9:54 am

SEREMBAN – Walaupun dalam bulan Ramadan, seorang lelaki sanggup memecah masuk dan memgumpil tabung sebuah surau di Mambau di sini sebelum melarikan duit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi, Sabtu lalu, pihak polis telah menerima laporan daripada bilal masjid mengatakan tabung surau telah diumpil.

“Semakan pada rakaman televisyen itar tertutup (CCTV) menunjukkan kehadiran seorang lelaki tidak dikenalpasti memakai topi keledar dan jaket berwarna gelap dari arah belakang surau.

“Suspek dipercayai memecah masuk surau dengan memotong kunci yang terdapat pada pintu jeriji besi sebelah kanan surau menggunakan gerudi,” katanya kepada pemberita di aini hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya menggunakan alat untuk mengumpil kunci tabung yang tidak bermangga dan memasukkan wang kutipan derma ke dalam sebuah beg.

Terdahulu, tular sebuah rakan video berdurasi 5 minit 41 saat memaparkan seorang lelaki sedang mengumpil tabung sebuah surau di Mambau di sini.

Penduduk mendakwa suspek dikatakan menaiki motosikal berkuasa tinggi dan sebuah kereta jenis Proton X50 mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk memecahkan tabung surau tersebut.

Tambah beliau, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan giat memburu suspek. – KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Cemas van bawa jenazah tiba-tiba terbakar

Oleh NOOR HAYATI MAMAT
25 Mac 2025, 6:06 pm

MARANG – Sekumpulan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) cemas selepas van dinaiki mereka yang sedang membawa jenazah tiba-tiba terbakar di Tanah Perkuburan Islam Pulau Kerengga, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, sukarelawan Persatuan Kebajikan Pengurusan Jenazah Warga Terengganu (PJWT) bertindak pantas mengeluarkan jenazah wanita warga emas dari van yang sedang marak terbakar berkenaan.

Pengasas PJWT, Che Mohamad Ibrahim Che Ghani berkata, sebelum kejadian, mereka sedang menghantar jenazah wanita orang kurang upaya (OKU) tersebut untuk dikebumikan setelah selesai disolatkan di Masjid Pulau Kerengga di sini.

“Sebaik tiba di tanah perkuburan, kami perasan kepulan asap dari bawah van jenazah berkenaan. Dengan bantuan ahli keluarga, kami cepat-cepat keluarkan jenazah bagi mengelakkannya terperangkap dapam van yang marak terbakar,” katanya.

Che Mohamad Ibrahim berkata, jenazah wanita berkenaan selamat disemadikan seperti biasa sewaktu van jenazah berkenaan sedang marak terbakar.

Dia berkata, van jenazah terbabit merupakan sumbangan seorang dermawan kira-kira empat tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
‘Ambil, ambil. Aku berniaga air mineral dengan tisu saja’

PETALING JAYA – Satu rakaman video memaparkan insiden seorang lelaki memarahi dua individu dipercayai anggota penguat kuasa kerana merampas barangan jualannya tular di media sosial.

Menerusi rakaman video berdurasi 43 saat tersebut, lelaki berkenaan dilihat memarahi dua individu berpakaian preman kerana merampas troli kecil mengandungi air mineral yang dibawanya.

Ambil.. ambil. Aku berniaga air mineral dengan tisu saja,” katanya sambil diperhatikan orang ramai yang berada di sekitar kawasan tersebut.

Rata-rata netizen melahirkan rasa simpati terhadap lelaki tersebut, namun tidak kurang juga mempertahankan tindakan anggota penguat kuasa.

“Orang itu berniaga bukan makan ruang pun. Untung pun tidak seberapa sekali jualan,” kata pemilik akaun Facebook
Muhammad Hafis.

Pemilik akaun Mike Rain turut melontarkan kekesalan dengan menyatakan: “Rakyat masih perlu nak berniaga di jalanan demi sesuap nasi”

“Dia jual air meneral dan tisu untuk memudahkan orang siap buka puasa dan air masak. Husnuzon lah weh,” kata
Mohd Salehuddin.

Pemilik akaun Ayraf Basri namun berpandangan, lelaki tersebut tidak sepatutnya menjual air mineral dan tisu di lokasi tersebut.

“Situ ada food truck’ yang berbayar untuk berniaga. Bila ada ulat-ulat’ macam ini, rugi perniaga yang bayar tapak,” katanya.

Bani Adam pula berkata, negara ini mempunyai undang-undang dan ia perlu dikuatkuasakan apabila undang-undang tidak dipatuhi.

“Benda boleh selesai elok-elok. Ambil lesen atau berniaga di tempat yang dibenarkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Oleh ZULKIFLI MANZOR
26 Mac 2025, 11:34 pm

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
‘Tolonglah polis tangkap lelaki ini’

Oleh MUHAMMAD AFNAN FARIHIN SAMSURI
28 Mac 2025, 5:18 pm

PETALING JAYA – “Bila lah polis nak tangkap lelaki ini”.

Demikian kata-kata orang ramai mengenai tingkah laku seorang lelaki warga asing yang menjadi tular dikatakan sering memperdaya juruwang dengan wang kertas RM100.

Dipercayai hampir 10 premis telah dikunjungi oleh lelaki itu dengan bukti televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Menerusi CCTV, suspek pada mulanya membuat pesanan makanan dan membayar menggunakan wang tunai RM100, namun dia kemudian membatalkan pesanan tersebut dan meminta wangnya dikembalikan.

Bukan itu sahaja, lelaki itu menyelitkan wang tersebut di bawah telefon bimbitnya sebelum berpura-pura membuat pesanan baharu yang mengelirukan juruwang.

Selepas pesanan baharu dibuat, lelaki itu akan mendapat baki wang walhal wang RM100 terdahulu telah dikembalikan.

Tinjauan di ruangan komen di Instagram mendapati, rata-rata orang ramai geram dan mempersoalkan kenapa lelaki warga asing ini masih bebas dan belum ditangkap oleh pihak polis.

“Tolong la tangkap hantar balik negara asal,” komen @Eqynnyusof.

“Awat polis tak tangkap orang macam ni?,” soal @Nurzaraaileen.

“Tak dapat tangkap lagi ke dia ni? Geram pulak lah kita tengok dia ni,” marah @Hettyasmara.

Lebih parah lagi, juruwang tersebut terlupa sudah pulangkan RM100 dan akhirnya menguntungkan warga asing itu yang mendapat duit baki hanya bermodalkan RM100. – KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Esok nak raya, rumah kena rempuh bas pula

Oleh MOHD SHARKAWI LONDING
30 Mac 2025, 12:43 pm

MERSING – Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka dirempuh sebuah bas ekspres dalam kejadian di Kampung Sawah di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi, difahamkan bas ekspres yang dipenuhi penumpang itu dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Rantau Panjang, Kelantan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas terbabit dikatakan cuba mengelak sebuah kenderaan di hadapannya yang memasuki simpang secara tiba-tiba.

Kesemua penumpang bas dan penghuni rumah tersebut dilaporkan terselamat.

Terdahulu, tular di laman sosial Facebook Anak Mersing gambar dan video berkaitan kemalangan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Umat Islam Malaysia sambut Aidilfitri esok

Oleh NUR HUDA MUSA
30 Mac 2025, 8:05 pm

PETALING JAYA – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada esok.

Pengumuman tarikh Hari Raya Puasa itu disiarkan menerusi siaran televisyen dan radio tempatan sebentar tadi.

Menerusi kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia sebelum ini, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Terdahulu, tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang hari ini bersamaan 29 Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Letupan gas: Susur Elite Seafield ke Bandar Saujana Putra ditutup

Oleh KOSMO!
1 April 2025, 1:25 pm

Tangkap layar video dikongsikan pengguna Lebuh Raya Elite berhubung kebakaran di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor, pagi tadi berpunca daripada kebocoran paip gas.

PETALING JAYA – Laluan di antara Seafield hingga ke Bandar Saujana Putra kini ditutup untuk semua kenderaan, susulan satu insiden kebakaran di Putra Heights berhampiran Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

PLUS Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, penutupan itu adalah sebagai langkah keselamatan.

“Sehubungan itu, pengguna yang menghala ke selatan akan dilencongkan ke Plaza Tol Seafield dan masuk semula ke Lebuh Raya Elite menerusi Plaza Tol Bandar Saujana Putra.

“Pengguna yang menghala ke utara diarahkan keluar di Plaza Tol Bandar Saujana Putra dan masuk semula ke Lebuh Raya Elite menerusi Plaza Tol Seafield,” menurut PLUS Malaysia hari ini.

Pada masa sama, semua laluan masuk ke Lebuh Raya Elite menerusi Plaza Tol USJ dan Putra Heights juga ditutup kepada semua kenderaan.

“Pengguna juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Map pada ketika ini.

“PLUS mengucapkan terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua pengguna,” menurut kenyataan itu.

Kosmo! melaporkan, kebakaran di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor, pagi ini berpunca daripada kebocoran paip gas sekali gus menyebabkan kebakaran saluran sepanjang 500 meter (m).

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor dipetik berkata, kerja-kerja pemindahan penduduk sekitar sedang dilakukan berikutan kebakaran berlaku berhampiran kawasan perumahan awam. – KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Rumah terbakar, penghuni selamat

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
3 April 2025, 12:20 am

GEORGE TOWN – Sebuah keluarga dilaporkan terselamat selepas kediaman mereka di Kampung Paya, Teluk Kumbar di sini musnah dijilat api, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 10 malam itu telah memusnahkan 80 peratus kediaman dua tingkat berkenaan termasuk sebuah motosikal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran berlaku pada pukul 10.18 malam tadi.

Menurutnya, operasi pemadaman melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau dengan bantuan dari BBP Bayan Baru.

“Kebakaran melibatkan seunit rumah jenis separa kekal (kelas B) dua tingkat dengan anggaran peratusan kemusnahan akibat kebakaran adalah sebanyak 80 peratus.

“Tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan sedang dijalankan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat,” katanya di sini, sebentar tadi.

Operasi tersebut turut melibatkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batu Maung, Gertak Sanggul, Seri Tanjung, Mount Erskine dan Sungai Pinang. -KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Jengkaut terbenam dalam kawah paip gas

Oleh MOHD YUNUS YAKKUB
4 April 2025, 5:28 pm

SUBANG JAYA – Polis mengesahkan berlaku kerja-kerja mengorek tanah di sekitar lokasi kebakaran paip gas di Putra Heights di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kerja-kerja itu dilakukan sebelum kejadian bagi tujuan menggantikan paip-paip kumbahan sedia ada berada 30 meter dari pusat letupan itu.

Katanya, polis telah mengenal pasti pemaju, kontraktor dan sub kontraktor dan pekerja yang terlibat yang menggunakan dua jentera iaitu jengkaut (excavator) dan jentolak (backhoe).

“Kerja-kerja itu telah dihentikan pada 30 Mac lalu. Hasil siasatan polis dapati excavator turut terbenam dalam lubang itu.

“Adakah kerja-kerja mengorek ini boleh menyebabkan letupan? Perlu disiasat lanjut bagi mengenal pasti perkara yang lain selain menemui keterangan fizikal yang lain,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Jelas Hussein, backhoe itu pula telah dibawa keluar sehari sebelum berlakunya letupan gas.

“Bagaimanapun siasatan masih dilakukan sedalam dan sejauh mana kerja-kerja mengorek itu,” katanya.

Justeru, Hussein menegaskan, siasatan dijalankan sama ada wujud jenayah iaitu khianat dan kecuaian.

“Polis telah membuka kertas siasatan dibawah Kertas Inkuiri Polis yang mempunyai kuasa-kuasa polis dalam mendapatkan maklumat untuk mengetahui adakah sebarang unsur jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
*‘Abang belon ada 13 rekod lampau’*

KUALA LUMPUR – Dua daripada tiga kertas siasatan berhubung insiden membabitkan ‘abang belon’ dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini baru-baru ini telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, siasatan terbabit melibatkan kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menyebabkan kecederaan parah secara sukarela.

“Satu lagi siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah masih menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung sebuah laman web yang dikaitkan dengan kes tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar operasi Cyber Guardian di Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut sumber, semakan rekod lampau terhadap penjaja penjual belon itu mendapati lelaki berkenaan mempunyai 13 rekod jenayah lampau.

“Kebanyakan rekod terbabit adalah berkaitan dengan kesalahan dadah. Suspek sebelum ini pernah dihadapkan ke mahkamah bagi enam daripada kes tersebut.

“Dia (abang belon) kini masih menerima rawatan di hospital manakala bagi dua penguat kuasa DBKL itu pula sudah diambil tindakan dalam oleh jabatan,”ujarnya.

Sebelum ini tular di media sosial video memaparkan pergelutan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL dalam kejadian di Jalan TAR.

Video tersebut bukan sahaja mendapat pelbagai reaksi daripada orang awam malah mencuri perhatian golongan menteri juga.

Malah DBKL turut memaklumkan peniaga belon itu sudah diberi teguran kali ketiga untuk beredar sebelum bertindak agresif dan menolak anggota penguat kuasa DBKL.

DBKL dalam kenyataan berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu berlaku, anggota penguat kuasa DBKL yang melakukan rondaan berkala melihat kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR.

Katanya, anggota penguat kuasa DBKL telah memberi teguran dan kebanyakan penjaja tanpa lesen memberikan kerjasama dengan beredar dari kawasan tersebut, namun ia tidak berlaku kepada peniaga belon berkenaan.– KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Nenek 66 tahun ditelan ular sawa dalam kebun

4 April 2025, 7:30 pm

JAKARTA – Seorang nenek berusia 66 tahun meninggal dunia selepas ditelan seekor ular sawa di Sidrap, wilayah Sulawesi Selatan, lapor laman berita Detik kelmarin.

Badan warga emas itu ditemukan di dalam perut reptilia tersebut selepas ia dibunuh oleh penduduk kampung.

Orang ramai sebelumnya mencari wanita tersebut di kebun.

“Berdasarkan keterangan anaknya bernama Nurdin, mangsa mencari tali ikat kayu di belakang rumahnya,” kata ketua polis tempatan, Inspektor Zakaria.

Nurdin kemudian mencari ibunya selepas dia tidak pulang walaupun sudah pukul 5 petang (waktu tempatan).

“Sekitar pukul 8.30 malam (waktu tempatan), Nurdin melihat seekor ular sawa bersaiz kira-kira 6 meter panjang dengan keadaan perut membesar.

“Dia mengesyaki bahawa ibunya telah ditelan haiwan tersebut,” kata Zakaria.

Beberapa penduduk tempatan kemudian membunuh reptilia tersebut dan setelah membelah perutnya, mangsa ditemukan sudah tidak bernyawa.AGENSI

Artikel Kosmo Online

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Pelajar MRSM terlibat buli digantung persekolahan

Oleh ZULKIFLI MANZOR
7 April 2025, 5:51 pm

PETALING JAYA – Pelajar yang terlibat dalam insiden buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air digantung persekolahan sehingga siasatan terperinci lengkap.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan penggantungan itu supaya tidak menganggu siasatan dan memberi mesej jelas perbuatan buli tidak boleh dikompromi.

“Saya telah mengarahkan pengurusan dan bahagian pendidikan menengah melakukan siasatan segera. Saya baru sahaja menerima laporan memang benar peristiwa itu berlaku di salah sebuah MRSM di utara tanah air.

“Saya mengarahkan satu siasatan terperinci dan dalam proses siasatan, pelajar terbabit mestilah digantung terlebih dahulu. Kalau didapati benar bersalah, Mara dan MRSM tidak akan berkompromi. Tindakan tegas akan diambil,” katanya menerusi satu rakaman video hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan Asyraf Wajdi mengarahkan pegawainya melakukan siasatan segera terhadap video tular dipercayai membabitkan pelajar di sebuah MRSM di Pulau Pinang.

Rakaman video berdurasi 1.31 minit tersebut memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil, selain mangsa disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung.

“Saya ingin meningkatkan kepada pelajar di MRSM mahupun di semua institusi pendidikan Mara, saya telah tegaskan prinsip “You touch, you go”. Kita tidak boleh benarkan apa sahaja bentuk atau budaya buli sama ada fizikal atau mental di insitusi pendidikan Mara.

“Mara medan untuk melahirkan pemimpin, mana mungkin kita nak melahirkan pemimpin yang dangkal akar budinya dan tercemar adan dan perilaku akhlaknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Video buli MRSM kejadian lama, siasatan tetap dilakukan

Oleh SITI NOR MAS ERAH AMRAN
7 April 2025, 6:12 pm

SEBERANG PERAI – Rakaman video tular di media sosial yang memaparkan kejadian buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah kejadian lama yang berlaku pertengahan tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintendan Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, siasatan awal mendapati kejadian yang membabitkan tujuh pelajar termasuk mangsa berusia 15 tahun itu berlaku pada pertengahan tahun lepas.

Katanya, tiada laporan polis yang dibuat berhubung kejadian terbabit namun polis tetap menjalankan siasatan susulan video tular berkenaan.

“Kesemua mereka yang terlibat telah dikenal pasti dan punca kejadian mereka hanya bergurau dan ejek-mengejek sesama sendiri.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan termasuk merakamkan keterangan kesemua mereka yang terlibat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Lelaki lempar bom petrol diburu

Oleh ASLIZA MUSA
9 April 2025, 9:13 am

IPOH – Polis sedang mengesan individu yang disyaki melakukan perbuatan khianat dengan melontar bom petrol atau ‘molotov cocktail’ di sebuah rumah di Kampung Rapat di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lima laporan polis berhubung kejadian itu dibuat seorang wanita berusia 62 tahun antara 26 Mac hingga 4 April lalu.

Katanya, berdasarkan siasatan di lokasi kejadian mangsa memberitahu ada menerima ugutan melalui nota yang ditinggalkan di hadapan pagar rumah.

“Nota tersebut meminta mangsa membayar hutang dan bom petrol juga dibaling ke dalam kawasan rumahnya sebanyak lima kali.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kebakaran pada pagar rumah, kawasan tempat letak kereta, pintu hadapan dan dinding,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha giat dijalankan bagi mengesan suspek untuk siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat dengan api.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan S. Dasarathan di talian 012-5644485,” katanya. – KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Maut dirempuh pemandu BMW disyaki mabuk ketika bantu mangsa nahas

Oleh MOHD SHARKAWI LONDING
13 April 2025, 1:14 pm

JOHOR BAHRU – Niat baik seorang penghantar makanan ingin membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut dirempuh pemandu kenderaan mewah jenis BMW disyaki mabuk dalam kejadian Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru berhampiran stesen minyak memasuki Taman Desa Jaya, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, mangsa, Mohd Taufik Ariff Sariff, 37, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Menurut isteri mangsa, Suhaidah Yusof, 40, sebelum kejadian dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bakar Batu di sini selepas keluar makan bersama rakan-rakan arwah suaminya.

“Saya dan suami keluar makan di sebuah restoran di Desa Cemerlang bersama kawan-kawan arwah suami, saya bawa kereta ada ternampak serpihan motosikal kemalangan, saya parkir kereta tepi jalan di hadapan Petronas, suami keluar kereta nak tolong.

“Masa itu dah ramai yang berhenti kereta nak tengok kemalangan dan tolong bantu kawal lalu lintas, tak lama kemudian saya terdengar dentuman kuat, saya tak keluar duduk dalam kereta, kemudian ada orang beritahu suami saya terbaring kena langgar kereta,”katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.

Difahamkan pemandu kereta BMW dikata cuba melarikan diri selepas berlaku kemalangan.

Namun berjaya ditahan kira-kira 800 meter oleh orang awam yang mengejar kereta lelaki itu sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Dalam pada itu, Suhaidah yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta berkata, selepas mengetahu kemalangan itu melibatkan suaminya, dia terus menghubungi adik iparnya memaklumkan insiden yang berlaku.

Ujarnya, dia mengakui masih terkejut dan trauma selepas kehilangan suami tercinta lebih-lebih lagi umat Islam masih lagi menyambut Aidilftri.

“Kami baharu sahaja mendirikan rumah tangga, kami kenal sudah dua tahun tapi baru kahwin September tahun lalu.

“Kenangan indah bersama arwah ketika hari raya, kami beraya bersama-sama keluarga kali pertama bergelar suami isteri, kami sempat rakam gambar ‘fotoshoot’ sempena raya hari itu,”katanya.

Jelasnya, dia reda dengan ketentuan Ilahi apatah lagi masih lagi dalam fasa bulan madu kerana baharu tujuh bulan membina mahligai cinta.

Katanya, tiada perubahan pelik berlaku ke atas suaminya namun pada malam Jumaat lalu, arwah suaminya terbaring di luar rumah dan banyak termenung selain tidak banyak bercakap.

“Malam Jumaat lalu, dia cakap panas badan dan pening kepala, dia banyak terbaring dan berdiam diri tak banyak cakap.

“Malam semalam (Sabtu) keluar pusing-pusing dan makan bersama kawan-kawan dia cakap hilang dah sakit kepala dia,”katanya.-KOSMO! ONLINE

📹 Orang awam
#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Pemandu BMW mabuk rempuh rider ada 22 rekod kesalahan trafik

JOHOR BAHRU – Pemandu kenderaan BMW yang merempuh hingga maut seorang penghantar makanan di Taman Desa Jaya, di sini awal pagi semalam mempunyai 22 rekod melibatkan pelbagai kesalahan trafik.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pemandu berkenaan merupakan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun.

“Semakan terhadap pemandu tersebut mendapati dia mempunyai 22 saman trafik atas pelbagai kesalahan.

“Antaranya termasuklah nombor pendaftaran fancy, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tidak mempamerkan pelekat P serta mengubah suai struktur kenderaan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Sohaimi, suspek masih dalam tahanan reman sehingga Rabu depan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, suspek ditahan selepas memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh hingga maut seorang pejalan kaki di lokasi kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal warga asing kira-kira pukul 2 pagi.

Dalam kejadian itu, penghantar makanan, Mohd Taufik Ariff, 37, maut di tempat kejadian dirempuh BMW ketika membantu seorang penunggang motosikal warga Myanmar yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berhampiran Taman Desa Jaya, di sini.

KOSMO! ONLINE

KHAIRUL MOHD. ALI
14/04/2025

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Babi ‘singgah’ beraya

Oleh KOSMO!
20 April 2025, 9:05 pm

PETALING JAYA – Suasana sebuah majlis rumah terbuka menjadi kecoh dengan kemunculan seekor babi hutan di pekarangan kediaman tersebut sehingga mengejutkan tetamu yang hadir.

Dalam rakaman berdurasi 17 saat yang dikongsikan di Facebook, Dunia Haiwan Malaysia itu, pada awalnya haiwan berkenaan dilihat berkeliaran di bahagian parkir kereta.

Kemudian, babi hutan itu berjaya memasuki rumah tersebut meskipun cuba dihalang oleh beberapa individu sehingga menyebabkan ramai menjerit kerana takut diserang haiwan berkenaan.

Dapat dilihat beberapa tetamu di dalam rumah sempat memanjat sofa selain menggunakan payung sebagai penghalang diri daripada didekati haiwan tersebut.

Video tular itu mendapat lebih 350,000 tontonan dan pelbagai reaksi diberikan orang ramai di ruangan komen.

“Masa haiwan itu duduk luar, masih buat ‘lek wat peace’, lagi tak tutup pintu. Bila haiwan itu dah masuk rumah, hadap sahaja lah,” kata Firdaus Aziz.

“Maaf sangat buat tuan rumah, aku tak boleh tahan gelak.
Dia (babi hutan) pun nak datang beraya,” kata Gordon.

“Habis la satu rumah nak kena sertu,” komen netizen yang lain. – KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
INFO SEMASA OFFICIAL
Kes buli kat pasir gudang kejadian Hari ini katanya.. Tarikh ikut pada salinan report.. #infosemasa @infosemasaofficial
Pemuda longlai, kena belasah sekumpulan lelaki berlagak samseng

Oleh MOHD SHARKAWI LONDING
22 April 2025, 8:39 am

JOHOR BAHRU – Seorang pemuda dipercayai cedera teruk selepas menjadi mangsa pukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki di dalam sebuah rumah disyaki berlaku di Pasir Gudang di sini.

Kejadian itu tular di laman sosial menunjukkan beberapa video mangsa dibelasah tanpa belas kasihan oleh lebih daripada lima hingga tujuh lelaki lain.

Mangsa dipegang beberapa individu sebelum ditumbuk dan dibelasah pada bahagian muka, dada serta anggota badan lain.

Salah satu klip video berkaitan turut menunjukkan alat kemaluan mangsa turut dipukul dan ditendang.

Mangsa yang tidak melawan kelihatan lemah meronta-ronta mengerang kesakitan selain hidung kelihatan berdarah.

Rata-rata netizen mengecam tindakan sekumpulan samseng itu dan meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat kejadian itu.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan seorang wanita sebelum wanita itu memanggil rakan-rakannya membelasah si mangsa.

Menerusi komen di berkaitan video yang tular itu juga, kejadian itu disyaki dirakam wanita berkenaan.

Sementara itu, Kosmo! sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kejadian itu dengan pasukan PDRM.-KOSMO! ONLINE


#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
‘Bella’, 7 lelaki belasah pemuda dah kena kutip

Oleh MOHD SHARKAWI LONDING
22 April 2025, 2:02 pm

JOHOR BAHRU – Tujuh lelaki dan seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Bella’ ditahan bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang pemuda dibelasah beramai-ramai baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 26 tahun diberkas semalam selepas laporan dibuat oleh mangsa kelmarin.

Katanya, suspek direman selama enam hari bermula sehingga 26 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 342, Seksyen 385 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Polis menerima laporan daripada mangsa berusia 21 tahun menyatakan kejadian berlaku pada pukul 9.30 malam, Jumaat lalu (18 April) di kawasan Perumahan Pangsapuri Plentong Baru Masai, Johor.

“Siasatan mendapati mangsa pergi ke pangsapuri berkenaan selepas dijemput seorang kenalan wanita menerusi media sosial.

“Sebaik sampai, mangsa dikurung, dipukul dan dicederakan lapan lelaki tempatan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Sohaimi berkata, ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka pada bibir, telinga kiri serta bengkak badan.

Susulan itu, polis menahan kesemua suspek pada pukul 2.30 pagi semalam.

Semakan mendapati lima daripada suspek yang ditahan memiliki rekod kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Ujian saringan air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine. – KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial
Baru parkir, dah kena serang
Oleh KOSMO!

24 April 2025, 10:12 pm

PETALING JAYA – Seorang pemandu lelaki berdepan detik cemas apabila diserang sekumpulan individu tidak dikenali sejurus selepas meletakkan kenderaannya di sebuah petak parkir di kawasan rumah kedai, baru-baru ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 11.39 pagi, 21 April lalu, dua buah kenderaan secara mengejut berhenti di hadapan kereta milik mangsa dan kemudian, kira-kira 10 individu memakai topeng muka datang sambil membawa kayu panjang serta bertindak agresif.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku di Kuala Lumpur.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari sebuah kedai berhampiran, sekumpulan individu terlibat dilihat tanpa sebarang amaran terus mengetuk serta memecahkan cermin kereta mangsa, termasuk bahagian cermin depan dan sisi.

Mangsa yang terkejut dengan tindakan berani kumpulan itu cuba menghalang dari tempat duduk pemandu, namun dia turut dipukul dengan kayu.

Rakaman CCTV itu kini tular di media sosial dengan 264 perkongsian selepas ia dimuat naik di Facebook, Info Semasa.

Kosmo! sedang mendapatkan pengesahan lokasi dan fakta berhubung kejadian tersebut daripada pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

#Kosmo
#infosemasa
@infosemasaofficial