Dr. Ahmad Sanusi Azmi
45.6K subscribers
1.63K photos
46 videos
2 files
1.41K links
Telegram rasmi Dr. Ahmad Sanusi Azmi.
Download Telegram
Beberapa Sunnah Di Hari Raya
=========
Terdapat beberapa sunnah yang boleh dilaksanakan oleh kita sebagai muslim dalam meraikan Aidilfitri ini. Antaranya ialah:

1. Menzahirkan kegembiraan. Berdasarkan hadis, pada hari perayaan ini Rasulullah membiarkan orang-orang Sudan mempamerkan permainan senjata mereka sebagai tanda kegembiraan. Malah Baginda membiarkan kanak-kanak perempuan menyanyi. Perkara ini direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari yang menyebutkan:

وَكَانَ يَوْمَ عِيدٍ يَلْعَبُ السُّودَانُ بِالدَّرَقِ وَالْحِرَابِ

“Pada hari perayaan, orang-orang Sudan bermain (mempamerkan perlawanan) perisai dan senjata mereka.” (Sahih al-Bukhari)

1.1 Dengan sebab itu al-Imam Ibn Hajar menyebutkan:

إِظْهَار السُّرُورِ فِي الْأَعْيَادِ مِنْ شِعَارِ الدِّينِ

“Menzahirkan kegembiraan pada hari raya adalah salah satu daripada syi’ar agama.” (Fath al-Bari)

2. Memakai Pakaian Yang Terbaik. Menurut al-Imam Ibn al-Qayyim, Rasulullah dikatakan memakai pakaian terbaik ketika hari raya. Saidina al-Hasan pernah menyebutkan:

أَمَرَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَلْبَسَ أَجْوَدَ مَا نَجِدُ

“Rasulullah mengajak kami memakai pakaian yang terbaik yang ada di sisi kami.” (HR al-Tabrani dan al-Hakim)

3. Makan Sebelum Menunaikan Solat Raya. Kita disunatkan untuk makan dahulu sebelum menunaikan Solat Hari Raya. Saidina Anas pernah meriwayatkan hadis yang menyebutkan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ يَغْدُو يَوْمَ الفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ

“Sesungguhnya Nabi SAW tidak akan keluar pada Hari Raya AidilFitri sehinggalah beliau makan terlebih dahulu beberapa biji tamar.”

4. Bertakbir Ketika Keluar Menunaikan Solat. Menurut al-Imam al-Zuhri, Rasulullah ﷺ bertakbir sepanjang perjalanan menuju ke tempat solat AidilFitri. Kata beliau:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ، فَيُكَبِّرُ حَتَّى يَأْتِيَ الْمُصَلَّى

Sesungguhnya Rasulullah SAW keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri dan Baginda bertakbir sehingga sampai ke tempat solat.

5. Berjalan Kaki Ke Tempat Solat. Sekiranya kita mampu, sebaiknya kita hendaklah berjalan kaki ke tempat solat raya kerana Baginda Nabi ﷺ sentiasa melakukan sedemikian. Kata Saidina Abdullah bin Umar:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ إِلَى الْعِيدِ مَاشِيًا، وَيَرْجِعُ مَاشِيًا

Sesungguhnya Nabi SAW keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri dalam keadaan berjalan kaki dan pulang juga berjalan kaki.

6. Pulang Solat Melalui Jalan Berbeza. Salah satu sunnah Rasulullah ﷺ juga adalah menggunakan jalan yang berbeza ketika pulang dari solat sunat hari raya. Saidina Jabir menceritakan:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ

“Sesungguhnya Nabi SAW pergi dan pulang dari menunaikan Solat Aidilfitri menggunakan jalan yang berbeza.”

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Elakkan Unsur Maksiat Di Hari Raya
===========
1. Tidak salah untuk bergembira di hari raya. Menurut Ibn al-Arabi, dinamakan hari itu sebagai hari raya kerana manusia mengulangi kegembiraan mereka pada setiap tahun. Bererti hari raya adalah hari kita menzahirkan kegembiraan.

2. Ini selaras dengan sunnah Rasulullahﷺ. Berdasarkan riwayat dari Saidatina Aisyah, terdapat dua orang hamba perempuan menyanyi menzahirkan kegembiraan mereka pada hari raya. Perkara ini ditegur oleh Saidina Abu Bakar. Melihat insiden tersebut, Rasulullah ﷺ berkata kepada Abu Bakr: (Biarkan mereka, wahai Abu Bakr), Sesungguhnya setiap kaum mempunyai Hari Raya, dan ini adalah Hari Raya kita. Tindakan Rasulullahﷺ ini seolah membiarkan mereka menzahirkan kegembiraan mereka selagimana tiada unsur maksiat. (HR al-Bukhari dan Muslim)

3. al-Imam al-Bukhari turut meriwayatkan perbuatan Bani Arfidah (dari Habsyah) yang bermain (tarian) pedang pada Hari Raya bagi menzahirkan kegembiraan mereka. Perbuatan ini pada awalnya ditegur oleh Saidina Umar. Namun Rasulullah ﷺ membiarkan mereka dengan alasan yang sama iaitu menzahirkan kegembiraan pada hari Raya.

4. Ada satu point yang menarik di sini. Secara umumnya, Rasulullah ﷺ membiarkan mereka menzahirkan kegembiraan mereka kerana itulah hari bagi mereka meraikan kegembiraan setelah beribadah.

5. Namun bagi kumpulan yang mempunyai kefahaman yang lebih mendalam, reaksi mereka tidak begitu. Kita lihat bagaimana Abu Bakar dan Umar mempunyai reaksi yang berbeza apabila kegembiran itu hanya dizahirkan dengan nyanyian dan permainan. 

6. Perkara yang sama berlaku kepada Saidina Ali bin Abi Talib. Seorang lelaki telah masuk ke rumah Ali di hari Raya dan dia mendapati Ali makan roti yang telah keras pada hari tersebut. Lantas lelaki tersebut menegur Ali: Apakah engkau memakan roti keras pada Hari Raya ini? Saidina Ali lantas menjawab: “Hari Raya yang sebenar adalah hari apabila Allah menerima amalan kita. Dan setiap hari yang tidak kita lakukan maksiat adalah hari Raya buat kita!”

7. Justeru, adalah wajar bagi seorang Muslim menzahirkan kegembiraan mereka pada Hari Raya. Ia adalah perkara yang selaras dengan Sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah. Namun, perayaan kita bukanlah satu perayaan apabila tercemar dengan unsur-unsur maksiat. Benarlah kata Saidina Ali: “Setiap hari yang tidak kita lakukan maksiat adalah hari raya buat kita!”

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Jangan Tinggal Selawat Pada Nabi
========
1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menjelaskan bahawa selawat yang kita bacakan buat Baginda Nabi akan disampaikan kepada Nabi sendiri. Dalam erti kata yang lain, Baginda tahu kita berselawat. Sabda Rasulullah:

وَصَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلَاتكُمْ تبلغني حَيْثُ كُنْتُم

“Dan berselawatlah ke atasku. Sesungguhnya selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana jua kamu berada.” (Sunan Abu Daud - dinilai sanad yang Sahih oleh Ibn Hajar)

2. Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam Mula Ali al-Qari menukilkan padandangan al-Imam al-Tiibi yang seakan menjelaskan bahawa para malaikat menyampaikan kepada Baginda tentang selawat yang dibacakan buat dirinya. (Fayd al-Qadir)

3. Begitulah hebatnya kedudukan selawat ke atas Nabi. Dalam al-Quran sendiri menjelaskan bagaimana Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi.

4. Malah mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Nabi akan mendapat kedudukan yang dimuliakan di sisi Allah di akhirat kelak. Sabda Rasulullah:

أولى النَّاس بي يوم القيامة أكثرُهم عليَّ صلاةً

“Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku.” (HR al-Tirmizi - dinilai Hasan)

5. Dengan itu, perbanyakkanlah selawat ke atas Rasulullah. Amalkanlah sunnah Baginda Nabi sebagai tanda kasih kepada Rasulullah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Tanda Amalan Diterima Allah
==========
1. Benar, tiada siapa yang mengetahui samada amalan mereka diterima Allah atau tidak. Namun sebahagian sarjana Muslim memberikan pandangan bahawa terdapat tanda-tanda amalan seseorang itu diterima. Antaranya ialah:

2. Pertama: Dia tidak kembali kepada maksiat. Ini adalah tanda yang paling utama. Seharusnya amalan seseorang menjauhkan diri mereka dari maksiat. Amalan tersebut menjadi sebati dalam dirinya, membentuk darah dagingnya sehingga menjadikan dirinya membenci maksiat.

al-Imam Ibn al-Qayyim berpesan di dalam kitab Madarij al-Salikin:

أما إذا تذكَّر الذنبَ ففرح وتلذَّذ فلم يُقبل، ولو مكث على ذلك أربعين سنة

“Adapun sekiranya seseorang itu (setelah melakukan ibadah) masih merasa seronok dengan dosa, ketahuilah bahawa ia adalah (tanda-tanda) amalan tidak diterima sekalipun dia melakukan amal kebajikan selama 40 tahun.” (Ibn al-Qayyim, Madarij al-Salikin)

Dengan sebab itu al-Imam al-Hasan al-Basri menegaskan:

فإذا قبل اللهُ العبدَ فإنه يُوفِّقه إلى الطاعة، ويَصْرفه عن المعصية

“Sekiranya Allah menerima amalan seseorang, maka dia akan membimbingnya untuk melakukan ketaatan yang seterusnya dan memalingkan hambaNya dari maksiat.”

3. Kedua: Amal kebaikannya seharusnya menghasilkan kebaikan yang lain. Dalam perihal ini al-Imam al-Hasan al-Basri berkata:

إنَّ مِن جزاءِ الحسَنةِ الحسَنة بَعْدَها، ومِن عقوبةِ السيئةِ السيئةُ بعدها

“Salah satu pulangan amal soleh adalah, ia menghasilkan amal soleh yang lain. Dan sekiranya dia melakukan kejahatan, kejahatan tersebut akan menghasilkan kejahatan yang seterusnya.

Malah al-Hasan mengingatkan kita bahawa: “Sekiranya kebaikanmu tidak memberikan pertambahan (amal), maka di situ pasti ada kekurangan (kesempurnaan amalan tersebut).

4. Ketiga, Istiqamah dengan Amal Soleh. al-Imam Ibn Kathir menyebut: Sesungguhnya telah menjadi fitrah manusia di mana Allah akan mencabut nyawa seseorang itu dengan amal yang dilakukan secara konsisten. Sekiranya seseorang konsisten melakukan kebaikan, maka dia akan mati dalam kebaikan. Sekiranya seseorang konsisten dengan kemungkaran, maka dibimbangi dia akan mati dengan perbuatan yang telah biasa dia lakukan.

Dengan sebab itu al-Bukhari merekodkan satu insiden yang menarik. Seorang sahabat telah meninggal ketika menunaikan haji. Ketika meninggal, dia masih berpakaian ihram. Lalu Rasulullah meminta para sahabat mengkafankan beliau dengan pakaian ibadah tersebut. Sabda Rasulullah:

كفِّنوه بثوبيه؛ فإنه يُبعَث يوم القيامة ملبِّيًا

Kafankan beliau dengan pakaiannya, sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan bertalbiyyah (lafaz talbiah Haji yang memuji Allah).

Moga Allah menganugerahkan kita pengakhiran yang baik.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Puasa Enam Menampung Kekurangan
===========
1. Antara hikmah disyariatkan puasa enam ialah supaya amalan sunat ini membantu menampung kekurangan yang berlaku dalam ibadah fardu puasa ramadan. Mereka yang berpandangan sebegini merujuk kepada hadis yang menyebutkan tentang kekurangan solat fardu akan ditampung dengan amalan solat sunat. Rasulullah bersabda:

إن أول ما يحاسب الناس به يوم القيامة من أعمالهم الصلاة قال يقول ربنا جل وعز لملائكته وهو أعلم انظروا في صلاة عبدي أتمها أم نقصها فإن كانت تامة كتبت تامة وإن انتقص منها شيئا قال انظروا هل لعبدي من تطوع فإن كان له تطوع قال أتموا لعبدي فريضته من تطوعه ثم تؤخذ الأعمال على ذاكم

“Perkara pertama yang akan dihitung oleh Allah pada hari kiamat nanti adalah solat. Allah berkata kepada malaikat: Perhatikan solat hambaku, apakah ianya sempurna atau ada kekurangan. Sekiranya solatnya sempurna, maka tuliskan baginya pahala yang sempurna. Namun sekiranya ada kekurangan, maka lihatlah andai sekiranya hambaku ada menunaikan solat sunat. Sekiranya dia menunaikan slat sunat, maka sempurnakannya pahala solat fardunya itu tadi dengan pahala solat sunat kemudian ambillah pahala amalan tersebut dan berikanlah ganjaran. (HR Abu Daud)

2. Selain itu, puasa enam turut dikatakan memiliki pahala amalan setahun. Ini berdasarkan hadis Nabi yang menyebutkan:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim)

3. Para sarjana hadis menjelaskan bahawa setiap amalan manusia akan dilipatkali-gandakan menjadi 10 pahala. Ini berdasarkan hadis yang menyebutkan:

جعل الله الحسنة بعشر أمثالها فشهر بعشرة أشهر وصيام ستة أيام تمام السنة

“Allah menjadikan setiap kebaikan dengan sepuluh kaliganda ganjaran. Maka puasa sebulan itu (sekiranya digandakan sepuluh akan bersamaan) puasa 10 bulan, dan puasa enam akan melengkapkan bilangan puasa seperti puasa setahun.” (HR al-Nasa’i)

4. Lalu andai kita mempunyai kesempatan, marilah berusaha menunaikan ibadah puasa enam.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Kelesuan & Hilang Semangat Dalam Ibadah
=========
1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah pernah mengingatkan kepada kita bahawa akan ada satu ketika, manusia berasa lemah dan lesu setelah lama mengabdikan diri kepada Allah. Semangat mereka semakin pudar sekalipun telah lama beribadah kepada Allah. Ia seakan kelesuan yang berlaku setelah Ramadan. Dalam sabdanya, Rasulullah mengingatkan kita:

إنَّ لِكُلِّ عملٍ شِرَّةً ، ولِكُلِّ شِرَّةٍ فترة ، فمنْ كان فترتُهُ إلى سنتي فقدِ اهتدى، ومَنْ كانَتْ إِلى غيرِ ذَلِكَ فقدْ هَلَكَ

“Sesungguhnya setiap amalan ada waktu shirrah (kuat keinginan dan bertenaga), dan setiap waktu shirrah ada waktu fatrah (lemah dan lesu). Maka, barangsiapa yang dalam tempoh lesu amalannya itu dia masih kekal dalam sunnahku, maka dia berada di atas petunjuk, dan sesiapa yang dalam tempoh lesunya itu mengikut (melakukan) selain (sunnah) itu, maka dia akan binasa.” (HR Ahmad, dinilai Sahih oleh al-Arna’ut)

2. Perhatikan disini bagaimana Rasulullah memahami tabiat jiwa manusia. Renungkan kembali bagaimana kesungguhan dan tenaga manusia beribadah dalam bulan Ramadan. Solat sunat dan puasa mereka dilakukan dengan konsisten. Namun, setelah berlalunya Ramadan, semangat itu semakin pudar dan kelesuan menyelubungi jiwa.

3. Titik kelesuan inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis. Lalu Rasulullah berpesan agar kita kekal dalam sunnahnya dan jangan melakukan dosa atau maksiat yang bercanggah dengan Islam. Jangan pula seusai Ramadan, manusia kembali kepada maksiat.

4. Dalam menghadapi situasi ini, Saidina Ali pernah berpesan:

إن النفس لها إقبال وإدبار، فإذا أقبلت فخذها بالعزيمة والعبادة، وإذا أدبرت فأقصرها على الفرائض والواجبات

“Sesungguhnya jiwa manusia ini bersifat bolak-balik (sekejap menghadap ke hadapan, seketika menghadap ke belakang). Maka ketika jiwa menghadap ke hadapan (iaitu sedang bertenaga), maka ambillah peluang ini dengan penuh kesungguhan dan beribadah (azimah). Namun sekiranya jiwa mula lesu, maka kekal dan kukuhlah atas amalan yang fardu dan wajib (jangan sampai tinggal perkara yang wajib).

5. Begitu juga dari aspek dakwah. Adakalanya jiwa manusia bersemangat mengajak dan menyeru kepada kebaikan. Namun akan datang satu tempoh (futur) dimana mereka merasa penat dalam perjuangan ini.

6. Maka tempoh kelesuan ini amalkanlah doa yang pernah dipatrikan oleh Allah dalam al-Quran:

رَبَّنَا لا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

“"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri hidayah petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
PENGUMUMAN PEMENANG CABARAN RAIKAN RAMADAN
========================================

Saat yang ditunggu-tunggu akan tiba 🤩 Nak tau siapakah PEMENANG bertuah untuk kontes "Cabaran Raikan Ramadan"

Jom ramai - ramai untuk tonton [LIVE] kita pada
🗓 Tarikh: 19 April 2024 (Jumaat)
🕙 Jam: 10 Pagi
📱Live di Tiktok @yayasanmaghfirahofficial
https://www.tiktok.com/@yayasanmaghfirahofficial...

Bukan itu sahaja, sempena bulan Syawal ini, YM juga nak berkongsi rezeki DUIT RAYA 💵 💵 dengan penonton yang bertuah pada sesi live nanti 🥳 🥳
Jadi tunggu apa lagi! simpan posting ni dan share pada kawan - kawan semua

Ikuti Telegram Yayasan Maghfirah untuk info yang bermanfaat klik: https://t.me/yayasanmaghfirah

"Wadah Dakwah Anda"
#YayasanMaghfirah
#WadahDakwahAnda
#YM
Menyesal Tidak Melakukan Kebaikan
========
1. Dalam al-Quran, Allah memberikan bayangan kepada kita tentang golongan kafir yang dimasukkan ke dalam neraka. Mereka merayu kepada Allah agar diberikan peluang kedua untuk melakukan kebaikan.

2. Ayat ini memberikan kepada kita satu peringatan agar tidak bertanggguh dalam melakukan kebaikan. Kita bimbang andai sekiranya kita terlepas satu amal soleh yang sepatutnya boleh kita lakukan, namun disebabkan sifat bertangguh, kita terlepas dari melakukannya.

3. Ayat ini juga mengingatkan kita agar memanfaatkan usia yang dikurniakan kepada kita. Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللَّهِ! أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ؟ قَالَ: "مَنْ طَالَ عُمُرُهُ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ" قَالَ: "فَأَيُّ النَّاسِ شَرٌّ؟" قَالَ: "مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ"

“Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik? Rasulullah lalu menjawab: Mereka yang dipanjangkan umur dan (semakin) baik amal (soleh) mereka. Lalu lelaki itu bertanya lagi: Siapa pula manusia yang teruk? Rasulullah menjawab: Mereka yang dipanjangkan usianya, (tetapi semakin) buruk amalan mereka. (Sunan al-Tirmizi, dinilai Hasan Sahih)

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
DAURAH RIYADUS SALIHIN FASA 5 ANJURAN ULUM HADITH RESEARCH CENTRE

1.📅 Jangan lepaskan peluang unik untuk menyertai Daurah Riyadus Salihin 2024-2025 yang bermula pada 2 Mei 2024!

2.💼 Pendaftaran terbuka selama 10 bulan, dari Mei 2024 hingga Februari 2025, memberikan anda peluang untuk mempelajari kitab Riyadus Salihin.

3.🕘 Setiap minggu, pada malam Khamis malam Jumaat, jam 9.15 hingga 10.15 malam, sedia untuk merentas pengalaman pembelajaran yang unik dan bermakna.

4.💰 Yuran pendaftaran yang fleksibel: Hanya RM 50 sebulan, atau nikmati diskaun istimewa RM 100 dengan bayaran sekaligus RM 400 untuk 10 bulan. Pembayaran boleh dibuat di akaun Bank Islam 05058010028832
ULUM HADITH RESEARCH CENTER.

5.🌐 Akses pembelajaran yang mudah melalui platform Zoom, membolehkan anda menyertainya di keselesaan rumah anda sendiri. Sertai kami dalam perjalanan untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman anda dalam kehidupan rohani dimulakan dengan bab kelebihan zuhud terhadap dunia!

Pendaftaran boleh isi form di bawah :
https://forms.gle/PaZ6CtRCWpruRiP7A

Sebarang persoalan boleh hubungi 0182309851 - Ibn Ramzi
Lagi buat Maksiat, Lagi Kaya
=======
1. Dalam al-Quran Allah menceritakan bagaimana sebahagian manusia diuji dengan kemewahan. Apabila mereka lupa akan peringatan yang telah disampaikan kepada mereka, Allah memberikan kepada mereka kemewahan yang lebih sehingga mereka lalai. Lalu dikenakan azab kepada mereka, firman Allah:

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).”

2. al-Imam Ibn Kathir menjelaskan fenomena ini sebagai istidraj iaitu kemewahan yang dilimpahkan kepada mereka sekalipun mereka berpaling dari perintah Allah. Kata Ibn Kathir:

فتحنا عليهم أبواب الرزق من كل ما يختارون ، وهذا استدراج منه تعالى

“Iaitu kami limpahkan kemewahan kepada mereka dengan pelbagai pintu rezeki yang mereka pilih, dan ini ialah istidraj dari Allah.”

3. Dengan sebab itu Rasulullah pernah mengingatkan:

إذا رأيت الله يعطي العبد من الدنيا على معاصيه ما يحب ، فإنما هو استدراج

“Sekiranya engkau melihat sekiranya Allah memberikan seorang hambanya itu segala nikmat dari dunia dengan maksiat yang dia lakukan, maka sesungguhnya itu adalah istidraj.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi