Dr. Ahmad Sanusi Azmi
45.8K subscribers
1.61K photos
87 videos
2 files
1.4K links
Telegram rasmi Dr. Ahmad Sanusi Azmi.
Download Telegram
Anehnya Doa Hari Arafah
=======
1. Kemuncak haji ialah Arafah. Baginda mendidik kita untuk memperbanyakkan berdoa dan Baginda mengajarkan doa yang spesifik pada hari Arafah. Sabda Rasulullah:

: خير الدعاء دعاء يوم عرفة، وخير ما قلت أنا والنبيون من قبلي لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. Dan sebaik-baik lafaz yang aku dan juga para Nabi yang terdahulu sebelumku ucapkan ialah:

لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير

2. Perhatikan hadis ini. Setelah Rasulullah menyuruh kita berdoa pada hari Arafah, Baginda mengajarkan satu doa yang berbentuk zikir. Lafaz doa tersebut seolah-olah tidak mempunyai lafaz permohonan atau permintaan seperti Allahumma atau Ya Allah.

3. Menurut Dr Khalid Sabt, doa yang dilafazkan oleh Baginda Nabi itu merupakan satu lafaz mukaddimah doa yang menjemput keredhaan Allah sekaligus Allah memperkenankan doa para hambanya.

4. Ulasan Dr Khaled ini tidak jauh dengan doa Nabi Yunus yang hanya berbentuk zikir, tetapi ia menjemput kemakbulan doa seseorang. Rasulullah memuji doa Nabi Yunus ini yang direkodkan di dalam al-Quran dengan lafaz:

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

5. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Rasulullah ﷺ berpesan bahawa sesiapa yang berdoa dengan doa Nabi Yunus ini, maka Allah akan memperkenankan doa mereka. Sabda Rasulullah:

فإنه لم يدع بها مسلم ربه في شيء قط إلا استجاب له

“Sesungguhnya tidak ada muslim yang berdoa dengannya untuk apa saja (hajatnya), melainkan akan dimakbulkan Allah doanya itu.” (HR Ahmad, dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir)

6. Oleh yang demikian, para jemaah haji yang berada di Arafah adalah digalakan untuk memperbanyakkan zikir ini dan tidak berhenti berdoa terus menerus.

7. Saidina Usamah menceritakan bagaimana ketika Nabi berdoa di atas untanya, tiba-tiba unta tersebut bergerak dan tidak duduk diam. Lantas Baginda memegang tali unta tersebut dengan sebelah tangan sedangkan tangan Baginda yang sebelah lagi kekal diangkat untuk berdoa. Perhatikan bagaimana dalam situasi cemas pun Baginda tetap berdoa dengan sebelah tangan Baginda yang mulia.

Moga Allah mengampunkan kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Nabi Ibrahim Sebagai Seorang Ayah
=====
1. Sedar atau tidak, ibadah korban yang dilaksanakan oleh kaum Muslimin pada hari ini mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan Sirah Nabi Ibrahim.

2. Peranan seorang ayah (iaitu Nabi Ibrahim) dalam menyantuni anaknya (Nabi Ismail) ketika perintah ini berlangsung sangat penting untuk direnungi oleh setiap ayah. Antaranya ialah:

(a) Nabi Ibrahim sebagai seorang ayah sentiasa berdoa buat keluarganya. Salah satu doa Baginda yang popular ialah doa agar dikurniakan anak yang soleh. Inilah yang perlu dilakukan oleh setiap ayah pada hari ini. Nabi Ibrahim berdoa:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" (Surah al-Saffat: 100)

(b) Bukan sekadar berdoa agar dikurniakan anak yang soleh, Nabi Ibrahim turut mengajak anaknya untuk melakukan ibadah bersama. Inilah yang perlu dilaksanakan oleh setiap ayah pada hari ini, mengajak anak-anak mereka melaksanakan ibadah bersama. Nabi Ibrahim mengajak Nabi Ismail membina Baitullah iaitu Kaabah. Firman Allah:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah al-Baqarah: 127)

(c) Nabi Ibrahim turut dilihat kerap berdialog dengan anak Baginda. Dalam perintah korban, Nabi Ibrahim bertanya pandangan anaknya Nabi Ismail, begitu juga dalam urusan hubungan suami isteri, Nabi Ibrahim turut pernah menasihati Nabi Ismail.

(c.1) Ketika perintah korban diturunkan, Nabi Ibrahim tetap memulakan perbincangan bersama anaknya sekalipun perintah itu pada hakikatnya merupakan arahan dari Allah. Begitulah seorang ayah, perlu banyak berbicara dan berbincang dengan anaknya. Masa bersembang dengan anak perlu lebih banyak dari masa melihat telefon.

(d) Nabi Ibrahim juga merupakan seorang ayah yang penyayang. Sifat penyayang Nabi Ibrahim terzahir apabila Baginda berusaha mendoakan buat ayah (atau pakcik) Baginda agar diberikan keampunan oleh Allah. Lalu Allah memuji sifatnya Baginda dalam firmanNya:

إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ لَأَوَّٰهٌ حَلِيمٌ

Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar. (Surah al-Taubah: 114)

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Kesukaran Dalam Ibadah Adalah Kelebihan
=====
1. Salah satu cabaran yang dihadapi oleh para jemaah haji pada musim ini ialah mengharungi cuaca yang panas melampau. Terdapat jemaah yang terkorban disebabkan cuaca ekstrem sebegini.

2. Kesukaran dalam beribadah mempunyai kelebihan tertentu. Rasulullah pernah berpesan kepada Saidatina Aisyah bahawa ganjaran yang akan diperolehi oleh seseorang dalam ibadahnya akan meningkat dengan kesukaran yang dilalui. Sabda Baginda:

إن لك من الأجر على قدر نصبك ونفقتك

"Sesungguhnya bagimu ganjaran atas kadar kesukaran dan nafkah yang kamu keluarkan. (HR al-Hakim)

3. Ungkapan ini dikeluarkan oleh Baginda Nabi setelah melihat dan mendengar aduan yang diluahkan oleh Aisyah. Ketika sampai ke Mekah , Aisyah telah datang bulan sehingga menyebabkan beliau tidak dapat menunaikan tawaf. Rentetan aduan tersebut Baginda menenangkan Aisyah.

4. Ketika menghuraikan hadis inj, al-Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa kadar pahala akan meningkat dengan kesusahan yang dialami. Kata al-Nawawi:

هَذَا ظَاهِر فِي أَنَّ الثَّوَاب وَالْفَضْل فِي الْعِبَادَة يَكْثُر بِكَثْرَةِ النَّصَب وَالنَّفَقَة

Ini adalah jelas bahawa sesungguhnya pahala dan kelebihan dalam ibadah akan bertambah dengan bertambahnya kesukaran dan perbelanjaan. (Syarah Muslim)

5. Begitu juga al-Imam al-Zarkasyi menjelaskan:

العمل كلما كثر وشق كان أفضل مما ليس كذلك

Amalan itu apabila semakin bertambah dan menjadi sukar, maka ia adalah lebih baik daripada yang selain sepertinya.

6. Oleh yang demikian, para tetamu Allah yang sedang mengharungi pelbagai kesukaran di tanah suci hendaklah membulatkan tekad, terus melakukan amal soleh.

Semoga Allah membimbing kita

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Tasbih Itu Melerai Kekusutan
=====
1. Sungguh luar biasa kelebihan tasbih. Dalam al-Quran, Allah membayangkan ucapan tasbih mempunyai kekuatan tersendiri termasuklah meleraikan segala kesedihan, kesusahan dan kekusutan.

2. Sebagai contoh, ketika Nabi Yunus ditelan oleh ikan, saat Baginda dilanda kekusutan akibat ditolak oleh kaumnya, Baginda telah menjadikan tasbih sebagai kelaziman buat dirinya yang akhirnya mengeluarkan Baginda dari kesusahan tersebut. Firman Allah:

فَلَوۡلَاۤ أَنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلۡمُسَبِّحِینَ

"Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), Tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. (Surah al-Saffat)

3. Perhatikan bagaimana Allah menyebut tentang sifat Nabi Yunus yang tergolong dari golongan yang sentiasa bertasbih menyebabkan Baginda terselamat dari ditelan kekusutan tersebut.

4. Situasi yang sama berlaku saat Nabi Musa dilanda kesusahan dalam memikul beban dakwah, Baginda memohon kepada Allah agar diberikan kemudahan dan kelapangan urusan untuk bertasbih kepada Allah. Firman Allah:

كَیۡ نُسَبِّحَكَ كَثِیرࣰا

Supaya kami sentiasa bertasbih beribadat dan memujiMu (Surah Taha)

5. Begitu jugalah saat Rasulullah dilanda kesedihan sehingga sempit dada Baginda dalam menempuh ujian dakwah, Allah perintahkan Rasulullah agar memperbanyakkan tasbih kepada Allah. Firman Allah:

ولَقَدْ نَعْلَمُ أنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِما يَقُولُونَ﴾﴿فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وكُنْ مِنَ السّاجِدِينَ

Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud. (Surah al-Nahl)

6. Ayat-ayat Allah jelas menunjukkan tasbih itu melerai kekusutan, memudahkan urusan serta melapangkan jiwa. Perbanyakkan bertasbih dengan lafaz yang diajarkan di dalam al-Quran dan hadis Nabi.

Semoga Allah membimbing kita

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Salam Jumaat yang penuh berkat.

" Kami memerlukan bantuan dana kewangan dari Tuan Puan untuk menampung kos perjalanan kelas mengaji kami untuk anak-anak B40 dapat menikmati pendidikan agama ini dengan kos yang tidak membebankan keluarga mereka.

Kos setiap bulan kami yang hampir mencecah lapan ribu ringgit ( RM8,000 ) dengan pelajar di dalam senarai kami sudah melebihi seratus orang, kami memerlukan bantuan dari kos pembayaran sewa bangunan, elektrik, air, kos operasi dan lain lain semata-mata untuk memberi khidmat pendidikan Al Quran secara sangat murah kepada golongan yang kurang kemampuan ini.

Semoga Allah SWT mengganjari Tuan Puan dengan pahala yang besar dan berganda diatas infaq dan sedekah di hari Jumaat ini 😌

Pertubuhan Pusat Komuniti Anjung Hikmah

5551 0833 8452

Maybank



Tel: +6 010 343 2515 - Pegawai Dakwah Anjung Hikmah

Lokasi kami : https://waze.com/ul/hw22ruws3h
Khatam al-Quran di Mekah
=====
1. Bagi jemaah haji yang mempunyai masa yang lapang, cubalah sedaya upaya untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran ketika berada di Mekah. Ia merupakan salah satu tradisi yang disukai oleh para salafussoleh terdahulu.

2. Ibrahim al-Nakha’i menceritakan bahawa:

كانوا يحبون إذا دخلوا مكة أن لا يخرجوا حتى يختموا القرآن

“Mereka (para salaf terdahulu), sangat suka sekiranya mereka masuk ke Mekah, mereka tidak akan keluar ke Mekah melainkan setelah mereka mengkhatamkan al-Quran. (Musannaf Ibn Abi Syaibah)

3. Tradisi ini dilakukan oleh para salafussoleh terdahulu ketika mereka menunaikan haji atau umrah mereka. Kata al-Hasan:

كان يعجبهم إذا قدموا مكة لحج أو عمرة ألا يخرجوا حتى يقرءوا ما معهم من القرآن

“Mereka sangat teruja sekiranya mereka sampai ke Mekah untuk menunaikan haji atau umrah, di mana mereka tidak keluar dari Mekah melainkan setelah membaca apa yang ada (hafal) dari al-Quran mereka.” (Musannaf Ibn Abi Syaibah)

4. Abi Makhlad pula menceritakan bahawa mereka seronok untuk menghabiskan masa dengan al-Quran di Masjidil Haram atau Masjid Nabi. Kata beliau:

كان يحب أو يستحب إذا قدم شيئا من هذه المساجد أن لا يخرج حتى يقرأ القرآن ، بالمسجد الحرام ومسجد المدينة ومسجد بيت المقدس

“Sesungguhnya dia suka atau menggalakkan (seseorang) sekiranya dia sampai ke salah satu masjid ini, dia tidak keluar melainkan setelah membaca al-Quran. Iaitu Masjidil Haram, atau Masjid Madinah atau Masjidil Aqsa.

5. Ini kerana bumi Mekah ini merupakan tanah yang sangat kuat hubungannya dengan al-Quran. Mekah merupakan pusat wahyu pertama umat Muhammad. Terdapat banyak kawasan yang dilalui oleh kita pada hari ini merupakan tempat penurunan wahyu suatu ketika dahulu.

6. Oleh yang demikian, para jemaah yang berkelapangan, mempunyai banyak masa di hotel, adalah disarankan untuk memperbanyakkan masa di Masjidil Haram, menekuni al-Quran seperti yang dilakukan oleh generasi salaf terdahulu.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Galakan Berkahwin & Mendapat Anak
=====
1. Rasulullah sangat menggalakkan umatnya agar berkahwin dan mendapatkan anak. Perkara ini jelas dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Anas yang menyebutkan:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُ بِالْبَاءَةِ، وَيَنْهَى عَنِ التَّبَتُّلِ نَهْيًا شَدِيدًا، وَيَقُولُ: (تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ، إِنِّي مُكَاثِرٌ الْأَنْبِيَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ)

“Sesungguhnya Rasulullah menggalakkan kita berkahwin dan sangat melarang kita dari al-tabattul (iaitu tidak berkahwin semata-mata untuk beribadah). Kemudian Baginda bersabda: Berkahwinlah dengan wanita yang penyayang dan yang mampu melahirkan ramai anak. Sesungguhnya aku berbangga menjadi Nabi yang ramai umat pada hari kiamat kelak. (HR Ahmad)

2. Lebih menarik lagi, Rasulullah pernah menolak permintaan sahabat yang ingin berkahwin dengan wanita yang tidak boleh melahirkan anak. Perkara ini diceritakan oleh Saidina Ma’qil bin Yasar yang menyebutkan:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ، وَإِنَّهَا لَا تَلِدُ، أَفَأَتَزَوَّجُهَا؟ قَالَ: لَا، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ، فَقَالَ: تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ

“Seorang lelaki datang menemui Rasulullah dan berkata: Aku telah bertemu dengan wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan, namun dia tidak boleh melahirkan anak. Apakah boleh aku berkahwin dengannya. Baginda menjawab: Tidak. Lelaki itu datang merayu kali yang kedua, Baginda tetap melarangnya. Lelaki itu datang lagi kali yang ketiga, lantas Rasulullah bersabda: Berkahwinlah dengan wanita yang penyayang dan mampu melahirkan ramai anak. Sesungguhnya aku berbangga dengan umat yang ramai pada hari kiamat.” (HR Abu Daud)

3. Berkahwin dan mendapatkan anak adalah fitrah para Nabi. Allah mengutuskan para Nabi terdahulu bersama dengan isteri dan anak-anak mereka. Ini adalah selari dengan kehendak manusia yang melihat contoh dari para Nabi sendiri. Firman Allah:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِنْ قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.” (Surah al-Ra’d: 38)

4. Malah Nabi Ibrahim, bapa kepada para Nabi bersungguh berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak. Firman Allah:

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ الصَّالِحِينَ

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang yang soleh!" (Surah al-Saffat)

5. Berkempen untuk berkahwin dengan tidak menginginkan anak adalah bercanggah dengan teras dan nilai Islam. Tidak mengapa untuk merancang keluarga, tetapi tindakan berkempen untuk menolak pemberian Allah adalah sesuatu yang bercanggah dengan fitrah dan sunnah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Forwarded from Dunia Palestin 🇵🇸
𝗪𝗘𝗕𝗜𝗡𝗔𝗥 𝗣𝗔𝗟𝗘𝗦𝗧𝗜𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚-𝗨𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚 𝗔𝗡𝗧𝗔𝗥𝗔𝗕𝗔𝗡𝗚𝗦𝗔

Jenayah perang penjajah Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober telah memasuki bulan ke-10. Pelbagai usaha untuk mendakwa dan membawa Israel ke muka pengadilan di peringkat antarabangsa telah dibuat oleh beberapa negara serta para aktivis di seluruh dunia.

Apakah prosedur yang sedang berlaku di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam isu Palestin dan Israel?

Mampukah dua badan ini membela nasib rakyat Palestin dari sudut undang-undang antarabangsa?

Dunia Palestin membawakan Tuan Lukman Sheriff Alias, seorang peguam kanan yang merupakan Ketua Delegasi Peguam MyAQSA ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menerangkan situasi sebenar dan terkini yang berlaku di peringkat antarabangsa.

Beliau telah terlibat secara langsung memantau dan bertindak dalam isu perundangan Palestin dan Israel sejak beberapa tahun yang lalu, dan telah memfailkan petisyen jenayah perang terhadap Netanyahu kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa bersama MyAQSA.

Tarikh: 13 Julai 2024 | Sabtu
Masa: 9.15 malam - 10.30 malam
Medium: Google Meet

Pembentang:

𝗟𝘂𝗸𝗺𝗮𝗻 𝗦𝗵𝗲𝗿𝗶𝗳𝗳 𝗔𝗹𝗶𝗮𝘀
- Pengerusi Bersama Pasukan Undang-Undang Yayasan MyAQSA
- Ketua Delegasi Peguam MyAQSA ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa

𝗜𝗦𝗧𝗜𝗠𝗘𝗪𝗔!
Sesi soal jawab di penghujung.

𝗗𝗮𝗳𝘁𝗮𝗿 𝘀𝗲𝗴𝗲𝗿𝗮 𝗱𝗶 𝘀𝗶𝗻𝗶:
bit.ly/duniapalestin011

𝗗𝘂𝗻𝗶𝗮 𝗣𝗮𝗹𝗲𝘀𝘁𝗶𝗻 🇵🇸
t.me/duniapalestin
Allah Gantikan Dengan Yang Lebih Baik
========
1. Setiap langkah yang kita lakukan kerana Allah, Allah akan memberikan ganjaran yang setimpal dengannya. Andai kita melakukan atau meninggalkan sesuatu semata-mata untuk mencari keredaan Allah, maka Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik darinya. Sabda Rasulullah:

إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا لِلَّهِ إِلَّا بَدَّلَكَ اللهُ بِهِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكَ مِنْهُ

“Sesungguhnya tidaklah kamu meninggalkan sesuatu kerana Allah melainkan Allah akan menggantikan buatmu dengan sesuatu yang lebih baik darinya. (HR Ahmad)

2. Perhatikan bagaimana kaum Muhajirin yang meninggalkan aset, rumah serta harta-harta mereka semata-mata untuk berhijrah ke Madinah kerana Allah, maka Allah memberikan gantian yang lebih baik buat mereka. Mereka bukan sekadar mendiami Madinah bahkan setelah itu menjadi gabenor dan pemerintah ke atas sebahagian besar dari wilayah timur tengah termasuklah bekas jajahan Rom dan Parsi.

3. Begitu juga dengan Nabi Sulaiman yang dikatakan menyembelih kuda-kuda kegemarannya yang membuatkan dirinya terleka seketika dari mengingati solat. Lalu Baginda menyembelih kuda-kuda tersebut kerana Allah. Maka Allah gantikan dengan angin yang bergerak mengikut perintahnya. (Tafsir Ibn Kathir: Surah Sad: 33)

4. Begitulah Allah menggantikan kehilangan kita dengan sesuatu yang lebih baik atas kehendakNya andai kita bersabar dan mentaati perintahNya. Malah dalam Surah al-Kahfi yang kita sering baca, Allah menceritakan kisah kematian anak yang mana selepas dari itu Allah menggantikan dengan yang lebih baik buat ibubapanya. Firman Allah:

فَأَرَدْنَا أَن يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِّنْهُ زَكَاةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا

“Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.” (Surah al-Kahf: 81)

5. Oleh yang demikian, yakinlah dengan ketentuan Allah. Kehilangan sesuatu atau meninggalkan sesuatu semata-mata untuk mencapai keredaan Allah adalah tindakan terpuji. Malah Allah berupaya menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik buat kita.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi