Dr. Ahmad Sanusi Azmi
45.8K subscribers
1.61K photos
87 videos
2 files
1.4K links
Telegram rasmi Dr. Ahmad Sanusi Azmi.
Download Telegram
Mengapa Tiada al-Bukhari Dalam Muslim
=====
1. Dalam forum semalam, sempat juga diteliti beberapa persoalan mengenai mengapa al-Imam Muslim tidak meriwayatkan di dalam kitab Sahihnya hadis-hadis yang dipelajari dari gurunya iaitu al-Imam al-Bukhari.

2. Terdapat beberapa pandangan mengenai perkara ini. Pertama, terdapat kebarangkalian bahawa al-Imam Muslim hanya mengambil hadis dari al-Bukhari dalam keadaan beliau sudah pun memulakan proses mengarang kitab Sahihnya.

2.1 Menurut al-Imam al-Zahabi, Muslim mengambil masa 15 tahun untuk menyempurnakan penulisan Sahihnya dan beliau meninggal pada tahun 261H. Sedangkan menurut al-Hakim, al-Bukhari pula hanya datang ke Naisabur sekitar tahun 250H. Jika dianggarkan Muslim menyiapkan Sahihnya pada tahun 260H (setahun sebelum beliau meninggal), ini bererti beliau telah memulakan penulisan Sahihnya 5 tahun lebih awal sebelum al-Bukhari datang ke Naisabur.

3. Kedua, terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa Muslim sangat mementingkan konsep Uluw al-Isnad (kategori sanad yang tinggi). Meriwayatkan hadis dari al-Bukhari akan menjadikan sanad beliau lebih rendah dengan pertambahan seorang lagi perawi iaitu al-Bukhari sendiri, sedangkan beliau sendiri berkongsi guru dengan al-Bukhari. Antara guru-guru al-Imam al-Bukhari yang pernah ditemui oleh Muslim adalah seperti Yahya bin Yahya, Ali ibn al-Madini, Ishaq bin Rahweih, Qutaibah bin Said dan Ahmad bin Hanbal.

4. Ketiga, ada juga yang berpandangan bahawa Muslim tidak meriwayatkan hadis dari al-Bukhari adalah kerana krisis yang berlaku di antara kedua orang guru beliau iaitu Muhammad bin Yahya al-Zuhli dan al-Bukhari dalam isu berkaitan al-Quran. Kedua mereka adalah guru kepada Muslim lalu bagi menjaga kedua belah pihak, Muslim tidak meriwayatkan dari al-Bukhari.

5. Keempat, ada juga yang berpandangan bahawa Muslim meninggalkan hadis al-Bukhari kerana syarat al-luqya (pengesahan bahawa perawi saling bertemu). Ini dapat difahami dari kata-kata al-Zahabi dalam menghuraikan persoalan mengapa al-Bukhari tidak disebutkan di dalam kitab Muslim. Dalam perihal hadis yang diriwayatkan melalui kaedah ‘An’anah, al-Bukhari mensyaratkan thubut al-liqa sedangkan Muslim memadai dengan al-mu’asarah.

6. Apa pun bacaan para ulama mengenai perkara ini, Sahih Muslim merupakan pelengkap kepada Sahih al-Bukhari. Terdapat beberapa hadis yang tidak disebutkan oleh al-Bukhari tetapi dinukilkan oleh Muslim termasuklah hadis Jibril yang bertemu lutut dengan Rasulullah yang kita temui di dalam hadis 40 oleh al-Imam al-Nawawi.

7. al-Imam Muslim benar-benar menghabiskan usianya dengan berkhidmat untuk hadis sehingga beliau dikatakan meninggal dunia dalam kesibukan mencari hadis yang ditanyakan kepada beliau seperti yang direkodkan oleh al-Khatib al-Baghdadi.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Meninggalkan Rasulullah Keseorangan
===========
1. Tatkala Rasulullah menyampaikan khutbah di Madinah, datanglah kafilah dagangan dari luar. Sebahagian mereka yang sedang mendengar khutbah tersebut tiba-tiba meninggalkan Rasulullah berdiri keseorangan kerana mengejar perdagangan dunia. Al-Quran merekodkan peristiwa ini di dalam firman Allah:
وَتَرَكُوكَ قَآئِماًۚ
“Dan mereka meninggalkan engkau berdiri keseorangan (wahai Muhammad).”

2. Lihatlah bagaimana dunia itu menggoda, sekalipun manusia berada di hadapan Nabi yang agung, mereka sendiri boleh terpesona dengan kilauan dunia sehingga meninggalkan Rasulullah berdiri keseorangan. Apakah kita akan meninggalkan ajaran Rasulullah hanya kerana habuan dunia? Apakah kita akan membiarkan Rasulullah dihina?

3. Ingatlah urusan dakwah tidak akan mengecewakan mukmin. Beberapa siri sirah membuktikan para ulama itu tidak jemu menyampaikan sekalipun mereka ditinggalkan manusia.

4. Ibn Asakir menukilkan bahawa Ata’ Ibn Rabah adalah seorang manusia yang sangat redha. Beliau sentiasa menyampaikan pengajiannya sekalipun hanya dihadiri oleh tujuh atau lapan orang sahaja. Sedangkan keilmuannya adalah sesuatu yang tidak dinafikan. Kata seorang lelaki dari Bani Umayyah:

لا يفتي الناس في الحج غير عطاء
“Manusia tidak akan mengeluarkan fatwa berhubung haji sekiranya Ata’ ada.”

Kenyataan ini membuktikan tahap keilmuannya yang tinggi sehingga tiada siapa berani memberikan fatwa sekiranya Ata’ ibn Rabah ada. Namun, dalam menyampaikan dakwah, beliau tidak merasa jemu untuk meneruskan sekalipun hanya disahut oleh segelintir. (Tarikh Dimashq, Ibn Asakir)

5. Hanbal ibn Ishaq pula menceritakan bahawa al-Imam Ahmad ibn Hanbal menghabiskan proses pengajian kitab Musnadnya (secara imla’) hanya dengan tiga orang pelajar iaitu Hanbal, Soleh dan Abdullah. (Siyar A’lam al-Nubala’)

6. Begitulah lumrah dakwah. Seorang pendakwah akan diuji dengan dunia. Adakalanya dunia mengujinya dia melarikan mad’u (orang yang diseru) daripada mereka. Adakalanya dunia akan mengalihkan dirinya dari urusan dakwahnya.

Apakah kita akan meninggalkan Rasulullah berdiri keseorangan? Apakah kita akan meninggalkan dakwah Rasulullah kesepian?
Apakah kita akan membiarkan Rasulullah dihina bersendirian?

Moga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Forwarded from Dunia Palestin 🇵🇸
𝗥𝗔𝗞𝗔𝗠𝗔𝗡 𝗪𝗘𝗕𝗜𝗡𝗔𝗥 𝗙𝗔𝗟𝗦𝗔𝗙𝗔𝗛 𝗣𝗘𝗠𝗜𝗞𝗜𝗥𝗔𝗡 𝗬𝗔𝗛𝗨𝗗𝗜 𝗗𝗔𝗡 𝗭𝗜𝗢𝗡𝗜𝗦𝗠𝗘

Rakaman dan slide Webinar Falsafah Pemikiran Yahudi dan Zionisme anjuran Dunia Palestin kini sudah tersedia.

Dapatkan segera di sini:
bit.ly/duniapalestin008

========

Kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh Zionis melampaui batas kemanusiaan dan tidak boleh diterima oleh akal manusia yang bertamadun.

Bagaimanakah ideologi Zionisme ini membawa kepada penindasan yang cukup zalim di tanah Palestin dan menghuru-harakan dunia? Apakah perkaitan antara ekstrimisme Zionis ini dengan ajaran agama Yahudi?

Dengarkan pembentangan kajian mendalam mengenai isu ini untuk kita lebih memahami siapakah sebenarnya musuh seluruh kemanusiaan ini.
10 Amalan Menyelamatkan Kita Dari Neraka
=========
Berdasarkan hadis yang sahih, terdapat 10 amalan yang berupaya menjauhkan diri kita dari dibakar ke dalam api neraka yang sangat dahsyat. Amalan-amalan tersebut adalah:

1. Mengucapkan syahadah dengan penuh ikhlas. Ucapkanlah syahadah setiap hari dengan penuh ikhlas bahkan jadikanlah ia zikir harian kita kerana ia berupaya menjadi pendinding buat diri kita dari neraka Allah. Sabda Rasulullah:

مَا مِنْ أَحَدٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صِدْقًا مِنْ قَلْبِهِ إِلَّا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ

“Tidak ada seorang lelaki yang mengucap Lailaha illah wa anna muhammad Rasulullah dengan penuh ikhlas dan membenarkan dalam hatinya melainkan Allah akan mengharamkan ke atas dirinya neraha. (Sahih al-Bukhari)

2. Berakhlak mulia. Tuan-Puan yang dirahmati Allah, perbaikilah akhlak kita serta janganlah kita menyakiti yang lain. Kerana akhlak berupaya menjadi pendinding buat diri kita dari dibakar oleh neraka Allah. Sabda Rasulullah:

أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِمَنْ يَحْرُمُ عَلَى النَّارِ أَوْ بِمَنْ تَحْرُمُ عَلَيْهِ النَّارُ ؟ عَلَى كُلِّ قَرِيبٍ هَيِّنٍ سَهْلٍ

“Hendakkah kamu aku beritahu perkara yang menyebabkan dirimu diharamkan dari dibakar oleh neraka? Iaitu setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” (HR al-Tirmizi)

3. Melibatkan diri dalam perjuangan di jalan Allah. Mereka yang berjuang sehingga berdebu kakinya kerana mendaulatkan agama Allah, maka Allah akan mengharamkan dirinya dari dibakar neraka Allah:

مَنْ اغْبَرَّتْ قَدَمَاهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ

“Barangsiapa yang berdebu kakinya dalam jalan Allah, maka Allah mengharamkan dirinya dari neraka.” (Sahih al-Bukhari)

4. Sujud pada Allah dengan penuh penghayatan dan keinsafan. Sabda Rasulullah:

حَرَّمَ اللَّهُ عَلَى النَّارِ أَنْ تَأْكُلَ أَثَرَ السُّجُودِ

“Allah mengharamkan neraka dari membakar kesan sujud (atau solat yang sempurna). (Muttafaq Alaih)

5. Solat Sunat empat rakaat sebelum dan sesudah Zohor. Barangsiapa yang menjaga solat sunat 4 rakaat sebelum zohor dan sesudahnya, maka Allah akan menjaga dirinya dari neraka. Sabda Rasulullah:

مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ

“Barangsiapa yang menjaga (solat sunat) 4 rakaat sebelum zohor dan 4 rakaat selepasnya maka Allah akan mengharamkan dirinya dari neraka. (HR al-Tirmizi)

6. Mengesakan Allah sebelum saat kematian. Barangsiapa yang berupaya mengucapkan syahadah sebelum kematiannya, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka. Sabda Rasulullah:

مَنْ رُزِقَهُنَّ عِنْدَ مَوْتِهِ لَمْ تَمَسَّهُ النَّارُ

“Barangsiapa yang dikurniakan rezeki (untuk mengucapkan syahadah sebelum kematianya) maka jasadnya tidak akan disentuh api neraka.” (HR Ibn Majah)

7 & 8. Menangis kerana takutkan Allah atau berjaga malam dijalan Allah. Sabda Rasulullah:

عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ : عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ، وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga kerana menjaga perjuangan dijalan Allah.” (HR al-Tirmizi)

9. Tidak melihat perkara yang haram. Dalam riwayat al-Tabrani pula, ada lafaz yang menyebutkan bahawa mata yang tidak melihat perkara yang haramkan akan diselamatkan dari neraka Allah:

“Tiga mata yang tidak akan melihat neraka Allah: dan mata yang menunduk tidak melihat perkara yang diharamkan oleh Allah.” (HR al-Tabrani)

10. Bersabar atas kematian anak. Ini adalah salah satu amalan yang dikurniakan bagi orang-orang yang terpilih sahaja, iaitu mereka yang bersabar atas kematian anak, maka Allah mengharamkan buat dirinya neraka. Sabda Rasulullah:

“Seorang muslim yang meninggal dunia tiga orang anaknya, maka disentuh oleh api neraka, maka tidak ada baginya kecuali sambil lalu saja.” (HR Muslim)

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Hari Yang Lebih Baik Dari Jihad
===============
1. Esok lusa merupakan hari pertama bulan Zulhijjah. Tahukah anda bahawa 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad? Sabda Rasulullah:

مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامِ الْعَشْرِ أَفْضَلَ مِنَ الْعَمَلِ فِي هَذِهِ ‏”‌‏.‏ قَالُوا وَلاَ الْجِهَادُ قَالَ ‏”‏ وَلاَ الْجِهَادُ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَىْءٍ ‏”‌‏.‏

“Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih baik daripada amalan pada 10 hari ini. Para sahabat bertanya: Walaupun Jihad? Baginda menjawab: Tidak juga Jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi. (HR al-Bukhari)

2. Mengapa 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih baik dari Jihad? Menurut al-Imam Ibn Hajar:

والذي يظهر أن السبب في امتياز عشر ذي الحجة لمكان اجتماع أمهات العبادة فيه ، وهي الصلاة والصيام والصدقة والحج ، ولا يتأتى ذلك في غيره

“Secara zahirnya, sebab yang menjadikan 10 hari pertama Zulhijjah ini lebih utama dari yang lain kerana 10 hari ini menghimpunkan semua amalan utama di dalam Islam iaitu solat, puasa, sedeqah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain. (Fath al-Bari)

3. Dengan sebab itu Rasulullah mengangkat hari-hari ini sebagai hari yang paling baik dalam setahun. Sabda Rasulullah:

أَفْضَلُ أَيَّامِ الدُّنْيَا أَيَّامُ الْعَشْرِ

“Sebaik-baik hari dalam dunia ini adalah 10 hari ini.”

4. Sehingga atas dasar itu al-Imam Ibn Taimiyyah menganggap 10 hari pertama ini lebih utama dari 10 hari terakhir dari bulan Ramadan. Kata beliau:

أيام عشر ذي الحجة أفضل من أيام العشر من رمضان والليالي العشر الأواخر من رمضان أفضل من ليالي عشر ذي الحجة

Sepuluh hari awal Zulhijjah lebih afdal daripada sepuluh hari akhir Ramadhan, dan malam sepuluh akhir Ramadhan, lebih afdal daripada malam sepuluh awal Zulhijjah. [Majmu’ al-Fatawa, jilid 25, m/s 287]

5. Atas dasar itu Rasulullah meletakkan hari ini sebagai hari yang mesti dipertingkatkan amalan harian kita. Baginda melihatnya sebagai hari yang sangat dicintai oleh Allah. Sabda Rasulullah:

ما من أيام أعظم عند الله سبحانه ولا أحب إليه العمل فيهن من هذه الأيام العشر. فأكثروا فيهن من التهليل والتكبير والتحميد

“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan tidak ada hari yang lebih disayangi oleh Allah supaya kita beramal di dalamnya melainkan pada 10 hari ini. Maka perbanyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertahmid” (HR al-Tabrani)

Semoga Allah membimbing kita

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Empat Nasihat Buat Jemaah Haji
=====
1. Pertama, setiap jemaah haruslah memasakkan niat agar ibadah yang dilakukannya bukanlah kerana manusia. Rasulullah mendidik kita agar berdoa supaya ibadah haji yang kita laksanakan dijauhkan dari sifat riyak dan sum’ah. Sabda Rasulullah:

اللَّهُمَّ حَجَّةٌ لَا رِيَاءَ فِيهَا وَلَا سُمْعَةَ

Ya Allah, (jadikanlah haji ini) haji yang suci, tanpa riyak dan mencari kemasyhuran. (HR Ibn Majah)

1. 2. Amalan yang dimulakan dengan niat yang benar menjadikan kualiti amalan tersebut lebih bernilai di sisi Allah. Atas sebab itu al-Imam Abdullah bin Mubarak menyebutkan:

رُبَّ عملٍ صغير تعظمه النية، ورُبَّ عملٍ عظيم تحقره النية

“Barangkali amalan yang kecil menjadi besar ganjarannya disebabkan kerana niat, dan barangkali amalan yang hebat dinilai hina disebabkan kerana niat (yang salah).

2. Kedua, setiap jemaah haji wajib menjauhkan diri mereka dari sebarang perkara maksiat. Dosa yang dilakukan ketika haji akan menjejaskan ibadah dan menggugurkan peluang mabrur. Kata al-Imam al-Nawawi:

الْمَبْرُورُ الَّذِي لَا مَعْصِيَةَ فِيه

“Sesungguhnya haji yang mabrur itu ialah haji yang tidak dicampuri dengan perkara maksiat” (al-Majmu’ )

2.1. Dalam riwayat al-Baihaqi, Rasulullah dikatakan memalingkan wajah al-Fadl bin Abbas dari melihat-lihat kaum wanita ketika berada di Arafah. Sabda Baginda kepada anak muda itu:

إِنَّ هَذَا يَوْمٌ مَنْ مَلَكَ فِيهِ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ وَلِسَانَهُ غُفِرَ لَهُ

"Sesungguhnya pada hari ini, sesiapa yang menguasai pendengarannya, pandangannya dan lisannya maka dia akan diampunkan oleh Allah." (Syuab al-Iman)

3. Ketiga, setiap jemaah seharusnya mengambil iktibar dan melakukan refleksi dalam setiap ibadah haji yang disyariatkan kepada mereka. Ketika tawaf mereka merenungi ibadah yang turut dilaksanakan oleh para malaikat ini. Ketika wuquf, mereka merenungi Mahsyar yang bakal mereka tempuhi. Bukan mereka sibuk untuk berselfie atau melakukan video call di hadapan Kaabah.

3.1. Ketika Rasulullah menuruni Wadi al-Azraq, Baginda memberitahu para sahabat bahawa Baginda seakan-akan melihat Nabi Musa turut turun mengucapkan talbiyah dengan suara yang kuat. Begitu juga saat melewati Thaniyyah Harsha Baginda menyatakan seakan-akan melihat Nabi Yunus melaungkan talbiyah.

Dalam hadis ini, Rasulullah mengambil kesempatan untuk memberikan refleksi dan bimbingan kepada para sahabat dalam setiap lokasi yang ditempuhi. Begitulah para jemaah haji mengambil iktibar dan pengajaran pada setiap pelosok bumi yang dilalui mereka.

4. Keempat, para jemaah haji juga dinasihatkan agar tidak menyakiti jemaah lain dalam melaksanakan ibadah. Rasulullah dikatakan menegur Umar supaya tidak bersesak di Hajarul Aswad kerana dibimbangi menyakiti manusia. Sabda Nabi:

يا عُمَرُ، إنَّك رجُلٌ قويٌّ، لا تُزاحِمْ على الحَجَرِ فتُؤذِيَ الضعيفَ

Wahai Umar, sesungguhnya kamu adalah lelaki yang sasa, janganlah kamu bersesak dengan manusia di Hajar kerana ditakuti kamu akan menyakiti manusia. (HR Ahmad)

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Bermalam Di Mina Pada Hari Tarwiyah
=====
1. Pada hari Tarwiyah, kita bergerak ke Mina. Ini selaras dengan pergerakan haji Rasulullah di mana Baginda Nabi bermalam di Mina pada hari kelapan sebelum menuju ke Arafah.

2. Perkara ini diceritakan oleh Saidina Jabir yang menyebutkan:

فَلَمَّا كَانَ يَوْمُ التَّرْوِيَةِ تَوَجَّهُوا إِلَى مِنًى، فَأَهَلُّوا بِالْحَجِّ، وَرَكِبَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَصَلَّى بِهَا الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ وَالْفَجْرَ

“Apabila tiba sahaja hari Tarwiyah, mereka semua menuju ke Mina dan berihram haji. Baginda Nabi menunggang ke sana (Mina) lalu mendirikan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. (HR Muslim)

3. Mengapa dinamakan hari Tarwiyah. Menurut al-Fayumi, para jemaah haji terdahulu menyiapkan bekalan air mereka (yartawuun - tarwiyah), lalu hari tersebut di namakan tarwiyah iaitu persediaan menyiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah.

4. Sheikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pula menyatakan bahawa hari Tariwiyah adalah hari di mana Nabi Ibrahim bermimpi dan termenung memikirkan perintah untuk mengorbankan anak Baginda sendiri.

5. Disebabkan hadis Jabir di atas menyebutkan bahawa Baginda Nabi menunggang menuju ke Mina, al-Imam al-Nawawi berpandangan bahawa adalah sunnah untuk menaiki kenderaan menuju ke Mina dan bukannya berjalan kaki.

6. Menariknya di sini, Rasulullah menunaikan solat qasar sepanjang berada di Mina pada hari Tarwiyyah bagi solat yang mempunyai bilangan empat rakaat. Kata Ibn Umar:

صلَّى رسولُ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم بمِنًى ركعتينِ،

Rasulullah menunaikan solat secara (qasar) dua rakaat di Mina. (HR al-Bukhari)

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Bermalam Di Mina Pada Hari Tarwiyah
=====
1. Pada hari Tarwiyah, kita bergerak ke Mina. Ini selaras dengan pergerakan haji Rasulullah di mana Baginda Nabi bermalam di Mina pada hari kelapan sebelum menuju ke Arafah.

2. Perkara ini diceritakan oleh Saidina Jabir yang menyebutkan:

فَلَمَّا كَانَ يَوْمُ التَّرْوِيَةِ تَوَجَّهُوا إِلَى مِنًى، فَأَهَلُّوا بِالْحَجِّ، وَرَكِبَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَصَلَّى بِهَا الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ وَالْفَجْرَ

“Apabila tiba sahaja hari Tarwiyah, mereka semua menuju ke Mina dan berihram haji. Baginda Nabi menunggang ke sana (Mina) lalu mendirikan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. (HR Muslim)

3. Mengapa dinamakan hari Tarwiyah. Menurut al-Fayumi, para jemaah haji terdahulu menyiapkan bekalan air mereka (yartawuun - tarwiyah), lalu hari tersebut di namakan tarwiyah iaitu persediaan menyiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah.

4. Sheikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pula menyatakan bahawa hari Tariwiyah adalah hari di mana Nabi Ibrahim bermimpi dan termenung memikirkan perintah untuk mengorbankan anak Baginda sendiri.

5. Disebabkan hadis Jabir di atas menyebutkan bahawa Baginda Nabi menunggang menuju ke Mina, al-Imam al-Nawawi berpandangan bahawa adalah sunnah untuk menaiki kenderaan menuju ke Mina dan bukannya berjalan kaki.

6. Menariknya di sini, Rasulullah menunaikan solat qasar sepanjang berada di Mina pada hari Tarwiyyah bagi solat yang mempunyai bilangan empat rakaat. Kata Ibn Umar:

صلَّى رسولُ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم بمِنًى ركعتينِ،

Rasulullah menunaikan solat secara (qasar) dua rakaat di Mina. (HR al-Bukhari)

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Anehnya Doa Hari Arafah
=======
1. Kemuncak haji ialah Arafah. Baginda mendidik kita untuk memperbanyakkan berdoa dan Baginda mengajarkan doa yang spesifik pada hari Arafah. Sabda Rasulullah:

: خير الدعاء دعاء يوم عرفة، وخير ما قلت أنا والنبيون من قبلي لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. Dan sebaik-baik lafaz yang aku dan juga para Nabi yang terdahulu sebelumku ucapkan ialah:

لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير

2. Perhatikan hadis ini. Setelah Rasulullah menyuruh kita berdoa pada hari Arafah, Baginda mengajarkan satu doa yang berbentuk zikir. Lafaz doa tersebut seolah-olah tidak mempunyai lafaz permohonan atau permintaan seperti Allahumma atau Ya Allah.

3. Menurut Dr Khalid Sabt, doa yang dilafazkan oleh Baginda Nabi itu merupakan satu lafaz mukaddimah doa yang menjemput keredhaan Allah sekaligus Allah memperkenankan doa para hambanya.

4. Ulasan Dr Khaled ini tidak jauh dengan doa Nabi Yunus yang hanya berbentuk zikir, tetapi ia menjemput kemakbulan doa seseorang. Rasulullah memuji doa Nabi Yunus ini yang direkodkan di dalam al-Quran dengan lafaz:

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

5. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Rasulullah ﷺ berpesan bahawa sesiapa yang berdoa dengan doa Nabi Yunus ini, maka Allah akan memperkenankan doa mereka. Sabda Rasulullah:

فإنه لم يدع بها مسلم ربه في شيء قط إلا استجاب له

“Sesungguhnya tidak ada muslim yang berdoa dengannya untuk apa saja (hajatnya), melainkan akan dimakbulkan Allah doanya itu.” (HR Ahmad, dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir)

6. Oleh yang demikian, para jemaah haji yang berada di Arafah adalah digalakan untuk memperbanyakkan zikir ini dan tidak berhenti berdoa terus menerus.

7. Saidina Usamah menceritakan bagaimana ketika Nabi berdoa di atas untanya, tiba-tiba unta tersebut bergerak dan tidak duduk diam. Lantas Baginda memegang tali unta tersebut dengan sebelah tangan sedangkan tangan Baginda yang sebelah lagi kekal diangkat untuk berdoa. Perhatikan bagaimana dalam situasi cemas pun Baginda tetap berdoa dengan sebelah tangan Baginda yang mulia.

Moga Allah mengampunkan kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Nabi Ibrahim Sebagai Seorang Ayah
=====
1. Sedar atau tidak, ibadah korban yang dilaksanakan oleh kaum Muslimin pada hari ini mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan Sirah Nabi Ibrahim.

2. Peranan seorang ayah (iaitu Nabi Ibrahim) dalam menyantuni anaknya (Nabi Ismail) ketika perintah ini berlangsung sangat penting untuk direnungi oleh setiap ayah. Antaranya ialah:

(a) Nabi Ibrahim sebagai seorang ayah sentiasa berdoa buat keluarganya. Salah satu doa Baginda yang popular ialah doa agar dikurniakan anak yang soleh. Inilah yang perlu dilakukan oleh setiap ayah pada hari ini. Nabi Ibrahim berdoa:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" (Surah al-Saffat: 100)

(b) Bukan sekadar berdoa agar dikurniakan anak yang soleh, Nabi Ibrahim turut mengajak anaknya untuk melakukan ibadah bersama. Inilah yang perlu dilaksanakan oleh setiap ayah pada hari ini, mengajak anak-anak mereka melaksanakan ibadah bersama. Nabi Ibrahim mengajak Nabi Ismail membina Baitullah iaitu Kaabah. Firman Allah:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah al-Baqarah: 127)

(c) Nabi Ibrahim turut dilihat kerap berdialog dengan anak Baginda. Dalam perintah korban, Nabi Ibrahim bertanya pandangan anaknya Nabi Ismail, begitu juga dalam urusan hubungan suami isteri, Nabi Ibrahim turut pernah menasihati Nabi Ismail.

(c.1) Ketika perintah korban diturunkan, Nabi Ibrahim tetap memulakan perbincangan bersama anaknya sekalipun perintah itu pada hakikatnya merupakan arahan dari Allah. Begitulah seorang ayah, perlu banyak berbicara dan berbincang dengan anaknya. Masa bersembang dengan anak perlu lebih banyak dari masa melihat telefon.

(d) Nabi Ibrahim juga merupakan seorang ayah yang penyayang. Sifat penyayang Nabi Ibrahim terzahir apabila Baginda berusaha mendoakan buat ayah (atau pakcik) Baginda agar diberikan keampunan oleh Allah. Lalu Allah memuji sifatnya Baginda dalam firmanNya:

إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ لَأَوَّٰهٌ حَلِيمٌ

Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar. (Surah al-Taubah: 114)

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
Kesukaran Dalam Ibadah Adalah Kelebihan
=====
1. Salah satu cabaran yang dihadapi oleh para jemaah haji pada musim ini ialah mengharungi cuaca yang panas melampau. Terdapat jemaah yang terkorban disebabkan cuaca ekstrem sebegini.

2. Kesukaran dalam beribadah mempunyai kelebihan tertentu. Rasulullah pernah berpesan kepada Saidatina Aisyah bahawa ganjaran yang akan diperolehi oleh seseorang dalam ibadahnya akan meningkat dengan kesukaran yang dilalui. Sabda Baginda:

إن لك من الأجر على قدر نصبك ونفقتك

"Sesungguhnya bagimu ganjaran atas kadar kesukaran dan nafkah yang kamu keluarkan. (HR al-Hakim)

3. Ungkapan ini dikeluarkan oleh Baginda Nabi setelah melihat dan mendengar aduan yang diluahkan oleh Aisyah. Ketika sampai ke Mekah , Aisyah telah datang bulan sehingga menyebabkan beliau tidak dapat menunaikan tawaf. Rentetan aduan tersebut Baginda menenangkan Aisyah.

4. Ketika menghuraikan hadis inj, al-Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa kadar pahala akan meningkat dengan kesusahan yang dialami. Kata al-Nawawi:

هَذَا ظَاهِر فِي أَنَّ الثَّوَاب وَالْفَضْل فِي الْعِبَادَة يَكْثُر بِكَثْرَةِ النَّصَب وَالنَّفَقَة

Ini adalah jelas bahawa sesungguhnya pahala dan kelebihan dalam ibadah akan bertambah dengan bertambahnya kesukaran dan perbelanjaan. (Syarah Muslim)

5. Begitu juga al-Imam al-Zarkasyi menjelaskan:

العمل كلما كثر وشق كان أفضل مما ليس كذلك

Amalan itu apabila semakin bertambah dan menjadi sukar, maka ia adalah lebih baik daripada yang selain sepertinya.

6. Oleh yang demikian, para tetamu Allah yang sedang mengharungi pelbagai kesukaran di tanah suci hendaklah membulatkan tekad, terus melakukan amal soleh.

Semoga Allah membimbing kita

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi