Anwar Ibrahim (official)
35K subscribers
1.63K photos
196 videos
1 file
228 links
The Official Telegram Channel of Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).
Perdana Menteri Malaysia. 🇲🇾

Facebook: facebook.com/anwaribrahimofficial/
Instagram: instagram.com/anwaribrahim_my
Twitter : twitter.com/anwaribrahim
Download Telegram
Kunjungan saya ke Ipoh, Perak tidak akan lengkap tanpa menyantuni dan menyertai jemaah Masjid Ar-Rashid, Taman Perpaduan Koperasi, Tambun, bagi mendengar khutbah serta menunaikan solat Jumaat bersama-sama.

Khutbah bertajuk “Ibadah Haji: Persiapan Rohani dan Jasmani” memberi peringatan yang jelas kepada kita semua tentang pentingnya persediaan dalam memperbetul niat serta menjauhkan diri daripada sifat riak, takbur dan perkara-perkara yang boleh mencemarkan ibadah yang mulia ini.

Persiapan dari sudut ilmu juga tidak kurang pentingnya — memahami rukun, sunat, makruh dan larangan dalam ibadah haji boleh dilakukan melalui kursus, seminar, bengkel, pembacaan buku dan perkongsian pengalaman daripada mereka yang pernah menunaikannya.

Usai solat Jumaat, saya turut mengambil peluang menyantuni pengurusan masjid, ahli kariah serta masyarakat setempat bagi bertukar pandangan dan membincangkan isu-isu semasa yang dekat di hati rakyat.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Penguasaan digital, termasuk kecerdasan buatan (AI), kini menjadi keperluan untuk kekal bersaing dalam pasaran global yang sentiasa berubah.

Perubahan ini menuntut keberanian dan kesiapsiagaan semua pihak—termasuk warga pendidik, pelajar institusi pengajian tinggi, serta murid-murid di peringkat sekolah.

Dalam menghadapi perubahan ini, kita tidak boleh melupakan asas utama pembinaan insan yang seimbang—penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Asas ini bukan sahaja penting untuk membina individu yang berilmu, tetapi juga membentuk manusia yang baik dan berbakti.

Saya ingin tekankan bahawa matlamat penguasaan ilmu bukanlah semata-mata untuk kejayaan peribadi, malah ilmu yang dimiliki akan memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

Sebelum saya beredar, saya sempat menyampaikan bantuan sebanyak RM500 kepada 2,000 pelajar dalam kawasan Parlimen Tambun, dimana bantuan ini adalah hasil Strategik Majlis Santunan Kasih KPKT dengan kerjasama Berjaya Care Foundation.

Semoga ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Adalah penting untuk Kerajaan terus merangka inisiatif menjamin keutuhan ekonomi negara sambil menjaga kemaslahatan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

Saya sampaikan dorongan ini semasa berucap di Majlis Sambutan Aidil Fitri MADANI Peringkat Negeri Perak, yang turut dihadiri pimpinan Kerajaan Persekutuan, Negeri, serta masyarakat setempat.

Semangat cintakan negara ini mesti didokong oleh kepimpinan yang bersih, tegas dan berwibawa—demi mewujudkan kestabilan politik yang kukuh, dasar ekonomi dan pembangunan yang jelas, serta pentadbiran yang super efisien.

Insya-Allah, dengan keupayaan yang ada, saya yakin kita mampu mengangkat martabat semua kaum di negara ini ke arah masa yang depan yang lebih baik satu hari nanti.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ke-91, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga TLDM atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Selama lebih sembilan dekad, TLDM telah menunjukkan komitmen, disiplin, dan profesionalisme yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan maritim Malaysia.

Kecekalan dan semangat juang anggota TLDM menjadi benteng utama dalam memastikan negara kita aman dan sejahtera.

Saya mendoakan agar TLDM terus maju, diperkasa dengan teknologi dan kepakaran semasa, serta terus menjadi angkatan laut yang disegani di rantau ini.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Tahniah kepada Dr Mohamad Yusri Bakir yang mewakili Barisan Nasional atas kemenangan di Pilihanraya Kecil Ayer Kuning yang baru selesai. Insya-Allah, suara rakyat pasti diterjemah dengan santun dan berketerampilan.
Tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar tengah hari tadi untuk lawatan kerja dan menghadiri beberapa agenda di Perlis sepanjang hari ini.

Usai tiba, saya langsung ke Kangar untuk menghadap DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Saya menyembah maklum perkembangan terkini berhubung perancangan pembangunan ekonomi negeri Perlis, di samping bertukar pandangan terkait hal ehwal kesejahteraan rakyat di negeri ini yang menjadi tumpuan khusus Kerajaan Persekutuan.

Penghargaan setingginya atas perkenan Tuanku menerima patik menghadap. Mendoakan keafiatan berpanjangan buat Tuanku, Insya-Allah.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Seterusnya saya ke Pejabat Pembangunan Negeri Perlis untuk mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama Menteri Besar dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta Persekutuan.

Dalam mesyuarat ini, saya tegaskan negara mesti membina kekuatan dalaman dan daya tahan ekonomi untuk menghadapi ketidaktentuan geopolitik, termasuk kesan dasar tarif Amerika Syarikat. Jentera Kerajaan di semua peringkat perlu segera mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek tanpa lagi dibelenggu kerenah birokrasi.

Saya arahkan agensi-agensi memperketat pemantauan projek, dan tidak teragak-agak menghukum pihak yang melengahkannya hingga menjejaskan rakyat.

Menteri Besar Perlis kemudiannya membentangkan beberapa keutamaan pembangunan negeri, meliputi infrastruktur asas seperti jalan raya, kawalan banjir, pelancongan, pelabuhan dan pendidikan.

Antara projek yang dibangkitkan termasuk pembangunan pelabuhan Sanglang, pembinaan semula Sekolah Kebangsaan Chuping, penyelesaian projek terbengkalai Sekolah Sukan Malaysia Perlis, dan naik taraf kolam takungan banjir Chuping.

Mengambil kira kepentingannya, saya arahkan pembinaan semula Sekolah Kebangsaan Chuping dimulakan tahun ini, manakala projek Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai sejak 12 tahun lalu perlu segera diserahkan kepada syarikat kerajaan yang berkeupayaan.

Jentera Kerajaan Persekutuan dan Negeri harus berani berfikir di luar kerangka lama untuk memecah kebuntuan, mempercepat penyelesaian masalah rakyat, dan membina benteng ekonomi yang berdaya tahan, sekali gus mengangkat martabat rakyat dan negara di persada dunia.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Petang tadi saya hadir ke Dataran Lok 9, Kuala Perlis bersama lebih 10,000 warga Perlis pelbagai kaum memeriahkan Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Negeri Perlis. Terima kasih atas sambutan luar biasa dan penuh semangat kekeluargaan.

Setinggi penghargaan atas kesudian Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, serta Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, mencemar duli ke majlis ini.

Perlis menjadi negeri terakhir dalam rangka kunjungan Ramadan dan Syawal saya tahun ini, memperkukuh iltizam kita untuk memberi sepenuh perhatian kepada keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negara.

Sewaktu berucap, saya zahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mempererat sinergi bersama Kerajaan Negeri bagi memperkasa agenda pembangunan, memperkukuh kesejahteraan sosial serta mempertingkatkan daya saing ekonomi setempat.

Saya menegaskan bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, tiada mana-mana negeri dianaktirikan dalam agenda pembangunan ekonomi hanya kerana perbezaan siasah.

Ini termasuk Perlis, yang menyaksikan peningkatan ketara pemberian langsung Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri yakni sekitar 25 peratus, daripada RM168.4 juta pada 2022 kepada RM210.6 juta pada tahun lalu. Peruntukan pembangunan negeri turut meningkat sehingga 65 peratus daripada RM391.91 juta pada 2022 kepada RM645.58 juta tahun lalu.

Menyentuh perkembangan geopolitik semasa, khususnya terkait tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, saya memaklumkan mengenai Sidang Khas Parlimen pada 5 Mei depan bagi membicarakan tindakan-tindakan Kerajaan dalam mendepani isu ini, di samping menghimpunkan seluruh kekuatan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Insya-Allah, dengan iltizam yang teguh dan penuh keyakinan, kita akan membawa Perlis dan seluruh negara ke arah masa depan yang lebih sejahtera dan makmur.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Alhamdulillah, usai acara sebelah petang di Kuala Perlis, saya hadir ke Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah | 2025 Masihi di Kangar malam tadi.

Saya menggesa teman-teman yang punya kemampuan dan para asatizah untuk bersama memupuk kesedaran baharu dalam kalangan umat. Kita perlu mempertingkat penguasaan al-Quran sebagai asas mengangkat maruah umat dan terus menggali hikmah untuk menjawab persoalan serta cabaran zaman pasca normal, di mana kebenaran dan hak dianggap relatif.

Kita harus mencabar minda umat melalui taffaquh fiddin yang segar bagi menghadapi kondisi 'malaise' yakni keletihan jiwa yang menuntut jawapan berasaskan kekuatan ilmu dan keutuhan nilai. Tantangan kita adalah sejauh mana umat mampu membina kekuatan berasaskan 'Din' (agama) kepada Madinah (kota) dan seterusnya tamadun dalam membangun negara MADANI.

Saya turut singgung pengalaman pendakwah di Alam Melayu sebagaimana direkodkan dalam Babad Tanah Jawi mengenai peranan unik Wali Songo serta catatan Ibnu Battutah di Perlak yang menzahirkan kepentingan pendekatan dakwah penuh hikmah dalam menyampaikan esensi Islam secara tasamuh agar umat tidak berpecah dan bermusuh.

Umat meletakkan pengharapan yang tinggi untuk kita melakukan pembaharuan dalam berdepan cabaran semasa yang semakin rumit dan rencam sama ada di dalam atau luar negara.

Makanya kita perlu membina kekuatan dalaman, bukan sekadar kekuatan akidah dan akhlak, bahkan daya tahan dalam pengurusan ekonomi dan tatakelola kerajaan di semua bidang.

Insya-Allah, kita akan terus berusaha dan berikhtiar memperkukuh taffaquh fiddin dan penguasaan pelbagai bidang agar hasrat membangun umat dan negara dapat dicapai di atas landasan prinsip luhur dan akhlak yang benar.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Mengutus takziah kepada keluarga allahyarham saudara Shahrul Aman yang telah menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi di Institut Kanser Negara (IKN). Beliau merupakan Setiausaha Agong kepada Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), selain pernah memimpin Bersih sekitar tahun 2018. Mendoakan ruhnya diberi keampunan dan keluarganya diberi kekuatan setingginya saat ini.

ANWAR IBRAHIM

Foto: NST