Anwar Ibrahim (official)
35K subscribers
1.63K photos
196 videos
1 file
228 links
The Official Telegram Channel of Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).
Perdana Menteri Malaysia. 🇲🇾

Facebook: facebook.com/anwaribrahimofficial/
Instagram: instagram.com/anwaribrahim_my
Twitter : twitter.com/anwaribrahim
Download Telegram
Bagi tahun 2024, Iskandar Malaysia telah berjaya mencatatkan pelaburan komited sejumlah RM41.4 bilion (kenaikan 11 peratus berbanding RM37.2 bilion pada tahun 2023) dan nilai ini merupakan pencapaian tertinggi sejak Iskandar Malaysia diwujudkan.

Perkara itu dimaklumkan sewaktu saya mempengerusikan mesyuarat ke-34 Ahli Pihak Berkuasa, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) hari ini.

Tahun lalu juga, nilai pelaburan yang direalisasikan mencecah RM26.7 bilion. Pelaburan Asing sebanyak RM36.1 bilion dan Pelaburan Domestik sebanyak RM5.3 bilion hatta pencapaian ini membuktikan bahawa keyakinan pelabur terhadap Iskandar Malaysia terus meningkat.

Untuk itu, saya tekankan kepentingan persediaan koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia dalam mengharungi keadaan ekonomi dan perdagangan dunia yang kian mencabar dan tidak menentu.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
I strongly condemn the recent attack in Pahalgam, Indian-administered Kashmir. Reports that victims were deliberately segregated before being executed highlight the calculated and inhuman cruelty of this assault. Such violence has no place in any civilised society.

On behalf of all Malaysians, I extend our deepest condolences to the families of the victims. We pray for the swift and full recovery of those injured.

In moments of tragedy, wisdom and restraint are essential. We must not allow such acts of terror to deepen division. Instead, let us reaffirm our shared commitment — in the region and beyond — to peace, justice, and human dignity.

We also call upon the international community to support efforts to identify any remaining perpetrators and ensure that all those responsible are brought to justice — and that such atrocities are neither repeated nor rewarded.

ANWAR IBRAHIM

Photo: AFP
Hadir meluncurkan inisiatif Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI pagi tadi di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ia merupakan satu wahana besar yang bakal mengangkat martabat Kuala Lumpur bukan hanya sebagai pusat pentadbiran dan kemajuan fizikal, tetapi sebagai kota berjiwa, berbudaya, dan bersejarah.

Saya memetik pengalaman Mark Twain tatkala mengunjungi kota Washington DC, katanya: “impressive and modern buildings, but culturally barren”. Sebuah ibu kota yang gah dari segi pembangunan fizikal, namun gersang dari segi budaya. Kita tidak mahu Kuala Lumpur menjadi kota yang kehilangan ruhnya. Pembangunan mesti menggapai langit, tetapi dalam masa yang sama, akarnya mesti tertanam kukuh pada tanah sejarah, nilai, dan peradaban. Kita membina masa depan yang moden, namun tidak tercerai daripada pensejarahan dan nilai karamah insaniah.

Dua tahun lalu, saya telah memberi arahan kepada Khazanah Nasional untuk menerajui gagasan besar ini. Kita bukan sekadar mahu membina gedung-gedung megah yang mencakar langit, tetapi membina kota yang punya identiti dan jati diri yang utuh. Keunikan kota tidak terletak pada gedung dan mercu perkasa semata, tetapi pada kisah, warisan, dan semangat warga yang menghuninya.

Kuala Lumpur harus berkembang mengikut tuntutan dan semangat zaman (zeitgeist), namun jangan sesekali melupakan nadi asalnya. Dalam kalangan pengkaji sejarah, wujud satu kelompok revisionis yang cuba menafsir semula sejarah, kononnya negara ini hanya membangun hasil kehadiran, buah fikiran dan tangan penjajah. Kita tidak berkongsi pandangan kolot dan sempit seperti itu. Justeru, kita berpandukan pada pemikiran Syed Hussein Alatas dalam usaha “reconstruction of Malaysian history” iaitu pensejarahan yang inklusif, yang mengiktiraf sumbangan setiap bangsa; dari kehadiran Yap Ah Loy yang membangun prasarana kota, masyarakat India yang menyumbang tenaga dan budaya, hingga peranan Raja Abdullah dalam pertumbuhan awal bandar ini.

Warisan bukan milik satu kaum. Ia adalah milik bersama. Oleh itu, warisan harus diteliti dan dijadikan fokus dan agenda nasional. Stesen Keretapi Kuala Lumpur, misalnya, bukan sekadar struktur seni bina, tetapi mercu sejarah yang penting dalam melonjak perkembangan kota di peringkat awal. Saya pernah mengusul dan mendesak agar penjajah Inggeris mengembalikan semula Carcosa Seri Negara satu ketika dahulu, dan ia harus menjadi lambang pemilikan rakyat dan warisan bangsa yang diberi nafas baharu.

Sementalahan, kita tidak boleh hanya tertumpu pada membina gedung-gedung besar dan hotel mewah tetapi gerai rakyat yang menjadi nadi kehidupan warga biasa dikesampingkan. Ini tersimpang jauh dari makna dan nilai negara yang madani. Gedung-gedung sejarah mesti dibangunkan dan dipelihara agar menjadi tempat rakyat menggali sejarah dan khazanah pembangunan negara.

Warisan KL adalah sebuah iltizam untuk menyusun semula lanskap kota dari sekadar membina mercu dan gendung, kepada membina bangsa dengan nilai dan budaya.

Saya tegaskan inisiatif ini bukan projek kosmetik. Ia adalah falsafah pembangunan negara, bahawa sesebuah kota hanya akan kekal relevan apabila ia mengenal sejarahnya, membenih serta menyemai budayanya, dan memberi makna kepada setiap warga dan jiwa yang menghuni.

#MalaysiaMADANI
#MADANIbekerja
Tiba di Ipoh, Perak bagi menghadiri beberapa program yang telah diatur, dan saya memulakan lawatan kerja ini dengan merasmikan Projek Penambahbaikan dan Penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) demi keselesaan dan kemudahan pengguna pada masa hadapan.

Dalam ucapan perasmian, saya tekankan bahawa setiap projek dan program demi rakyat hanya akan berjaya jika disokong dengan sinergi dan kerjasama penuh daripada Kerajaan Persekutuan, kementerian, agensi, Kerajaan Negeri, pihak swasta, serta seluruh lapisan kepimpinan masyarakat.

Projek berjumlah RM8 juta ini merupakan inisiatif MAHB untuk menyediakan infrastruktur yang kondusif, di samping meningkatkan kapasiti penumpang untuk memenuhi unjuran pengguna pada masa hadapan.

Seperti halnya dengan LTSAS, kerjasama strategik amat penting bukan sahaja dalam pembangunan negara, malah dalam memacu sektor pelancongan – sekali gus mengurangkan tekanan ke atas dana kerajaan melalui penyertaan pihak berkepentingan.

Hasil daripada kesepakatan ini, kita dapat membina daya tahan domestik, mengukuhkan keyakinan rakyat bahawa kita mampu berdikari dan maju dengan kekuatan sendiri serta jaringan serantau – khususnya di ASEAN, China, India, Australia, Jepun, Korea – dan membuka pasaran baharu di Eropah serta Amerika Latin.

Di akhir ucapan, saya ingatkan bahawa untuk bersaing di peringkat antarabangsa, kita perlu menyediakan kemudahan dan prasarana yang berkualiti tinggi, dipacu oleh kecekapan dan integriti semua penjawat awam.

Inilah asas dalam usaha kita mengangkat martabat negara di persada dunia, Insya-Allah.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Kunjungan saya ke Ipoh, Perak tidak akan lengkap tanpa menyantuni dan menyertai jemaah Masjid Ar-Rashid, Taman Perpaduan Koperasi, Tambun, bagi mendengar khutbah serta menunaikan solat Jumaat bersama-sama.

Khutbah bertajuk “Ibadah Haji: Persiapan Rohani dan Jasmani” memberi peringatan yang jelas kepada kita semua tentang pentingnya persediaan dalam memperbetul niat serta menjauhkan diri daripada sifat riak, takbur dan perkara-perkara yang boleh mencemarkan ibadah yang mulia ini.

Persiapan dari sudut ilmu juga tidak kurang pentingnya — memahami rukun, sunat, makruh dan larangan dalam ibadah haji boleh dilakukan melalui kursus, seminar, bengkel, pembacaan buku dan perkongsian pengalaman daripada mereka yang pernah menunaikannya.

Usai solat Jumaat, saya turut mengambil peluang menyantuni pengurusan masjid, ahli kariah serta masyarakat setempat bagi bertukar pandangan dan membincangkan isu-isu semasa yang dekat di hati rakyat.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Penguasaan digital, termasuk kecerdasan buatan (AI), kini menjadi keperluan untuk kekal bersaing dalam pasaran global yang sentiasa berubah.

Perubahan ini menuntut keberanian dan kesiapsiagaan semua pihak—termasuk warga pendidik, pelajar institusi pengajian tinggi, serta murid-murid di peringkat sekolah.

Dalam menghadapi perubahan ini, kita tidak boleh melupakan asas utama pembinaan insan yang seimbang—penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Asas ini bukan sahaja penting untuk membina individu yang berilmu, tetapi juga membentuk manusia yang baik dan berbakti.

Saya ingin tekankan bahawa matlamat penguasaan ilmu bukanlah semata-mata untuk kejayaan peribadi, malah ilmu yang dimiliki akan memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

Sebelum saya beredar, saya sempat menyampaikan bantuan sebanyak RM500 kepada 2,000 pelajar dalam kawasan Parlimen Tambun, dimana bantuan ini adalah hasil Strategik Majlis Santunan Kasih KPKT dengan kerjasama Berjaya Care Foundation.

Semoga ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Adalah penting untuk Kerajaan terus merangka inisiatif menjamin keutuhan ekonomi negara sambil menjaga kemaslahatan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

Saya sampaikan dorongan ini semasa berucap di Majlis Sambutan Aidil Fitri MADANI Peringkat Negeri Perak, yang turut dihadiri pimpinan Kerajaan Persekutuan, Negeri, serta masyarakat setempat.

Semangat cintakan negara ini mesti didokong oleh kepimpinan yang bersih, tegas dan berwibawa—demi mewujudkan kestabilan politik yang kukuh, dasar ekonomi dan pembangunan yang jelas, serta pentadbiran yang super efisien.

Insya-Allah, dengan keupayaan yang ada, saya yakin kita mampu mengangkat martabat semua kaum di negara ini ke arah masa yang depan yang lebih baik satu hari nanti.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ke-91, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga TLDM atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Selama lebih sembilan dekad, TLDM telah menunjukkan komitmen, disiplin, dan profesionalisme yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan maritim Malaysia.

Kecekalan dan semangat juang anggota TLDM menjadi benteng utama dalam memastikan negara kita aman dan sejahtera.

Saya mendoakan agar TLDM terus maju, diperkasa dengan teknologi dan kepakaran semasa, serta terus menjadi angkatan laut yang disegani di rantau ini.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Tahniah kepada Dr Mohamad Yusri Bakir yang mewakili Barisan Nasional atas kemenangan di Pilihanraya Kecil Ayer Kuning yang baru selesai. Insya-Allah, suara rakyat pasti diterjemah dengan santun dan berketerampilan.
Tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar tengah hari tadi untuk lawatan kerja dan menghadiri beberapa agenda di Perlis sepanjang hari ini.

Usai tiba, saya langsung ke Kangar untuk menghadap DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Saya menyembah maklum perkembangan terkini berhubung perancangan pembangunan ekonomi negeri Perlis, di samping bertukar pandangan terkait hal ehwal kesejahteraan rakyat di negeri ini yang menjadi tumpuan khusus Kerajaan Persekutuan.

Penghargaan setingginya atas perkenan Tuanku menerima patik menghadap. Mendoakan keafiatan berpanjangan buat Tuanku, Insya-Allah.

#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja