Aina Dayana Hilmi
81 subscribers
174 photos
2 videos
1 file
24 links
Guru pendidikan khas bermasalah pendengaran, suka membaca dan suka berkongsi cerita kehidupan dari sisi positif yang boleh membawa kebaikan.

Jemput berukhwah di :
Facebook Aina Dayana Hilmi
Instagram : Aina Dayana Hilmi
Telefon : 0133613516
Download Telegram
Jalan Keluar bertemakan kisah yang hidup ini mempunyai pilihan. Terpulang bagaimana seseorang menanggapi ujian hidup dan membuat pertimbangan dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah yang datang.

Perit membaca ujian setiap penulis. Sungguh, Allah datangkan ujian mengikut kemampuan seseorang sebenarnya. Bagi kita yang membaca, banyak mutiara yang dapat dikutip.

Ada yang diuji dengan jodoh. Sudah elok mengikut kata ibu ayah namun jodoh tidak panjang. Berantakan. Namun besar pula hikmahnya selepas musibah itu. Beliau lebih matang dan dapat berkhidmat sebaiknya untuk ibu ayah hingga akhir nyawa.

Ada yang direzekikan sambung belajar tetapi tidak mahu atas alasan mahu mencari kerja dan menanggung keluarga. Adik-adik masih ramai perlukan bantuan persekolahan. Namun didesak ayah untuk teruskan pengajian.

Katanya belajar bukan semata-mata sijil tetapi mahu dapatkan ilmu. Orang yang berilmu tinggi, Allah angkat darjatnya. Peribadi lebih kuat, ada pendirian dan tidak mudah ditindas. Masya-Allah. Berpandangan jauh ayahnya.

Ada juga si suri yang berada rendah diri lantaran tidak bekerja sedangkan memiliki ijazah tinggi dan pernah bekerja di firma yang gah. Namun beruntungnya dia mendapat suami yang bertolak ansur dan tidak kisah dengan semua itu. Malah suami sangat menghargainya kerana isterinya menjadi guru pertama anak-anak dan berjaya mendidik anak dengan baik.

Begitulah ada pelbagai rencam kisah lagi dikongsikan di sini. Ia buat saya terfikir. Jika ada kesulitan yang dihadapi saya harus berfikir dengan rasional dan mendahulukan Allah dalam setiap tindak tanduk. Bukannya melulu dengan emosi, bukan?

Semoga kawan-kawan juga dimudahkan urusan oleh Allah.

Buku 71/2021

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#BacaanJulai
Komik Shalahuddin al-Ayubi ini ada banyak rupanya. Saya hanya ada jilid kedua. Dalam naskhah ini banyak berkisar usia beliau semasa remaja. Disebabkan satu krisis, ayahanda Shalahuddin al-Ayubi berpindah ke sebuah negeri lain.

Ditakdirkan pemimpin kota itu ialah sahabat ayahandanya yang terselamat dalam satu peristiwa berdarah suatu ketika dahulu. Maka eloklah mereka sekeluarga tinggal di situ.

Shalahuddin al-Ayubi juga dapat mempelajari kemahiran pedang dan akademik kerana di situ terletaknya institusi pendidikan yang hebat.

Meneliti kisah hidup tokoh ini, hati rasa sayu mengenangkan Perang Salib yang berlangsung ratusan tahun itu. Malah, membayangkan terseksanya rakyat ketika musibah perang itu berlaku. Juga diperhatikan bahawa musuh Islam sentiasa berusaha mencari jalan mengalahkan kita. Allahuakbar.

Buku ke-72 / 2021

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#BacaanJulai
Komik Asil antara komik yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan anak-anak dan anak buah saya. Sebelum ini mereka sudah selesai baca Siri Komik Gaza (6 buah). Mahu menunggu siri 7 lambat lagi maka Asil menjadi tarikan.

Asil ; Tukang Masak Yang Menyelinap Ke Istana Uthmaniyah seorang anak muda yang dilatih oleh bapa saudaranya sehingga cekap menjadi perisik, mahir dalam penyamaran dan berjaya didoktrinkan untuk menentang khalifah.

Segalanya sedikit berubah apabila Asil berjaya menjadi Chef di dapur istana hasil rancangan licik bapa saudaranya dengan salah seorang pegawai istana. Asil yang pakar memasak hidangan lazat dipertanggungjawabkan menyediakan makanan untuk khalifah.

Pertama kali berhadapan dengan khalifah, akhlak yang ditunjuk oleh beliau membuatkan Asil berfikir semula tindakannya selama ini. Dia yang sudah didedahkan dengan pelbagai perangai "buruk" dan "zalim" khalifah bagai tidak percaya. Lantas, kekeliruan mula menjalar dalam dirinya.

Benarkan perjuangan yang diikutinya selama ini?

Tak sabar menunggu sambungan Komik Asil 2! Oh, saya gemar dengan ilustrasi Asil.

Buku 73/2021

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#BacaanJulai
Pulau Mas Kahwin ialah naskhah berat bagi saya. Tapi saya seronok kerana minat dengan sejarah. Saya mengambil masa untuk membaca kerana menikmati fakta yang disajikan oleh penulis.

Pulau Mas Kahwin ialah pulau yang terletak di Riau, Indonesia. Tidak jauh dari Singapura. Beruntung penulis dapat ke sana dengan bantuan bapa saudara serta adanya kenalan yang baik dapat membantu kembara ilmu beliau.

Raja Haji seorang pahlawan Bugis yang mendedikasikan diri mempertahankan tanahair daripada penjajah bukan sahaja handal dalam strategi perang, malah seorang ilmuwan dan menghasilkan karya untuk tatapan ummah.

Benarlah beliau mangkat di Teluk Ketapang, Melaka dan dikatakan dikuburkan di situ. Namun jenazahnya dipindahkan ke pulau mas kahwin ini.

Selepas berpuluh tahun meninggalkan bangku sekolah baru terjawab persoalan saya semasa di sekolah menengah. Saya tertarik apabila buku teks menyebut Raja Haji ini berperang dan meninggal di Teluk Ketapang. Setahu saya kawasan saya tinggal ini (Telok Mas) juga dikenali sebagai Teluk Ketapang dahulu.

Ada penulis sertakan gambar tapak perkuburan Raja Haji fisabilillah ini di Telok Mas. Sayangnya ia menjadi semak samun dan belum ada tindakan lanjut dari pihak yang berkenaan.

Tinggalan sejarah di Pulau Mas Kahwin ini masih banyak dan dipelihara dengan baik. Masjid yang sudah wujud ratusan tahun itu juga tersergam indah serta dijaga dengan baik.

Kembara empat hari beliau dapat menghasilkan sebuah buku travelog walaupun ada catatan lebih kepada jurnal peribadi. Tapi masih baik untuk diterima dan dibaca.

Buku 74/2021

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#BacaanJulai
Setiap hari ada ujian bagi setiap manusia. Jatuh tersungkur? Itu biasa. Tetapi mahu bangkit itu yang luar biasa, bukan?

Bagaimana menanggapi kata-kata Allah menguji setiap hamba-Nya mengikut kemampuan mereka? Nah, bacalah naskhah ini.

Mungkin ada yang menyamai ujian kalian. Lihat bagaimana Allah datangkan kemanisan kejayaan selepas ujian tersebut berjaya dihadapi.

Ada kisah struggle anak yang belajar di asrama, ada kisah murid yang berperang dengan emosi diri dek masalah keluarga, ada majikan yang diuji dengan masalah kewangan syarikat, ada yang berjuang mahukan kebahagiaan selepas menempuh dunia perkahwinan yang menyeksakan.

Tetaplah terus berusaha, berdoa dan bertawakal. Mungkin mudah dilafaz tetapi mujahadah untuk melaksanakannya. Semoga Allah mudahkan urusan kalian.

Selamat membaca.

Buku 75/2021

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#BacaanJulai
Ini bacaan ulangan. Kali pertama baca ketika masih belajar. Belasan tahun lepas dalam versi e-buku. Bila tahu naskhah ini diterbitkan oleh Jemari Seni rasa teruja juga nak baca. Namun sekarang baru dapat pegang naskhahnya.

Ceritanya santai sahaja tetapi diselitkan juga sedikit ilmu buat pembaca. Kisah yang mungkin mengundang memori sebahagian pembaca. Bermula cerita sebagai budak hostel di SERATAS, membawa kepada persediaan ke luar negara dan menuntut di negara matahari terbit.

Akasyah, Kaduk dan Ammar adalah tiga watak utama yang mendominasi cerita. Hubungan persahabatan dan cinta yang tidak dapat dipisahkan. Watak Akasyah berkembang dan penulis berusaha menunjukkan perubahan diri beliau ke arah yang lebih baik dari tahun ke tahun. Cerita ini disudahi dengan happy ending dan mungkinkah ada sambungannya? Penulis ada banyak buat entri blog tentang Syah dan Kaduk ini selepas mereka berkahwin.

Buku 76/2021

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#BacaanJulai
Selepas habis baca baru memahami mengapa diberi judul ini. Ia adalah hasil pemerhatian Ikal terhadap pengunjung warung kopi bapa saudaranya. Pelbagai teori tentang peminum kopi dan cara mereka menyisip air minuman masing-masing. Senyum sahaja membacanya. Begitu teliti sekali Ikal memerhati dan membina teorinya.

Dimaklumi Pak Andrea Hirata jika menulis, deskripsinya sangat teliti. Awal-awal bab saya rasa sedih sekali melihat garis kemiskinan rakyat di sana. Sungguh tak terbayang jika saya perlu melalui situasi itu. Namun keadaan yang begitu mendesak itu memaksa mereka bertahan dan kreatif bagi kelangsungan hidup. Alhasil, generasi mereka juga kuat dan teguh jiwanya.

Ikal lulusan cemerlang bukan main dari universiti namun dek krisis politik yang melanda negara menyebabkan ekonomi terjejas teruk. Maka sijilnya tidak laku untuk punya pekerjaan tika itu. Memikirkan saranan ibu, terpaksa juga Ikal pulang ke kampung dan bekerja dengan pamannya yang menjengkelkan.

Lanjutan bab seterusnya makin menarik. Kampung mereka menganjurkan pertandingan catur setiap tahun. Hebat sekali apabila bukan seorang dua mahir bertarung. Sehingga ada carta Top 7 tokoh permain catur di kawasan mereka. Lalu apa yang menjadi tarikan kali ini?

Itulah Nong Maryamah yang mahu turut serta dalam pertandingan tahun ini. Mengapa tidak? Sebenarnya hanya peserta lelaki sahaja bisa bertanding. Itu adat turun-temurun. Gempar juga dibuatnya. Namun Nong tidak mahu berganjak. Ada banyak sebab. Antaranya mahu mengalahkan bekas suaminya yang sangat pintar bermain catur. Misi peribadi yang beliau impikan.

Sekali lagi Ikal menjadi watak utama di sebalik semua ini. Ikal berkawan baik dengan seorang Grandmaster catur dari luar negara. Itulah rakan sekuliahnya semasa menuntut di universiti. Saban hari Ikal mengayuh basikal menuju kafe berinternet untuk menghantar emel dan mempelajari strategi catur lalu diajar kembali kepada Nong. Dalam hal ini saya kagum dengan semangat setiakawan Ikal dan kegigihan Nong mempelajari benda baru.

Catur tu.. Saya pun tak berapa mahir meskipun selalu dilatih ayah semasa kecil. Tapi ya, minat itu tidak diteruskan lantaran saya sendiri memilih untuk tidak mahu bermain lagi. Hanya adik-adik yang kekal bersemangat.

Berbalik kepada buku ini, ia ditamatkan dengan satu kepuasan. Bijak sekali Ikal menata aksara. Bahagia.

Buku 78 / 2021

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#BacaanJulai
Rehabilitasi. Suatu bidang baru yang saya kurang ilmu tentangnya. Sebelum ini pernah dengar tentang terapi carakerja. Itu pun beberapa kali jumpa istilah pekerjaan ini semasa belajar bidang Pendidikan Khas di kampus dahulu.

Apabila mula mengajar, ambil tahu serba sedikit kerana anak-anak murid ada yang menerima sesi rawatan bersama mereka. Apabila adik bongsu ditugaskan ke jabatan rehab, barulah lebih tahu serba sedikit skop kerja mereka.

Tugas sebagai doktor menemukan mereka dengan ramai orang setiap hari. Pelbagai jenis kerenah dihadapi. Doktor dan pesakit tetaplah manusia yang kaya emosi. Setiap yang berlaku dapat kita ambil iktibar. Hanya bagi mereka yang mahu berfikir.

Ia bukan semata tugas merawat sakit. Ada teguran, nasihat, pengajaran dan ibrah dari naskhah ini.

Jangan buruk sangka - boleh jadi pesakit itu marah-marah kerana emosi ketika sakit. Boleh jadi si anak yang khusyuk menatal skrin telefon sebenarnya sedang menaip apa kata doktor tentang si ayah.

Jangan culas makan ubat - doktor memantau kesihatan menyeluruh pesakit seperti tekanan darah, fungsi buah pinggang dan sebagainya. Mengambil ubatan alternatif tanpa pantauan membahayakan diri.

Adab - sedih sekali melihat waris menumpahkan amarah kepada perawat. Semua berusaha yang terbaik untuk membantu tetapi kata makian yang dihamburkan pasti mengundang kesan emosi kepada semua. Tiadakah sekelumit rasa hormat kepada doktor dan jururawat?
Namun ramai lagi yang menghargai jasa perawat. Itulah yang menjadi bumbu semangat untuk terus berkhidmat.

Walau apa pun profesyen, galaslah tanggungjawab sebaiknya. Insya-Allah.

Buku 79 / 2021

#MisiMembacaAina #AinaBaca2021
#BacaanJulai
64 Kisah Sebab Turun Ayat Al-Qur'an ini diilustrasikan dengan sedikit gambar kartun dan berwarna penuh. Ia mengandungi 64 kisah dengan pecahan 3 bab iaitu Kisah Asbabun Nuzul, Kisah Kebesaran Al-Quran dan Kisah Orang-orang Saleh dengan Al-Quran.

Membaca buku ini mengingatkan saya dengan buku Al-Quran Yang Belum Kita Baca karangan Ustaz Luqman Makhtar. Tema sama tetapi cerita berlainan. Bertambah lagi cerita tentang kehebatan Al-Quran. Masya-Allah.

Kadang-kadang kita nak sangat bercerita tentang kisah tauladan dan kisah Al-Quran dengan anak-anak. Tapi disebabkan kurang yakin dan kurang ilmu, kita pun diam sahaja. Buku sebegini membantu ibu ayah mahupun guru mencari modal ilmu untuk disampaikan kepada anak-anak dan murid. Anak-anak suka mendengar cerita.

Satu kisah yang baru saya maklum asbabun nuzulnya ialah berkaitan surah al-Baqarah ayat 187 : Makan dan minumlah hingga terang bagimu benang putih dan benang hitam dari waktu fajar. Ini ayat berkaitan bulan Ramadan.

Seorang sahabat Nabi mentafsirkan ayat ini dengan meletakkan tali hitam dan putih yang diikat bersama disimpan di bawah bantalnya setiap malam sebelum tidur. Hatim bin Adi namanya. Setiap tengah malam dia akan bangun untuk melihat bilalah masuk waktu fajar. Tapi keadaan gelap jadi dia tak dapat membezakannya.

Lalu diajukan kemusykilan kepada baginda Nabi. Nabi tersenyum dan menjelaskan yang dimaksudkan dengan terang bagimu benang putih dari benang hitam dari waktu fajar ialah hitamnya malam dan putihnya siang.

Beruntung sahabat ini mempunyai baginda sebagai rujukan. Dan dapat diketahui sahabat-sahabat Nabi jenis orang yang terus praktikkan amalan yang diketahui walaupun 1 ayat.

Buku 80 / 2021

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#BacaanJulai
Menariknya maklumat tentang Thailand dalam buku ini. Seingat saya, pernah masuk ke Siam sekali semasa masih bersekolah dahulu. Itu pun mengikut mak ngah dan pak ngah ada urusan di sana. Pengalaman pertama melepasi kastam Padang Besar. Tidak banyak yang saya ingati kecuali penduduknya ramah, boleh berbahasa Melayu dengan baik dan makanan yang dijual kena dengan selera.

Dalam buku ini info dibahagikan kepada lima bahagian. Antaranya perihal sejarah dan budaya Thai, senarai semak yang perlu sebelum kembara ke Thai, penerangan tempat menarik dan bucket list untuk pengembara. Panjang senarainya. Saya belum pernah berkunjung ke sana hanya mendengar sahabat handai yang sudah ke Krabi sahaja bercerita tentang cantiknya pemandangan.

Mungkin suatu hari nanti. Siapa tahu, kan?

Buku 81 / 2021

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#BacaanJulai
Ramai rakan telah berkongsi hasil bacaan mereka sepanjang Julai. Saya suka melihat pilihan buku mereka. Jika ada ulasan, ia satu bonus. Kita tidak mampu untuk membaca semua genre dan semua buku yang ada di dunia.

Macam saya, genre misteri dan mistik bukan lagi satu kegemaran. Saya kurang fokus membaca buku sebegitu. Tambahan lagi, saya cepat terbawa-bawa ke alam realiti. Nanti mulalah terbayang adegan mistik hingga tidak boleh tidur. Aduhai.

Julai menyaksikan yang saya banyak membaca buku fiksyen. Sesuatu yang jarang berlaku. Kali ini direzekikan ada bahan bacaan tersebut di rumah. Setiap satunya tetap ada nilai dan pengajaran.

Misalnya buku Dewi terbitan Jemari Seni. Rupanya ada 7 cerita di dalamnya. Ambil masa beberapa hari juga untuk dihabiskan. Ada kisah kekeluargaan, persahabatan dan percintaan.

Boleh belajar dari watak-watak itu bagaimana mereka menghadapi dan menyelesaikan kemelut yang melanda.

Buku S-K-Y pula berfokus kepada watak utama, Shakirah atau lebih mesra dipanggil Sky seorang insan bermasalah pendengaran. Ada isu besar yang dirungkai oleh penulis iaitu isu anxiety.

Memang membuka mata saya akan cabaran yang dihadapi orang yang mengalami anxiety ini. Semoga mereka terus kuat dan diberi sokongan sebaiknya.

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#BacaanJulai