Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
5.67K subscribers
148 photos
3 videos
21 files
827 links
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِى الدِّينِ

"Barangsiapa yang Allah Taala kehendaki dengannya akan kebaikan, nescaya diberikannya kefahaman pada agama..."(Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Download Telegram
Assalamualaikum Dr
Saya Fadzli dari Johor
Saya ada sedikit kemusykilan berkenaan solat Qasar
Apa yg perlu dilakukan oleh seseorang yg terlajak rokaat dlm solat yg telah berniat qasar?
Adakah kena teruskan solat tamam atau kena terus duduk kpd tahiyat akhir?

Jawapan kami;

Jika seseorang yang melaksanakan solat qasar bangun ke rakaat ketiga tanpa berniat mentamamkan (sempurna bilangan rakaat) solat atau berniat bermukim dalam keadaan sengaja dan tahu tentang hukumnya, nescaya solatnya batal.

Adapun, jika dia bangun ke rakaat ketiga dalam keadaan lupa, maka dia diberikan dua pilihan, iaitu :

1) Jika dia ingin meneruskan solat qasarnya setelah dia teringat daripada lupa tersebut, maka dia wajib kembali duduk melaksanakan tahiyyat akhir. Kemudian disunatkan baginya melaksanakan sujud sahwi sebelum memberi salam.

2) Jika dia ingin mentamamkan (sempurna bilangan rakaat) solatnya setelah dia teringat daripada lupa tersebut, maka dia wajib kembali duduk tahiyyat dan berniat untuk mentamamkan solat sebelum bangun menambah baki rakaatnya. Kemudian disunatkan baginya melaksanakan sujud sahwi sebelum memberi salam.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan

- Asna al-Matalib
- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Fath al-‘Allam

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel
Pengetahuan_Masyarakat_Islam_Terhadap_Perceraian_Luar_Mahkamah_Di.pdf
431.3 KB
Pengetahuan Masyarakat Islam Terhadap Perceraian Luar Mahkamah di Daerah Tampin, Negeri Sembilan (Volume 4, 2016, Malaysian Journal of Syariah and Law, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Pengaruh_Kitab_Minhāj_al_Ṭālibīn,_Karya_Imam_Al_Nawawi_Dalam_Bab.pdf
3.6 MB
Pengaruh Kitab Minhāj al-Ṭālibīn, Karya Imam al-Nawawi Dalam Bab Munakahat, Kitab Mir’at al-Ṭullāb, Karya Shaykh Abdul Rauf al-Singkili (Volume 8 | 03- Issue Pages: 3-10, Jurnal Antarabangsa Alam dan Tamadun Melayu, September 2020)
Corroboration_of_marriages_chapter_mirat_al_tullab_guide_in_malay.pdf
507 KB
Corroboration of Marriage’s Chapter Mir’at al-Tullab: Guide in Malay World (Vol. 10, No. 12, 2020, Pg.  128-136 , International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences)
Munākahāt_Marriage_from_the_Perspective_Shaykh_Abdul_Rauf_Bin_Ali.pdf
190.7 KB
Munākahāt (Marriage) from the Perspective Shaykh Abdul Rauf Bin Ali al-Fansūri al-Singkīli in Mushrip Mir'at al-Tullāb: One Introduction (Volume 11 | 08-Special Issue, Pages:  240-244 , JARDCS, 2019)
Assalamualaikum, sy ada baca buku syarat sah tayammum mesti tahu qiblat dulu klu tak, tak sah..ada buku tak letak pun syarat tu, jd mane satu ustaz?

Jawapan kami;

Ulama Mazhab Syafi‘i berbeza pandangan mengenai hukum mencari arah kiblat sebelum seseorang bertayammum.

Menurut pandangan Imam al-Nawawi, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari dalam Kitab al-Tahrir dan Syeikh Ibn Hajar, disyaratkan mesti berijtihad mencari arah kiblat sebelum seseorang bertayammum. Justeru, jika dia bertayammum sebelum berijtihad mencari arah kiblat, maka tayammumnya tidak sah. Ia dikiaskan dengan hukum bertayammum sebelum menghilangkan najis yang tidak dimaafkan pada badan.

Manakala menurut pandangnn Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari dalam Kitab Syarh al-Rawdh, Syeikh al-Ramli dan al-Khatib al-Syirbini pula, tidak disyaratkan mesti berijtihad mencari arah kiblat sebelum seseorang bertayammum. Justeru, jika dia bertayammum sebelum berijtihad mencari arah kiblat, maka tayammumnya sah. Ia dikiaskan dengan hukum bertayammum sebelum menutup aurat yang terbuka.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan

- Al-Tahqiq
- Rawdhah al-Talibin
- Al-Majmuk
- Asna al-Matalib
- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Hasyiah al-Syarqawi
- Hasyiah al-Tarmasi
- Al-Manhal al-Naddhakh

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel
Assalamualaikum ustaz,  jikalau di dalam solat masa baca al fatihah tu kita waqaf pada صراط الذين أنعمت عليهم lepas tu sambung balik pada غير المغضوب عليهم ولا الضالين pula, apa hukumnya ustaz?

Jawapan kami;

Menurut pandangan ulama fiqah Mazhab Syafi‘i, hukum waqaf (berhenti) pada أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ adalah khilaf al-awla (bercanggah dengan yang lebih utama). Justeru, sunat bagi seseorang yang solat tidak waqaf pada أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ. Namun, jika dia waqaf pada أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ, maka solatnya tidak batal.

Disebutkan dalam Fath al-Muin :

والأولى أن لا يقف على (أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ) لأنه ليس بوقف ولا منتهى آية عندنا فإن وقف على هذا لم تسن الإعادة من أول الآية.

Dan yang lebih utama, bahawa tidak diwaqafkan pada أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ, kerana sesungguhnya ia bukanlah tempat waqaf dan bukan penghabisan ayat di sisi kita (Mazhab Syafi‘i). Maka jika seseorang telah waqaf padanya, tidak disunatkan mengulanginya dari permulaan ayat.”

Bahkan, yang lebih utama (awla) baginya adalah menyambung ayat seterusnya dan tidak sunat mengulangi ayat tersebut dari awal sekalipun waqaf di situ tidak elok mengikut uruf (kebiasaan yang diamalkan) qurra' (ulama qiraat). Hal ini bagi meraikan pandangan sebilangan ulama yang mengatakan ia termasuk dalam perbuatan mengulangi sebahagian rukun qauli (bacaan) yang boleh membatalkan solat menurut mereka. 
اليسع
Wallahu a‘lam.

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk artikel berikut : 

bit.ly/waqafalaihim

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel
Assalamualaikum ustaz, sembahyang raya afdhal buat dimasjid ke padang?

Jawapan kami;

Secara asasnya, solat sunat hari raya harus dilaksanakan di mana-mana tempat yang bersesuaian. Walau bagaimanapun, ulama berbeza pandangan tentang tempat yang paling afdal untuk melaksanakannya.

Menurut pandangan ulama Mazhab Syafi‘i yang muktamad, melaksanakan solat sunat hari raya di masjid adalah awla (lebih utama) dan afdal berbanding tanah lapang jika masjid tersebut masih mampu menampung jemaah. Inilah pandangan yang telah dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam Kitab al-Umm, pandangan Imam al-Syirazi, majoriti al-‘Iraqiyyun (ulama Iraq), Imam al-Baghawi dan lain-lain.

Bahkan, melaksanakannya di tempat selain masjid hukumnya adalah khilaf al-awla (bertentangan dengan yang lebih utama).

Disebutkan oleh Imam al-Nawawi :

وَفِعْلُهَا بِالْمَسْجِدِ أَفْضَلُ

Melakukannya (solat sunat hari raya) di masjid adalah afdal."

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk artikel berikut :

bit.ly/rayamasjid
اليسع
Wallahu a‘lam.

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel
RINGKASAN HUKUM JIKA TERTINGGAL TAKBIR KETIKA SOLAT RAYA

1. Takbir sebanyak 7x dalam rakaat pertama dan 5x dalam rakaat kedua solat sunat hari raya termasuk dalam kategori sunat haiat solat.

2. Takbir tersebut sunat dibaca antara Doa Iftitah dan Ta‘awwuz (sebelum al-Fatihah).

3. Justeru, sesiapa yang terlepas membacanya sehingga telah memulakan bacaan Surah al-Fatihah, maka luputlah tuntutan membacanya dan tidak lagi dituntut kembali untuk membacanya.

4. Menurut Syeikh al-Ramli, sunat membaca takbir yang ditinggalkan pada rakaat pertama (7x) dalam rakaat kedua (5x+7x= 12x).

5. Kalau imam meninggalkan takbir tersebut, makmum tidak sunat membacanya. Jika makmum membacanya juga, maka solat makmum tidak batal.

6. Sunat mengikut bilangan takbir yang dilakukan oleh imam sekalipun bilangan takbirnya kurang atau terlebih.

7. Meninggalkan takbir tersebut tidak membatalkan solat sama ada ia ditinggalkan secara sengaja atau tidak.

8. Tidak disunatkan melakukan sujud sahwi disebabkan meninggalkan takbir tersebut sekalipun makruh meninggalkan kesemua atau sebahagiannya.

9. Juga tidak disunatkan mengulangi solat sunat hari raya semata-mata kerana meninggalkan takbir tersebut.

10. Walau bagaimanapun, sunat mengulangi solat sunat hari raya atas alasan kerana ia termasuk dalam kategori solat yang dituntut untuk dilakukan secara berjemaah dengan beberapa syarat tertentu.

11. Antara syarat sah solat yang diulang (معادة) ialah solat tersebut mestilah dilaksanakan secara berjemaah. Menurut Syeikh al-Ramli, disyaratkan berjemaah dari awal hingga akhir solat. Menurut Syeikh Ibn Hajar, memadai berjemaah sekurang-kurangnya serakaat.

12. Menurut pandangan yang kuat (rajih) di sisi Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh Ali al-Syabramallisi, tidak disyaratkan menghadirkan niat mengulangi solat (الإعادة) ketika takbiratul ihram.

13. Sehubungan dengan itu, perkara yang wajib diniatkan ketika takbiratul ihram solat sunat hari raya ulangan ialah :

i. Qasad.
ii. Ta‘yin.
iii. Jadi makmum/jadi imam/secara berjemaah/mengikut imam/berimamkan imam yang hadir/solat bersama imam.

Contoh lafaz niat : “sahaja aku solat eid al-Adha/al-Fitri jadi imam/makmum..."
اليسع
Wallahu a‘lam.

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel
assalamualaikum ustaz,
Imam Lupa qunut atau tahiyat awal ,
adakah makmum boleh buat qunut atau tahiyat awal tersebut ?
adakah hukum Sunat  makmum buat ?

Jawapan kami;

1) Doa qunut

Berkaitan permasalahan imam meninggalkan qunut, sila rujuk jawapan berikut :

https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel/698

2) Tahiyat awal

1. Makmum wajib mengikut imam jika imam meninggalkan tahiyat awal.

2. Makmum tidak harus ketinggalan daripada imamnya untuk melakukan tahiyyat awal tanpa berniat mufaraqah (berpisah daripada mengikut imam) jika imam meninggalkan duduk istirahah dan tahiyat awal.

3. Imam dan makmum disunatkan melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam kerana meninggalkan tahiyat awal tersebut.

4. Jika imam tidak melakukan sujud sahwi kerana meninggalkan tahiyat awal tersebut, maka makmum disunatkan juga melakukan sujud sahwi.

5. Ulama berbeza pandangan jika imam meninggalkan tahiyat awal padahal dia melakukan duduk istirahah sepertimana berikut :

i. Menurut pandangan Syeikh al-Ramli dan Syeikh al-Khatib al-Syirbini, makmum tidak harus ketinggalan daripada imamnya untuk melakukan tahiyyat awal tanpa berniat mufaraqah. Malah, Syeikh Ibn Hajar turut cenderung dengan pandangan ini. Inilah pandangan yang kuat (rajih) dalam Mazhab Syafi‘i.

ii. Menurut pandangan Syeikh al-Sayyid al-Bakri dan diikuti oleh T.G. Hj. Abdul Rahman Lubuk Tapah, harus bagi makmum ketinggalan daripada imamnya untuk melakukan tahiyyat awal tanpa berniat mufaraqah jika imam melakukan duduk istirahah. Namun, ini adalah pandangan yang lemah (marjuh).

6. Oleh itu, jika makmum ketinggalan daripada imamnya untuk melakukan tahiyyat awal tanpa berniat mufaraqah dengan sengaja dan tahu tentang hukumnya, maka solatnya batal sekalipun imam melakukan duduk istirahah.

7. Adapun jika imam melakukan tahiyyat awal, sedangkan makmum tertinggal tahiyyat awal tersebut kerana lupa atau sengaja, maka boleh rujuk jawapan berikut :

https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel/21
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan

- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Sabil al-Muhtadin
- Hasyiah al-Baijuri
- Hasyiah I‘anah al-Talibin
- Tarsyih al-Mustafidin
- Fath al-‘Allam
- Hasyiah al-Tarmasi
- Wabl al-Ghamam
- Pedoman Sembahyang Berjemaah

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel
Nisbah Ulama Mazhab Syafi‘i (1)

Syeikh Sulaymān al-Bijīrimī@al-Bujairimī.

Antara karya fiqahnya yang masyhur adalah :

1) Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib (Tuhfah al-Khatib ‘ala Syarh al-Khatib), iaitu huraian bagi Kitab al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, karya Syeikh al-Khatib al-Syirbini.

2) Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Manhaj al-Tullab (al-Tajrid li Naf‘i al-‘Abid), iaitu huraian bagi Kitab Fath al-Wahhab, karya Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari.

Dalam kitab mutakhir Mazhab Syafi‘i, beliau dirumuzkan (isyarat) dengan (ب ج @ ب م).

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel
Nisbah Ulama Mazhab Syafi‘i (2)

Syeikh Ali al-Syabrāmallisi@al-Syubrāmillisi.

Karya fiqahnya yang paling masyhur adalah Hasyiah al-Syabrāmallisi@al-Syubrāmillisi ‘ala Nihayah al-Muhtaj, iaitu huraian bagi Kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj‘, karya Syeikh Syamsuddin@Jamaluddin al-Ramli (al-Ramli al-Saghir).

Dalam kitab mutakhir Mazhab Syafi‘i, beliau dirumuzkan (isyarat) dengan (ع ش).

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel
Ringkasan Hukum Berkaitan Pengurusan Mayat Bayi.pdf
62.5 KB
Ringkasan Hukum Berkaitan Pengurusan Mayat Bayi
Nisbah Ulama Mazhab Syafi‘i (3)

Syeikh Ibrahim al-Baijūri@al-Bājūri.

Karya fiqahnya yang paling masyhur adalah Hasyiah al-Baijuri@al-Bajuri ‘ala Syarh al-‘Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi, iaitu huraian bagi Kitab Fath al-Qarib al-Mujib, karya al-‘Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi.

Dalam kitab mutakhir Mazhab Syafi‘i, beliau dirumuzkan (isyarat) dengan (با ج).

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel
Nisbah Ulama Mazhab Syafi‘i (4)

Imam Syamsuddin Muhammad al-Khatib al-Syirbīni.

Antara karya fiqahnya yang paling masyhur dan kerap dirujuk adalah :

1) Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, iaitu huraian bagi Kitab Minhaj al-Talibin, karya Imam al-Nawawi.

2) Al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, iaitu huraian bagi Kitab Ghayah al-Ikhtasar (Matn Abi Syuja‘), karya Imam Qadhi Abu Syuja‘

Dalam kitab mutakhir Mazhab Syafi‘i, beliau dirumuzkan (isyarat) dengan (خط @ خ ط).

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel
Niat Korban

1) Niat korban adalah salah satu daripada syarat sah korban (wajib berniat).

2) Jika seseorang tidak berniat, maka korbannya tidak sah.

3) Niat untuk berkorban tempatnya di hati. Namun, sunat melafazkannya dengan lidah.

- Lafaz niat bagi korban sunat adalah seperti berikut :

نَوَيْتُ الأُضْحِيَّةَ الْمَسْنُوْنَةَ

"Sahaja aku melakukan korban yang sunat."

نَوَيْتُ أَدَاءَ سُنَّةِ التَّضْحِيَّةِ

"Sahaja aku melaksanakan sunat korban."

4) Niat di hati untuk berkorban boleh dilakukan ketika menyembelih binatang atau sebelumnya.

5) Harus mendahulukan niat sebelum menyembelih korban (selain binatang yang telah dita‘yinkan pada permulaan dengan nazar) dengan 2 syarat, iaitu :

1. Setelah menentukan mana satu binatang yang ingin dikorbankan.
2. Setelah masuk waktu korban (muktamad).

6) Justeru, boleh berniat korban ketika :

- menyembelih sendiri binatang korban.
- mengasingkan binatangnya di kandang.
- menyerahkan binatang kepada pihak yang menguruskan korban.
- menyerahkan binatang kepada penyembelih.
- binatang disembelih oleh wakil.
- menentukan binatang korban yang telah dimiliki.
- mewakilkan niat kepada penyembelih (muslim & mumayyiz) bagi pihaknya.
- mewakilkan niat bagi pihaknya semasa wakil serah binatang kepada penyembelih.
- membeli binatang korban.

7) Jika seseorang berniat di hati untuk melakukan korban sunat tanpa dilafazkan, maka ia akan menjadi korban sunat.

8) Jika seseorang berniat di hati untuk melakukan korban wajib tanpa dilafazkan, maka ia tidak akan menjadi korban wajib.

Hal ini kerana korban tidak menjadi wajib melainkan dengan sebab nazar (hakiki atau hukmi). Sedangkan nazar tidak berlaku melainkan dengan lafaz.

9) Jika seseorang berlafaz :

نَوَيْتُ الأُضْحِيَّةَ الْمَسْنُوْنَةَ

"Sahaja aku melakukan korban yang sunat."

dan berniat di hati untuk melakukan korban, maka ia akan menjadi korban sunat.

10) Jika seseorang berlafaz :

نَوَيْتُ الأُضْحِيَّةَ

"Sahaja aku melakukan korban."

dan berniat di hati untuk melakukan korban sunat, maka ia akan menjadi korban sunat.

Hal ini berdasarkan ketentuan, perkara yang diambil kira pada niat adalah apa yang di hati, bukan pada lisan.

11) Jika seseorang berlafaz :

نَوَيْتُ الأُضْحِيَّةَ

"Sahaja aku melakukan korban."

dan berniat di hati untuk melakukan korban wajib atau tidak menentukan korban wajib atau sunat (itlaq), maka ia akan menjadi korban wajib.

Hal ini kerana lafaz tersebut termasuk dalam kategori insya' (الإنشاء) (mengadakan lafaz iltizam) yang mesti ditunaikan, bukan semata-mata pernyataan (الإخبار).
اليسع
Wallahu a‘lam.

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel
Assalamualaikum barakallahu fikum ustz nak tanya, jika imam tak takbir 7kali dlm solat hari raya dan terus membaca surah AL Fatihah setelah itu baru dia takbir sebab baru teringat, apa hukum perbuatan dan solatnya?

Jawapan kami;

Takbir sebanyak 7x dalam rakaat pertama dan 5x dalam rakaat kedua solat sunat hari raya termasuk dalam kategori sunat haiat solat.

Ia sunat dibaca antara Doa Iftitah dan Ta‘awwuz (sebelum al-Fatihah).

Namun, jika takbir tersebut dibaca selepas membaca Surah al-Fatihah, maka ia tidak membatalkan solat. Walau bagaimanapun, bacaan Surah al-Fatihah sunat diulangi semula.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan

- Al-Majmuk
- Asna al-Matalib
- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Sabil al-Muhtadin
- Busyra al-Karim

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel
Adakah kene berniat untuk buat sujud sahwi

Jawapan kami;

Imam dan seseorang yang solat bersendirian wajib berniat melakukan sujud sahwi tanpa melafazkannya. Hal ini kerana niat melakukan solat ketika takbiratul ihram tidak merangkumi niat melakukan sujud sahwi. Selain itu juga, tidak dituntut membaca tasyahhud (tahiyyat) selepas melakukan sujud sahwi.

Sehubungan dengan itu, niat melakukan sujud sahwi mesti dihadirkan di dalam hati ketika ingin turun melakukannya.

Contoh niat sujud sahwi di dalam hati adalah seperti berikut :

"Sahaja aku sujud sahwi kerana meninggalkan qunut dan seumpamanya..."

Justeru, jika dia melakukan sujud sahwi tanpa berniat melakukannya atau dia melafazkan niat dengan sengaja dan tahu tentang hukumnya, maka solatnya batal.

Makmum pula tidak wajib berniat sujud sahwi ketika mengikut imamnya melakukan sujud sahwi.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan

- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Hasyiah al-Qalyubi
- Hasyiah al-Bujairimi
- Sabil al-Muhtadin
- Hasyiah al-Baijuri
- Hasyiah I‘anah al-Talibin
- Fath al-‘Allam
- Hidayah al-Sibyan
- Sullam al-Sibyan

Koleksi Q&A Ustaz Dr. Alyasak
https://t.me/Q_A_Us_Alyasak_channel