MEKANIK IMAN.
334 subscribers
1.84K photos
531 videos
99 files
4.31K links
Bismillahirrahmanirrahim...

Jom perbaiki Iman dan Amal kita yang merupakan kunci dan bekalan kita di akhirat.

Jom join Group Soal Jawab Fiqh di sini
👉 https://t.me/+FdV3VML4jH4xOWY9

Semoga bermanfaat buat semua. Aamiin
Download Telegram
Forwarded from 1 Hari 1 Hadis
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin Yang Allah Tutup Rahmat dan Bantuan

مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَاحْتَجَبَ دُونَ حَاجَتِهِمْ وَخَلَّتِهِمْ وَفَقْرِهِمْ احْتَجَبَ اللَّهُ عَنْهُ دُونَ حَاجَتِهِ وَخَلَّتِهِ وَفَقْرِهِ

"Barangsiapa yang Allah 'azza wajalla serahkan kepadanya sebahagian urusan orang muslim (kepimpinan) namun ia menutup diri dari melayani keperluan mereka dan kefakiran mereka, nescaya Allah menutup diri darinya dan tidak melayani keperluannya, serta kefakirannya (pada hari kiamat)." (Sunan Abu Daud No: 2559) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap orang yang diberikan tanggungjawab kepimpinan perlu memiliki sikap amanah menunaikan kewajipan mereka yang berada di bawah kepimpinannya.

2. Antara tanggungjawab kepimpinan ialah sentiasa memenuhi keperluan mereka di samping membantu kesusahan yang dialami.

3. Pemimpin yang tidak mengindahkan keperluan dan kesusahan orang yang berada di bawah kepimpinannya, nescaya Allah juga tidak akan memenuhi keperluan dan kesusahannya pada hari Kiamat kelak.

4. Sebagai pemimpin dimana sahaja peringkat kepimpinan, berusahalah memenuhi keperluan mereka yang berada di bawah kita tanpa mengira bangsa, agama mahupun kumpulan.

5. Pemimpin yang dilantik mesti bersedia menjadi khadam kepada rakyat. Bukan rakyat yang terpaksa menjadi khadam kepada pemimpin.

Jadilah pemimpin yang berintegriti, sentiasa prihatin dan berusaha memenuhi keperluan orang yang berada di bawah kepimpinannya.

Pemimpin Khadam Rakyat

#TeguhBersama
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

14hb Nov 2022
19hb Rabiul Akhir 1444H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
Bila Rasulullah sayang seseorang

Sekiranya kita sayang kepada seseorang, kita sepatutnya mengajarkan kepada mereka perkara yang baik dan bukannya mendedahkan kepada mereka perkara yang tidak baik.

Ini dapat difahami dari sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud. Dalam hadith ini, Rasulullah pernah menzahirkan rasa sayang Baginda kepada Muaz bin Jabal. Sabda Rasulullah:

يَا مُعَاذُ ! وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّكَ ، وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّكَ

“Wahai Muaz, Wallahi, sesungguhnya aku sayang kepada engkau, Wallahi, sesungguhnya aku sayang kepada engkau.”

Namun ucapan Rasulullah tidak terhenti disini sahaja. Baginda seterusnya berpesan kepada Muaz agar sentiasa membaca satu doa khusus dipenghujung solat atau setelah selesai dari solat. Pesan Rasulullah: “Wahai Muaz, janganlah kamu lupa untuk membacakan doa ini dipenghujung solat:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Hadith ini menggambarkan kepada kita bahawa apabila Rasulullah sayang kepada seseorang, Rasulullah menzahirkan rasa sayang Baginda kepada mereka. Bahkan apa yang lebih utama adalah Baginda mengajarkan perkara yang baik kepada orang yang disayangi.

Begitu juga apabila kita sayang seseorang, kita seharusnya mengajarkan kepada mereka perkara yang baik. Bukan mengajak atau mendedahkan mereka kepada perkara yang tidak baik.

Malah apabila kita sayang kepada seseorang, kita juga hendaklah menegah mereka dari melakukan kepada perkara yang tidak baik. Perkara ini dapat diperhatikan apabila Rasulullah menegur Muaz dalam situasi yang lain. Baginda membidas Muaz dengan lafaz yang agak keras apabila Muaz membaca surah yang panjang di dalam solat. Sabda Rasulullah:

يَا مُعَاذُ، أَفَتَّانٌ أَنْتَ - ثَلاَثًا - اقْرَأْ: وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى وَنَحْوَهَا

“Wahai Muaz, pakah engkau ingin menimbulkan fitnah?! (Sebahagian riwayat menyebutkan bahawa kata-kata ini diulang Rasulullah sebanyak tiga kali. Seolah Baginda ingin memberikan kesan mendalam kepada pemahaman Muaz.) Bacalah surah asy-Syams atau al-A’la atau surah sepertinya.

Perhatikan hadith ini bagaimana Rasulullah menegur Muaz dengan nada yang agak keras ketika Muaz melakukan kesilapan disini. Ia adalah semata bagi memastikan orang yang disayangi tidak terjebak kepada kesalahan yang berterusan.

Melalui hadith ini, dapat kita fahami bahawa apabila kita sayang seseorang, kita hendaklah mengajarkan kepada mereka perkara yang baik. Apabila mereka melakukan kesilapan, kita tegur dan perbaiki mereka.

Bukan kita yang mengajak mereka melakukan kejahatan. Andai sekiranya kawan kita yang mengajarkan kejahatan, kita perlu menegur mereka. Kerana kawan yang baik membimbing kepada kebaikan.
Amanah

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوۤا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمۡ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)".
(al-Anfal: 27)

Di akhir zaman, hampirnya kiamat akan muncul ramai pemimpin pengkhianat dan golongan yang tidak amanah dalam mengendalikan urusan kaum Muslimin. Mereka menguruskan negara dan rakyat bawahan berpandukan nafsu, akal dan serakah serta penuh pendustaan. Namun mereka tetap berpengaruh dan dipercayai walau mereka khianat dan jahat.

Diriwayatkan daripada Sayidina Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur malah didustakan, pengkhianat dipercayai sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu golongan Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya: “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?”. Baginda SAW menjawab: “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat umum”.
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Hadith ini mengingatkan kita beberapa perkara besar yang perlu dihayati, antaranya ialah:

1. Peringatan akan bahaya berbicara tanpa landasan ilmu kerana akan sesat dan menyesatkan orang bawahan dan masyarakat umum.

2. Menunjukkan pentingnya kejujuran dan peringatan tentang bahaya kedustaan serta jangan jadikan pendusta dan pengkhianat sebagai pemimpin.

3. Mengingatkan betapa pentingnya menjaga amanah dan memberi ancaman tentang bahaya mengkhianati amanah. Sabda Nabi SAW: Tidak sempurna iman pada diri orang yang tidak memiliki sifat amanah”.
(Hadith Riwayat al-Baihaqi)

4. Menunjukkan jalan keluar ketika menghadapi situasi kacau bilau seumpama itu adalah dengan kembali kepada ilmu dan ulama'. Yang dimaksudkan ilmu adalah al-Quran dan as-Sunnah dengan pemahaman yang benar dan jelas sebagaimana yang dibahaskan oleh golongan mufassirin. Dan yang dimaksudkan ulamak adalah ahli ilmu yang mengikuti perjalanan Nabi, para sahabat dan para imam mujahid dalam hal ilmu, amal, dakwah, mahu pun jihad.

Pilihlah pemimpin yang jujur, soleh, bijak dan berilmu. Maka para pemimpin, jangan sesekali mengkhianati amanah yang telah diberikan. Laksanakan dengan penuh kesempurnaan dan ketakutan akan azabNya.
Daripada Anas رضي الله عنه secara marfu'

إذا تاب العبد من ذنوبه أنسى الله الحفظة ذنوبه، وأنسى ذلك جوارحه ومقامه ومعالمه من الأرض حتى يلقى الله يلقى الله يوم

“Apabila bertaubat seorang hamba daripada dosanya. Allah akan menghilangkan ingatan para malaikat penjaga akan dosanya. Allah akan membuatkan anggota tubuhnya lupa akan dosa ia kedudukannya dan petunjuk pada bumi sehingga dia bertemu Allah pada hari kiamat dalam keadaan tiada keatasnya satu saksi pun, kecuali Allah yang mengetahui (sekalipun) tentang satu dosa”

{HR. Asakir & Asbahani}
19 Rabiul Akhir 1444H
14 November 2022M

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

Menuntut dan merebut rahmat kasih sayang Allah melalui jalan:

1. Menjunjung ketaatan kepadaNya.

وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَالرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Dan taatilah Allah dan Rasul, supaya kamu diberi rahmat.
(Ali 'Imran: 132)

قَدۡ أَفۡلَحَ مَن تَزَكَّىٰ. وَذَكَرَ ٱسۡمَ رَبِّهِۦ فَصَلَّىٰ

"Sesungguhnya berjayalah orang yang - setelah menerima peringatan itu - berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk)."
(Al-A'la:14-15)

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada rasul, supaya kamu diberi rahmat.
(An Nur: 56)

2. Mengikut ajaran kitabNya dan memuliakannya serta menjunjung ketaqwaan terhadapNya.

وَهَـٰذَا كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ وَاتَّقُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.
(Al An'am: 155)

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Dan apabila dibacakan Al Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.
(Al A'raf: 204)

وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

"dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".
(Al-Qasas: 83)

3. Menuntut keampunanNya.

قَالَ يَا قَوْمِ لِمَ تَسْتَعْجِلُونَ بِالسَّيِّئَةِ قَبْلَ الْحَسَنَةِ ۖ لَوْلَا تَسْتَغْفِرُونَ اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Dia berkata: "Hai kaumku mengapa kamu minta disegerakan keburukan sebelum (kamu minta) kebaikan? Hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, agar kamu mendapat rahmat".
(An Naml: 46)

وَسَارِعُوۤا۟ إِلَىٰ مَغۡفِرَةࣲ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِینَ

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;"
(Ali-Imran: 133)

4. Memelihara ukhuwwah, mengislah hubungan antara manusia.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.
(Al Hujurat: 10)

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”.
(Hadith Riwayat Al-Bukhari)

5. Sentiasa berdoa memohon kebaikan daripadaNya.

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Keduanya berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.
(Al A'raf: 23)

وَاكْتُبْ لَنَا فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ إِنَّا هُدْنَا إِلَيْكَ ۚ قَالَ عَذَابِي أُصِيبُ بِهِ مَنْ أَشَاءُ ۖ وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ ۚ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَالَّذِينَ هُم بِآيَاتِنَا يُؤْمِنُونَ

Dan tetapkanlah untuk kami kebajikan di dunia ini dan di akhirat; sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada Engkau. Allah berfirman: "Siksa-Ku akan Kutimpakan kepada siapa yang Aku kehendaki dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu. Maka akan Aku tetapkan rahmat-Ku untuk orang-orang yang bertakwa, yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami".
(Al A'raf: 156)
وفي صحيح مسلم عن أبي هريرة ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال :
( إن لله مائة رحمة ، أنزل منها رحمة واحدة بين الجن والإنس والبهائم والهوام ، فبها يتعاطفون ، وبها يتراحمون ، وبها تعطف الوحش على ولدها ، وأخر الله تسعا وتسعين رحمة ، يرحم بها عباده يوم القيامة )

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai satu ratus (bahagian) rahmat dan Ia turunkan satu (bahagian) di antara 100 rahmat itu untuk semua jin, manusia, binatang dan serangga di mana dengan satu rahmat itulah mereka saling berkasih-sayang, dan dengan satu rahmat itulah binatang buas mempunyai rasa kasih-sayang terhadap anaknya. Adapun rahmat yang sembilan puluh sembilan itu Allah simpan untuk diberi nanti pada hari kiamat sebagai rasa kasih-sayang terhadap hamba-hambaNya”.
(Hadith Riwayat Muslim)

فَأَثَـٰبَهُمُ ٱللَّهُ بِمَا قَالُوا۟ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِینَ فِیهَاۚ وَذَ ٰ⁠لِكَ جَزَاۤءُ ٱلۡمُحۡسِنِینَ

‎"Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan."
(Al-Ma'idah: 85)

Justeru, janganlah putus asa daripada rahmat dan kasih sayangNya...

~ Abu Imtiyaz ~
Muhasabah malam ini

Ibadah kita tidak seberapa, jangan pula ditambah dosa.

Buatlah Allah redha kepada kita, maka Allah akan limpahkan rahmatNya dengan membuat hidup kita lapang dan bahagia.

#SELAMAT MALAM
#SALAM KEMAAFAN
*بسم اللّه الرحمٌن الرٌحيم*.
*السٌلام عليكم ورحمة اللّه وبركاته*.

*Ketahui dan renunglah hadith ini :*

*عِشْ مَا شِــئْتَ فَإِنَّـكَ مَـيِّتٌ وَأَحْبِبْ مَنْ أَحْبَبْتَ فَإِنَّكَ مُفَارِقُهُ وَاعْـمَلْ مَـا شِئْتَ فَإِنَّـكَ لاَقِـيْـهِ*

Maksudnya : *Hiduplah sesukamu* kerana sesungguhnya *engkau pasti mati..Cintailah siapa pun* yg engkau suka..kerana sesungguhnya *engkau pasti berpisah*..Dan *berbuatlah sesukamu* kerana sesungguhnya *engkau pasti menemui ( balasan ) perbuatanmu itu*..
** Hadith Riwayat *Imam Al-Baihaqi Rahimahullah*.

Dan ketahuilah..ini adalah *kalimah² perintah* yg mengandungi *makna peringatan*..bahawa *hidup..cinta dan perbuatan* mengandungi *batas dan tanggungjawab*..kerana itu..hadith ini *secara tersirat* memuat *peringatan* agar manusia *memanfaatkan usianya dengan baik* sebelum *meninggal dunia*..Jangan terlena dengan *kecintaan yg fana ini* meskipun *terhadap harta atau keluarga*.

*والسّلام...*
Kembangkanlah harta dengan sedekah, dan ini hanya mampu dibuat oleh jiwa yang beriman pada akhirat.

Berhentilah mengembangkan harta dengan cara riba, jika masih juga selesa dan berterusan, itu bermakna jiwa duniawi memang kental dan pekat.

🌹DSK🌹
Forwarded from 1 Hari 1 Hadis
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tidak Bersama Pemimpin Zalim

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ قَالَ خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْ دَخَلَ وَنَحْنُ تِسْعَةٌ وَبَيْنَنَا وِسَادَةٌ مِنْ أَدَمٍ فَقَالَ إِنَّهَا سَتَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ يَكْذِبُونَ وَيَظْلِمُونَ فَمَنْ دَخَلَ عَلَيْهِمْ فَصَدَّقَهُمْ بِكِذْبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ وَلَيْسَ بِوَارِدٍ عَلَيَّ الْحَوْضَ وَمَنْ لَمْ يُصَدِّقْهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَيُعِنْهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَهُوَ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ وَهُوَ وَارِدٌ عَلَيَّ الْحَوْضَ

Dari Ka'ab bin Ujrah ia berkata, "Rasulullah SAW pernah keluar atau masuk menemui kami, ketika itu kami berjumlah sembilan orang. Dan di antara kami ada bantal yang diperbuat dari kulit. Baginda lalu bersabda: "Sesungguhnya akan ada setelahku para pemimpin yang berbuat pendustaan dan kezaliman. Barangsiapa mendatangi mereka kemudian membenarkan pembohongan mereka, atau membantu mereka dalam kezalimannya, maka ia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya. Serta ia tidak akan minum dari telagaku. Dan barangsiapa tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu mereka dalam berbuat kezaliman, maka ia adalah dari golonganku dan aku adalah dari golongannya. Dan kelak ia akan minum dari telagaku." (HR Ahmad No: 17424) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk mencegah kezaliman dan maksiat yang berlaku di sekeliling mereka dengan hikmah dan bijaksana.

2. Sesiapa yang dilantik sebagai pemimpin jangan sekali-kali melakukan pendustaan, pembohongan dan kezaliman.

3. Mana-mana kebenaran dan hak yang dilakukan oleh pemimpin, menjadi kewajipan untuk bersama mempertahankan. Mana-mana yang berbentuk kezaliman dan maksiat, menjadi tanggungjawab untuk menghalangnya daripada berterusan dengan cara yang hikmah dan dibenarkan oleh syarak.

4. Rasulullah SAW memberi amaran kepada mereka yang bersetuju dan masih menyokong mereka dan pembohongan serta kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin di kalangan mereka, Rasulullah SAW tidak mengaku mereka sebahagian dari umatnya dan tidak layak untuk minum air dari telaga Rasulullah SAW.

5. Muslim yang mencanggahi pembohongan dan kezaliman pemimpin di kalangan mereka dan tidak membantu mereka berterusan dalam kezaliman, tidak memilih mereka maka ia bersama Rasulullah dan Rasulullah SAW akan bersamanya dan layak untuk minum air dari telaga Rasulullah SAW.

6. Semoga kita tergolong dari kalangan orang yang bersama dengan Rasulullah SAW di hari Akhirat dan Rasulullah SAW bersama dengan kita. Semoga Negara kita memiliki pemimpin yang adil, amanah dan berintegriti ke arah Malaysia yang maju dan makmur serta di rahmati.

Pemimpin Khadam Umat

#TeguhBersama
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

15hb Nov 2022
20hb Rabiul Akhir 1444H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
Tidak mengendahkan dosa sendiri

Dalam Surah al-Kahfi, Allah mengingatkan bahawa terdapat dua ciri hamba yang paling zalim iaitu mereka yang berpaling dari peringatan ayat-ayat Allah dan mereka melupakan dosa yang telah mereka lakukan sendiri. Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ فَأَعْرَضَ عَنْهَا وَنَسِيَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ

“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya.”

Kedua sifat ini telah menyebabkan Allah menutup pintu hari mereka disebabkan mereka tidak mengendahkan peringatan Allah malah mereka memandang kecil dosa-dosa mereka. Firman Allah SWT lagi dalam ayat seterusnya:

إِنَّا جَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِي آذَانِهِمْ وَقْرًا ۖ

“sesungguhnya (disebabkan sifat mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak).

Oleh yang demikian, ambil perhatian terhadap peringatan yang telah Allah berikan di dalam al-Quran serta jangan memandang kecil dosa yang telah kita lakukan. Dosa menyebabkan pintu hati seseorang tertutup.

Rasulullah SAW mendidik muslim melihat dosa dengan pandangan dosa. Sabda Baginda:
“Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia duduk di bawah gunung, dan dia takut sekiranya gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu melakukan dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya lalu ia terbang.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari)

Semoga Allah membimbing kita.
20 Rabiul Akhir 1444H
15 November 2022M

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

Dirimu dan Al Quran...

عَنْ عُثْمَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

Dari Utsman radliallahu 'anhu, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Orang yang paling baik di antara kalian adalah seorang yang belajar Al Quran dan mengajarkannya."
(Hadith Riwayat Al-Bukhari)

Al-Quran pada hari kiamat akan datang dalam bentuk yang indah kepada orang yang ahli Al-Quran (semasa hidup sentiasa mendampingi, membaca, memahami dan menjadikan petunjuk). Membacanya siang dan malam.

قال ابن القيم رحمه الله:
إذا أردت الانتفاع بالقرآن فاجمع قلبك عند تلاوته وسماعه, والق سمعك, واحضر حضور من يخاطبه به من تكلّم به سبحانه منه إليه, فإنّه خطاب منه لك, على لسان رسوله,
قال تعالى:
{إِنَّ فِي ذَلِكَ لَذِكْرَى لِمَنْ كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى السَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ}

Ibnul Qayyim rahimahullahu ta’ala mengatakan:
“Apabila engkau hendak mengambil manfaat dari Al-Quran, maka kumpulkanlah hatimu ketika sedang membaca dan mendengarkan Al-Quran. Hulurkan pendengaranmu dan hadirkan hatimu, seakan engkaulah yang diajak bicara oleh Allah Ta’ala. Sesungguhnya Dia mengajakmu berbicara dengan perantara lisan Rasul-Nya.”

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَذِكْرَى لِمَنْ كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى السَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.
(Qaaf: 37)

Rasulullah SAW ada mengingatkan kita;
“Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu itu sebagai kuburan.”
(Hadith Riwayat Muslim)

Apakah sifat bagi kuburan itu? Gelap, sunyi, tidak ceria, tidak seronok untuk dikunjungi dan yang paling utama adalah penghuni kuburan itu adalah dari kalangan orang orang yang telah mati.

Maka begitulah yang disifatkan oleh Rasulullah SAW pada rumah rumah yang tidak dibacakan di dalamnya ayat-ayat suci Al-Quran.

Mu'adz bin Jabal ra mengatakan:

سَيَبْلَى الْقُرْآنُ فِي صُدُورِ أَقْوَامٍ كَمَا يَبْلَى الثَّوْبُ , فَيَقْرَءُونَهُ لَا يَجِدُونَ لَهُ شَهْوَةً وَلَا لَذَّةً , يَلْبَسُونَ جُلُودَ الضَّأنِ عَلَى قُلُوبِ الذِّئَابِ , أَعْمَالُهُمْ طَمَعٌ لَا يُخَالِطُهُ خَوْفٌ , إِنْ قَصَّرُوا قَالُوا: سَنَبْلُغُ , وَإِنْ أَسَاءُوا قَالُوا: سَيُغْفَرُ لَنَا , إِنَّا لَا نُشْرِكُ بِاللهِ شَيْئًا

"Al-Quran akan usang dalam hati beberapa kaum sebagaimana usangnya pakaian. Mereka membaca Al-Quran namun tidak merasakan nikmat dan lazatnya. Pakaiannya berbulu domba (halus) namun hatinya hati serigala. Tiap hal yang mereka lakukan hanya berlandaskan ketamakan bukan kerana takutkan (Allah). Bila amal solehnya kurang , mereka mengatakan, 'Kita tetap akan sampai (pada ridhaNya).' Dan bila bermaksiat mereka mengatakan, 'Kita pasti diampuni; kerana kita tidak berbuat syirik kepada Allah."
(Riwayat Ad-Darimi)

Satu daripada ciri orang yang mendapat kebaikan ialah ia menjadi orang yang faqih atau memperoleh kefahaman terhadap agama menerusi al-Quran dan hadith yang didasari dengan kebersihan hati dan aqidah yang sahih.

Wasiat Imam Hasan Al-Banna:
"Bacalah Al-Quran. Fahamilah setiap perintah, pelajaran dan hikmah yang ada di dalamnya sebagaimana pertama kali ia diturunkan.

Hindarilah penafsiran secara berlebihan. Tafsir diperlukan hanya untuk memahami kata yang maksudnya tidak anda ketahui secara pasti.

Dekatkanlah diri anda pada hal hal yang dapat memberikan penjelasan tentang Al-Quran secara jelas dan pasti.

Arahkan diri anda pada arah yang dikehendaki oleh Al-Quran."

Jangan baca Al Quran ketika waktu lapangmu, tetapi lapangkanlah waktumu untuk membaca Al-Quran.

Jika kita menantikan waktu yang lapang untuk membaca Al-Quran, khuatir tidak ditemui oleh kerana sibuknya mencari dunia.

Tetapi jika kita berdisiplin menyediakan waktu yang lapang untuk mendampingi Al-Quran, nescaya kita akan berjaya.

Janganlah kita terus beralasan untuk tidak membaca Al-Quran. Kelak kita yang akan menyesal.
Justeru, perhatikanlah hubunganmu dengan Al-Quran...

~ Abu Imtiyaz ~
Muhasabah malam ini

Yang dekat itu kematian, yang jauh itu masa lalu.

Yang berat itu amanah, yang ringan itu melalaikan solat.

Dan yang paling tajam itu lidah, maka jagalah ucapan.

#SELAMAT MALAM
#SALAM KEMAAFAN
Forwarded from 1 Hari 1 Hadis
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin Perlu Pembantu Jujur

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ

Daripada Aisyah RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri pemimpin maka Allah akan menjadikan baginya menteri (pembantu) yang jujur, apabila ia lupa maka ia akan mengingatkannya dan apabila ia ingat maka ia akan membantunya. Dan apabila Allah menghendaki selain itu (keburukan) pada diri seorang pemimpin maka Allah jadikan baginya menteri (pembantu) yang buruk, apabila ia lupa maka ia tidak mengingatakannya, dan apabila ia ingat maka ia tidak membantunya." (HR Abu Daud No: 2543) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Pemimpin memikul tugas dan tanggungjawab yang berat. Pemimpin memerlukan pembantu yang boleh meringankan tugas kepimpinan.

2. Jika Allah mahukan kebaikan kepada pemimpin, nescaya akan diberikan kepadanya pembantu yang baik dan jujur. Pembantu yang baik, akan berusaha dengan kemahiran yang ada membantu melaksanakan tugas-tugas ketua dengan cemerlang dan sentiasa diredhai Allah.

3. Pembantu dan pekerja yang baik memiliki sifat kuat (berkemampuan) dan amanah seperti firman Allah:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَئْجَرْتَ الْقَوِىُّ الاَمِينُ

Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. [al-Qasas:26]

Sebaik-baik pekerja ialah yang memiliki dua sifat iaitu kuat yang merujuk kepada skill serta kemampuan melaksanakan tugas dan amanah yang merujuk kepada orang yang dipercayai dan takut kepada Allah serta tidak menyeleweng.

4. Pembantu yang baik akan memberikan maklumat yang tepat dan benar kepada ketua agar tindakan dapat diambil dengan tepat dan hikmah.

5. Pembantu yang jujur, akan mengingatkan kepada ketua jika lupa atau silap dan akan segera membantu, bukan turut sama mengiakan kesilapan.

6. Pemimpin atau ketua sewajarnya melantik pembantu yang benar-benar layak, amanah dan bertaqwa untuk membantunya memimpin organisasi atau Negara dengan baik.

7. Jika kita sebagai ketua, pastikan pembantu yang dipilih benar-benar layak dan sentiasa bersedia mengingatkan pemimpin bukan hanya pembodek dan pengambil kesempatan.

8. Sebagai rakyat yang berhak mengundi dalam PRU 15 ini, menjadi tanggungjawab anda untuk mengundi pemimpin yang berintegriti, memiliki kemampuan dan amanah yang akan memacu kemakmuran dan kestabilan Negara.

Jika kita pembantu, jadilah kita orang yang berusaha memastikan ketua kita berada di atas landasan yang betul dan diredhai Allah bukan membiarkan ketua berterusan dalam kemurkaan Allah.

Pemimpin Khadam Umat

#TeguhBersama
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

16hb Nov 2022
21hb Rabiul Akhir 1444H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
Menolak calon berfikiran liberal

Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita bahawa akan muncul dalam kalangan umat ini pemimpin yang tidak berpegang kepada ajaran Rasulullah bahkan meninggalkan sunnah Rasulullah.

Hari ini, telah tersebarnya pemikiran liberal yang secara zahirnya dilihat bukan sahaja mempertikaikan syariat Islam yang berteraskan sunnah Rasulullah, malah pemikiran ini turut mengajak manusia meninggalkan sunnah. Sekiranya terdapat ahli politik yang berpegang dengan pemikiran sebegini, kita tidak seharusnya mengangkat mereka sebagai pemimpin.

Pemikiran liberal dalam beragama telah merosakkan kerangka pemikiran muslim. Mereka berusaha meleraikan ajaran Islam bermula dengan merungkai ikatan syarak terhadap cara hidup, kemudian mereka mempertikaikan pula hukum syarak sehinggalah kepada tahap mereka berusaha mengubah hukum syarak serta menolaknya dari muka bumi ini.

Desakan liberal dalam memperjuangkan hak kebebasan eljibiti, menuntut kebebasan untuk tidak menutup aurat serta menegaskan hak samarata agama adalah tipudaya atau fitnah yang lahir dari nafsu diri manusia. Kebimbangan ini pernah disuarakan oleh Baginda Nabi. Sabda Rasulullah:

إنَّما أَخْشَى عَلَيْكُم شهواتِ الْغَيِّ في بطونِكم وفروجِكم ومُضِلَّاتِ الْفِتَنِ وفي رِوَايَةٍ وَمُضِلَّاتِ الهوَى

“Sesungguhnya yang aku risaukan ke atas kamu adalah: nafsu-nafsu kamu yang keji yang lahir dari perut dan kemaluan kamu, serta tipudaya-tipudaya (yang menjerumuskanmu ke dalam) fitnah. (Dalam riwayat lain menyebut tipudaya-tipudaya (yang menjerumuskanmu ke dalam) hawa nafsu)”.
(Majma’ al-Zawaid)

Di Malaysia, kerangka pemikiran iberal ini ditelah diwartakan sebagai sesat. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 telah memutuskan bahawa aliran pemikiran liberal yang dibawa oleh kumpulan ini telah menyeleweng dari segenap aspek. Dan pada 17 Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pula telah mengisytiharkan fatwa yang menyatakan pemikiran ini sebagai sesat dan menyeleweng.

Oleh itu, adalah menjadi satu kewajipan buat muslim untuk menolak pemimpin yang membawa pemikiran liberal ini, yang dilihat bercanggah dengan kerangka penilaian syarak. Isu hak asasi kemanusiaan telah lama diperjuangkan oleh Islam melalui jalannya yang tersendiri, yang tidak membelakangkan hak Allah dan hak manusia.
Pemimpin

وَٱجۡعَل لِّی وَزِیرࣰا مِّنۡ أَهۡلِی * هَـٰرُونَ أَخِی * ٱشۡدُدۡ بِهِۦۤ أَزۡرِی

"Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. "Iaitu Harun saudaraku. "Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku".
(Taha: 29-31)

Allah SWT menceritakan dalam al-Quran tentang kisah Nabi Musa dan Nabi Harun Alaihimassalam. Nabi Harun Alaihissalam adalah saudara kandung yang juga pembantu Nabi Musa Alaihissalam dalam menyampaikan risalah Allah swt. Nabi Harun merupakan pembantu yang baik dan bertanggungjawab. Beliau sentiasa bersama Nabi Musa dikala senang dan susah. Sentiasa menasihati Nabi Musa dan memperingatkan apa yang dilupai.

Kisah ini mengajar kita semua bahawa seorang pemimpin perlu memastikan penasihat yang dilantik adalah benar-benar jujur, amanah, bertanggungjawab serta sentiasa menasihati ketuanya jika ada kesilapan dan kesalahan. Sentiasa memperingatkan dan menasihati ketuanya, bukan hanya sekadar menjadi pengampu dan pembodek.

Sabda Nabi SAW:

‌إِذَا ‌أَرَادَ ‌اللَّهُ ‌بِالْأَمِيرِ ‌خَيْرًا، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.

“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang raja atau pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu (menteri atau penasihat) yang benar dan ikhlas. Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan, jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya jika Allah menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat. Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya".
(Hadith Riwayat Abu Dawud)

Ingatlah, para pemimpin yang dikelilingi oleh para pengampu yang menipu dan melalaikan bersamanya, sesungguhnya mereka itu yang dianggap sebagai kawan yang setia, sebenarnya merupakan makhluk perosak yang mengipas supaya terus lalai dan leka. Mereka inilah penyokong yang membawa rebah dan punah. Penasihat membawa rebah ini dikisahkan oleh Allah di dalam al-Quran iaitu berkaitan Haman, penasihat Firaun. Firman Allah SWT:

إِنَّ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا كَانُوا خَاطِئِينَ

“Sesungguhnya Firaun dan Haman serta tentera mereka berdua adalah golongan yang bersalah".
(al-Qasas: 8)

Menurut Imam Ibnu Kathir, Haman adalah Menteri yang menasihati Firaun dalam perkara yang merosakkan. Bahkan, apabila ada agenda yang jahat, Firaun akan mengarahkan Haman untuk melakukannya. Seakan mereka saling membantu dalam usaha kejahatan.

Berkata Imam Sufyan al-Thauri rahimahullah:

انْظُرُوا إِلَى فِرْعَوْنَ مَعَهُ هَامَانُ

“Perhatikan (apa yang berlaku) pada Firaun yang memiliki (penasihat yang rosak) iaitu Haman.
(al-Khattabi, Kitab al-Uzlah)

Pemimpin yang baik dan berjaya, dibelakangnya adalah penasihat yang takutkan Allah dan sentiasa menasihati ketuanya dengan jujur. Manakala penasihat yang merosakkan akan sentiasa menasihatkan kejahatan buat ketuanya. Mereka menasihatkan sesuatu yang mengelirukan kepada menterinya yang akhirnya mereka tidak sedar akan kemungkaran dan kesesatan yang diperjuangkannya.