Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin
3.3K subscribers
97 photos
168 videos
14 files
104 links
MANUSKRIP BERCAKAP DENGAN JIN
Karya TAMAR JALIS
🀲al fatihah kpd penulis
Allahyarham dlm memori
(13.9.1940 - 26.8.2018)
.
.
KISAH SERAM / CERPEN
πŸ“ Koleksi seram pelbagai sumber termasuk pengalaman admin dan followers BDJ sendiri.
Download Telegram
#KoleksiTokAwangNgahBab139

JANJI LEMBAGA BERKEPALA TUJUH

(Bab 139 bahagian 1)

MEMANG tanah bersempadan dengan tapak rumah Alang Limah itu dibeli oleh Anjang Kimin dari pesaka peninggalan keluarga Alang Limah sendiri. Terpaksa pula mereka ke pejabat tanah untuk pecahkan geran supaya mudah membayar cukai masing-masing. Alang Limah sendiri tidak berupaya mahu menghalang apabila emak saudaranya Uda Kesum berkeras mahu jualkan. Kadangkala bertengkar juga mereka fasal mahu membayar cukai ke pejabat daerah. Uda Kesum jarang mahu dahulukan bayar cukai, kalau Malim Kecik kepejabat daerah urusan cukai tanah berkenaan.

Apa lagi mahu pecahkan geran tentulah Uda Kesum mengelak. Kalaulah tidak disebabkan dia mandul sampai tidak beranak seorang pun memang dia rela turunkan tanah pesaka itu kepada anaknya Alang Limah.

Tidak lama selepas jualkan tanah tersebut kepada Anjang Kimin, tiba-tiba sahaja Uda Kesum diganggu sakit dalam perut. Puas berubat hingga ke Jerantut pun, penyakitnya tidak mahu seruh. Duit hasil jual tanah yang diterima daripada Anjang Kimin juga habis digunakan untuk berubat menemui dukun ke sana ke mari.

Setelah didesak oleh Alang Limah supaya berubat ke hospital, terpaksa juga Uda Kesum mematuhi. Siapa lagi boleh diharap kalau bukan anak saudara sendiri. Lama juga terkejang di hospital akhirnya Uda Kesum menutup mata rapat-rapat akibat lumpuh seluruh badan selepas mengidap sakit perut berpanjangan.

"Kami beli pun selepas berunding dengan Limah," jelas Utih Bedah setelah diberitahu mengenai gangguan di rumah limas peninggalan suaminya Anjang Kimin. Dia sendiri terkejut setelah diceritakan oleh Cikgu Sidik kejadian Saerah terserempak jelmaan Anjang Kimin memaku dinding rumah.

Tetapi Utih Bedah mengakui suaminya seringkali mengeluh kerana bermimpi jatuh tangga reput hingga terasa pinggangnya sakit. Kadangkala kakinya lenguh-lenguh tidak menentu sebelum jatuh sakit terkejang di tempat tidur. Bagaimana Utih Bedah mahu mempercayai kalau suaminya sekadar bermimpi. Beberapa kali juga Anjang Kimin merangkak di bawah katil akibat diganggu mimpi berkenaan.

Memang dia melihat dinding dapur rumah tergajai disebabkan papannya sudah reput. Tidak bertangguh dia mencapai martol untuk memaku semula papan dinding biar kukuh tidak tergajai. Dia juga sandarkan tangga untuk memaku dinding yang tinggi melangkaui kepala.

Sewaktu tangannya mahu memaku dinding kakinya berjejak goyah di tangga disebabkan reput. Belum sempat tangannya berpaut tubuhnya sudah tercampak ke tanah. Apabila dia terkial-kial mahu bangun terasa pinggangnya sakit hingga kaki juga lemah tidak bermaya. Serentak dengan itu dia terjaga dengan tergolek di bawah katil terkial-kial.

Sebab itu Utih Bedah ketawakan dia sampai terkekeh-kekeh di tengah malam. Geli benar hatinya apabila kenangkan suaminya yang sudah tua boleh jatuh dari katil. Lainlah budak-budak tengah lasak memang tidak menghairankan sekiranya jatuh ke bawah katil demikian.

Malah dia tidak peduil sangat apabila Anjang Kimin beritahu mengenai mimpinya. Beberapa kali jatuh katil memang Anjang Kim in diganggu mimpi yang sama. Bukan isterinya Utih Bedah sahaja tertawakan dia fasal mimpi berkenaan, malah anaknya Bahari juga tertawakan.

"Ayah percaya dengan mimpi?" usik Bahari mengerling ayahnya yang murung setiap kali kenangkan mimpi berkenaan.

"Buat malu aje, dah tua-tua jatuh katil!" sengaja Utih Bedah mengejek suaminya.

"Aku pun tak mahu jatuh!" sahut Anjang Kimin kesal dengan ejekan Utih Bedah. "Tapi, ini bukan perkara mimpi, mungkin perkara lain," dia mendengus seolah-olah terkilan dengan kejadian yang menimpa dirinya.

"Perkara apa lagi?" Bahari tetap tidak percaya dengan alasan yang diberikan oleh ayahnya. "Ayah mimpi jatuh tangga, sebenarnya ayah jatuh katil," ujar-nya ketawa memanjang disebabkan ayahnya terlalu percaya kepada mimpi.
#KoleksiTokAwangNgahBab139

JANJI LEMBAGA BERKEPALA TUJUH

(Bab 139 bahagian 2)

Asal sahaja dia tidak berkahwin lebih dari satu, sampai bila pun puteri malam tidak akan menjelma di sisinya. Tetapi Pateh Deman sudah bersedia melawannya disebabkan dia amalkan banyak petua untuk mempertahankan diri. Kalau puteri malam mahu mencuba, bila-bila Pateh Deman akan seru sanggurung yang menjaga tujuh lurah mendampingi dirinya!

Apabila jelmaan sanggurung sudah meresap dalam dirinya tidak siapa pun boleh halangi dia hatta puteri malam sekalipun! Sanggurung berkepala tujuh akan tercegat memusnahkan siapa sahaja yang cuba menguji ke-tangkasan Pateh Deman.

Memang puteri malam tidak berani tunjukkan muka setelah sanggurung berkepala tujuh tercegat melindungi Pateh Deman. Setelah menyedari gangguan puteri malam itu, terpaksa Pateh Deman menyeru sanggurung berkepala tujuh itu meresap dalam dirinya. Hingga dia dapat merasakan dirinya terconggok di celah-celah tengkuk sanggurung melayang ke udara. Sebaik sahaja sampai di tengah padang luas tidak bertepi mereka ter-serempak puteri malam menunggu dengan mata bersinar memancar api.

"Kau telah melanggar pantang, Deman!" bentak puteri malam mencebek bibir.

"Apa kau nak buat sekarang?" sanggurung berkepala tujuh bertempik hingga suaranya bergemuruh di udara.

"Salah seorang isteri kau mesti dihapuskan!" sahut puteri malam selamba dengan ejekan menyakiti hati.

"Kalau kau ganggu isteri Deman, aku akan hancurkan kau," tegas sanggurung memberi amaran keras.

"Kamu jangan masuk campur urusan ini!" marah juga puteri malam apabila diancam demikian.

"Jangan tunjuk keras kepala," sanggurung berkepala tujuh menghembuskan pancaran api hingga membakar keliling puteri malam.

Terpaksa puteri malam melayang ke udara mengelakkan diri dari terjahan api itu. Pateh Deman sendiri melihat puteri malam termengah-mengah melarikan diri dengan dendam membara. Tetapi Pateh Deman tidak bimbang apa-apa selagi sanggurung berkepala tujuh itu melindungi dia.

Hanya beberapa minggu selepas itu Tisah pula terkejut apabila wanita muda itu menjelma di bilik tidur tatkala menunggu Pateh Deman balik ke rumah. Berdebar juga hatinya apabila puteri malam perkenalkan diri sebagai sahabat yang mahu membantunya.

Mudah sangat dia mempengaruhi Tisah yang memang berdendam dengan Nenek Birah, sebaik sahaja dituduh madunya mahu aniaya dirinya. Sengaja puteri malam tunjukkan bisa santau yang mahu diberikan oleh Nenek Birah untuk membunuh Tisah.

"Tapi, kakak tak sampai hati nak buat pada adik," pujuk puteri malam sengaja menimbulkan syak wasangka di hati Tisah.

"Dia beri pada kakak suruh santau saya?" menggertap bibir Tisah setelah diberitahu demikian.

"Takkan kakak nak buat, kakak kesihankan adik," sahut puteri malam mengunjukkan botol berisi ulat bubuk kepada Tisah. "Simpanlah santau ini, dan gunakan bila adik perlu," jelas puteri malam tersenyum setelah Fisah mempercayai desakan dia.

"Bolehkah santau ni diubat?" sengaja Tisah ingin tahu sekiranya masih boleh ditemui penawar. Tentulah dia tidak dapat sembunyikan rahsia sekiranya Nenek Birah dapat mencari penawar santau berkenaan.

"Semua penyakit ada penawar," beritahu puteri malam ingatkan dia supaya berhati-hati.

Tisah tidak beritahu apa-apa pada Pateh Deman mengenai jelmaan puteri malam itu. Dia sendiri bangga setelah diberi botol berisi ulat bubuk yang boleh terbang mencari mangsa. Asal sahaja diseru nama mangsa nescaya ulat bubuk itu akan menuju ke sasaran. Sekaligus debu santau akan jatuh ke dalam makanan sebaik sahaja kepaknya dikembang-kuncupkan.

Memang sudah lama juga Tisah harapkan orang akan membantu dia pisahkan Pateh Deman daripada Nenek Birah. Dia tahu anak-anak Nenek Birah memang memusuhi dirinya disebabkan berkahwin dengan ayah mereka. Tentu anak-anak Nenek Birah dihasut supaya membenci dirinya!

Sebab itulah dendam Tisah lama sangat bergejolak dalam hatinya. Kalau puteri malam tidak menjelma mengunjukkan ulat bubuk bersantau pun, memang Tisah akan usahakan juga. Hati siapa tidak terluka apabila suami sendiri menyebelahi madu tatkala berbalah panjang.