Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin
3.24K subscribers
97 photos
168 videos
14 files
104 links
MANUSKRIP BERCAKAP DENGAN JIN
Karya TAMAR JALIS
🀲al fatihah kpd penulis
Allahyarham dlm memori
(13.9.1940 - 26.8.2018)
.
.
KISAH SERAM / CERPEN
πŸ“ Koleksi seram pelbagai sumber termasuk pengalaman admin dan followers BDJ sendiri.
Download Telegram
#KoleksiTokAwangNgahBab137

PADAH POLONG TURUN TEMURUN

(Bab 137 bahagian 1)

RUMAH papan yang disewa tidaklah mahal sangat apabila Derih Bauk berpindah ke Kluang di Johor. Manalah ada pilihan lain mahu menyewa rumah, melainkan berdekatan dengan kem. Mudahlah berulang alik ke tempat kerja sekalipun ditugaskan sebelah malam.

Apalagi masa perintah orang putih, memang selalu masuk ke hutan hingga jarang balik ke rumah. Kalau ikutkan hatinya Derih Bauk tidak mahu membawa keluarga ke Kluang, biarlah mereka semua di kampung sahaja. Dia boleh balik ke kampung apabila bercuti panjang selepas dikerah masuk ke hutan.

Masuk ke hutan berbulan-bulan manalah ada masa mahu bermesra dengan anak dan isteri. Mizah pula hanya tinggal bersama anak kecil apabila Derih Bauk masuk ke hutan. Tetapi Mizah sendiri yang mahu ikut dia berpindah ke Kluang.

Kalau masuk ke hutan pun bukannya Derih Bauk sepanjang waktu. Mereka bergilir-gilir masuk ke hutan sekiranya mendapat laporan dari orang-orang kampung mereka ternampak gerombolan komunis. Apabila Derih Bauk tidak masuk ke hutan, dia akan bertugas di dalam kem sahaja. Tentu Derih Bauk memerlukan dia untuk memasak nasi atau mencuci pakaian sekiranya tidak masuk ke hutan.

Sebab itu Mizah berkeras juga mahu ikut ke Kluang. Lagipun dia tidak percaya sangat dengan suaminya setelah kerap-kali mendengar perangai askar yang mudah berkahwin lain setiap kali berpindah kem. Bimbang juga Mizah kalau-kalau Derih Bauk juga tidak melepaskan peluang memikat gadis lain setelah berpindah ke Kluang itu.

"Abang balik makan tengah hari ni," beritahu Derih Bauk sewaktu meninggalkan rumah di belah pagi.

Lebih baik dia balik makan tengah hari daripada beratur bersama budak-budak bujang menunggu nasi di dalam kem. Sewaktu sibuk memasak di dapur inilah Kak Jiyah jiran di sebelah rumah mengajaknya menjengah Hajah Besah tuan rumah yang sudah seminggu terkejang sakit. Memang Mizah tahu mengenai Hajah Besah sudah seminggu sakit sampai tidak dapat keluar rumah. Tetap tidak tidak ada masa mahu menjengah disebabkan sibuk menguruskan rumah.

"Kalau kamu nak pergi, biarlah kakak tengokkan anak kamu," ujar Kak Jiyah menawarkan diri. Apalah salahnya dia tengokkan anak kecil itu sementara Mizah menjengah Hajah Besah yang terkejang sakit. Lagi pun dia sudah berulang kali menjengah disebabkan anak-anaknya sudah besar belaka.

Memang suami Kak Jiya juga sama-sama bertugas di kem sekalipun waktu mereka bertugas tidak sama. Kadangkala suami Kak Jiyah masih di kem, Deri Bauk sudah balik ke rumah. Ada masanya suami Kak Jiyah balik Derih Bauk baru mahu pergi ke kem.

"Kalau Kak Jiyah nak tengok pun apa salahnya," lega juga hati Mizah disebabkan Kak Jiyah sanggup menawarkan diri. Bila lagi dia mahu menjengah tuan rumah yang terkejang sakit, kalau mahu menunggu Derih Bauk balik.

Lagipun dia sudah siapkan nasi gulai di dapur. Tidaklah terburu-buru sangat dia mahu menghidangkan apakala Derih Bauk balik makan tengah hari. Menjengah Hajah Besah pun bukanlah lama sangat sampai berjam-jam, memadai dia jengahkan muka sahaja sebagai budi bahasa orang datang merantau ke tempat orang.

Apa pula kata Haji Yusar Hajah suami Besah kalau dia tidak mahu jengahkan muka tatkala isterinya terkejang sakit. Memang dalam seminggu itulah Besah tidak keluar rumah. Biasanya mereka sama-sama menunggu Ah Seng mengayuh basikal membawa raga berisi sayur-sayur dan ikan ke situ. Itu sahajalah yang membekalkan sayur-sayur kerana mereka tidak ada masa mahu ke pasar.

Kalau Ah Seng tidak menjengah muka, memang tidak bersayurlah rumah mereka untuk memasak gulai. Biarlah Ah Seng jual dengan harga mahal, mereka terpaksa juga berlanggan.

"Ah, sekejap kamu nak ke sana, apa salahnya," Kak Jiyah semakin menggalakkan.

"Kalau Derih balik, kakak tolong beritahu ye," Mizah mengingatkan setelah dia tinggalkan anak kecilnya kepada Kak Jiyah.
#KoleksiTokAwangNgahBab137

PADAH POLONG TURUN TEMURUN

(Bab 137 bahagian 2)

Memang Dukun Meon juga sudah memberi jaminan anak kecilnya itu tidak diganggu apa-apa rasukan. Sebab itu Mizah perlu balik ke Kluang. Memang tidak tergamak dia mahu meninggalkan suaminya lama hingga tidak terjaga makan minum dan pakaiannya.

Dua hari selepas balik ke Kluang Mizah menerima surat dari kakaknya Enon memberitahu mengenai anak gadisnya Saerah berumur 10 tahun menjerit ketakutan tidak menentu. Apabila dijemput Dukun Mean, lantas sahaja Saerah menuduh polong peliharaan Mizah merasuknya.

"Astaghfirullahul azim!" keluh Mizah sebaik sahaja menerima surat dari kakaknya. Manalah dia tahu mengenai polong sampai Saerah yang merasuk menuduh dia demikian.

β€œAh, setan memang pandai kelirukan orang," suaminya Derih Bauk menjelaskan. Sedikit sebanyak Derih Bauk memang sudah mempelajari fasal cara berdukun. Sebab itu dia tahu apa yang dituturkan oleh orang kena rasuk bukanlah boleh dipercayai sangat, kerana yang bertutur ketika itu memanglah syaitan.

"Kenapa dia tuduh saya pelihara polong!" gerutu Mizah kerana bimbang kakaknya akan percaya dengan tuduhan Saerah berumur 10 tahun itu.

"Emmm, bela polong bukan macam bela ayam itik," Derih Bauk mententeramkan isterinya. Memelihara ayam itik pun bukan mudah membiak, kadangkala sampai lima enam bulan baru boleh menjadi.

Masakan Enon mudah sangat percaya mengenai adiknya Mizah menyimpan polong. Tentu ada amalan yang diamalkan sebelum polong menjelma dalam hidupnya. Kadangkala sampai bertahun-tahun beramal barulah polong sebati dengan diri. Ketika inilah baru polong itu boleh digunakan mencari mangsa.

Tidak pernah pula Mizah mengamalkan ilmu syaitan. Takat menghafal jampi mentera sampai bila pun tidak akan sebati dengan amalan. Setidak-tidaknya Mizah perlu bertapa berhari-hari sampai tidak boleh mendengar suara manusia di mana-mana. Mizah juga perlu menggali kubur tatkala tengah malam sebagai ujian sama ada mampu atau tidak memelihara polong.

Lagipun manalah Mizah ada harta memerlukan polong menjaga sepanjang waktu. Sesiapa sahaja memelihara polong bukannya untuk mencari mangsa, tetapi mengawal harta bendanya supaya tidak dimusnahkan orang. Apalagi kalau pencuri berkeliaran mahu merampas ternakan atau tanamannya.

Ketika inilah siapa sahaja mencuri harta bendanya akan dirasuk polong sampai terkejang sakit dengan mata terbeliak macam lembu disembelih leher. Derih Bauk percaya isterinya tidak pernah amalkan ilmu syaitan sampai memelihara polong.

Disebabkan tidak mahu Mizah dituduh orang-orang kampungnya memelihara polong, Derih Bauk terpaksa juga mengajak Ulung Kubil ke Taiping. Biarlah dia berbelanja semata-mata membawa Ulung Kubil ke kampungnya untuk mengubati Saerah.

Memang enggan juga Ulung Kubil mahu ke Taiping, setelah Saerah diubati Dukun Meon. Apa pula kata Dukun Meon sekiranya dia datang ke Taiping. Tentulah dia dituduh menceroboh kawasan Dukun Meon kalau sengaja mahu tunjukkan kebolehan.

Tetapi Dukun Meon tidak membantah apa-apa, semasa Ulung Kubil datang bersama Derih Bauk. Malah Enon juga tidak menaruh syak wasangka terhadap Mizah, sekalipun anak gadisnya berusia 10 tahun merepek menuduh polong peliharaan Mizah yang merasuknya. Memang Saerah masih lemah tidak bermaya sewaktu Ulung Kubil naik ke rumah. Dia terkejang dengan mata terkebil-kebil. Mukanya pucat lesi disebabkan tidak menjamah nasi sejak seminggu.

Setelah meminta dibuatkan bertih dua piring dan mayang pinang belum keluar seludang, Ulung Kubil membakar kemenyan terlebih dahulu. Perlahan-lahan dia membacakan jampi serapahnya:

Tebu jentang tebu jenting, mari condong melompat, melompat tiga penjuru, melompat engkau ke batu putih, kain putih baju kau putih, melompat engkau ke batu hitam, kain putih baju kau putih, melompat kau ke batu merah, kain merah baju kau merah, aku menangkal seku ketegur dah ku tawar, seku mati terbunuh sudah ku tawar, seku hujan panas sudah ku tawar, hu Allah....