Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin
3.24K subscribers
97 photos
168 videos
14 files
104 links
MANUSKRIP BERCAKAP DENGAN JIN
Karya TAMAR JALIS
🀲al fatihah kpd penulis
Allahyarham dlm memori
(13.9.1940 - 26.8.2018)
.
.
KISAH SERAM / CERPEN
πŸ“ Koleksi seram pelbagai sumber termasuk pengalaman admin dan followers BDJ sendiri.
Download Telegram
#KoleksiTokAwangNgahBab138

BAYANG PENUNGGU DI RUMAH TINGGAL

(Bab 138 bahagian 1)

BEBERAPA kali jiran berhampiran mendengar tangisan halus di tengah malam dari arah rumah limas besar peninggalan Anjang Kiman. Tidak siapa pun mendiami rumah limas berkenaan selepas kematian Anjang Kiman disebabkan anak-anak tidak menetap di kampung. Utih Bedah isterinya juga tidak menetap di kampung setelah kematian Anjang Kiman hampir dua tahun sebelumnya.

Memang Utih Bedah balik juga ke kampung menjengah rumahnya. Tetapi tidak lama dia mahu bermalam. Paling lama pun tiga malam sahaja Utih Bedah di kampung, anaknya Bahari akan segera menjemputnya. Kadangkala tidak sempat dia mahu berkemas-kemas sampai bersih keliling kelalang rumah disebabkan anaknya tergesa-gesa mengajak balik ke Kuala Lumpur.

Bimbang benar Bahari membiarkan emaknya lama di kampung kerana tidak ada siapa pun mahu menguruskan orang tua itu. Kalau tidak Bahari adiknya Saemah pula akan membawa emaknya ke Johor Bharu. Memang mereka tidak mahu emaknya tinggal sendirian di kampung setelah kematiannya ayahnya Anjang Kiman itu.

Semenjak dua tahun Utih Bedah dibawa tinggal bersama oleh anak-anaknya, jiran-jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah limas berkenaan mendengar suara perempuan menangis teresak-esak. Kadangkala mereka nampak lampu terpasang di bilik rumah. Tetapi mereka tidak pula berani mengendap mahu memastikan siapa memasang lampu di rumah berkenaan.

"Sudah beritahu kejadian itu pada Utih Bedah?" Mat Cebek bertanya pada bapa saudaranya Malim Kecik yang tinggal berdekatan dengan rumah tersebut.

"Serba salah nak beritahu dia," jelas Malim Kecik kerana tidak mahu kejadian itu menyinggung perasaan Utih Bedah. Manalah tahu orang tua itu akan berkecil hati sekiranya dituduh rumah limas peninggalan suaminya berhantu.

"Boleh jadi Utih Bedah yang balik," ujar Mat Cebek menuduh suara perempuan menangis itu memang perempuan berkenaan.

"Kalau dia balik, Utih Bedah datang ke rumah ni," cepat-cepat Alang Limah menyampuk kerana tidak mahu dia suami isteri dituduh sengaja mengada-adakan cerita mengenai suara perempuan menangis di rumah limas tersergam.

"Limah pun dengar," beritahu Malim Kecik setelah didesak oleh sepupunya itu.

Memang Mat Cebek tidak percaya sangat mengenai kejadian di rumah arwah bapa saudaranya Anjang Kimin itu. Masakan rumah peninggalan itu berhantu kalau arwah Anjang Kimin tidak pernah amalkan ilmu salah. Tahu benar Mat Cebek sikap bapa saudaranya yang tidak pernah ambil peduli masalah jiran-jiran.

Sepanjang masa dia habiskan waktunya di kebun sampai santak senja. Tidak ada waktu kalau dia mahu amalkan ilmu salah atau mengumpat jiran-jiran. Tetapi dia tidak pernah menolak sekiranya dijemput hadir kenduri kendara atau nikah kahwin dalam masyarakat kampung.

Jiran-jiran juga tahu mengenai arwah Anjang Kimin yang tidak pernah menyakiti hati mereka. Lagipun Anjang Kimin bukan suka sangat berbual-bual kalau tidak berkenaan di hatinya. Apabila menghadiri majlis kenduri atau kahwin jiran-jiran, dia sekadar mendengar orang berbual sahaja. Mahu mencelah cakap orang pun Anjang Kimin tidak gemar hingga memburuk-burukkan orang lain. Sebab itu Mat Cebek tidak percaya suara perempuan menangis di rumah peninggalan bapa saudaranya itu berpunca daripada amalan salah yang diamalkan semasa hayatnya.

Setelah diberitahu oleh Malim Kecik dan Alang Limah mengenai kejadian di rumah limas itulah, Mat Cebek sengaja mahu memastikan. Dia sendiri akan mengendap ke situ kalau mereka nampak lampu terpasang di bilik tidur.
Hingga seminggu Mat Cebek di kampung puas dia menunggu di rumah Malim Kecik, tetapi tidak ada pun lampu terpasang. Apabila tidak ada lampu masakan ada suara perempuan menangis sayup-sayup di tengah malam. Kecewa benar Mat Cebek kerana habiskan masa di kampung samata-mata mahu mengendap di rumah limas arwah Anjang Kimin.

"Agaknya penunggu tu takutkan kamu, Mat," usik Alang Limah yang sama-sama hampa tidak dapat membuktikan dakwaannya.
#KoleksiTokAwangNgahBab138

BAYANG PENUNGGU DI RUMAH TINGGAL

(Bab 138 bahagian 2)

Belum sempat dia hembuskan asap kemenyan, lantas sahaja orang yang dirasuk pelesit akan terjerit. Tidak bertangguh dia memberitahu siapa tuan yang memelihara. Serentak dengan itu belalang hijau sebesar kelengkeng akan jatuh tergolek di depannya. Menggelepar belalang itu terkial-kial kaki menendang angin hingga keluar tujuh helai rambut melilit seluruh tubuh. Belalang itu akan terkejang mati setelah tubuhnya dibelit rambut tersebut.

Di mana sahaja pelesit tidak dapat bersembunyi apabila Itam Sidin sudah mengukuhkan duduk lantas membacakan jampi serapahnya:

Ungguh-ungguh anggah-anggah, datang nenek tongkat besi, terlanda engkau patah terpijak engkau mati, mata kamak mata kamu, kamu ku budang badang siah kiri siah kanan siahkan kata araku, aku tahu asal engkau jadi, darah ular sekati munur asal engkau jadi, terserak ke laut jadi tahi nagan, terserak ke darat jadi mambang kuning, ingang ingut di lautan gedang Yassin kata Allah, Yassin kata Muhammad, Yassin kata Rasullullah...

Habis sahaja Itam Sidin menghembus ke arah siapa sahaja dirasuk nescaya tuan yang memelihara pelesit akan lemah tidak bertenaga. Seluruh tubuhnya akan terbakar seperti dihumban ke tengah api marak menyala. Segala belalang pelesit yang disimpannya akan berterbangan tidak menentu hingga bercempera menyelamatkan diri.

Sebab itu Malim Kecik desak juga Mat Cebek menjemput Itam Sidin di Pelangai. Biarlah jauh sedikit sampai ke Pelangai, memang Malim Kecik percaya bapa saudaranya itu mampu menghalau pelesit atau polong yang mengganggu Mayah.

"Bukan dirasuk pelesit atau polong!" gerutu Itam Sidin perlahan sambil menghela nafas.

"Takkan Anjang Kimin yang pelihara," sahut Ngah Saenah berharap supaya tidak siapa pun menuduh abangnya memelihara polong atau pelesit. Lagi pun abangnya sudah meninggal dunia, tidak patut lagi diungkit-ungkit. Biarlah semuanya disimpan baik-baik dalam hati jangan sampai terluah perasaan dendam kesumat.

"Memang dia tak simpan polong atau pelesit," tegas Itam Sidin memberi jaminan memang arwah Anjang Kim in tidak amalkan apa-apa.

"Tapi, macam mana dengan Mayah ni?" gelisah juga hati Melah Becok dengan keadaan anak gadisnya masih tidak dapat dipulihkan.

Tiba-tiba ketika ini Alang Limah ternampak api terpasang di bilik tidur rumah limas peninggalan Anjang Kimin, sewaktu dia menjengah di tingkap untuk meludahkan air sirih. Berdebar benar dia lantas menggamit suaminya Malim Kecik supaya mara ke arahnya. Mereka semua sama-sama memerhatikan ke arah rumah limas tersergam. Memang nampak cahaya lampu malap di bahagian bilik tidur tempat yang digunakan oleh arwah Anjang Kimin. Tidak bertangguh Mat Cebek turun ke tengah halaman mahu memastikan cahaya lampu yang sudah seminggu ditunggunya.

Sebaik sahaja Mat Cebek melangkah menuju ke rumah limas, Itam Sidin bersama Malim Kecik juga mengekor dari belakang. Mereka juga hairan dengan cahaya lampu di rumah yang tidak didiami sesiapa itu. Kalau Utih Bedah balik ke kampung pun dia tidak akan tidur di situ,

Sewaktu mengendap di bawah rumah, mereka bertiga terbau kemenyan dibakar. Keliling kawasan rumah memang sudah ditumbuhi rumput memanjang, bimbang juga mereka sekiranya ular berlingkar di situ. Dalam gelap demikian masakan mereka boleh melihat di tengah rumput memanjang sekiranya ular berlingkar menunggu mangsa.

Tetapi perkara ular di tengah belukar rumput bukanlah menakutkan Malim Kecik. Kadangkala ular berlingkar itu akan menghambur lari tidak bertangguh sekiranya terhidu bau Malim Kecik melintas. Kalau ular berkeras mahu menerkam bila-bila sahaja akan disambar tengkuknya oleh Malim Kecik sampai tidak boleh mengangkat kepala.

Asal sahaja kepala ular sudah digenggam oleh Malim Kecik, dia akan biarkan binatang itu memagut tangannya sampai memercik darah. Selepas itu Malim Kecik akan sapu kepala ular itu dengan darahnya. Sebaik sahaja kepala ular sudah disapu dengan darah memang tenaga ular berkenaan menjadi lemah.