Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin
3.24K subscribers
97 photos
168 videos
14 files
104 links
MANUSKRIP BERCAKAP DENGAN JIN
Karya TAMAR JALIS
🀲al fatihah kpd penulis
Allahyarham dlm memori
(13.9.1940 - 26.8.2018)
.
.
KISAH SERAM / CERPEN
πŸ“ Koleksi seram pelbagai sumber termasuk pengalaman admin dan followers BDJ sendiri.
Download Telegram
#KoleksiTokAwangNgahBab135

DITIMPA BADI RUSA JANTAN

(Bab 135 bahagian 1)

TERGERAK juga dihati Mail Togok mahu membawa isterinya Kimah balik sahaja ke rumah, tetapi bimbang kalau keluarga isterinya akan salahkan pula dia. Memanglah dia berhak pada diri Kimah sebagai isterinya, namun dalam keadaan Kimah terbaring di katil hospital dia perlukan juga pandangan sanak saudara. Manalah tahu perkara buruk berlaku, tentu siapa pun tidak boleh disalahkan.

Sudah lama sangat Kimah terlantar di katil hospital sejak hampir sebulan dimasukkan ke wad. Terpaksa juga Mail Togok bawa isterinya ke hospital dengan tidak memberitahu sanak saudara terlebih dulu. Manalah dia dapat menahan sabar tatkala Kimah mengerang-erang tengah malam menanggung sakit kepala.

Sampai menghempas-hempas badan Kimah mengerang disebabkan kepalanya berdenyut-denyut sakit bagaikan ditusuk mata kapak. Memang Kimah sudah beberapa kali mengadu pada suaminya fasal kepala sakit tidak menentu. Apabila ditelan sahaja pil panadol sakit kepala itu hilang serta merta.

"Ambilkan aku pil," keluh Kimah terkapai-kapai tangan disebabkan Mail Togok terkial-kial meyelak laci almari, tetapi tidak menemui apa-apa.

"Awak letakkan di mana?" rungut Mail Togok setelah puas mencari pil yang diberitahu oleh isterinya.

"Takkan dah habis," gerutu Kimah menahan kesakitan yang kian menyesak. "Aku sendiri simpan dalam laci almari tu," tegas Kimah terketar-ketar tidak dapat mengangkat kepalanya.

Terpaksa pula Mail Togok menyuruh anaknya cari di dapur. Boleh jadi Kimah terlupa disebabkan menahan kesakitan. Memang pil yang diberitahu oleh Kimah itu diletakkan dalam almari lauk di dapur. Cepat-cepat Senah bawakan pil berkenaan kepada emaknya.

Sebaik sahaja Kimah telan pil yang ditunjukkan kepadanya, dia semakin menggelepar menahan sakit. Sebab itulah Mail Togok tidak sabar lagi dengan keadaan Kimah. Lantas. dia memapah isterinya masuk ke kereta terus sahaja dihantar ke hospital.

Dalam masa seminggu sahaja Kimah terlantar di hospital, kulitnya yang putih kuning sudah berubah menjadi hitam bagaikan daun pisang dilayur. Tetapi doktor tidak memberi apa-apa penjelasan mengenai penyakit yang dihidapi oleh Kimah.

Sebab itulah saudara mara Kimah mula mendesak supaya Mail Togok bawa sahaja balik ke rumah. Tetapi Mail Togok bimbang sekiranya Kimah dibawa keluar sebelum pihak hospital putuskan supaya balik. Siapa yang akan rawat Kimah kalau dia berkeras meminta dikeluarkan sahaja dari hospital?

"Macam mana aku nak buat ni?" keluh Mail Togok meluah-kan rasa resah kepada kawan sepejabatnya Ali Ranggi.

"Ah, cubalah ikhtiar cara lain," sengaja Ali Ranggi memberi peransang kepada kawannya biar Mail Togok tidak mudah putus asa. Dalam saat demikian memang siapa pun mudah gelabah tidak menentu. Macam mana mahu tenteram hati apabila kenangkan isteri terlantar di hospital.

"Ikhtiar apa lagi aku nak buat?" Mail Togok menggeleng lemah kerana tidak dapat memikirkan apa-apa lagi.

"Berubat cara kampung pula," beritahu Ali Ranggi mengingatkan kawannya.

"Ah, mana aku nak cari dukun?" Mail Togok bagaikan orang bodoh mengharapkan pertolongan daripada sesiapa sahaja. "Aku bukan kenal sangat dukun ni," ujarnya perlahan seolah-olah mengharapkan belas ihsan kawannya itu.

Tersengih-sengih Ali Ranggi dengan sikap kawannya yang semakin kebingungan. Hampir sebulan Kimah terlantar di hospital, badannya semakin lemah. Setiap kali Ali Ranggi suami isteri datang menjengah, dia riang berbual bagaikan tidak menanggung sakit apa-apa.

Hanya kulit badannya sahaja sudah bertukar menjadi kendur dan hitam laksana daun pisang dilayur ke api. Memang Kimah tidak mengadu sakit kecuali sendi-sendinya sahaja lenguh hingga terasa ngilu sampai ke tulang.
Selepas beberapa kali menjengah Kimah di hospital itulah Ali Ranggi menelefon saya. Terkejut juga saya apabila pagi benar Ali Ranggi menelefon sebelum saya habiskan wirid solat subuh. Selepas solat subuh dan selesaikan wirid, segera saya menelefon dia semula. Manalah tahu ada perkara mustahak hendak diberi-tahunya.
#KoleksiTokAwangNgahBab135

DITIMPA BADI RUSA JANTAN

(Bab 135 bahagian 2)

Biarlah Sahak yang beritahu rakan-rakan datuknya. Lagipun tidak disangka pula dukun macam Ucu Tunal boleh alah penyakit. Kalau mahu dikatakan penyakit biasa sudah dibawa ke hospital pun. Lebih sebulan juga UcuTunal terlantar di hospital, sampai dia sendiri mendesak supaya dibawa balik sahaja ke rumah.

"Macam mana mulanya ucu sakit?" lantas Kadir Misai menatap muka Ucu Tunal selepas jiran-jiran selesai bacakan Yassin setelah mereka berkumpul sebaik habis isya di situ.

Tergenang air di pelupuk mata Ucu Tunal apabila ditanyakan demikian oleh Kadir Lama dia terkebil-kebil mata barulah Ucu Tunal dapat bersuara lemah:

"Ucu balik dari hutan berburu rusa," jelasnya sebaik sahaja kenangkan dia masuk ke hutan bersama Dolah Tenjot. Dia sendiri yang galas senapang dengan Dolah Tenjot mengekori dari belakang.
Memang Dolah Tenjot sendiri tidak tahu apa yang berlaku sewaktu masuk ke hutan bersama Ucu Tunal. Sebaik sahaja dipelawa berburu ke hutan tidak bertangguh dia ikut sahaja. Sudah kerapkali dia ikut Ucu Tunal ke hutan kalau diajak berburu.

Tidak pernah mereka balik tangan kosong sekiranya sudah meranduk ke tengah hutan. Bila-bila sahaja Ucu Tunal tidak lepaskan peluang kalau terserempak pelanduk bertandak tatkala meragut pucuk ludai di tepi denai. Sebaik sahaja dentum senapang menggerutup nescaya pelanduk akan terhumban ke perdu pokok.

Siapa lagi akan sembelih leher pelanduk kalau bukan Dolah Tenjot? Pantas sahaja dia menghunus parang asal sahaja pelanduk tergolek ke tanah dengan kaki terkinjal-kinjal menendang angin. Dolah Tenjot akan sendalkan mata parang ke leher pelanduk biar matinya dapat disembelih.

Sebab itulah dia tidak menolak apabila diajak Ucu Tunal berburu ke hutan. Dolah Tenjot sudah berbayang daging pelanduk masak rendang tatkala kaki melangkah masuk ke hutan. Puas juga bersama Ucu Tunal meranduk ke tubir becah, tiba-tiba sahaja mereka menemui jejak rusa masih keruh air.

Tidak bertangguh Ucu Tunal menyusur denai mengikut jejak keruh air itu sampai ke seberang padang lalang. Memang sah mereka berdua nampak rusa jantan tanduk bercabang menjilat-jilat tubuh di tepi belukar. Terhangak-hangak rusa berkenaan sebaik sahaja terdengar bunyi daun kering berdesir di pijak.

"Hari ni rezeki kita baik ucu," bisik Dolah Tenjot sebaik sahaja Ucu Tunal membedek senapang. Ucu Tunal tidak menyahut. Dia tidak mahu tembakannya jauh dari sasaran dalam saat demikian. Sebab itu dia mesti membedek tepat biar peluru yang berdentam menerjah ke kepala rusa. Tentu rusa itu akan tersungkur menyembam bumi apabila peluru senapang menyinggahi tengkorak kepalanya.

Dalam keadaan berhati-hati itulah Ucu Tunal melepaskan tembakan. Memang jarang tembakannya tidak menepati sasaran. Sekaligus rusa jantan itu tersungkur dengan rengekan memanjang. Tidak bertangguh pula Ucu Tunal mencuit bahu Dolah Tenjot supaya mara ke hadapan menghunus parang menyembelih leher rusa sebelum terlambat.

Tetapi Dolah Tenjot tidak mara ke hadapan. Tatkala Ucu Tunal menoleh ke belakang, terkejut benar dia kerana Dolah Tenjot tidak ada di situ. Puas dia memerhati keliling memang Dolah Tenjot tidak bersembunyi di mana-mana. Lagipun tidak ada sebab Dolah Tenjot mesti bersembunyi tatkala dia melepaskan tembakan.

Di hadapan mereka bukan harimau panjang tujuh yang terseragam menunggu mangsa. Masakan Dolah Tenjot takut tidak menentu apabila terserempak rusa jantan tengah naik badan. Tentu Dolah Tenjot juga gecur liur kalau daging rusa itu masak rendang.

"Hah, ke mana pula kau Dolah?" gerutu Ucu Tunal segera menerpa ke hadapan. Bimbang juga dia kalau lambat disembelih rasa yang telah terguling ke tanah. Kalau sudah mati kejang memang tidak berguna lagi daging rusa itu dibawa balik.

Sebaik sahaja dia menghunus parang mahu meyembelih rusa, berdebar benar hatinya apakala melihat Dolah Tenjot tergolek di sisi tubuh rusa berkenaan. Darah membuak-buak di kepala Dolah Tenjot dengan kakinya menggelepar sama seperti tubuh rusa yang merengek-rengek dengan kakinya menendang angin.