Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin
3.28K subscribers
97 photos
168 videos
14 files
104 links
MANUSKRIP BERCAKAP DENGAN JIN
Karya TAMAR JALIS
🀲al fatihah kpd penulis
Allahyarham dlm memori
(13.9.1940 - 26.8.2018)
.
.
KISAH SERAM / CERPEN
πŸ“ Koleksi seram pelbagai sumber termasuk pengalaman admin dan followers BDJ sendiri.
Download Telegram
#KoleksiTokAwangNgahBab134

MAYAT BANGKIT DARI KUBUR

(Bab 134 bahagian 1)

LIKU jalan di lereng bukit yang sempit dan berkelok tajam dari Bukit Tinggi ke Lubuk Sekaping sama juga dengan liku jalan ke Tanah Rata dari Tapah sampai ke Renglet. Tetapi jurang dan ngarai jalan ke Lubuk Sakaping itu lebih curam kalau dibandingkan ke Tanah Rata.

Memang sudah lama saya tidak jejak kaki ke Tanah Rata, semenjak sepupu isteri saya berpindah ke Lembah Bertam di Ringlet. Ketika dia masih lagi di Tanah Rata, beberapa kali juga saya ke sana. Apalagi Tok Ya yang bertugas di tempat berkenaan sudah lama bersara. Lainlah semasa Tok Ya masih lagi bertugas di Tanah Rata, saya akan singgah juga di rumah sepupu isteri saya itu. Memang Tok Ya juga sama macam Salim Sudin Mamai yang heboh dikatakan sudah meninggal dunia, tetapi hidup semula.

Tetapi ketika saya menemui Tok Ya beberapa tahun dulu, dia tersengih-sengih sahaja kalau ditanyakan mengenai kejadian tersebut. Dia sendiri bagaikan tidak percaya apabila dimasukkan ke dalam rumah mayat setelah disahkan meninggal dunia. Hampir lima jam dia dibujurkan di situ sebelum keluarganya datang menuntut. Ketika dikeluarkan dari rumah mayat itulah pihak hospital mendapati denyut nadi Tok Ya masih berdetak.
Cepat-cepat dia disorong semula ke wad dengan diberikan bantuan pernafasan.

Kejadian semasa negeri masih diperintah orang putih tentulah tidak siapa pun yang ambil tahu, disebabkan pihak hospital sengaja menutupnya. Hanya keluarga Tok Ya sahaja yang tahu mengenai dirinya dimasukkan ke rumah mayat hampir lima jam terbujur di situ.
Sebab itulah saya tidak hairan sangat kalau diungkit juga mengenai kejadian yang menimpa sepupu saya Salim Sudin Mamai itu. Cucunya Kasim Togel sendiri tidak percaya kalau dikatakan datuknya Salim Sudin Mamai sudah meninggal dunia kemudian hidup semula itu.

Ketika melalui jalan berliku ke Lubuk Sakaping itulah Mamak Bandaro beritahu saya mengenai Sabisah isteri Sutan Malim yang sudah dikebumikan selama tiga hari hidup semula. Terkejut juga saya apabila diberitahu demikian, kerana Mamak Bandaro tidak pernah beritahu apa-apa semasa mengajak saya ke rumah Sutan Malim di Lubuk Sakaping itu.

Empat hari Sabisah mengidap demam panas, dia menghembuskan nafasnya. Seisi kampung tahu mengenai kematian Sabisah. Siapa tidak kenal dengan Sabisah isteri Sutan Malim di kampung berkenaan? Dia akan jerkah siapa sahaja sekiranya berani menegur tatkala sempadan sawah dipokah habis. Seisi kampung tahu Sabisah tidak oleh dihalang kemahuannya. Sutan Malim sendiri tidak berdaya menghalang isterinya tengadah siapa sahaja jiran yang berani menentangnya. Bila-bila dia sanggup bercekak apabila jiran-jiran berkeras mahu menghalang kemahuan dia.

Kambing menyerbu masuk ke tapak semaian pun Sabisah akan tusuk dengan lembing. Biarlah kambing berkenaan menggelepar akibat lembing tertusuk di rusuk. Sutan Malim juga akan dikibas dengan mata parang sekiranya memujuk minta dia bertenang. Sabisah tidak mahu Sutan Malim tunduk dengan kemahuan orang-orang kampung hingga biarkan sahaja harta benda mereka dibinasakan.

Kalau tidak berkeras sudah tentu sempadan sawah akan ditentukan oleh siapa sahaja yang sanggup menyinsing lengan baju. Sebab itu Sabisah tidak mahu mengalah kalau takat orang-orang kampung mencabar dirinya.

"Sabisah tu keras kepala," Matusa yang pernah luka di dahi akibat ditetak dengan parang oleh Sabisah mencebek bibir setelah diberitahu mengenai kematian perempuan itu.

Sampai bila pun Matusa tidak lupakan kejadian dia leraikan Sabisah menyerbu ke rumah jirannya Jabal dengan parang terhunus. Marah benar Sabisah apabila Jabal melunggah sempadan sawah hingga air menyerbu masuk. Anak padinya tergenang air disebabkan sempadan sawah dipokah habis. Belum sempat Jabal mahu menjelaskan Sabisah sudah menerkam naik ke rumah. Terpaksa Jabal terjun ikut tingkap akibat parang dikibas hampir menyinggahi dadanya. Sabisah juga terjun ke tanah menghambat Jabal yang terjerit-jerit meminta pertolongan.
#KoleksiTokAwangNgahBab134

MAYAT BANGKIT DARI KUBUR

(Bab 134 bahagian 2)

Tidak bertangguh Toha turun membantu. Masai juga turun membantu setelah melihat Toha dan Sutan Malim terkial-kial menarik keluar tubuh Sabisah. Ketika mereka naikkan Sabisah ke atas tebing kubur, perlahan-lahan Sabisah membuka kain kapannya.

"Kalian tak perlu takut pada aku," terketar-ketar Sabisah bersuara dalam keadaan masih lemah.

Setelah Sabisah dikeluarkan dari kubur, segera Pak Marhalah menyuruh tanamkan batang pisang sebagai ganti. Mereka semua kebumikan batang pisang sama seperti kebumikan mayat juga. Sebaik sahaja kubur dikambus semula, mereka semua mengusung Sabisah balik ke rumahnya.

Semenjak Sabisah dibawa balik, perangainya berubah sama sekali. Suaranya lembut tidak membentak mengikut perasaan. Dia meminta maaf kepada sesiapa sahaja dalam linangan air mata apabila kenangkan perbuatannya sebelum itu.

Seisi kampung melihat perubahan luar biasa itu, kerana Sabisah yang mereka lihat ketika itu bukan lagi perempuan yang garang sebelum itu. Sabisah habiskan masanya di musalat, hingga makan minum juga tidak penting sangat kepadanya.

Berkali-kali dia meminta ampun pada Matusa disebabkan menetak dahinya dengan parang terhunus. Dia tahu Matusa bukan sahaja menderita cedera di dahi, malah penglihatannya juga kabur. Hampir sebulan Sabisah balik semula ke rumah dia meminta Matusa datang menemuinya sebelah pagi sebelum mandi dan berkumur-kumur di telaga.

Apabila Matusa datang menemuinya, Sabisah menyuruh bapa saudaranya letakkan ibu jari kanan kepada langit-langit. Kemudian dia suruh Matusa ikut sama membacakan doanya sebanyak tiga kali:

Allahhuma mato 'inni bibosri waj'alhul warisa minni wa-oriniya fil 'uduwisay'ri wa-ansurni 'ala man tolaminni.

Kemudian ibu jari yang basah dengan air liur di langit-langit itu disapukan tiga kali kepada pelupuk mata. Setelah tiga hari Matusa berulang ke rumah Sabisah dia melonjak gembira apabila matanya dapat melihat semula.

Semenjak Matusa sembuh mata diubati Sabisah, seisi kampung mula menemui dia. Kejadian yang menimpa mereka sebelum Sabisah dikebumikan tidak perlu diungkit-ungkit lagi. Perubahan Sabisah itu amat menakjubkan mereka.
Setiap kali jiran-jiran datang menemuinya Sabisah akan nasihatkan mereka supaya mematuhi perintah Allah. Kadang-kala dia akan mengesat pelupuk mata setiap kali menyebut ayat-ayat al-Quran. Memang seisi kampung kagum dengan kemampuan Sabisah hafalkan ayat-ayat al-Quran hinggakan Angko Zawar juga mengakui akan kelebihan perempuan itu.

Sewaktu Toha mengidap demam panas hingga meracau-racau tidak menentu, tidak bertangguh isterinya Sapinah mengadu pada Sabisah. Memang Sabisah tidak membantah setelah diberitahu mengenai Toha terlantar sakit. Sebaik sahaja sampai di rumah Toha, dia menyuruh ambilkan pucuk pisang alaskan tempat tidur Toha.
Biarlah Toha dibaringkan di atas daun pucuk pisang yang berwap sejuk, supaya suhu panas badan lelaki itu berkurangan. Kemudian Sabisah meminta air sejuk segelas dibubuhkan dua tiga butir beras ke dalamnya. Perlahan-lahan Sabisah doakan air sejuk digelas dengan membacakan:

Bismillahhil kabirhu na'uzubillahhil 'azim minni syarri kulli' rannahari mM syarri hassarannar, labaksa labaksa rabbinnasi isyfi wa-antasy syafi la-syifa-a illa syifa-uka Bola inni wahanal 'azmu minni wasyta'alar ra'su syaiban walam akun bidu'a-ika rabbi syaqiyan.

Sebelah petang selepas asar Sabisah datang doakan air sejuk itu supaya diminum oleh Toha, selepas maghrib sahaja Toha merasakan demam tersebut sembuh sepenuhnya. Dia bangun menjamah nasi dengan berselera bagaikan kemaruk sangat.

Semenjak itu siapa sahaja mengidap sakit tidak bertangguh menemui Sabisah. Seisi kampung sebarkan cerita mengenai Sabisah yang sudah dikebumikan tiga hari di dalam kubur hidup semula. Dia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya, disebabkan Sabisah selepas keluar dari kubur menjadi perempuan yang soleh.