Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin
3.34K subscribers
97 photos
168 videos
14 files
104 links
MANUSKRIP BERCAKAP DENGAN JIN
Karya TAMAR JALIS
🀲al fatihah kpd penulis
Allahyarham dlm memori
(13.9.1940 - 26.8.2018)
.
.
KISAH SERAM / CERPEN
πŸ“ Koleksi seram pelbagai sumber termasuk pengalaman admin dan followers BDJ sendiri.
Download Telegram
#KoleksiTokAwangNgahBab132

PUAKA MENJELMA DIHUJAN PANAS

(Bab 132 bahagian 1)

MAHU dikatakan sudah lama berlalu tidak juga kerana adik bongsu Andak Libit meninggal dunia semasa berusia tiga tahun, ketika itu dia sudah anak dara sunti. Adiknya Matan menangis nyaring mahu mengikut ayahnya ke kedai, sampai tidak sempat dihalang oleh emaknya.

Memang Pak Sulah tidak mahu membawa anak kecil itu ke kedai dengan menunggang basikal melalui jalan kecil berlubang-lubang. Lainlah kalau di kedai kopi dalam kampung memang seringkali juga Pak Sulah dukung anaknya Matan. Sudah menjadi kebiasaan anak kecil itu asal sahaja ayahnya tinggalkan rumah, dia tetap mahu mengikut sama. Kalau dilarang kemahuannya Matan akan menggila menangis sampai hilang suara.

Disebabkan Pak Sulah sudah berjanji dengan jirannya Long Zidin mahu ke Lenggong menunggang basikal, dia terpaksa mengelak daripada anaknya Matan. Sengaja Pak Sulah turun ikut jalan dapur mengheret basikal buruknya dengan menyuruh Andak Libit awasi Matan. Tetapi semasa menarik basikalnya Matan dapat juga melihat kelibat ayahnya cepat-cepat tinggalkan rumah.

Tidak bertangguh Matan berkejar mengekori dari belakang mahu menjejaki ayahnya yang sudah jauh ke darat kampung. Pak Sulah tahu Long Zidin tentu lama menunggu di rumahnya, kerana lorong tersebut melalui halaman rumah Long Zidin juga.

Tangisan Matan mengekori ayahnya menjadikan emaknya Mak Tmbun serba salah juga. Tidak disangkanya keras sangat hati Matan sampai mengejar dari belakang dengan tidak hiraukan lorong kecil itu dipenuhi belukar di kiri kanan. Jalan mahu ke rumah Long Zidin itu pula dipisahkan oleh parit kecil dengan dihubungkan titian batang pinang.

"Adik kamu tu tengok, Libit," laung Mak Tambun setelah melihat anaknya melepasi selekoh yang dilindung belukar senduduk di kiri kanan lorong.

Tidak bertangguh Andak Libit mengejar adiknya pula. Bimbang juga dia sekiranya Matan jatuh ke dalam parit longkang hingga dihanyutkan air. Memang air di dalam parit itu cetek dan tidak deras, tetapi manalah tahu kalau geruh mahu datang menimpa. Tentu adiknya terjatuh semasa melalui titian batang pinang melintang parit itu.

Belum pun sempat Andak Libit sampai ke parit berkenaan, adiknya Matan sudah berpatah balik. Tersenyum Andak Libit kerana Matan tidak berani mahu meneruskan perjalanan mengejar ayahnya. Cepat-cepat pula dia memeluk Matan yang datang berlari menerpa ke arahnya.

"Andak, aku takut," beritahu Matan pelat-pelat dalam sedu sedan tangisnya.

"Takut apa?" pujuk Andak Libit terus mendukung adiknya dibawa balik ke rumah.

"Ada orang dekat titi," Matan tersengguk-sengguk menangis sampai ke halaman rumahnya.

Setelah dipujuk oleh emaknya, lantas sahaja Matan beritahu dia hampir jatuh sewaktu mahu meniti titian batang pinang melintang parit. Tetapi orang tua berkaki capik datang membantunya dengan memegang tubuhnya. Terkejut benar Matan apakala melihat muka hodoh lelaki itu dengan bibirnya berlumuran darah.

Tersengih-sengih lelaki tua itu membawa dia balik ke tebing parit. Lantas lelaki itu memujuknya supaya balik semula ke rumah. Semasa Matan meniti titian itu memang dia nampak lelaki tua itu berjalan di dalam parit dengan terjengket-jengket disebabkan kakinya capik.

Tangisan Matan menjadi bertambah kuat bukan disebabkan marah ayahnya tinggalkan dia, tetapi lelaki tua itu memujuknya supaya balik ke rumah. Dia juga terkejut kerana muka lelaki itu terlalu hodoh hingga kulitnya berkedut-kedut macam kertas diramas di dalam air.

Mak Tambun tersenyum dengan cerita anaknya yang pelat-pelat itu. Anak kecil berusia lebih tiga tahun itu sengaja mahu berdalih disebabkan hatinya mendongkol ditinggalkan oleh ayahnya yang tidak mahu dia sama menunggang basikal ke kedai. Tentulah Matan meluahkan rasa marahnya dengan membuat cerita bohong demikian.

Setelah dipujuk, Matan tidur juga disebabkan keletihan sampai santak petang. Sehingga Pak Sulah balik dari kedai sebelah petangnya barulah dia terbangun dari tidur. Sengaja Pak Sulah belikan coklat untuk memujuk Matan supaya tidak berterusan mendongkol perasaan.
#KoleksiTokAwangNgahBab132

PUAKA MENJELMA DIHUJAN PANAS

(Bab 132 bahagian 2)

Sama ada mahu percaya atau pun tidak, memang Utih Semik juga sudah terserempak lelaki hodoh berkaki capik itu. Sengaja dia mengendap di parit berkenaan asal sahaja hujan panas turun renyai-renyai. Beberapa kali dia ke situ memang sukar juga mahu terserempak disebabkan semangatnya memang tidak mudah dilentur.

Hanya menjelang senja dia mengendap ketika hujan panas turun renyai-renyai, Utih Semik nampak jelmaan lelaki hodoh berkaki capik itu berjalan menghulu. Tidak bertangguh Litih Semik melompat keluar dari sebalik belukar membentak lelaki hodoh itu dengan membacakan:

Qolillahhil hamdurabb is samawati warabbil ardhi rabbit 'alamin, walahul kibraya u-fissamawati wal-ardhi wahuwal 'azizul-hakim.

Tiga kali dibacakan oleh Utih Semik dia menghentakkan tumitnya ke tanah. Tiba-tiba lelaki hodoh itu terbatuk-batuk, kemudian berpaling ke arah Utih Semik. Tersenyum dia apabila melihat Utih Semik tercegat di tebing parit dengan tumit mengisar ke tanah.

"Aku tahu kamu nak jumpa aku Semik!" ujar lelaki hodoh itu bagaikan mengejek.

"Buat apa awak lalu di sini?" jerkah Utih Semik mengokohkan semangatnya tatkala berhadapan dengan lelaki hodoh berkaki capik itu.

"Hah, kamu ni anak Pawang Minin, ye tak?" semakin ramah lelaki hodoh itu menegur Utih Simek, tetapi dia tetap tidak berganjak dari tengah air.

"Tak perlu awak tahu!" sahut Utih Semik keras tidak mahu mengalah.

"Pawang Minin pun tak macam kamu Semik," tegas lelaki hodoh itu terus mengejeknya.

Utih Semik tidak menyahut. Dia merenung tepat ke muka lelaki hodoh yang berkedut-kedut kulit itu lantas membaca-kan perlahan:

Waiz sorafna ilaika nafaran mina jinni yastamirunal Quranna, falamma hadhoruhu ansitu falamma qodhiya wallau ila qaumihim munzirin.

Selepas Utih Semik membacakan doanya, lelaki hodoh itu terbatuk-batuk hingga bersemburan darah dari mulutnya. Tetapi dia masih tersenyum dengan membiarkan darah memercik di bibirnya. Dia tidak membasuh pun darah di bibirnya sekalipun masih tercegat di tengah air.

"Semik, kalau kau tak mahu jumpa aku, biarlah aku balik," lelaki hodoh itu mula gelisah dengan sikap Utih Semik.

"Aku tak mahu awak ganggu orang kampung ni!" tegas Utih Semik ingatkan lelaki hodoh tersebut.

"Tak pernah pun aku ganggu orang," sahut lelaki hodoh itu terbatuk-batuk hingga bergegar badan. Setiap kali dia terbatuk-batuk darah memercik dari mulutnya. "Aku orang terbuang, tak ada kawan, buat apa nak ganggu orang," dia menuturkan perlahan seolah-olah mengharapkan belas kasihan.

Utih Semik mencebek bibir mengejeknya. Memang lelaki hodoh berkaki capik itu tidak mengganggu sesiapa. Dia sekadar melalui parit berkenaan asal sahaja hujan panas turun renyai-renyai. Tetapi siapa sahaja terserempak dengan lelaki hodoh itu mudah lemah semangat hingga demam berminggu-minggu. Terpaksa pula mereka jemput Uith Semik sekiranya suhu badan bertambah panas sampai meracau-racau tidak menentu.

Sebab itu Utih Semik marah benar selagi orang tua hodoh masih menampakkan kelibat di situ. Tahu sangat dia lelaki hodoh itu seringkali nampak kelibat tatkala hujan panas turun renyai-renyai. Kalau dia menghilir parit memang mangsanya akan membawa maut sekiranya tiba ajal. Tetapi kalau dia menghulu mangsanya akan capik kaki sama seperti dialaminya.

Semenjak ayahnya Pawang Minin lagi memang jelmaan puaka di parit itu seringkali nampakkan kelibat. Tetapi Pawang Midin akan semah di situ dengan bertih dan ayam panggang asal sahaja mangsa dapat dipulihkan setelah mengalami panas suhu badan akibat terperanjat melalui parit tersebut.

Pantang Utih Semik mahu semah dengan bertih dan ayam panggang. Dia tidak akan mengalah kalau puaka itu berkeras mahu mengganggu. Sebab itu berulang kali dia mengendap di sebalik belukar asal sahaja hujan panas turun renyai-renyai. Biar dia sendiri berdepan dengan puaka jelmaan orang tua hodoh berkaki capik.