Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin
3.24K subscribers
97 photos
168 videos
14 files
104 links
MANUSKRIP BERCAKAP DENGAN JIN
Karya TAMAR JALIS
🀲al fatihah kpd penulis
Allahyarham dlm memori
(13.9.1940 - 26.8.2018)
.
.
KISAH SERAM / CERPEN
πŸ“ Koleksi seram pelbagai sumber termasuk pengalaman admin dan followers BDJ sendiri.
Download Telegram
#KoleksiTokAwangNgahBab133

MATI TERBUJUR HIDUP SEMULA

(Bab 133 bahagian 1)

DI TENGAH pusaran air yang menolak ke tebing sungai berteluk itu nampak buih terapung-apung beralun perlahan. Lantas ayah saya kuis-kuiskan buih tersebut sambil memerhati anak-anak ikan menggelepar. Tentu mereka menuba sungai sampai tidak hiraukan anak-anak ikan juga menjadi mangsa.

Sudah berkali-kali ayah saya ingatkan Sudin Mamai supaya tidak tuba sungai kalau sekadar mahu dapatkan ikan. Gunakan jeramak pun boleh dapat hampir setengah keruntung. Tidak perlu taburkan tuba biar ikan mabuk tercangut ke permukaan arus.

Memang seisi kampung tahu sangat mengenai Sudin Mamai yang suka ke hutan mencari akar tuba. Dia akan titik akar tuba itu dan direndamkan ke tengah arus sungai. Dalam masa setengah jam sahaja ikan terbul, ikan masai, ikan susur batang, ikan betuk akan terkapung di tengah arus sungai. Orang-orang kampung juga akan menyerbu ke sungai membawa tengguk dengan harapan dapat ikan sampai penuh setimba.

Siapa pun tidak marahkan Sudin Mamai tuba sungai. Mereka akan tumpang sama dapat rezeki banyak ikan terkapung akibat mabuk tuba. Masakan mereka marah asal sahaja Sudin Mamai tidak larang mereka ikut sama menangguk ikan mabuk tuba terkapung di tengah arus sungai. Lagi pun mereka tidak perlu bersusah payah ikut Sudin Mamai ke hutan mencari akar tuba berkenaan.

Tetapi ayah saya marah benar dengan sikap Sudin Mamai suka menuba ikan di sungai. Kadangkala tidak sampai tiga bulan dia akan cari lagi akar tuba. Sudin Mamai akan titik sampai hancur biar akan tuba keluarkan getah untuk mabukkan ikan.

Bukan takat ikan menyonsong arus sahaja terkapung mabuk, ikan yang menyusup ke kawasan berteluk sama ada ikan semilang, ikan baung, ikan haruan, ikan tilan juga akan menggelepar ke permukaan arus sekiranya tidak sempat menyusup ke lubang tebing.

Bila-bila sahaja ikan yang mabuk tuba itu mudah ditangguk orang-orang kampung yang sentiasa menunggu Sudin Mamai turun menuba. Siapa lagi tahu menuba sungai di kampung itu selain daripada Sudin Mamai. Memang Sudin Mamai sahaja yang tahu mencari akar tuba di tengah hutan.

"Ada orang tuba sungai lagi," gerutu ayah saya memerhati emak saya yang tercegat di tebing sungai.

"Ah, tentu kerja Sudin Mamai tu," sahut emak saya menjuihkan bibir kerana sudah dapat mengagak tentu Sudin Mamai yang lakukan.

"Makan ikan kena tuba, samalah macam tuba diri sendiri!" ujar ayah saya tidak terus mandi di sungai sebaik sahaja balik dari menajak di sawah.

Sudah menjadi kebiasaan ayah saya dia lebih selesa mandi di sungai apabila balik dari menajak di sawah. Lumpur yang banyak terpalit di seluruh badan mudah disental dengan sabut biar habis tanggal tidak bersisa. Emak saya juga akan membasuh kain di sungai setiap kali balik dari sawah.

Sebaik sahaja menyedari sungai dituba orang, beberapa orang yang sama-sama balik dari sawah tidak lepaskan peluang ikut sama menangkap ikan mabuk tuba. Resat Tepek cepat sahaja terjun dari tebing sungai mencapai kayu panjang sehasta. Asal sahaja ikan tercangut di permukaan arus dia akan ketuk sahaja biar mudah ditangkap.

Bukan Resat Tepek sahaja yang cepat-cepat menerkam ikan mabuk tuba, Senah Lawar pun ikut sama tadahkan kain tutup kepala. Ikan mabuk tuba itu tidak boleh dibiarkan mati kembung hingga insangnya dimasuki habis semua racun tuba itu. Kalau dibiarkan racun tuba meresap habis, tentu mereka juga akan menerima padah.

Disebabkan sudah ramai orang menyerbu ke sungai, ayah saya tidak mahu lagi mandi di sungai. Dia tidak mahu mandi air sungai yang sudah ditabur dengan racun tuba. Lantas ayah saya mengajak emak saya balik sahaja mandi di telaga. Biarlah emak saya juga membasuh kain di telaga disebabkan terkilan dengan perbuatan Sudin Mamai menuba sungai tatkala tengah hari demikian.

"Tak serik-serik Sudin Mamai ni," emak saya mendengus apabila kenangkan adik sepupunya itu. Sudah berkali-kali dimarahi oleh Pak Tua Mahat pun dia tetap berdegil mahu menuba di sungai.
#KoleksiTokAwangNgahBab133

MATI TERBUJUR HIDUP SEMULA

(Bab 133 bahagian 2)

Dukun Lamat juga nasihatkan Milah Dukung supaya tidak tergesa-gesa dapatkan anaknya Salim. Manalah tahu yang bingkas bangun itu sekadar puaka lembaga yang merasuk anak kecil itu. Kalau Sudin Mamai yang mulakan puncanya biarlah dia sendiri yang selesaikan urusan dengan puaka batu dagu di kaki bukit.

Sebaik sahaja saya sampai bersama emak dan kakak, Sudin Mamai masih lagi menyuap nasi dengan Salim. Dia melambai saya mara mendekatinya mengajak makan bersama. Serba salah juga saya mahu mengelak disebabkan baru sahaja makan nasi di rumah sebelum datang ke situ.

Beberapa kali diajak oleh Sudin Mamai terpaksa juga saya duduk di sisinya. Saya terus menjamah nasi dengan gulai ikan sebarau masak lemak kuning bercampur belimbing buluh. Memang saya tidak makan banyak, sekalipun terasa gulai ikan itu sungguh menyelerakan. Kalau tidak kenangkan perut tengah kenyang memang mahu juga saya bertambah lagi.

Selesai sahaja makan, Sudin Mamal meminta saya bacakan doa selamat. Setelah saya bacakan doa selamat inilah Pak Tua Mahat jejak kaki di kepala tangga setelah mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa Sudin Mamai. Cemas juga Pak Tua Mahat apabila diberitahu kejadian yang berlaku ke atas Sudin Mamai

Tetapi dia juga sudah mengalaminya sewaktu anaknya Lajis masih kecil lagi. Memang Pak Tua Mahat hampir kecewa setelah menembak ayam hutan bertenggek di akar. Balik sahaja dari berburu emak mertuanya sudah menyergah disebabkan Lajis terbujur tidak bernyawa.

Hampir juga nenek saya bercekak rambut dengan emak mentua Pak Tua Mahat disebabkan perempuan itu menyalahkan Pak Tua Mahat sahaja. Tersinggung juga nenek saya apabila anaknya Pak Tua Mahat diperlakukan macam anak yang tidak mempunyai emak dan ayah.

Tetapi Pak Tua Mahat tetap bersabar. Kesabaran Pak Tua Mahat menghadapi dugaan itulah dituruti oleh Sudin Mamai dalam masa dia benar-benar terdesak. Sebaik sahaja balik dari menuba ikan Sudin Mamai sudah dapat mengagak kejadian itu akan menimpa keluarganya.

Sebaik sahaja dia naik ke tebing sungai selepas mengutip ikan mabuk tuba, Sudin mamai tercium bau busuk. Tatkala dia melihat keruntung berisi ikan terkejut benar Sudin Mamai kerana ikan di dalam keruntung semuanya tulang-tulang tidak berguna. Berdebar hati Sudin Mamai dengan keadaan ikan-ikan di dalam keruntung sudah bertukar mnejadi tulang-tulang ikan sahaja.

Lantas sahaja Sudin Mamai ingatkan kejadian yang menimpa Pak Tua Mahat bertahun-tahun sebelum itu. Ketika Pak Tua Mahat berburu ayam hutan bertenggek pada akar pohon ara. Sebaik sahaja ditembak, Pak Tua Mahat terkejut kerana ayam hutan bertukar menjadi daun terap kering. Tetapi Pak Tua Mahat dapat pulihkan semula ayam hutan yang ditembaknya.

Semasa balik membawa ayam hutan siap disembelih itulah Pak Tua Mahat diberitahu mengenai anaknya Lajis meninggal dunia. Orang-orang kampung juga sudah bersiap-siap mahu kebumikan Lajis hingga kubur pun sudah digali. Tetapi Pak Tua Mahat tidak berputus asa, dia tidak terus naik ke rumah menatap anaknya yang sudah dibujurkan.

Pak Tua Mahat masuk ke dapur meletakkan ayam hutan siap disembelih di pelantar dapur. Mereka yang datang berkumpul ke situ melihat Pak Tua Mahat menyiang ayam lantas menggulainya sampai nasi dihidangkan ke sisi Lajis. Memang Sudin Mamai tahu bukan Pak Tua Mahat yang memasak di dapur. Ketika ini Pak Tua Mahat duduk di perdu pohon ara merendang dengan tangannya tidak lepas mencekak lelaki tua berpakaian seperti Cina tua.

Tangan Pak Tua Mahat tidak lepas mencengkam kuat batang leher lelaki Cina tua itu. Kemudian dia membacakan seratus kali:

Ya qadim, ya daim, ya ahad, ya wahid, ya samad,
terus memuntal rambut lelaki Cina tua yang mengerbang panjang.
Terkial-kial lelaki Cina tua itu dengan merengek-rengek lemah. Pak Tua Mahat terus membacakan: