Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin
3.34K subscribers
97 photos
168 videos
14 files
104 links
MANUSKRIP BERCAKAP DENGAN JIN
Karya TAMAR JALIS
🀲al fatihah kpd penulis
Allahyarham dlm memori
(13.9.1940 - 26.8.2018)
.
.
KISAH SERAM / CERPEN
πŸ“ Koleksi seram pelbagai sumber termasuk pengalaman admin dan followers BDJ sendiri.
Download Telegram
Dalam keadaan serba salah itu saya menyuruh Cu Selemah duduk bertimpuh tidak jauh dari rumpun pisang. Saya menyuruh dia pejamkan mata dengan mem-bacakan al-Fatihah 17 kali, surah al-Ikhlas 17 kali dan Ayatul Kursi 17 kali. Sebaik sahaja Cu Selemah selesai membacanya saya ketuk dahinya dengan jari telunjuk dengan membacakan:

Allahhu yatawaffal anfusa hino mautiha wallati lamtamut fi-mana miha fayumsikullati qoda 'alaihal mauta wayursilul ukhro ila-ajalin musamman inna fi zalika la-ayatin liqaumin yatafakkarun.

Beberapa minit sahaja tiba-tiba Cu Selemah menggeletar dengan peluh memercik di dahi. Jarinya menuding ke arah perdu rumpun pisang kelat dalam keadaan ketakutan. Kalau tenaganya gagah memang Cu Selemah akan melompat lari. Tetapi saat ini dia sekadar terconggok dengan tidak ada tenaga apa-apa.

"Kenapa Cu?" bisik saya meletakkan telunjuk di atas ubun-ubunnya.

"His, orang tua di perdu rumpun pisang tu," keluh Cu Selamah serba salah. "Orangnya capik kaki, tetapi kuku jarinya tajam macam nak cengkam tengkuk Andak Libit," ujar Cu Selemah terketar-ketar suara menahan ketakutan.

"Jangan takut, syaitan takkan boleh lawan ilmu manusia," lantas saya ingatkan Cu Selemah. Kemudian saya pusarkan ibu jari telunjuk ke ubun-ubunnya dan menyuruh dia membacakan surah al-Ikhlas 11 kali dihembuskan ke arah lembaga lelaki tua berkaki capik di perdu rumpun pisang itu.

Tersenyum Cu Selamah memberitahu hembusannya mengeluarkan api hingga melecur sebahagian tubuh lembaga berkenaan. Ketika ini juga terdengar jeritan Andak Libit dari tengah rumah. Setelah saya bisikkan kepadanya supaya bertenang, Cu Selemah semakin berani mengukuhkan duduk timpuhnya.

Pandangannya tajam merenung ke perdu rumpun pisang dengan mencebek bibir. Dia melihat lembaga lelaki tua berkaki capik di situ berkeras mahu melawan. Apabila saya menyuruh Cu Selemah membacakan al-Fatihah 7 kali dengan mengembangkan bahu supaya tubuhnya menjadi besar, jeritan halus Andak Libit di tengah rumah gementar memberitahu tubuh Cu Selemah terlalu besar.

"Kepala Cu Selemah mencecah ke awan," terketar-ketar Andak Libit menerangkan.

"Kalau berani, kau lawanlah!" lantas Acik Mikon mengejek bagaikan mencabarnya.

Tetapi saya tidak peduli apa pun yang berlaku di tengah rumah. Memang Acik Mikon juga tahu apa sebenarnya saya lakukan bersama Cu Selemah di perdu rumpun pisang itu. Semakin lama Cu Selemah terconggok dia semakin berani berdepan dengan lelaki tua berkaki capik itu.

Merungut-rungut Cu Selemah memberitahu lembaga itu puaka capik yang cuba mengganggu. Marah benar dia dengan puaka capik itu sengaja mencari kesempatan di perdu rumpun pisang kelat. Setiap kali dia ingatkan puaka capik itu supaya jangan berkeras mahu mengancam Andak Libit, kedengaran jeritan berulang kali di tengah rumah.

Puaka capik itu semakin terdesak apakala melihat saya berdiri di tengah lingkaran cahaya putih yang memancar panas. Di sisi saya pula Andak Libit nampak tubuh Cu selemah membesar hingga kepalanya mencecah ke awan. Sekaligus pula kaki Cu Selemah sebesar bukit memijak kepala puaka Capik itu.

Setelah tidak kedengaran lagi jeritan Andak Libit, barulah Cu Selemah termengah-mengah memberitahu terlalu dahaga. Apakala saya tidak meletakkan lagi telunjuk .di ubun-ubunnya, Cu Selemah jatuh tergolek di atas rumput. Segera saya bacakan al-Fatihah tiga kali dengan menjentik perlahan dahinya. Ketika ini Cu Selemah membuka mata lantas bingkas bangun berdiri terpinga-pinga.

"Mana puaka capik tu?" gerutunya masih lagi menyimpan perasaan marah. "Puaka capik yang buat angkara," keluh Cu Selemah menggertap bibir sambil melingas-lingas memandang ke kiri ke kanan.

Apabila saya memujuknya supaya naik semula ke rumah, Cu Selemah tidak membantah apa-apa. Dia terus naik ke rumah dalam keadaan masih juga terpinga-pinga tidak menentu. Sebaik sahaja naik ke rumah dia berbaring kerana terasa pening kepala. Hampir lima belas minit dia terbaring barulah Cu Selemah segar semula.

"Tak pernah saya buat kerja macam ni," beritahu Cu Selemah perlahan memicit-micit dahinya.
Tersenyum Acik Mikon melihat isterinya termangu dengan kejadian yang dialaminya, kerana ketika ini Andak Libit sudah pun duduk dalam keadaan sudah pulih.

"Macam mana?" Semail Bujuk mengusap rambut Andak Libit setelah isterinya meneguk minuman.

"Entahlah, Cu Selemah besarnya," bergetar suara Andak Libit menggeleng lemah. "Tapak kaki Cu Selemah macam bukit memijak kepala puaka berkaki capik tu!" katanya perlahan sambil menunduk menyebabkan Semail Bujuk tersengih-sengih mengerling Cu Selemah.

Memang Semail Bujuk tidak tahu apa-apa mengenai kejadian yang menimpa dua orang perempuan itu. Cu Selemah juga tidak bercakap apa, kecuali beberapa kali mengesat pelupuk matanya.

Lama selepas itu baru Cu Selemah beritahu jiran-jiran mengenai puaka capik yang mahu mencengkam tengkuk Andak Libit. Bukan dia sahaja macam tidak percaya dengan apa yang berlaku, malah Andak Libit juga mengakui mengenai puaka capik yang mahu menerkamnya. Kalau tidak dihalang oleh Acik Mikon memang kuku-kuku runcing puaka capik itu sempat mencengkamnya.

Memang isteri saya juga tetap ingat kejadian berkunjung ke Lenggong beberapa tahun dulu ke rumah Acik Mikon, apabila melihat kelkatu berterbangan menerpa lampu di tengah rumah. Kadangkala tersenyum dia apabila kenangkan Andak Libit gementar apabila ceritakan fasal tubuh Cu Selemah membesar hingga kepalanya cecah ke awan.

Tamat bab 131.

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab132

PUAKA MENJELMA DIHUJAN PANAS

(Bab 132 bahagian 1)

MAHU dikatakan sudah lama berlalu tidak juga kerana adik bongsu Andak Libit meninggal dunia semasa berusia tiga tahun, ketika itu dia sudah anak dara sunti. Adiknya Matan menangis nyaring mahu mengikut ayahnya ke kedai, sampai tidak sempat dihalang oleh emaknya.

Memang Pak Sulah tidak mahu membawa anak kecil itu ke kedai dengan menunggang basikal melalui jalan kecil berlubang-lubang. Lainlah kalau di kedai kopi dalam kampung memang seringkali juga Pak Sulah dukung anaknya Matan. Sudah menjadi kebiasaan anak kecil itu asal sahaja ayahnya tinggalkan rumah, dia tetap mahu mengikut sama. Kalau dilarang kemahuannya Matan akan menggila menangis sampai hilang suara.

Disebabkan Pak Sulah sudah berjanji dengan jirannya Long Zidin mahu ke Lenggong menunggang basikal, dia terpaksa mengelak daripada anaknya Matan. Sengaja Pak Sulah turun ikut jalan dapur mengheret basikal buruknya dengan menyuruh Andak Libit awasi Matan. Tetapi semasa menarik basikalnya Matan dapat juga melihat kelibat ayahnya cepat-cepat tinggalkan rumah.

Tidak bertangguh Matan berkejar mengekori dari belakang mahu menjejaki ayahnya yang sudah jauh ke darat kampung. Pak Sulah tahu Long Zidin tentu lama menunggu di rumahnya, kerana lorong tersebut melalui halaman rumah Long Zidin juga.

Tangisan Matan mengekori ayahnya menjadikan emaknya Mak Tmbun serba salah juga. Tidak disangkanya keras sangat hati Matan sampai mengejar dari belakang dengan tidak hiraukan lorong kecil itu dipenuhi belukar di kiri kanan. Jalan mahu ke rumah Long Zidin itu pula dipisahkan oleh parit kecil dengan dihubungkan titian batang pinang.

"Adik kamu tu tengok, Libit," laung Mak Tambun setelah melihat anaknya melepasi selekoh yang dilindung belukar senduduk di kiri kanan lorong.

Tidak bertangguh Andak Libit mengejar adiknya pula. Bimbang juga dia sekiranya Matan jatuh ke dalam parit longkang hingga dihanyutkan air. Memang air di dalam parit itu cetek dan tidak deras, tetapi manalah tahu kalau geruh mahu datang menimpa. Tentu adiknya terjatuh semasa melalui titian batang pinang melintang parit itu.

Belum pun sempat Andak Libit sampai ke parit berkenaan, adiknya Matan sudah berpatah balik. Tersenyum Andak Libit kerana Matan tidak berani mahu meneruskan perjalanan mengejar ayahnya. Cepat-cepat pula dia memeluk Matan yang datang berlari menerpa ke arahnya.

"Andak, aku takut," beritahu Matan pelat-pelat dalam sedu sedan tangisnya.

"Takut apa?" pujuk Andak Libit terus mendukung adiknya dibawa balik ke rumah.

"Ada orang dekat titi," Matan tersengguk-sengguk menangis sampai ke halaman rumahnya.

Setelah dipujuk oleh emaknya, lantas sahaja Matan beritahu dia hampir jatuh sewaktu mahu meniti titian batang pinang melintang parit. Tetapi orang tua berkaki capik datang membantunya dengan memegang tubuhnya. Terkejut benar Matan apakala melihat muka hodoh lelaki itu dengan bibirnya berlumuran darah.

Tersengih-sengih lelaki tua itu membawa dia balik ke tebing parit. Lantas lelaki itu memujuknya supaya balik semula ke rumah. Semasa Matan meniti titian itu memang dia nampak lelaki tua itu berjalan di dalam parit dengan terjengket-jengket disebabkan kakinya capik.

Tangisan Matan menjadi bertambah kuat bukan disebabkan marah ayahnya tinggalkan dia, tetapi lelaki tua itu memujuknya supaya balik ke rumah. Dia juga terkejut kerana muka lelaki itu terlalu hodoh hingga kulitnya berkedut-kedut macam kertas diramas di dalam air.

Mak Tambun tersenyum dengan cerita anaknya yang pelat-pelat itu. Anak kecil berusia lebih tiga tahun itu sengaja mahu berdalih disebabkan hatinya mendongkol ditinggalkan oleh ayahnya yang tidak mahu dia sama menunggang basikal ke kedai. Tentulah Matan meluahkan rasa marahnya dengan membuat cerita bohong demikian.

Setelah dipujuk, Matan tidur juga disebabkan keletihan sampai santak petang. Sehingga Pak Sulah balik dari kedai sebelah petangnya barulah dia terbangun dari tidur. Sengaja Pak Sulah belikan coklat untuk memujuk Matan supaya tidak berterusan mendongkol perasaan.
Sebaik sahaja Matan terkejut bangun, lantas Pak Sulah hulurkan coklat yang dibelinya di kedai. Tahu sangat dia tentu Matan tidak akan merajuk lagi setelah dibelikan coklat kegemarannya. Tidak bertangguh pula Matan membuka pembungkus coklat sebaik sahaja dihulurkan kepadanya.

Ketika Matan menjamah, coklat, Andak Libit sengaja mengusiknya dengan memintanya sedikit. Matan tidak kedekut pun. Dihulurnya sebahagian coklat itu, tetapi Andak Libit menggeleng sahaja. Dia sekadar mengusik adiknya yang masih terpisat-pisat bangun dari tidur.

Apabila Mak Tambun siap menyediakan minuman petang, Pak Sulah terus mendukung Matan ke dapur. Kesal juga dia tidak membawa anaknya bersama ke Lenggong apabila melihat bekas air mata masih terbayang di pipinya. Tetapi mahu dibawa Matan menunggang basikal jauh sangat sampai berbatu-batu jaraknya. Lainlah dia berseorangan mengayuh basikal tidak terasa apa-apa, kerana tenaganya masih gagah.

Matan tidak galak bermain semasa duduk berpangku ayahnya di dapur. Dilayan oleh emaknya bercakap pun, Matan tidak menyahut apa-apa. Dia kelihatan lesu dan tubuhnya panas.

"Demam budak ni agak-nya," gerutu Mak Tambun apabila meletakkan tapak tangan ke dahi Matan. "Panas kepalanya, memang dia demam," ujarnya mengagak lantas merapati anak kecilnya.

"Budak bangun tidur, tentulah panas badan," sahut Pak Sulah mengusap kepala anaknya.

"Awak tengok tu, letih aje dia!" tegas Mak Tambun terus memangku Matan. Dia selak baju suakan ke mulut Matan biar anak kecil itu menyusu, tetapi Matan menggeleng. Selepas menjamah coklat dia tidak mahu lagi menyusu pada emaknya.

"Adik demam ke?" Andak Libit pula mendekati adiknya.

Matan mengangguk. Semenjak petang itu pula demam Matan semakin bertambah. Sepanjang malam dia merengek tidak menentu. Terpaksa pula Mak Tambun jaramkan kepalanya dengan daun bunga raya, biar suhu panas beransur sejuk.

Tiga hari Matan merengek demam, dengan tidak mahu lagi menyusu Long Zidin mendesak dibawa sahaja ke hospital. Serba salah juga Pak Sulah mahu hantar Matan ke hospital kerana dia dapat mengagak anaknya demam kepialu. Suhu panas badan Matan memang disebabkan demam kepialu dengan perutnya kembung sepanjang hari.

"Panas jatuh ke dalam ni," ujar Long Zidin tidak sabar lagi mendesak sepupunya hantar sahaja anaknya itu ke hospital.

Dalam keadaan serba salah, Pak Sulah hantar juga anaknya ke hospital jauh di bandar. Memang di hospital pun Matan dikatakan dihinggapi typhoid menyebabkan suhu badannya bertambah panas. Pak Sulah tidak peduli pun apa penyakit anaknya, tetapi kesal terus menusuk di hatinya kerana dia menjadi punca anaknya dihinggapi penyakit.

Memang Long Zidin juga beritahu typhoid itu demam kepialu. Pak Sulah tidak bimbang sekiranya Matan dihinggapi demam kepialu. Tahu sangat dia kalau demam kepialu boleh dijaram dengan daun pulasan diperah air. Kepala Matan juga perlu dipupuk dengan daun sedingin biar wap panas segera hilang.

Tetapi di hospital dia tidak boleh berkeras. Apa lagi ketika itu siapa pun tidak berani angkat muka di hadapan doktor atau jururawat. Mereka orang kampung terangguk-angguk di depan doktor dengan memanggilnya tuan berulang kali. Doktor pula tersengih-sengih dengan telatah orang kampung yang terketar-ketar apakala berhadapan dengannya.

Lainlah kalau Matan terkejang di rumah. Memang Pak Sulah akan pupuk kepala anaknya dengan daun sedingin. Demam kepialu bukan membimbangkan sangat pada orang-orang kampung. Lainlah penyakit hawar yang mengganggu mereka beberapa tahun sebelum itu. Setiap hari sampai enam tujuh orang penduduk kampung meninggal dunia akibat termuntah-muntah. Doktor orang putih yang datang melawat menuduh mereka diganggu taun. Belum pun sempat kubur digali, sudah ada orang memberitahu mengenai jiran mereka baru sahaja meninggal dunia. Menjelang senja bergilir-gilir pula orang menggali kubur.
Tetapi Utih Semik tidak percaya dengan penyakit taun. Dia percaya wabak hawar yang melanda kampung mereka. Sebab itu Utih Semik desak seisi kampung buat sembahyang hajat setiap malam. Macam mana doktor orang putih menuduh mereka diganggu penyakit taun, kerana tiga bulan sebelum wabak hawar melanda, orang-orang kampung melihat terlalu banyak belalang berkeliaran.

Kadangkala bagaikan gelap langit apakala belalang-belalang berkenaan terbang di udara. Apabila hingga di pelepah kelapa, tidak sampai sepuluh minit daun kelapa hanya tinggal lidi sahaja akibat dimakan oleh belalang yang terlalu banyak.

Utih Semik percaya wabak hawar memang bala disebabkan perbuatan manusia yang mungkar. Dia tetap tidak percaya wabak taun melanda kampung sampai mereka termuntah-muntah akibat demam tidak menentu. Kalau tidak masakan terlalu banyak belalang masuk ke kampung. Jangan katakan hinggap di daun padi tengah sawah, hingga di pelepah kelapa pun habis dimamah sampai tinggal lidi.

Memang padi di tengah sawah dimakan belalang sampai ke umbi. Mereka tidak tahu dari mana belalang yang terlalu banyak itu datang menyerbu ke tengah kampung macam kelkatu berterbangan merata tempat. Utih Semik yang kumpulkan seisi kampung di surau sembahyang hajat minta Allah jauhkan mala petaka dari kampung.

Tiga malam berturut-turut sembahyang hajat, mereka tidak nampak lagi kelibat belalang yang banyak laksana lebah mencari sarang. Tidak seorang pun pegawai orang putih yang datang menjengah kampung mereka sekalipun penghulu sudah sampaikan kejadian tersebut. Lama selepas gangguan belalang, itulah seisi kampung diserang wabak hawar.

Tiba-tiba sahaja mereka berasa pening kepala, kemudian perut memual-mual hingga termuntah tidak bertahan. Tiga hari sahaja mereka mengidap demam tidak menentu memang tidak dapat diselamatkan lagi. Dalam masa beberapa hari sahaja sampai enam tujuh orang meninggal dunia setiap hari tidak kira kanak-kanak, perempuan, lelaki atau orang dewasa.

Biarlah seisi kampung percaya pegawai orang putih memberitahu mereka mengidap wabak taun, tetapi Utih Semik tetap berkeras menuduh wabak hawar. Seisi kampung mesti sembahyang hajat beramai-ramai memohon perlindungan Allah supaya hindarkan wabak hawar itu dari kampung halaman mereka.

Tetapi pegawai orang putih tidak peduli orang-orang kampung berkeras melawan perintah mereka mahukan setiap orang disuntik. Penghulu sendiri iringkan pegawai perubatan orang putih memaksa semua orang mesti disuntik. Mereka tidak dibenarkan lagi buang air besar di sungai, tetapi mesti dibina tandas tiap-tiap rumah.

Siapa pun tidak berani membantah apabila pegawai orang putih sendiri masuk ke kampung mereka. Utih Semik juga terpaksa mematuhi dengan membiarkan bahunya disuntik ubat. Bimbang juga dia mahu membantah kalau pegawai berkenaan masuk bersama polis lengkap pakaian seragam. Manalah tahu menjadi kesalahan pula sampai boleh ditahan di balai kalau mereka membantah setiap orang mesti disuntik.

Disebabkan Utih Semik juga disuntik, orang-orang kampung terpaksa mematuhi perintah penghulu. Mereka terpaksa menahan sakit suntikan jarum dengan alasan mahu mencegah wabak taun daripada merebak. Tidak lama selepas mereka sembahyang hajat dan disuntik ubat, memang penyakit tersebut serta merta sahaja terhindar.

Sebab itulah Alang Lipah marah benar dengan keputusan menantunya Pak Sulah membawa Matan ke hospital. Siapa mahu jengah Matan terlantar di hospital disebabkan jauh dari kampung. Alang Lipah percaya tentu Matan disuntik seluruh badan sama macam orang-orang kampung menderita akibat wabak hawar itu.

"Kenapa tak bertanya pada Utih Semik?" gerutu Alang Lipah memarahi anaknya Mak Tambun. "Matan tu mesti diubat dulu, sebelum dihantar ke hospital!" mendongkol benar hatinya dengan keputusan Pak Sulah itu.

"Long Zidin yang desak," beritahu Mak Tambun serba salah apabila emaknya tidak bersetuju Matan dibawa ke hospital.

"Matan tu anak kamu ke, atau anak Long Zidin?" semak in geram Alang Lipah dengan jawapan anaknya.
Kalau Matan terkejang akibat demam kepialu memang Alang Lipah tidak peduli sangat Pak Sulah mahu bawa ke hospital. Tetapi Andak Libit yang beritahu dia Matan terkejut semasa mahu meniti titian batang pinang apabila melihat lelaki hodoh capik memeluknya. Kalau lelaki tua capik itu tidak datang membantu nescaya Matan jatuh ke dalam parit.

Matan sendiri terangkan pada kakaknya apabila berpatah balik dalam keadaan ketakutan. Memang dia terkejut melihat lelaki tua capik yang tidak dikenalinya. Tiba-tiba sahaja dia nampak lelaki berkenaan berjalan terdengkot-dengkot di dalam air paras betis. Disebabkan terserempak lelaki hodoh berkaki capik itulah Matan hampir terjatuh kerana terkejut benar. Cepat-cepat pula lelaki hodoh capik itu menyambutnya lantas membantu balik semula ke tebing parit. Matan nampak mulut lelaki itu berbuih dengan darah dalam senyumnya yang melirik.

"Matan tu demam kepialu?" keras suara Alang Lipah membantah. "Anak kamu Libit kata, Matan terkejut nampak orang tua capik!" tegasnya mencebek bibir kerana Mak Tambun tidak percaya dengan penjelasan Matan.

"Emmm, cakap budak-budak, bukan boleh percaya," keluh Mak Tambun perlahan cuba pertahankan suaminya.

"Kamu memang percaya cakap orang dari cakap anak kamu sendiri," Alang Lipah memang geram benar. Mak Tambun sengaja mahu berkeras menghantar Matan ke hospital dengan tidak berunding sesama sanak saudara. Apa salahnya tanyakan dia terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa dibawa ke hospital.

Bukan Matan sahaja terserempak lelaki tua hodoh berkaki capik melalui parit berkenaan, Alang Lipah juga pernah terserempak. Beberapa orang di kampung tersebut juga nampak kelibat lelaki hodoh berkenaan terutama tatkala hujan panas turun menyerak.

Sudah diingatkan oleh Utih Semik sekiranya terserempak lelaki hodoh itu berjalan terdengkot-dengkot di dalam parit, tidak perlu takut apa-apa. Biarlah dia melalui parit itu sampai hilang dari pandangan dengan tidak perlu ditegur. Tahu sangat Utih Semik mengenai rahsia lelaki hodoh yang selalu ditemui orang-orang kampung. Sia-sia dia menjadi pawang besar di situ kalau tidak memahami rahsia di sekeliling kampung! Asal sahaja hujan panas turun bersesak janganlah melalui parit berkenaan sekiranya lemah semangat.

Siapa sahaja lemah semangat tentu mudah terkejut sambil demam terketar-ketar. Sekiranya lambat dipulihkan semangat mangsa tidak dapat lagi diselamatkan. Tentulah mereka tuduh diganggu demam kepialu apabila demam tidak menentu. Tetapi Utih Semik dapat mengagak tentulah puaka yang menjelma macam lelaki tua hodoh berkaki capik membawa semangat mangsa itu bersamanya.

"Dia sekadar nak berkawan," ujar Utih Semik apabila ditanyakan mengenai jelmaan lelaki hodoh berkaki capik itu. "Sebab itu diajaknya kemana saja, sampai mangsanya tak tahu jalan balik, dia melanjutkan sambil mengeluh perlahan.

Sebab itu Alang Lipah terkilan dengan keputusan Pak Sulah kerana tidak memberitahu Utih Semik. Sengaja Pak Sulah tidak mahu mempercayai penjelasan Matan mengenai lelaki hodoh berkaki capik itu. Siapa lagi yang ditemui oleh Matan tatkala hujan panas turun renyai-renyai di parit berkenaan kalau bukan puaka berkenaan menjelma?

Sudah berkali-kali Utih Semik ingatkan supaya jangan melintas parit itu tatkala hujan panas turun renyai-renyai sekira-nya lemah semangat. Lelaki tua hodoh berkaki capik itu memang tidak mengganggu sesiapa pun, tetapi dia mahu mencari kawan sahaja. Utih Semik tahu mengenai rahsia jelmaan puaka itu dari ayahnya sendiri Pawang Minin.

Bersambung...

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab132

PUAKA MENJELMA DIHUJAN PANAS

(Bab 132 bahagian 2)

Sama ada mahu percaya atau pun tidak, memang Utih Semik juga sudah terserempak lelaki hodoh berkaki capik itu. Sengaja dia mengendap di parit berkenaan asal sahaja hujan panas turun renyai-renyai. Beberapa kali dia ke situ memang sukar juga mahu terserempak disebabkan semangatnya memang tidak mudah dilentur.

Hanya menjelang senja dia mengendap ketika hujan panas turun renyai-renyai, Utih Semik nampak jelmaan lelaki hodoh berkaki capik itu berjalan menghulu. Tidak bertangguh Litih Semik melompat keluar dari sebalik belukar membentak lelaki hodoh itu dengan membacakan:

Qolillahhil hamdurabb is samawati warabbil ardhi rabbit 'alamin, walahul kibraya u-fissamawati wal-ardhi wahuwal 'azizul-hakim.

Tiga kali dibacakan oleh Utih Semik dia menghentakkan tumitnya ke tanah. Tiba-tiba lelaki hodoh itu terbatuk-batuk, kemudian berpaling ke arah Utih Semik. Tersenyum dia apabila melihat Utih Semik tercegat di tebing parit dengan tumit mengisar ke tanah.

"Aku tahu kamu nak jumpa aku Semik!" ujar lelaki hodoh itu bagaikan mengejek.

"Buat apa awak lalu di sini?" jerkah Utih Semik mengokohkan semangatnya tatkala berhadapan dengan lelaki hodoh berkaki capik itu.

"Hah, kamu ni anak Pawang Minin, ye tak?" semakin ramah lelaki hodoh itu menegur Utih Simek, tetapi dia tetap tidak berganjak dari tengah air.

"Tak perlu awak tahu!" sahut Utih Semik keras tidak mahu mengalah.

"Pawang Minin pun tak macam kamu Semik," tegas lelaki hodoh itu terus mengejeknya.

Utih Semik tidak menyahut. Dia merenung tepat ke muka lelaki hodoh yang berkedut-kedut kulit itu lantas membaca-kan perlahan:

Waiz sorafna ilaika nafaran mina jinni yastamirunal Quranna, falamma hadhoruhu ansitu falamma qodhiya wallau ila qaumihim munzirin.

Selepas Utih Semik membacakan doanya, lelaki hodoh itu terbatuk-batuk hingga bersemburan darah dari mulutnya. Tetapi dia masih tersenyum dengan membiarkan darah memercik di bibirnya. Dia tidak membasuh pun darah di bibirnya sekalipun masih tercegat di tengah air.

"Semik, kalau kau tak mahu jumpa aku, biarlah aku balik," lelaki hodoh itu mula gelisah dengan sikap Utih Semik.

"Aku tak mahu awak ganggu orang kampung ni!" tegas Utih Semik ingatkan lelaki hodoh tersebut.

"Tak pernah pun aku ganggu orang," sahut lelaki hodoh itu terbatuk-batuk hingga bergegar badan. Setiap kali dia terbatuk-batuk darah memercik dari mulutnya. "Aku orang terbuang, tak ada kawan, buat apa nak ganggu orang," dia menuturkan perlahan seolah-olah mengharapkan belas kasihan.

Utih Semik mencebek bibir mengejeknya. Memang lelaki hodoh berkaki capik itu tidak mengganggu sesiapa. Dia sekadar melalui parit berkenaan asal sahaja hujan panas turun renyai-renyai. Tetapi siapa sahaja terserempak dengan lelaki hodoh itu mudah lemah semangat hingga demam berminggu-minggu. Terpaksa pula mereka jemput Uith Semik sekiranya suhu badan bertambah panas sampai meracau-racau tidak menentu.

Sebab itu Utih Semik marah benar selagi orang tua hodoh masih menampakkan kelibat di situ. Tahu sangat dia lelaki hodoh itu seringkali nampak kelibat tatkala hujan panas turun renyai-renyai. Kalau dia menghilir parit memang mangsanya akan membawa maut sekiranya tiba ajal. Tetapi kalau dia menghulu mangsanya akan capik kaki sama seperti dialaminya.

Semenjak ayahnya Pawang Minin lagi memang jelmaan puaka di parit itu seringkali nampakkan kelibat. Tetapi Pawang Midin akan semah di situ dengan bertih dan ayam panggang asal sahaja mangsa dapat dipulihkan setelah mengalami panas suhu badan akibat terperanjat melalui parit tersebut.

Pantang Utih Semik mahu semah dengan bertih dan ayam panggang. Dia tidak akan mengalah kalau puaka itu berkeras mahu mengganggu. Sebab itu berulang kali dia mengendap di sebalik belukar asal sahaja hujan panas turun renyai-renyai. Biar dia sendiri berdepan dengan puaka jelmaan orang tua hodoh berkaki capik.
Dia sendiri melihat Sapar menderita capik kaki akibat demam panas selepas terserempak lelaki hodoh tersebut berjalan menghulu parit. Berminggu Sapar terkejang sakit diubati oleh Pawang Minin hingga terpaksa berubat besar. Sebaik sahaja Sapar sembuh demamnya, dia merasa kaki kanannya jegang tidak boleh melangkah. Lama kelamaan kaki kanannya capik menyebabkan jalan terdengkot-dengkot.

"Aku tak sama dengan ayah aku Pawang Minin!" bentak Utih Semik bagaikan sengaja mencari lawan. "Kalau awak ganggu orang kampung ni, langkah mayat aku dulu," dia memberi amaran dalam suara meninggi keras.

Lelaki hodoh itu tidak menyahut. Dia termengah-mengah mendongak ke udara hingga nampak darah berbuih-buih di bibirnya. Kemudian dia berpaling menghadap Utih Semik dengan tersengih-sengih.

Marah benar Utih Semik seolah-olah mengejek dirinya. Tetapi dia tahu lelaki hodoh itu mahu menguji. Sekiranya dia cepat marah tentulah mudah lelaki hodoh itu memerangkap. Memang ayahnya Pawang Minin akan menuruti kemahuan menyediakan bertih dan ayam panggang asalkan orang-orang kampung tidak diganggu. Tetapi Utih Semik tidak mahu biarkan dirinya mematuhi kemahuan puaka di situ.
Sebab itu dia mengendap di sebalik belukar mahu bertemu di situ. Setelah lelaki hodoh itu mengerling ke arahnya macam tidak mahu mengalah segera Utih Semik membacakan:

Bal nuqzifu bilhaqqi 'alalbatili fayad maghu-hu fa-izahuwa zahiqun, walaku-mul wailu mimma tusifun,

diulangi tiga kali lantas dia menepuk dua tangan dengan mengisarnya kuat-kuat.
Sekaligus lelaki hodoh tu jatuh terduduk hingga punggungnya terhenyak ke dalam air. Menggeleng-geleng dia disebabkan tidak dapat bertahan setelah Utih Semik bacakan doa demikian.

Lelaki hodoh itu tidak bangun langsung, tetapi membiarkan tubuhnya hanyut bersama air parit yang menghilir.
Semenjak itu tidak siapa lagi menemui lelaki hodoh berkenaan melintasi parit sekalipun hujan panas turun renyai-renyai. Tetapi Utih Semik tahu jelmaan itu memang turun temurun dilihat orang melalui parit berkenaan.

Ayahnya Pawang Minin yang beritahu mengenai Tok Biran yang mengidap lumpuh kaki bertapa di tengah air mahu mengubati penyakitnya. Setiap malam dia akan turun ke tengah parit merendamkan kakinya dengan pasir tersebut. Berbulan bulan Tok Biran bertapa setiap malam di tengah parit tetapi kakinya tidak juga sembuh.
Lama kelamaan dia mampu juga berjalan sendiri sekalipun terdengkot-dengkot. Tetapi Tok Biran tidak juga berpuas hati setelah boleh berjalan sendiri. Dia berazam mahu teruskan berendam kaki dengan pasir parit sehingga lumpuh kakinya sembuh betul.

Suatu pagi dia balik dari bertapa di tengah parit sebelah malamnya, Tok Biran ternampak banyak cendawan busut tembuh menguntum. Tidak bertangguh dia mengutip cendawan busut berkenaan dibawa batik ke rumah. Setiap hari dia melintas di situ, sentiasa banyak cendawan busut tumbuh. Tok Biran jualkan cendawan busut yang dikutipnya itu kepada orang-orang kampung.

Dengan jualan cendawan busut itu sahaja Tok Biran hertukar menjadi senang lenang. Hairan juga orang-orang kampung dari mana dia mendapat sayur cendawan busut setiap hari. Tidak musim hujan pun Tok Bltan tetap dapat sayur cendawan busut berkenaan.
Tetapi mereka tidak pernah menemui tempat Tok Biran mengutip cendawan busut tersebut. Sekalipun sudah hidup senang lenang, Tok Biran tetap tidak puas hati dengan keadaan kakinya yang capik. Marah benar dia pada kakinya yang capik hingga melangkah terdengkot-dengkot itu.

"Buat apa hidup senang lenang, kalau kaki capik!" gerutu Tok Biran tidak ketahuan.

"Semua orang nak hidup senang," isterinya Ulin memujuk.

Dia sendiri tidak kesal apa-apa bersuamikan Tok Biran yang capik kaki. Lagipun hidup mereka sudah berubah senang lenang semenjak Tok Biran amalkan bertapa dengan merendam kaki di bawah pasir parit. "Kaki awak capik bukannya menyusahkan orang, apa salah-nya," ujar Ulin selanjutnya untuk memberi peransang kepada suaminya.

"Biar aku jadi puaka, lebih baik!" bentak Tok Biran berputus asa dengan keadaan kakinya yang capik.
"Buat apa jadi puaka?" terkejut juga Ulin dengan sikap suaminya yang tidak bersyukur dengan nikmatnya sudah berubah senang lenang itu.

"Aku nak capikkan kaki semua orang," Tok Biran menggertap bibir mahu melepaskan geram.

"Bukan salah mereka sebabkan kaki awak capik," Ulin tetap memujuk suaminya biar bersabar dengan keadaan yang menimpa dirinya itu.

"Biar puas hati aku!" terluah sahaja dendam di hati Tok Biran sekalipun dia tahu tidak siapa pun yang mesti disalahkan.

"Cukuplah bang, hidup kita pun dah senang," tutur Ulin perlahan mencemik muka. "Abang dapat cendawan busut hari-hari, tapi orang kampung tak dapat rahmat macam ni," dia tidak mahu suaminya terus menerus ikutkan perasaan dengan marahkan orang-orang kampung tidak bersebab.

"Kalau aku jadi puaka, aku sumpah orang kampung muntah darah kalau makan sayur cendawan busut aku!" tiba-tiba sahaja Tok Biran membentak bagaikan orang hilang akal.

Tersengih-sengih Ulin memerhati suaminya bercakap seperti orang tidak siuman. Perkara kakinya capik tidak ada kena mengena dengan orang-orang kampung. Kenapa Tok Biran membenci orang-orang kampung disebabkan kakinya capik itu. Orang-orang kampung pun tidak berasa iri hati dengan kesenangan hidup mereka suami isteri setelah bertemu sayur cendawan busut tumbuh menguntum di tebing parit.

Sebelah malamnya Tok Biran tetap turun juga ke tengah parit rendamkan kakinya dengan pasir. Dia bertekad mahu kakinya baik dengan tidak capik sedikit pun. Tentu orang-orang kampung akan kagum melihat dia melangkah segak setelah kakinya pulih.

Tetapi keesokan harinya dia tidak balik ke rumah. Dia juga tidak membawa pulang cendawan busut yang dikutipnya setiap hari. Tidak bertangguh pula Ulin menjengah ke parit berkenaan setelah puas menunggu hingga matahari tegak di kepala.

Setelah diberitahu orang- orang kampung mereka sama-sama mencari Tok Biran, tetapi tidak ditemui lagi. Kesan dia menimbus kaki dengan pasir parit memang kelihatan di tengah air. Puas mereka mencari Tok Biran tidak nampak kelibatnya lagi.

Semenjak itulah Tok Biran hilang tidak ditemui. Tiga buIan selepas itu baru Ulin bermimpi menemui Tok Biran di tengah parit. Berlinang air mata Tok Biran memberitahu dia sudah menjadi puaka kerana menurut perasaan hingga mulutnya jadi celupar.

Dia ingatkan Ulin supaya tidak benarkan anak-anaknya melalui kawasan parit dia bertapa itu sekiranya hujan panas turun renyai-renyai. Ulin juga tidak dibenarkan mengutip cendawan busut sekiranya berhampiran terdapat pokok dengan lebah membuat sarang.

"Itu tandanya cendawan busut yang sudah aku sumpah!" beritahu Tok Biran supaya anak cucunya terlepas daripada sumpahannya. Memang dia kesal kerana celupar mulutnya menyebabkan dia terperangkap dengan kemahuan puaka hingga terpaksa berpisah dengan anak isteri.

Sikapnya yang terlalu tamak mahukan kakinya sembuh setelah hidup senang lenang membawa padah sendiri. Segala mimpi yang dilaluinya itu diberitahu oleh Ulin kepada anak cucunya. Memang dipantangkan anak cucunya mengutip cendawan busut tumbuh menguntum sekiranya pokok berhampiran terdapat lebah membuat sarang.

Siapa sahaja melanggar pantang itu nescaya termuntah-muntah darah apakala menjamah sayur cendawan busut yang sudah disumpah oleh Tok Biran. Sebab itulah menjadi pantang larang Ulin kepada anak cucunya setelah dia mendapat alamat dalam mimpinya bertemu Tok Biran itu.

Memang Alang Lipah sendiri keturunan Tok Biran. Sebab itulah dia tidak percaya dengan penyakit Matan disebabkan typhoid setelah melalui parit berkenaan semasa hujan panas tengah turun renyai-renyai. Dia dapat mengagak tentu sumpahan keturunan Tok Biran masih lagi mengganggu keluarga mereka.

Sebab itu dia mahu menantunya Pak Sulah jangan terburu-buru membawa Matan ke hospital. Apa salahnya berbincang dengan adiknya Utih Semik dahulu. Tentu Utih Semik dapat mengagak sama ada Matan diganggu puaka atau benar-benar diserang penyakit typhoid.
Tetapi semuanya sudah terlambat. Matan meninggal dunia di hospital setelah lama terlantar di wad. Tubuhnya juga sudah kurus menanggung derita penyakit. Menitik juga air mata Pak Sulah disebabkan Matan merengek sakit setiap kali jarum suntikan ditusuk oleh doktor. Sudah terlalu banyak bahagian kulitnya yang disuntik sepanjang terlantar di wad berkenaan.

Setelah anak saudaranya meninggal dunia itulah Utih Semik berkali-kali mengendap di sebalik belukar berhampiran parit tersebut. Dia tahu puaka yang melintas di situ tidak mencukupi satu mangsa. Dia akan mengulangi sama ada hingga tiga orang ataupun sampai tujuh orang.

Sebab itu Utih Semik bertindak. Kalau jelmaan lelaki hodoh itu salahkan dia tidak bersemah dengan bertih dan ayam pinggang, memang Utih Semik akan terkam cekak batang lehernya. Pantang dia tunduk dengan kemahuan puaka seperti dilakukan oleh ayahnya Pawang Minin.

Utih Semik bernekad tidak mahu bersemah dengan menjamu puaka. Terpaksa pula sediakan bertih tujuh piring dengan ayam panggang seekor. Dia mesti memilih ayam selasih yang hitam seluruh badan hingga ke jari kakinya semata-mata mahu berjamu.
Sia-sia dia lama belajar pondok di Kedah kalau mudah sangat tunduk dengan kemahuan puaka. Biarlah puaka itu disebabkan keturunan dia masa lalu. Masakan dia mahu tunduk dengan Tok Biran yang bukan lagi datuk nenek keturunannya kalau sudah dipengaruhi oleh syaitan.

Selepas Utih Semik terserempak jelmaan lembaga lelaki hodoh berkaki capik itu, memang tidak siapa lagi diganggu. Tidak ada siapa pun menjadi mangsa setelah Matan meninggal dunia. Apabila hujan panas turun renyai-renyai memang seram juga mereka melintasi parit berkenaan, tetapi tidak ada pula kejadian buruk berlaku.

Hinggalah Utih Semik meninggal dunia, tidak juga orang-orang kampung diganggu jelmaan lelaki hodoh berkaki capik itu. Bertahun-tahun mereka tidak diganggu, sampaikan Andak Libit pun sudah lupa segala sumpah Tok Biran yang menjadi pantang larang keturunannya.

Kalau tidak disebabkan kejadian Andak Libit menggelepar selepas menjamah sayur cendawan busut, memang dia tidak beritahu sesiapa pun mengenai Tok Biran itu. Tetapi Matan meninggal dunia disebabkan seluruh badannya panas memang Cu Selemah juga tahu.

Ketika kejadian itu berlaku dia juga sebaya dengan Andak Libit masih dara sunti lagi. Dia takat mengetahui kejadian int sahaja. Ketika mayat Matan di mandikan Cu Selemah juga menitiskan air mata melihat keadaan tubuh yang kurus itu.

Tetapi Cu Selemah tidak tahu mengenai arwah Utih Semik mengendap di sebalik belukar berhampiran tebing parit sebaik sahaja hujan panas turun renyai renyai. Manalah dia ambit peduli sangat perkara yang di luar jangkauan fikirannya ketika itu.
"Saya nampak lelaki hodoh berkaki capik tu," beritahu Cu Selemah setelah Andak Libit sendiri menerangkan pantang larang keturunannya yang di-sampaikan sejak Ulin lagi.

"Agaknya itulah puaka Tok Biran," keluh Andak Libit mengusap-usap dadanya yang terasa masih berbahang panas.

"Nasib baik Cu Selemah kamu pun boleh dicuba oleh ustaz," tersengih-sengih Acik 'Mikon mengerling isterinya.

"Cuba macam mana?" hairan juga Semail Bujuk bagai-mana Cu Selemah boleh melihat lelaki hodoh berkaki capik yang dikatakan oleh isterinya puaka Tok Biran itu.

"Cara ustaz ni, dia tidurkan Cu Selemah kamu," lantas Acik Mikon menuduh."Cara Acik lain pula, tapi jalannya tetap sama," dia ketawa mencuit bahu saya.

Memang Semail Bujuk tidak faham apa yang diterangkan oleh Acik Mikon. Bagaimana Cu Selemah boleh tidur sekiranya dia duduk terconggok di bawah rumpun pisang? Sekiranya Cu Selemah sekadar duduk terconggok bagaimana dia mengaku melihat lelaki hodoh berkaki capik di situ?

Tetapi Semail Bujuk, tidak peduli sangat dengan apa yang dilihat oleh Cu Selemah di perdu rumpun pisang. Memang dia sedar isterinya Andak Libit sudah melanggar pantang larang apabila mengutip cendawan busut banyak tumbuh menguntum dalam masa lebah membuat sarang di dahan pokok nangka berhampiran rumpun pisang kelat berkenaan.
Andak Libit sendiri sedar dengan pantang larang tersebut. Tetapi semenjak arwah Utih Semik sudah menyonsong puaka Tok Biran, tidak pernah lagi jelmaan lelaki hodoh berkaki capik itu mengganggu mangsa. Hujan panas turun pun mereka tidak bimbang terserempak puaka itu lagi. Sebab itu dia tidak peduli apabila ternampak sarang lebah sebesar tempayan tergantung di dahan pokok nangka berhampiran rumpun pisang kelat.

Sebaik sahaja ternampak cendawan busut tumbuh menguntum di perdu pisang kelat itu, tidak bertangguh Andak Libit mengutipnya. Tentu pantang larang itu sudah lupus setelah Utih Semik menyonsong ke tebing parit. Puaka Tok Biran tidak berani lagi menjengah ke situ setelah diberi amaran oleh Utih Simek.

"Bunuh aje laaa puaka tu ustaz," lantas sahaja Semail Bujuk mendesak dengan dendam yang memuncak terhadap kejadian yang menimpa isterinya. Selagi puaka itu dibiarkan sampai bila-bila pun tetap akan mengganggu keturunan mereka.

"Bukan ada daya upaya saya nak buat macam tu," sahut saya perlahan menatap muka Semail Bujuk. Apalah sangat saya mahu diharapkan membunuh puaka yang segalanya dalam pengetahuan Allah menentukannya.

"Kalau tak dibunuh, dia akan mencari mangsa lagi," ujar Semail Bujuk menggertap bibir.
"Hah, syaitan macam itu macam mana nak dibunuh!" segera Acik Mikon memintas dalam ketawa memanjang. "Kamu ingat syaitan tu macam kita ni," tegasnya ingatkan Semail Bujuk supaya tidak ber-cakap sebarangan.

"Syaitan tu musuh manusia yang nyata," sahut Cu Selemah pula mencepak-cepak bibir memandang Semail Bujuk. "Sebab itulah iman kita kena kuatkan," sengaja dia mengejek lelaki itu yang tiba-tiba sahaja menuturkan dendamnya.

Jelmaan lelaki hodoh berkaki capik itu memang dilihat oleh Cu Selemah tercegat di perdu rumpun pisang. Andak Libit sendiri mengaku dia seolah-olah nampak jelmaan tersebut mahu mencengkam tengkuknya dengan kuku yang panjang. Tetapi Cu Selemah tiba-tiba menghalang di hadapannya.
Sebaik sahaja terpancar kilauan cahaya putih yang mengepung saya menerjah ke tubuh Cu Selemah, memang Andak Libit nampak tubuh Cu Selemah menjadi besar. Kepalanya mencecah ke awan dengan tapak kaki sama lebar dengan bukit tersergam. Dalam saat inilah Cu Selemah memijak kepala lelaki hodoh itu hingga terpenyek di bawah tapak kakinya sebesar bukit itu.

Tamat bab 132.

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
Maaf min sibuk skit. Esok min akan post bab 133 full tanpa bersambung sempena cuti raya, In Shaa Allah.
#KoleksiTokAwangNgahBab133

MATI TERBUJUR HIDUP SEMULA

(Bab 133 bahagian 1)

DI TENGAH pusaran air yang menolak ke tebing sungai berteluk itu nampak buih terapung-apung beralun perlahan. Lantas ayah saya kuis-kuiskan buih tersebut sambil memerhati anak-anak ikan menggelepar. Tentu mereka menuba sungai sampai tidak hiraukan anak-anak ikan juga menjadi mangsa.

Sudah berkali-kali ayah saya ingatkan Sudin Mamai supaya tidak tuba sungai kalau sekadar mahu dapatkan ikan. Gunakan jeramak pun boleh dapat hampir setengah keruntung. Tidak perlu taburkan tuba biar ikan mabuk tercangut ke permukaan arus.

Memang seisi kampung tahu sangat mengenai Sudin Mamai yang suka ke hutan mencari akar tuba. Dia akan titik akar tuba itu dan direndamkan ke tengah arus sungai. Dalam masa setengah jam sahaja ikan terbul, ikan masai, ikan susur batang, ikan betuk akan terkapung di tengah arus sungai. Orang-orang kampung juga akan menyerbu ke sungai membawa tengguk dengan harapan dapat ikan sampai penuh setimba.

Siapa pun tidak marahkan Sudin Mamai tuba sungai. Mereka akan tumpang sama dapat rezeki banyak ikan terkapung akibat mabuk tuba. Masakan mereka marah asal sahaja Sudin Mamai tidak larang mereka ikut sama menangguk ikan mabuk tuba terkapung di tengah arus sungai. Lagi pun mereka tidak perlu bersusah payah ikut Sudin Mamai ke hutan mencari akar tuba berkenaan.

Tetapi ayah saya marah benar dengan sikap Sudin Mamai suka menuba ikan di sungai. Kadangkala tidak sampai tiga bulan dia akan cari lagi akar tuba. Sudin Mamai akan titik sampai hancur biar akan tuba keluarkan getah untuk mabukkan ikan.

Bukan takat ikan menyonsong arus sahaja terkapung mabuk, ikan yang menyusup ke kawasan berteluk sama ada ikan semilang, ikan baung, ikan haruan, ikan tilan juga akan menggelepar ke permukaan arus sekiranya tidak sempat menyusup ke lubang tebing.

Bila-bila sahaja ikan yang mabuk tuba itu mudah ditangguk orang-orang kampung yang sentiasa menunggu Sudin Mamai turun menuba. Siapa lagi tahu menuba sungai di kampung itu selain daripada Sudin Mamai. Memang Sudin Mamai sahaja yang tahu mencari akar tuba di tengah hutan.

"Ada orang tuba sungai lagi," gerutu ayah saya memerhati emak saya yang tercegat di tebing sungai.

"Ah, tentu kerja Sudin Mamai tu," sahut emak saya menjuihkan bibir kerana sudah dapat mengagak tentu Sudin Mamai yang lakukan.

"Makan ikan kena tuba, samalah macam tuba diri sendiri!" ujar ayah saya tidak terus mandi di sungai sebaik sahaja balik dari menajak di sawah.

Sudah menjadi kebiasaan ayah saya dia lebih selesa mandi di sungai apabila balik dari menajak di sawah. Lumpur yang banyak terpalit di seluruh badan mudah disental dengan sabut biar habis tanggal tidak bersisa. Emak saya juga akan membasuh kain di sungai setiap kali balik dari sawah.

Sebaik sahaja menyedari sungai dituba orang, beberapa orang yang sama-sama balik dari sawah tidak lepaskan peluang ikut sama menangkap ikan mabuk tuba. Resat Tepek cepat sahaja terjun dari tebing sungai mencapai kayu panjang sehasta. Asal sahaja ikan tercangut di permukaan arus dia akan ketuk sahaja biar mudah ditangkap.

Bukan Resat Tepek sahaja yang cepat-cepat menerkam ikan mabuk tuba, Senah Lawar pun ikut sama tadahkan kain tutup kepala. Ikan mabuk tuba itu tidak boleh dibiarkan mati kembung hingga insangnya dimasuki habis semua racun tuba itu. Kalau dibiarkan racun tuba meresap habis, tentu mereka juga akan menerima padah.

Disebabkan sudah ramai orang menyerbu ke sungai, ayah saya tidak mahu lagi mandi di sungai. Dia tidak mahu mandi air sungai yang sudah ditabur dengan racun tuba. Lantas ayah saya mengajak emak saya balik sahaja mandi di telaga. Biarlah emak saya juga membasuh kain di telaga disebabkan terkilan dengan perbuatan Sudin Mamai menuba sungai tatkala tengah hari demikian.

"Tak serik-serik Sudin Mamai ni," emak saya mendengus apabila kenangkan adik sepupunya itu. Sudah berkali-kali dimarahi oleh Pak Tua Mahat pun dia tetap berdegil mahu menuba di sungai.
"Ikan di sungai dalam kampung ni, gunakan jeramak pun boleh," ujar ayah saya kesal kerana ikan mabuk tuba itu banyak mati tidak dapat dikutip.

Memang ayah saya lebih gemarkan menjeramak ikan di sungai kalau teringin mahu masak gulai ikan dengan bacang muda. Sebaik sahaja emak saya jerangkan nasi di tungku, lantas sahaja ayah saya turun ke sungai membawa jeramak. Tidak sampai satu jam dia akan balik ke rumah dengan ikan bertengah keruntung.

Kalau bandingkan dengan kakaknya Ngah Siah, memang ayah saya tidak mampu melakukan sepertinya. Ngah Siah masuk ke lombong dengan tidak memerlukan jeramak atau tangguk. Dia sekadar hulurkan tangan ke bawah rumput-rumput menyerungkup ke tebing. Dalam masa beberapa minit sahaja Ngah Siah sudah menangkap ikan dengan tangannya sahaja.

Bukan takat ikan haruan, ikan bujuk atau ikan yang tidak berduri sahaja boleh dicekup Ngah Siah dengan tangannya di dalam air, malah akan semilang, ikan baung atau ikan limbat pun mudah sahaja dicekaknya. Memang Ngah Siah tidak bimbang apa pun kalau mencekup ikan di dalam air.

Tetapi ayah saya memang terkilan dengan sikap Sudin Mamai gemar gunakan tuba kalau mahu menangkap ikan. Sudin Mamai sanggup meranduk ke tengah hutan mencari akar tuba tumbuh meliar dalam beluka. Sudah beberapa kali juga ayah saya menegurnya, tetapi Sudin Mamai sekadar tersengih-sengih sahaja.
Sewaktu ayah saya balik dari telaga, saya sudah menunggu di kaki tangga disebabkan baru balik dari madrasah Tok Aji. Kakak saya juga sudah siap di dapur hidangkan nasi dengan gulai pisang muda.

"Tok Aji apa khabar?" tanya emak saya sebaik sahaja bersalam tangan di kaki tangga.

"Sihat," beritahu saya lantas sampaikan salam Tok Aji dan Nenek Aji.

Memang sekali sekala sahaja saya balik ke kampung emak saya, semenjak diajak oleh Tok Aji tinggal bersama di madrasahnya. Jauh juga jaraknya madrasah Tok Aji dari kampung emak saya, terpaksa menaiki bas juga. Kemudian berjalan kaki masuk ke kampung melalui jalan estet sampai tiga batu.

Ketika itu pengangkutan juga bukanlah mudah. Sebab itulah jarang saya mahu balik ke kampung emak saya. Tetapi sekali sekala balik, memang nenek saya di sebelah emak Bidan Ibah akan merungut panjang sekiranya tidak singgah menjamah nasi di rumahnya.
Sewaktu emak saya hulurkan pinggan ketika menghadap hidangan, nenek saya Bidan Ibah memanggil ayah saya. Cepat-cepat ayah saya bangun menerpa ke pintu. Dia bukakan pintu, tetapi nenek saya tidak mahu naik ke rumah.

"Cepatlah bilal, tengokkan anak Sudin," beritahu nenek saya bagaikan cemas sangat.

Memang nenek saya tengah menyapu sampah di tengah halaman semasa Milah Dukung memberitahu mengenai Salim sesak nafas. Lantas nenek saya ke rumah Milah Dukung urutkan dada Salim dengan minyak kelapa di tenyeh bawang merah.

Nenek saya sudah tangkalkan dengan jampi terkena angin pasang biar lelah anak kecil itu berkurangan. Tidak pernah pula Salim mengidap penyakit lelah sampai dia tercangut-cangut macam ikan mabuk tuba. Lantas sahaja Milah Dukung menuduh suaminya Sudin Mamai yang menyebabkan kejadian tersebut berlaku ke atas anaknya.
Tidak jadi ayah saya menyuap nasi sekalipun sudah terhidang. Dia sekadar jamah sahaja secubit nasi sebelum turun mengikut nenek saya ke rumah Milah Dukung. Tetapi emak saya tidak tergesa-gesa. Biarlah ayah saya ikhtiarkan untuk memulihkan Salim tercangut-cengut akibat lelah yang menyerang tiba-tiba.

Selepas siap makan tengah hari barulah saya ke rumah Milah Dukung bersama emak dan kakak saya. Tatkala saya sampai di rumahnya Salim udah pun duduk menghadap hidangan nasi bersama ayahnya Sudin Mamai. Mereka berdua makan sehidangan dengan tidak pedulikan orang ramai berkumpul di rumahnya.

"Tak ada beban batu digalas!" rungut nenek saya apabila kenangkan anak saudaranya Sudin Mamai tersengih-sengih menyuap nasi dengan gulai ikan campur belimbing buluh.
Saya melihat Wak Sarimin balik dari kubur menggalas cangkul dengan merungut-rungut tidak menentu. Penat juga dia menggali kubur, tetapi terpaksa dikambus semula dengan menanam batang pisang sebagai ganti mayat. Sudah menjadi pantang larang pula di kampung itu, apakala kubur digali mesti ditanam juga apa-apa pun apabila tidak ada mayat mahu dikebumikan.

Memang nenek saya sendiri menyuruh Wak Sarimin bersama beberapa orang jiran galikan kubur sebaik sahaja Salim terkejang tidak bernyawa. Tidak sempat ayah saya sampai bersama nenek semasa Salim terkejang tidak bergerak lagi. Beberapa orang jiran juga sudah terconggok di tengah rumah disebabkan Wak Sarimin sudah sahkan memang Salim meninggal dunia.

Ayah saya juga sahkan Salim sudah meninggal dunia semasa dia naik ke rumah bersama nenek saya. Cepat-cepat ayah saya suruh bujurkan mayat itu di tengah rumah bersetentang dengan bumbung. Dalam masa jiran-jiran dan keluarga bersiap-siap untuk kebumikan Salim inilah, Sudin Mamai balik membawa ikan sekeruntung.

"Memang awak ni bawa puaka balik ke rumah!" jerit Milah Dukung di kepala tangga melepaskan geram.

Tetapi Sudin Mamai tidak menyahut apa-apa. Dia tidak terkejut dengan keadaan orang ramai berkumpul di rumahnya. Biarlah isterinya terjerit-jerit melepaskan geram terhadap dirinya, Sudin Mamai tetap tersengih-sengih hambar.

"Awak makanlah ikan tu sampai termuntah, aku tak ingin!" semakin galak Milah Dukung menjerit dengan suara meninggi.

"Milah, bawah bersabar, selesaikan anak ni dulu," nenek saya memujuknya supaya tidak ikutkan sangat perasaan.

Beberapa orang jiran terpaksa pula memegang Milah Dukung yang meronta-ronta mahu menerkam suaminya. Marah benar dia disebabkan Sudin Mamai tidak pedulikan nasihat orang-orang kampung. Kerapkali orang nasihatkan dia supaya tidak menuba ikan di sungai, setelah Dukun Lamat beritahu mengenai puaka di batu dagu mahukan nyawa setelah sungai melalui bukit di situ dituba orang.

Dukun Lamat beritahu mengenai mimpinya apabila puaka di batu dagu di kaki bukit sungai kampung berkenaan tidak sabar dengan perbuatan menuba ikan. Tetapi Sudin Mamai tidak pedulikan mimpi Dukun Lamat yang beritahu mengenai dendam puaka di batu dagu itu. Sebab itu Milah Dukung marah benar dengan suaminya yang berkeras tidak mempercayai mimpi Dukun Lamat.

Dalam keadaan Milah Dukung menjerit-jerit marah ini, Sudin Mamai terus menyiang ikan di dapur. Kemudian memetik belimbing besi di belakang rumah. Dia gulai ikan sebarau dan ikan terbul masak lemak kuning campur belimbing buluh itu.

Setelah nasinya masak, Sudin Mamai siapkan hidangan dalam dulang. Dia angkat hidangan itu dibawa ke sisi anaknya yang sudah dibujurkan di tengah rumah. Sewaktu membasuh tangan Sudin Mamai renjiskan tiga kali ke muka anak-nya yang terbujur itu. Sekaligus pula Salim terbersin kuat lantas bangun membuang kain yang diselubungkan ke tubuhnya.

"Mari makan," Sudin Mamai menyuruh anaknya basuh tangan, terus makan bersama.

Sewaktu Milah Dukung mahu menerpa dapatkan anak-nya, cepat-cepat dihalang oleh ayah saya. Biarlah Sudin Mamai bersama Salim habis makan nasi dengan gulai ikan itu, sebelum masing-masing mendekati mereka.

Bersambung part dua dibawah...

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab133

MATI TERBUJUR HIDUP SEMULA

(Bab 133 bahagian 2)

Dukun Lamat juga nasihatkan Milah Dukung supaya tidak tergesa-gesa dapatkan anaknya Salim. Manalah tahu yang bingkas bangun itu sekadar puaka lembaga yang merasuk anak kecil itu. Kalau Sudin Mamai yang mulakan puncanya biarlah dia sendiri yang selesaikan urusan dengan puaka batu dagu di kaki bukit.

Sebaik sahaja saya sampai bersama emak dan kakak, Sudin Mamai masih lagi menyuap nasi dengan Salim. Dia melambai saya mara mendekatinya mengajak makan bersama. Serba salah juga saya mahu mengelak disebabkan baru sahaja makan nasi di rumah sebelum datang ke situ.

Beberapa kali diajak oleh Sudin Mamai terpaksa juga saya duduk di sisinya. Saya terus menjamah nasi dengan gulai ikan sebarau masak lemak kuning bercampur belimbing buluh. Memang saya tidak makan banyak, sekalipun terasa gulai ikan itu sungguh menyelerakan. Kalau tidak kenangkan perut tengah kenyang memang mahu juga saya bertambah lagi.

Selesai sahaja makan, Sudin Mamal meminta saya bacakan doa selamat. Setelah saya bacakan doa selamat inilah Pak Tua Mahat jejak kaki di kepala tangga setelah mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa Sudin Mamai. Cemas juga Pak Tua Mahat apabila diberitahu kejadian yang berlaku ke atas Sudin Mamai

Tetapi dia juga sudah mengalaminya sewaktu anaknya Lajis masih kecil lagi. Memang Pak Tua Mahat hampir kecewa setelah menembak ayam hutan bertenggek di akar. Balik sahaja dari berburu emak mertuanya sudah menyergah disebabkan Lajis terbujur tidak bernyawa.

Hampir juga nenek saya bercekak rambut dengan emak mentua Pak Tua Mahat disebabkan perempuan itu menyalahkan Pak Tua Mahat sahaja. Tersinggung juga nenek saya apabila anaknya Pak Tua Mahat diperlakukan macam anak yang tidak mempunyai emak dan ayah.

Tetapi Pak Tua Mahat tetap bersabar. Kesabaran Pak Tua Mahat menghadapi dugaan itulah dituruti oleh Sudin Mamai dalam masa dia benar-benar terdesak. Sebaik sahaja balik dari menuba ikan Sudin Mamai sudah dapat mengagak kejadian itu akan menimpa keluarganya.

Sebaik sahaja dia naik ke tebing sungai selepas mengutip ikan mabuk tuba, Sudin mamai tercium bau busuk. Tatkala dia melihat keruntung berisi ikan terkejut benar Sudin Mamai kerana ikan di dalam keruntung semuanya tulang-tulang tidak berguna. Berdebar hati Sudin Mamai dengan keadaan ikan-ikan di dalam keruntung sudah bertukar mnejadi tulang-tulang ikan sahaja.

Lantas sahaja Sudin Mamai ingatkan kejadian yang menimpa Pak Tua Mahat bertahun-tahun sebelum itu. Ketika Pak Tua Mahat berburu ayam hutan bertenggek pada akar pohon ara. Sebaik sahaja ditembak, Pak Tua Mahat terkejut kerana ayam hutan bertukar menjadi daun terap kering. Tetapi Pak Tua Mahat dapat pulihkan semula ayam hutan yang ditembaknya.

Semasa balik membawa ayam hutan siap disembelih itulah Pak Tua Mahat diberitahu mengenai anaknya Lajis meninggal dunia. Orang-orang kampung juga sudah bersiap-siap mahu kebumikan Lajis hingga kubur pun sudah digali. Tetapi Pak Tua Mahat tidak berputus asa, dia tidak terus naik ke rumah menatap anaknya yang sudah dibujurkan.

Pak Tua Mahat masuk ke dapur meletakkan ayam hutan siap disembelih di pelantar dapur. Mereka yang datang berkumpul ke situ melihat Pak Tua Mahat menyiang ayam lantas menggulainya sampai nasi dihidangkan ke sisi Lajis. Memang Sudin Mamai tahu bukan Pak Tua Mahat yang memasak di dapur. Ketika ini Pak Tua Mahat duduk di perdu pohon ara merendang dengan tangannya tidak lepas mencekak lelaki tua berpakaian seperti Cina tua.

Tangan Pak Tua Mahat tidak lepas mencengkam kuat batang leher lelaki Cina tua itu. Kemudian dia membacakan seratus kali:

Ya qadim, ya daim, ya ahad, ya wahid, ya samad,
terus memuntal rambut lelaki Cina tua yang mengerbang panjang.
Terkial-kial lelaki Cina tua itu dengan merengek-rengek lemah. Pak Tua Mahat terus membacakan:
Allahhumma inni as-alaka bismikal ahadal 'aza wada'waka, Allahhumma bismikal ahadal samada wadaiwaka Allahhumma bismikal 'azimil witri wada'waka, Allahhumma bismikal kabiral muta'alallzi mala-ai arkana kullaha an-tak'afa 'inni ma-asbahata wama amsita fihi.

Pak Tua Mahat menggenggam tubuh Cina tua itu di dalam tapak tangannya setelah seluruh tubuhnya mengecil. Dia tahu memang Lajis terperangkap di dalam tapak tangan jelmaan lembaga besar yang mahu menguji kesabaran hatinya. Selagi Pak Tua Mahal tidak meledak marah, sekalipun di maki hamun emak mentuanya, dia tidak akan dapat dikalahkan oleh pesona syaitan.

Selagi syaitan mahu memperdayakan keluarganya, memang Pak Tua Mahat juga tidak lepaskan jelmaan Cina tua di dalam genggamannya. Sebab itu Sudin Mamai juga mesti menahan sabar tatkala semua ikan di dalam keruntung bertukar menjadi tulang-tulang ikan yang tidak berguna.

Bau busuk tulang-tulang ikan itu juga menusuk ke hidung, hinggakan kepala ikan juga sudah berulat dengan ulat berenga memutih. Sudin Mamai tahu sangat gangguan demikian akan memusnahkan dirinya. Sekiranya dia buangkan tulang-tulang ikan yang sudah berulat di dalam keruntung, nescaya padah akan menimpa dirinya.

Dia wajib bertahan sekalipun akibatnya boleh mengancam keluarga sendiri. Biarlah siapa pun keluarganya menghadapi ancaman syaitan, asal sahaja dia mampu bersabar tatkala dugaan demikian sedang memuncak. Sudin Mamai sudah bersedia dimaki hamun oleh isterinya Melah Dukung yang tidak memahami kejadian sebenarnya.

Tentu Sudin Mamai juga tidak dapat menghalang sesiapa pun memaki hamunnya selagi keadaan Salim tidak dapat dipulihkan. Disebabkan dia terlalu berkeras menuba ikan, petaka demikian mengganggunya. Apabila petaka gangguan syaitan sudah tidak boleh dielakkan dia mesti bertahan juga.

Kalau Pak Tua Mahat mampu melalui saat getir berdepan dengan gangguan syaitan, kenapa pula dia mesti mengalah? Sudin Mamai tidak akan biarkan dirinya diperangkap syaitan yang sentiasa mahu mengelirukan manusia. Siapa sahaja terperangkap memang tidak akan dapat menahan sabar.
Setelah keruntungnya dipenuhi tulang-tulang ikan tidak berguna, Sudin Mamai terus menutup mulut keruntung. Biarlah tangannya menggenggam apa sahaja jelmaan syaitan, asalkan bukan jelmaan syaitan yang menggenggam dirinya.

Apabila dia merentap akar tuba di dalam hutan, Sudin Mamai sudah merasakan dia merentap tali perut syaitan hingga terburai laksana tali terlepas ikatan. Ketika tangannya menggenggam mulut keruntung, Sudin Mamai juga merasakan kepala syaitan yang dicengkam di dalam genggamannya.

Sudin Mamai menguatkan semangatnya lantas membacakan tujuh kali:

Wa-immayanzag-hannakka minasy syaitoni nazghunfasta'iz billahhi innahu sami'un 'alim.

Serentak dengan itu Sudin Mamai merasakan keruntungnya bergoncang kuat, tetapi tangannya tetap tidak lepas daripada menggenggam mulut keruntung berkenaan.

Lama dia menggenggam mulut keruntung itu tiba-tiba berdepa bunyi benda besar jatuh di depannya. Dia melihat jelmaan lelaki perut buncit jatuh terlentang di depannya dengan kepala seperti ikan haruan. Tersengih-sengih jelmaan lelaki perut buncit itu bingkas bangun dengan terkial-kial.

"Aku boleh balikkan semula ikan dalam keruntung kau," ujar jelmaan lelaki perut buncit menyapu mulutnya dengan tangan. "Tapi aku mahu gantinya, anak kau sendiri!" tegasnya lantas mengejek-ejek Sudin Mamai.

"Kalau kau boleh campur urusan Allah, cubalah!" sahut Sudin Mamai tersenyum menyindirnya. "Ketentuan Allah memang aku tak dapat menghalangnya," dia merenung tajam ke muka lelaki perut buncit dengan membacakan surah al-Ikhlas 17 kali.

Sebaik sahaja perut lelaki itu meletup laksana gelembung meletus, segera diterpa oleh Sudin Mamai. Dia merentap tali perut lelaki itu yang terburai tidak bertahan. Ketika inilah Milah Dukung melihat suaminya terkial-kial memasak di dapur. Siapa pun tidak tahu mengenai Sudin Mamai masih bergelut di tebing sungai.
Hanya setelah ikan di dalam keruntungnya pulih semula, baru mereka yang berkumpul di rumahnya nampak Sudin Mamai sedang buat hidangan nasi ke dalam dulang. Sudin Mamai sendiri yang bawa hidangan nasi itu ke sisi anaknya yang terbujur di tengah rumah.
Sebaik melihat saya naik ke rumah bersama emak dan kakak, lama Sudin Mamai terdiam. Setelah saya bacakan al-Fatihah tiga kali dan dihembus perlahan ke arah ubun-ubunnya, dia seolah-olah terbangun dari tidur nyenyak. Lantas dia menggamit saya mengajak makan bersama dengan Salim yang kelihatan segar.

"Kenapa orang ramai di rumah kita?" Salim mencuit kepala lutut ayahnya.
Sudin Mamai tidak menyahut. Dia tersengih-sengih lantas membasuh tangan. Setelah selesai makan, tidak bertangguh dia kemaskan semula. Semua lebihan nasi dan gulai terus sahaja ditanamnya macam kebumikan mayat dikubur.

Terpinga-pinga juga emak saya dengan kejadian yang menimpa Sudin Mamai hingga saya juga terbabit sama. Kenapa pula Sudin Mamai hanya mempelawa saya seorang sahaja makan bersama, sedangkan ayah saya atau Pak Tua Mahat tidak dipedulikannya langsung.
Siapa pun tidak berani sangat mahu bertanya mengenai kejadian itu, kerana Pak Tua Mahat sudah ingatkan supaya tidak diungkit-ungkit. Perkara kejadian yang menimpa Sudin Mamai memang sama dengan kejadian yang dialaminya bersama Lajis. Pak Tua Mahat dapat mengagak segala pengalaman yang dilalui oleh Sudin Mamai itu.

Tetapi kejadian yang berlaku ke atas diri Pak Tua Mahat sekadar saya dengar dari emak sahaja, kerana ketika Lajis masih kecil saya masih belum lahir. Lajis sendiri tidak tahu apa-apa tatkala saya tanyakan kejadian tersebut kepadanya.
Tentu Salim juga tidak tahu apa-apa mengenai kejadian yang menimpa dirinya ketika masih berusia lapan tahun. Dia sekadar ingat seolah-olah terjun ke tengah arus hingga hampir tenggelam bersama ayahnya Sudin Mamai. Masa inilah dia seolah-olah melihat tangan saya mencapai tengkuknya dibawa naik ke tebing.

"Lain saya tak ingat," beritahu Salim apabila ditanyakan kejadian yang dialaminya semasa berusia lapan tahun itu. "Agaknya saya mimpi macam tu," dia menjelaskan kerana tidak percaya mengenai dirinya yang dikatakan sudah meninggal dunia itu boleh hidup semula.

Memang seisi kampung percaya Salim sudah meninggal dunia, tetapi hidup semula setelah dipulihkan oleh ayahnya Sudin Mamai. Masakan orang yang sudah meninggal dunia boleh hidup semula. Hanya Tok Aji sahaja menerangkan Salim sekadar pengsan tidak sedarkan diri akibat gangguan syaitan. Mereka melihat Salim seolah-olah sudah tidak bernyawa disebabkan pesona syaitan yang mahu mengelirukan keluarga Sudin Mamai.

Lama juga tersebar cerita mengenai Salim yang sudah meninggal dunia itu hidup semula. Terpaksa ayah saya ingatkan orang-orang kampung supaya tidak terpengaruh dengan cerita tahyol demikian. Tetapi masakan mereka boleh lupakan kejadian itu kerana Wak Sarimin sendiri yang gali kubur setelah didesak oleh nenek saya Bidan Ibah.

Bukan Wak Sarimin sahaja terpaksa gali kubur, malah Dolah Cekang juga sudah bersiap menebang buluh untuk buat usungan. Kejadian yang berlaku hampir empat puluh tahun itu bukan mudah mahu dilupakan oleh orang-orang kampung yang melihat sendiri peristiwa tersebut.

Tamat bab 133.

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab134

MAYAT BANGKIT DARI KUBUR

(Bab 134 bahagian 1)

LIKU jalan di lereng bukit yang sempit dan berkelok tajam dari Bukit Tinggi ke Lubuk Sekaping sama juga dengan liku jalan ke Tanah Rata dari Tapah sampai ke Renglet. Tetapi jurang dan ngarai jalan ke Lubuk Sakaping itu lebih curam kalau dibandingkan ke Tanah Rata.

Memang sudah lama saya tidak jejak kaki ke Tanah Rata, semenjak sepupu isteri saya berpindah ke Lembah Bertam di Ringlet. Ketika dia masih lagi di Tanah Rata, beberapa kali juga saya ke sana. Apalagi Tok Ya yang bertugas di tempat berkenaan sudah lama bersara. Lainlah semasa Tok Ya masih lagi bertugas di Tanah Rata, saya akan singgah juga di rumah sepupu isteri saya itu. Memang Tok Ya juga sama macam Salim Sudin Mamai yang heboh dikatakan sudah meninggal dunia, tetapi hidup semula.

Tetapi ketika saya menemui Tok Ya beberapa tahun dulu, dia tersengih-sengih sahaja kalau ditanyakan mengenai kejadian tersebut. Dia sendiri bagaikan tidak percaya apabila dimasukkan ke dalam rumah mayat setelah disahkan meninggal dunia. Hampir lima jam dia dibujurkan di situ sebelum keluarganya datang menuntut. Ketika dikeluarkan dari rumah mayat itulah pihak hospital mendapati denyut nadi Tok Ya masih berdetak.
Cepat-cepat dia disorong semula ke wad dengan diberikan bantuan pernafasan.

Kejadian semasa negeri masih diperintah orang putih tentulah tidak siapa pun yang ambil tahu, disebabkan pihak hospital sengaja menutupnya. Hanya keluarga Tok Ya sahaja yang tahu mengenai dirinya dimasukkan ke rumah mayat hampir lima jam terbujur di situ.
Sebab itulah saya tidak hairan sangat kalau diungkit juga mengenai kejadian yang menimpa sepupu saya Salim Sudin Mamai itu. Cucunya Kasim Togel sendiri tidak percaya kalau dikatakan datuknya Salim Sudin Mamai sudah meninggal dunia kemudian hidup semula itu.

Ketika melalui jalan berliku ke Lubuk Sakaping itulah Mamak Bandaro beritahu saya mengenai Sabisah isteri Sutan Malim yang sudah dikebumikan selama tiga hari hidup semula. Terkejut juga saya apabila diberitahu demikian, kerana Mamak Bandaro tidak pernah beritahu apa-apa semasa mengajak saya ke rumah Sutan Malim di Lubuk Sakaping itu.

Empat hari Sabisah mengidap demam panas, dia menghembuskan nafasnya. Seisi kampung tahu mengenai kematian Sabisah. Siapa tidak kenal dengan Sabisah isteri Sutan Malim di kampung berkenaan? Dia akan jerkah siapa sahaja sekiranya berani menegur tatkala sempadan sawah dipokah habis. Seisi kampung tahu Sabisah tidak oleh dihalang kemahuannya. Sutan Malim sendiri tidak berdaya menghalang isterinya tengadah siapa sahaja jiran yang berani menentangnya. Bila-bila dia sanggup bercekak apabila jiran-jiran berkeras mahu menghalang kemahuan dia.

Kambing menyerbu masuk ke tapak semaian pun Sabisah akan tusuk dengan lembing. Biarlah kambing berkenaan menggelepar akibat lembing tertusuk di rusuk. Sutan Malim juga akan dikibas dengan mata parang sekiranya memujuk minta dia bertenang. Sabisah tidak mahu Sutan Malim tunduk dengan kemahuan orang-orang kampung hingga biarkan sahaja harta benda mereka dibinasakan.

Kalau tidak berkeras sudah tentu sempadan sawah akan ditentukan oleh siapa sahaja yang sanggup menyinsing lengan baju. Sebab itu Sabisah tidak mahu mengalah kalau takat orang-orang kampung mencabar dirinya.

"Sabisah tu keras kepala," Matusa yang pernah luka di dahi akibat ditetak dengan parang oleh Sabisah mencebek bibir setelah diberitahu mengenai kematian perempuan itu.

Sampai bila pun Matusa tidak lupakan kejadian dia leraikan Sabisah menyerbu ke rumah jirannya Jabal dengan parang terhunus. Marah benar Sabisah apabila Jabal melunggah sempadan sawah hingga air menyerbu masuk. Anak padinya tergenang air disebabkan sempadan sawah dipokah habis. Belum sempat Jabal mahu menjelaskan Sabisah sudah menerkam naik ke rumah. Terpaksa Jabal terjun ikut tingkap akibat parang dikibas hampir menyinggahi dadanya. Sabisah juga terjun ke tanah menghambat Jabal yang terjerit-jerit meminta pertolongan.