TASAWWUR ISLAM SPM
4.12K subscribers
1.89K photos
232 videos
809 files
936 links
Himpunan Bahan Tasawwur Islam SPM @TasawwurIslam99

Untuk pertanyaan serta perkongsian bahan , sila PM @TASAWWUR_ISLAMbot
Download Telegram
Forwarded from TASAWWUR ISLAM SPM
BAHAN TASAWWUR ISLAM YANG TERKINI

[2024]

BOLEH RUJUK ;
https://mylink.la/tasawwurislam99

KONGSIKAN, ILMU UNTUK DIKONGSI BUKAN DISIMPAN.

SEMOGA BERMANFAAT😊

#MERENTAS_CABARAN_DEMI_MENCAPAI_KEJAYAAN
#MAN_JADDA_WAJADA
۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

“Umur ialah anugerah ALLAH سبحانه وتعالى kepada kita. Ia hanyalah bekas yang boleh diisi sama ada dengan pahala atau dosa. Orang yang beriman akan sangat bimbang mengisi bekas umur ini dengan dosa kerana takut kesannya pada hidup.”

[Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat]
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berhati-hati Dalam Berbicara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:  Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun. (HR Tirmizi No: 2314) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dalam menyampaikan berita, seseorang mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya sama ada secara lisan mahupun tulisan. 

2.  Al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa sebahagian manusia memandang remeh perkataan yang diucapkannya sehingga dia tidak menyangka perkataan tersebut menjadi penyebab kepada dia dihumban ke neraka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 12/79).

3.  Setiap berita yang disampaikan mestilah benar serta tidak akan mengundang kepada keaiban dan pembohongan. Jangan sampai mengundang kemurkaan  Allah SWT dan berlaku kekacauan di dalam masyarakat. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ  لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم  بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ  لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ  وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). (Surah An-Nur, 11).

Al-Maraghi berkata: Allah SWT menerangkan hukuman yang menimpa ke atas orang yang ikut serta menyebarkan berita dusta; mereka semua akan mendapat hukuman yang setimpal dengan peranan yang dimainkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4730).

Moga kita sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan sebarang maklumat termasuk di media sosial

27hb Jun 2024
20hb Zulhijjah 1445H
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ وَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

Ya ALLAH , Ya TUHAN kami,

Pada hari Jumaat yang mulia ini , kami bermohon ke hadrat-MU, berilah kekuatan , taufik dan hidayah kepada kami supaya kami dapat memperbaiki diri kami , tambahkanlah ya ALLAH kepada kami ilmu, iman dan amal

Kami memohon kepada-MU ya ALLAH , berilah kami iman yang sempurna , ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang halal, anak yang soleh, rumahtangga yang bahagia, usia yang berkat, doa yang mustajab, hajat yang tertunai, kesihatan yang berterusan, hutang yang terbayar, keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

{رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ}

وَصَلَّى الله ُعَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ

وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bergurau Yang Dibenarkan

عَنِ الْحَسَنِ قَالَ: أَتَتْ عَجُوزٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُدْخِلَنِي الْجَنَّةَ فَقَالَ: يَا أُمَّ فُلاَنٍ، إِنَّ الْجَنَّةَ لاَ تَدْخُلُهَا عَجُوزٌ. قَالَ: فَوَلَّتْ تَبْكِي فَقَالَ: أَخْبِرُوهَا أَنَّهَا لاَ تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوزٌ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ : إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا عُرُبًا أَتْرَابًا (الواقعة آية رقم : 35 - 37)

Daripada Al-Hasan RA, dia berkata, “Seorang nenek tua mendatangi Nabi SAW. Nenek itu pun berkata, ‘Ya Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkanku ke dalam syurga!’ Baginda pun mengatakan, ‘Wahai Ibu si Polan! Sesungguhnya syurga tidak dimasuki oleh nenek tua. Nenek tua itu pun pergi sambil menangis. Baginda pun mengatakan, ‘Khabarkanlah kepadanya bahwasanya wanita tersebut tidak akan masuk syurga dalam keadaan seperti nenek tua. Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya kami menciptakan mereka (Bidadari-bidadari) dengan langsung (35). Dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan (36). Penuh cinta lagi sebaya umurnya (37).” (Al-Waqi’ah) (HR At-Tirmizi No: 238) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Rasulullah bergurau dengan sahabat untuk mengembirakan, namun dalam batas yang tidak berlebihan hingga membawa sifat berbohong.

2.  Rasulullah bergurau dengan perempuan tua, walaupun pada awalnya menyedihkan namun diakhirnya mengembirakan dan menyebabkan perempuan itu tersenyum dan tertawa gembira.

3.  Orang yang terlalu serius dalam urusan kehidupannya akan cepat penat dan kecewa.

4.  Kita boleh bergurau dengan kadar yang tidak berlebihan serta berusaha mengawal lidahnya ketika bergurau agar bertutur dalam perkara yang bermanfaat dan menjauhi dusta.

5.  Wasiat Hassan Al-Banna: Jangan terlalu banyak bergurau kerana orang Islam yang sedang berjuang tidak mengerti erti bergurau melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

28hb Jun 2024
21hb Zulhijjah 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berdusta Untuk Menjadikan Orang Tertawa

عَنْ بَهْزِ بْنِ حَكِيمٍ قَالَ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ أَبِيهِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ

Daripada Bahz bin Hakim katanya, telah mengkhabarkan kepada ku dari ayahku, ia mendengar Rasulullah bersabda: Celakalah orang yang berbicara kemudian dia berdusta agar suatu kaum tertawa kerananya. Kecelakaan untuknya. Kecelakaan untuknya.” (HR Abu Daud No: 4338) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Elakkan guruan yang di dalamnya ada unsur berdusta, mengumpat, menghina  juga meremehkan orang lain hanya kerana ingin menghiburkan orang atau menyebabkan orang  tertawa.

2.  Celakalah orang yang menyampaikan sesuatu kepada orang lain yang menyebabkan orang lain tertawa, sama ada melalui pertuturan, lakonan, lukisan, gambar juga tulisan yang didalamnya mengandungi pembohongan, penghinaan juga meremehkan orang lain.

3. Celakalah orang yang sengaja melakukan pendustaan terhadap sesuatu hanya kerana ingin orang lain yang mendengar atau membaca tertawa.

4.  Orang yang beriman tidak akan berbicara serta melakukan sesuatu melainkan yang benar dan baik.

Jadilah kita Mukmin yang benar lagi baik dalam perbuatan dan pertuturan.

29hb Jun 2024
22hb Zulhijjah 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Banyak Ketawa Mematikan Hati

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُكْثِرُوا الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ

Daripada Abu Hurairah dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kalian banyak tertawa, kerana banyak tertawa akan mematikan hati." (HR Ibnu Majah No: 4183) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Ketawa adalah fitrah manusia, namun perlu berkadaran bukan berlebihan.

2.  Kata Abul-Fath Al-Busti, seorang penyair terkenal:

Berikanlah istirehat pada tabiat kerasmu yang serius
Relekkan dahulu dan hiasilah dengan sedikit gurau senda
Tetapi jika engkau berikan gurau senda kepadanya, jadikanlah ia
Seperti kadar engkau memasukkan garam kepada makanan

3.  Jangan banyak tertawa kerana ia akan mematikan hati. Kata al-Mawardi:

وَأَمَّا الضَّحِكُ فَإِنَّ اعْتِيَادَهُ شَاغِلٌ عَنْ النَّظَرِ فِي الْأُمُورِ الْمُهِمَّةِ ، مُذْهِلٌ عَنْ الْفِكْرِ فِي النَّوَائِبِ الْمُلِمَّةِ. وَلَيْسَ لِمَنْ أَكْثَرَ مِنْهُ هَيْبَةٌ وَلَا وَقَارٌ، وَلَا لِمَنْ وُصِمَ بِهِ خَطَرٌ وَلَا مِقْدَارٌ.

Adapun tertawa, apabila seseorang membiasakannya dan terlalu banyak tertawa, maka ia akan melalaikan dan melupakannya dari melihat perkara yang penting. Orang yang banyak tertawa, tidak akan memiliki wibawa dan kehormatan. Orang yang terkenal banyak ketawa tidak akan memiliki kedudukan dan martabat

4.  Ingatlah pesanan Rasulullah: Dari Abu Hurairah ia berkata: Suatu ketika Nabi SAW mendatangi sekelompok sahabat yang sedang tertawa sambil berbincang. Baginda bersabda: Demi jiwaku ditangan Nya, andai kata kalian tahu apa yang aku ketahui nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis (HR Ibnu Hibban 2/73) Status: Sahih dalam kitab Silsilah Ahadits Ash-Sahihah (3193).

5.  Wasiat Hasan Al-Bana: Jangan terlalu banyak tertawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah akan tenteram dan tenang.

Marilah kita hidup dalam suasana banyak senyuman dan mengurangkan ketawa yang melalaikan. 

30hb Jun 2024
23hb Zulhijjah 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Penyebab Ramai Masuk Syurga Atau Neraka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ قَالَ التَّقْوَى وَحُسْنُ الْخُلُقِ وَسُئِلَ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ النَّارَ قَالَ الْأَجْوَفَانِ الْفَمُ وَالْفَرْجُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Nabi SAW pernah di tanya; "Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk syurga?" baginda menjawab: "Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia." Baginda di tanya lagi; "Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk neraka?" baginda menjawab: "Dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan." (HR Ibnu Majah No: 4236) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Bertaqwa kepada Allah dan memiliki akhlak yang mulia antara perkara yang banyak menyebabkan orang masuk syurga dengan rahmat Allah.

2.  Dua perkara yang banyak menyebabkan orang masuk neraka ialah dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan.

3.  Syeikh Abdullah al-Talidi dalam Jawahir al-Bihar menyatakan: maksud mulut di dalam hadis adalah orang yang tidak menjaga serta berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya. Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya.

4.  Syeikh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi menyatakan: makna mulut di dalam hadis ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan.

Jadilah orang yang bertaqwa dan memiliki akhlak yang mulia. Peliharalah mulut dan kemaluan.

01hb Julai 2024
24hb Zulhijjah 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Allah Membuka Aib Kepada Pembuka Aib Orang Lain

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلْ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ فَإِنَّهُ مَنْ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعُ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ يَتَّبِعْ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ

Daripada Abu Barzah Al Aslami ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya namun keimanannya belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kalian mengumpat seorang muslim dan jangan pula mencari-cari kesalahannya. Sebab siapa saja yang mencari-cari kesalahan orang lain, maka Allah akan mencari-cari kesalahannya. Maka siapa saja yang Allah telah mencari-cari kesalahannya, Allah tetap akan menampakkan kesalahannya meskipun ia ada di dalam rumahnya." (Sunan Abu Daud No: 4236) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang beriman wajib memelihara lisannya dari mengumpat dan mencari kelemahan orang lain, sama ada sesuatu yang dituturkan mahupun yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan.

2.  Islam adalah agama rahmah yang mengajar umatnya untuk tidak mengumpat dan membuka aib orang lain.

3.  Sesiapa yang menutup aib saudaranya sesama muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda:

مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

"Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aib orang tersebut di dunia dan akhirat." (Sunan Ibnu Majah)

4.  Barangsiapa yang mencari-cari kesalahan saudara muslimnya, maka Allah akan membuka kesalahan dan aibnya walaupun yang ada di dalam rumahnya.

5.  Orang yang gemar membicarakan aib orang lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (An-Nur: 19)

Kepada pencela dan pembuka aib, ingatlah azab Allah di dunia dan akhirat.

02hb Julai 2024
25hb Zulhijjah 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Larangan Mencela Sesama Muslim

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ سَعْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

Daripada Muhammad bin Sa'd dari Sa'ad, dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Mencaci orang muslim adalah kefasikan dan memeranginya adalah kekufuran." (HR Ibnu Majah No: 3931) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mencaci orang Islam itu termasuk perbuatan fasik.

2.  Memerangi orang Islam itu termasuk perbuatan kufur.

3.  Allah melarang orang beriman dari saling mencela. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَومٌ مِّن قَوْمٍ عَسَى أَن يَكُونُوا خَيْراً مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاء مِّن نِّسَاء عَسَى أَن يَكُنَّ خَيْراً مِّنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الاِسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki mencela kumpulan yang lain, boleh jadi yang dicela itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan mencela kumpulan lainnya, boleh jadi yang dicela itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim “ (QS. Al Hujuraat :11)

4.  Imam At Thabari menyatakan: larangan ini mencakup seluruh bentuk celaan dan cacian. Tidak boleh seorang mukmin mencela mukmin yang lain kerana kemiskinannya, kerana perbuatan dosa yang telah dilakukannya, juga sebab yang lainnya” (Lihat Jaami’ul Bayan).

5.  Sikap mencela orang lain itu berpunca dari rasa sombong dan ujub terhadap dirinya sendiri yang merasakan dirinya lebih baik.

6.  Seorang Mukmin tidak akan memanggil atau menggelar orang lain dengan gelaran atau panggilan yang buruk.

Marilah kita bersifat RAHMAH. Moga kita dijauhi dari sifat suka mencela dan menghina orang lain.

03hb Julai 2024
26hb Zulhijjah 1445H