Kapsul Tazkirah
20.8K subscribers
277 photos
98 videos
6 files
876 links
Berkongsi mutiara ilmu dan hikmah. Moga bermanfaat buat semua. Rasulullah SAW bersabda;

‎خير الناس أنفعهم للناس

Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat buat manusia.
Download Telegram
Puasa Membina Peribadi Amanah

Puasa merupakan madrasah akhlak yang besar dalam melatih keperibadian mukmin, melawan hawa nafsu dan tergoda dengan tipu daya syaitan. Puasa mengajar erti amanah dan muqarabah kepada Allah SWT sentiasa sama ada dalam keadaan bersunyian (sir) atau terang-terangan.

Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: “Puasa adalah tarbiyyah yang berkesan dan suatu jihad mengawal diri dan hawa nafsu serta membiasakan diri dengan bersifat sabar, sama ada sabar melakukan ketaatan atau sabar menjauhi maksiat.”

Apabila seseorang berpuasa, menjadi tanggungjawabnya untuk menjauhkan diri dari perbuatan yang membatalkan puasa seperti makan minum di siang hari.

Larangan ketika berpuasa adalah amanah daripada Allah. Hanya orang yang ikhlas berpuasa melaksanakannya. Bayangkan kita berada di tempat yang sunyi dan tidak ada seorang pun melihat. Jika diikutkan nafsu, kita boleh sahaja makan dan minum tanpa diketahui orang lain. Tetapi kita tidak melakukannya kerana yakin bahawa Allah melihat semua perbuatan kita. Ibadat puasa mengajar kita agar memiliki sifat amanah semasa berpuasa. Maka didikan amanah inilah yang hendak kita amalkan bukan hanya ketika berpuasa malah sepanjang kehidupan.

Sabda Rasulullah S.A.W:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ غَشَّ

Maksudnya: “Bukan dari kalangan kami (umat Muhammad S.A.W) siapa yang menipu”. HR Abu Daud (3452)
Imam al-Khattabi berkata hadis ini (bukan dari kalangan kami) bermaksud bukan ikutan dan juga pegangan umat Muhammad yakni siapa yang menipu atau berkhianat.

Semasa berpuasa, hanya kita yang mengetahui sama ada kita memelihara dari melakukan perbuatan yang boleh membatalkan atau mengurangkan pahala puasa atau tidak. Orang yang amanah, dia sentiasa merasakan Allah melihat setiap tindak lakunya.

Rasulullah mengingatkan kepada kita kesempurnaan iman itu terletak kepada penunaian sifat amanah seseorang.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ مَا خَطَبَنَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا قَالَ لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Daripada Anas bin Malik RA berkata; Nabi SAW tidak pernah berkhutbah di hadapan kami kecuali baginda mengatakan: "Tidak sempurna keimanan bagi orang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama seseorang bagi yang tidak memenuhi janji."(HR Ahmad No:11935). Status: Isnad Tsiqah

Pepatah Arab ada menyebutkan,

فاقد الشيء لا يعطيه

“Orang yang tidak memiliki sesuatu tidak (mungkin) dapat memberikan suatu apa pun”

Jika pepatah ini kita kaitkan dengan amanah, jelaslah bahawa insan yang tidak memiliki sifat amanah terhadap dirinya tidak mungkin pula dapat menunaikan amanah terhadap orang lain.

Dengan kata lain, seseorang yang sentiasa beristiqamah dalam melaksanakan amanah terhadap dirinya akan melaksanakan perkara yang sama pula terhadap masyarakat sekelilingnya hasil daripada sifat amanah yang sebati dalam diri individu.

Hal ini yang dibuktikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam hubungan Baginda dengan penduduk Quraish Makkah. Sebelum diangkat menjadi Rasul lagi, Baginda telah mempamerkan keindahan pekerti dan ketinggian budi sehingga digelar oleh penduduk Quraish itu sebagai “Al-Amin” (seorang yang beramanah dan dipercayai).

Amanah mempunyai peranan yang sangat besar dalam kesejahteraan kehidupan masyarakat dan kerukunan pentadbiran negara.

Marilah kita berusaha menjadikan ibadat puasa ini berjaya membina keperibadian amanah kita.

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Amalan 10 Malam Terakhir Ramadan

Bermula pada malam ini, kita akan memasuki fasa terakhir 10 Ramadan.

Setiap kita sudah pasti berazam untuk memperbanyakkan amal ibadah bagi mencari kelebihan lailatul Qadr. Sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam al-Qadr yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْـرٍ﴿٤﴾ سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Maksud: “Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr: 3-5)

Antara kelebihan malam al-Qadr ialah:

• Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Imam al-Qurtubi berkata: “Malam al-Qadr mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam al-Qadr. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.

• Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.

• Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.

• Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar. Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain” Riwayat Ahmad

Antara perkara yang boleh dibuat pada 10 malam terakhir ini;

1. Solat berjemaah Maghrib, Isya dan Subuh sebaiknya di Masjid.

2. Menghidupkan malam dengan Solat Tarawih, Solat Tahajud dan solat Witir. Jika dapat, solat sunat tasbih juga.

3. Sedekah pada setiap malam.

4. Banyakkan membaca al-Quran.

5. Memperbanyakkan doa, antaranya:

اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عنا

(Ya Allah sesungguhnya Engkau maha pengampun lagi maha mulia , Engkau suka kepada pengampunan maka ampunilah kami).

6. Memperbanyakkan istighfar, tasbih dan selawat.

7. Menjauhkan diri daripada perkara tidak bermanfaat seperti melihat filem, drama, atau bermain games.

8. Memberi makanan kepada orang berbuka puasa.

9. Beriktikaf.

JOM merebut peluang Ramadan kali ini. Mungkinkah ia Ramadan terakhir buat kita!

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Puasa dan Sedekah

Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia dan mereka yang beramal di dalamnya akan memperoleh pahala berlipat ganda.

Amalan bersedekah pada bulan Ramadan dengan membantu orang yang berpuasa, orang yang melakukan solat malam dan orang yang berzikir supaya mereka lebih mudah dalam beramal. Orang yang membantu akan mendapatkan pahala seperti pahala mereka yang beramal sebagaimana Nabi SAW menyebutkan keutamaan orang yang memberi makan kepada orang yang buka puasa.

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

“Sesiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut walaupun sedikit.” (HR Tirmidzi & Ahmad)

Menggabungkan amalan puasa dan sedekah boleh menjadi penyebab seseorang dimudahkan masuk syurga sebagaimana disebutkan dalam hadis:

عَنْ عَلِىٍّ قَالَ قَالَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم إِنَّ فِى الْجَنَّةِ غُرَفًا تُرَى ظُهُورُهَا مِنْ بُطُونِهَا وَبُطُونُهَا مِنْ ظُهُورِهَا. فَقَامَ أَعْرَابِىٌّ فَقَالَ لِمَنْ هِىَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ لِمَنْ أَطَابَ الْكَلاَمَ وَأَطْعَمَ الطَّعَامَ وَأَدَامَ الصِّيَامَ وَصَلَّى لِلَّهِ بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ

Daripada Ali RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di syurga ada bilik yang luarnya dapat dilihat dari dalamnya dan dalamnya boleh dilihat dari luarnya.” Lantas orang Arab Badwi ketika mendengar perkara itu terus berdiri dan berkata, “Untuk siapa keistimewaan-keistimewaan tersebut, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Itu disediakan bagi orang yang berkata yang baik, memberi makan (kepada orang yang memerlukan), rajin berpuasa dan melakukan solat pada malam hari ketika manusia lena tidur.” (HR Tirmidzi & Ahmad)

Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, sifat-sifat yang disebutkan di atas semuanya terkumpul pada bulan Ramadan kerana orang yang beriman akan mengumpulkan pada dirinya amalan puasa, solat malam, sedekah dan berkata yang baik yang mana ketika berpuasa, dilarang berkata yang tidak benar dan sia-sia.

Menggabungkan amalan sedekah dan puasa boleh menjadi penyebab kemudahan meraih ampunan dosa dan selamat daripada seksa neraka, lebih-lebih lagi jika kedua-dua amalan tersebut ditambah dengan amalan solat malam.

Puasa adalah pelindung daripada seksa neraka sebagaimana hadis:

الصِّيَامُ جُنَّةٌ مِنَ النَّارِ كَجُنَّةِ أَحَدِكُمْ مِنَ الْقِتَالِ

“Puasa adalah pelindung daripada neraka seperti pelindung salah seorang daripada kalian ketika ingin berlindung daripada pembunuhan.” (HR Ibnu Majah No 1708)

Manakala, mengenai sedekah dan solat malam disebutkan dalam hadis:

وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَصَلاَةُ الرَّجُلِ مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ

“Sedekah itu memadamkan dosa sebagaimana api dapat dipadamkan dengan air, begitu pula solat seseorang selepas tengah malam.” (HR Tirmidzi No 2616)

Dalam puasa kita tentunya ada cacat dan kekurangan, maka sedekah itulah yang menutupi kekurangan tersebut. Mengeluarkan zakat fitrah di hujung Ramadan boleh menjadi penyuci diri mereka yang berpuasa. Disebutkan dalam hadis, Ibnu Abbas RA berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ

“Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan mereka yang berpuasa daripada kata-kata yang sia-sia dan kata-kata kotor, juga untuk memberi makan kepada orang miskin.” (HR Abu Daud No 1609)

Marilah kita suburkan amalan bersedekah

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Tadabur Ayat 199 Surah al-A’raf

Jadilah Pemaaf

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (bodoh yang degil dengan kejahilannya). Al-A’Raf: 199

Hisyam ibnu Urwah telah meriwayatkan dari ayahnya, bahawa Allah SWT telah memerintahkan Rasul-Nya agar bersifat pemaaf terhadap akhlak dan perlakuan manusia (terhadap dirinya) iaitu 'bersikap lapang dada dalam menghadapi akhlak mereka'.

Ubay menceritakan bahawa ketika Allah SWT. menurunkan firman-Nya: Jadilah engkau pemaaf dan serulah orang-orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh. (Al-A'raf: 199) Maka Rasulullah SAW bertanya, "Wahai Jibril, apakah artinya ini?" Jibril a.s. menjawab, "'Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepadamu agar memaafkan terhadap perbuatan orang yang berbuat aniaya kepadamu, dan kamu memberi kepada orang yang mencegahnya darimu, serta bersilaturahim kepada orang yang memutuskannya darimu."

هِيْ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ! فَوَاللهِ، مَا تُعْطِيْنَا الْجَزْلَ، وَلاَ تَحْكُمُ فِيْنَا بِالْعَدْلِ، فَغَضِبَ عُمَرُ رضي الله عنه حَتَّى هَمَّ أَنْ يُوْقِعَ بِهِ، فَقَالَ لَهُ الْحُرُّ: يَا أَمِيْرَ الْمُؤْمِنِيْنَ، إِنَّ اللهَ سبحانه و تعالى قَالَ لِنَبِيِّهِ صلى الله عليه و سلم: خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ وَإِنَّ هذَا مِنَ الْجَاهِلِيْنَ. وَاللهِ مَا جَاوَزَهَا عُمَرُ حِيْنَ تَلاَهَا عَلَيْهِ وَكَانَ وَقَّافًا عِنْدَ كِتَابِ اللهِ سبحانه و تعالى.

Uyainah berkata: Wahai Omar! Demi Allah, engkau tidak pernah memberi kebaikan kepada kami dan tidak pernah memutuskan urusan kami dengan adil”. Umar marah dan ingin memukul Uyainah, lantas al-Hurr mengingatkannya: 'Wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya Allah berfirman kepada NabiNya SAW, 'Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.' (Al-A'raf: 199) Dan sesungguhnya orang ini termasuk orang bodoh.' Demi Allah, Ketika ayat itu bibacakan kepada Umar, ia tidak bertindak melampaui batas. Dia berserah diri sepenuhnya pada kitab Allah "

Ahli tafsir menyebutkan bahawa ayat ini komprehensif dalam membicarakan akhlak yang mulia. Dalam ayat ini mengandungi tiga perkara utama:

1. Memaafkan perlakuan buruk orang lain terhadapnya

2. Melakukan dan menyebarkan kebaikan (maaruf)

3. Berpaling dari perkara yang tidak patut

As-Zamakhsyari menyatakan bahawa tiada ayat al-Quran lain yang berbicara tentang akhlak lebih terperinci daripada ayat ini.

Sementara Ar-Razi pula menyebutkan bahawa ayat ini adalah manhaj yang lurus dalam bermuamalah sesama manusia, Ia adalah gambaran nilai akhlak yang luhur dan cerminan keluhuran ajaran Islam

Ibnu Asyur pula menyatakan, ayat ini adalah penyelesaian yang ditawarkan oleh al-Quran dalam bergaul dengan manusia.

Sementara itu menurut Kitab Fi Zilal Quran oleh Syed Qutb: ia adalah arahan dan pesanan langsung Allah kepada Nabi dan orang beriman apabila mereka berhadapan dengan orang yang bodoh.

ادفَع بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ فَإِذَا الَّذي بَينَكَ وَبَينَهُ عَدٰوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَميمٌ

“Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Fussilat : 34)

Sebagai peringatan,

• Perintah memaafkan ini bersifat umum dalam segala bentuk

• Memaafkan serta berlapang dada dan tidak membalas perilaku buruk orang lain terhadap kita. Doakan kebaikan untuk mereka.

• Memaafkan tidak mutlak pada setiap keadaan dan waktu contohnya orang yang membunuh dengan sengaja serta melanggar ketetapan syarak dengan sengaja.

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Ramadan dan Sifat Dermawan

Bulan Ramadan juga dikenali sebagai bulan sedekah. Rasulullah SAW telah memberikan contoh terbaik kepada kita agar banyak bersedekah pada bulan Ramadan. Daripada Ibnu Abbas RA, beliau berkata:

كَانَ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِى رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِى كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

“Nabi SAW adalah orang yang paling gemar bersedekah. Semangat baginda dalam bersedekah lebih membara lagi ketika bulan Ramadan. Ketika itu Jibril menemui baginda, Jibril menemui baginda setiap malam di bulan Ramadan. Jibril mengajarkan Al-Quran ketika itu. Dan Rasulullah SAW adalah yang paling semangat dalam melakukan kebaikan (berderma) bagai angin yang bertiup.” (HR Bukhari & Muslim)

Ibn Rajab rahimahullah berkata: “Al-Juud bermaksud rajin dan banyak memberi (berderma)”. Jadi, maksud hadis di atas ialah Rasulullah SAW seorang yang paling dermawan atau rajin memberi sedekah kepada orang lain pada bulan Ramadan.

Imam Syafii rahimahullah pernah berkata: Aku sangat senang ketika melihat ada yang bertambah semangat menghulurkan tangan membantu orang lain pada bulan Ramadan kerana meneladani Rasulullah SAW, kerana manusia ketika berpuasa sangat-sangat memerlukan bantuan di mana mereka telah disibukkan dengan puasa dan solat sehingga sukar untuk mencari nafkah bagi memenuhi keperluan mereka.

Beribadat di bulan Ramadan bermatlamat untuk menjadikan kita orang yang bertaqwa. Antara proses menjadi orang bertaqwa ialah melaksanakan ibadat puasa di siang hari dan menghidupkan malam hari dengan solat tarawih, tilawah al-Quran dan lain-lain yang menatijahkan pengampunan dosa yang lalu. Selain daripada itu, amalan bersedekah juga menjadi pembersih dosa.

Rasulullah SAW bersabda:

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ

Puasa merupakan benteng dan sedekah dapat meleburkan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api (HR Ahmad no 5231 & Tirmizi no 2749)

Dengan sedekah dan infak yang dilakukan, akan menjadi pelindung dari api neraka. Rasullah SAW bersabda:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebiji kurma. (HR Bukhari no 1413)

JOM latih diri menjadi pemurah dan dermawan di bulan Ramadan. Moga sifat pemurah menjadi amalan kita.

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Tadabbur Surat At-Taghabun Ayat-11 (Semua musibah adalah dengan izin Allah)

11. مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

“Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. At Taghabun :11.
Firman Allah : مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ maksudnya “Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah”. 

Ayat ini memberi semangat kepada orang-orang yang beriman agar mereka lebih bersabar dalam menghadapi ujian di dunia ini, bahawa tidak ada satu ujian pun yang menimpa seseorang kecuali atas izin dan kehendak Allah ta’ala, semua itu telah tersurat kemas di sisiNya, tanpa pengetahuan kita. Dengan mengetahui hakikat ini, orang beriman akan merasa lebih tenang.

Namun bagaimana seharusnya sikap orang yang beriman terhadap ujian hidup?

Allah ta’ala berfirman ( وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ) maksudnya “barangsiapa beriman kepada Allah, niscaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya
Yaitu barang siapa beriman kepada Allah ta’ala dan dia menerima takdir Allah ta’ala dan bersabar maka Allah ta’ala akan berikan hidayah kepadanya, ini adalah sikap orang yang beriman.

Tatkala seseorang mendapatkan ujian sesungguhnya Allah ta’ala Maha Mengetahui tentang musibah tersebut, mengetahui bahwa musibah tersebut menimpa seseorang, mengetahui sikap orang tersebut terhadap musibah yang dia alami, dan juga Allah ta’ala mengetahui isi hati seorang hamba yang terkena musibah apakah dia sabar atau tidak, jika dia bersabar maka ada balasannya, dan jika tidak bersabar juga ada balasannya.

Allah ta’ala berfirman (maksud)“barangsiapa beriman kepada Allah” iman adalah berkaitan dengan qalbu seseorang, lalu qalbunya itu bersabar ketika ditimpa musibah يَهْدِ قَلْبَهُ “nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya”.

Syaikh As-Sa’di berkata ketika menjelaskan ayat ini: “Ini adalah balasan terbaik bagi orang yang sabar yaitu hatinya diberikan hidayah, sehingga ketika hatinya diberi hidayah Allah ta’ala akan berikan dia kebahagiaan dan dia akan menghadapi ujian hidup dengan ketenangan, namun sebaliknya ketika seseorang mendapatkan musibah lalu dia marah itu adalah adzab yang disegerakan di dunia sebelum azab akhirat”
 
Keadaan seorang yang lemah iman, tidak bersabar menerima ujian ketika terkena musibah sesungguhnya merupakan penderitaan yang luar biasa baginya, yang menyebabkan dia marah dan mengamuk, mungkin akan berterusan dalam keadaan itu, maka ini adalah azab yang Allah ta’ala segerakan untuknya di dunia sebelum azab di akhirat.

Adapun orang yang beriman ia tidak bersikap demikian, dia bersabar ketika mendapatkan ujian sehingga Allah ta’ala memberikan hidayah kepada hatinya dan dia pun kokoh dalam menghadapi segala ujian dan Allah ta’ala pun akan membalas atas hatinya yang sabar tersebut. Balasan itu adalah kebahagiaan dan ketenangan yang didambakan oleh semua manusia.

Ayat ini di tutup dengan firman Allah : (maksud) “Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”.
Adalah merupakan penegasan dari Allah ta’ala bahawa Dia mengetahui akan hal ehwal hambaNya samada yang nyata atau yang disembunyikan, yang kecil atau yang besar. Dia Maha Tahu keadaan hamba itu ketika diuji dan selepasnya. Semuanya dalam pengetahuanNya. Apabila mukmin menyedari akan hal ini ia juga menjadi sumber kekuatan dan ketenangan bagi jiwanya.

Demikianlah mukmin itu memiliki jiwa perwira kesan dari iman dan sabarnya, mereka mendapat hidayah dari Allah ta’ala berupa kekuatan dan keteguhan jiwa.

Semoga semua pembaca tadabbur ini memperoleh kebaikan seperti ini. Aamiin.

https://t.me/kapsul_tazkirah

 
Golongan Yang Rugi Di Bulan Ramadan

Orang yang rugi di bulan Ramadan apabila dosanya tidak diampunkan Allah.

Rasulullah SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA;

… وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ…

… Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni…. (Sunan Tirmizi No: 3545) Status: Hadis Sahih

Apa khabar Ramadan kita sehinga hari ini?

Adakah Ibadat puasa yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan ini menjadi pengampun dosa-dosa kita yang lalu? Ingatlah pesanan Baginda Rasulullah SAW

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu" (HR Bukhari No: 37).

Adakah Qiam kita di malam hari yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan ini menjadi penghapus dosa-dosa kita yang lalu? Ingat juga pesanan Baginda Rasululah SAW;

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"Barangsiapa mendirikan Ramadhan (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain) kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu" (HR Bukhari No: 36).

Adakah Sedekah kita di sepanjang bulan Ramadan ini menjadi pencuci dan pelebur dosa? Ingat juga pesan Baginda Rasulullah SAW;

….وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ

“…dan sedekah dapat meleburkan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api” (HR Ahmad no 5231)

Adakah semua amal ibadat ini telah kita lakukan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah dan dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh? Ingatlah pesan Baginda Rasulullah SAW;

كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

"Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan pahala puasanya selain lapar, dan berapa banyak orang yang solat malam tidak mendapatkan pahala solat malamnya selain berjaga (menyengkang mata)." (HR Ahmad No: 9308)

Gerunilah pesanan Rasulullah SAW ini:

مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ

Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah S.W.T. (Ibn Hibban, no. Hadith 907)

Masih ada Ramadan berbaki untuk kita perbaiki diri agar tidak tergolong dalam kalangan orang yang rugi pada Ramadan kali ini…

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Media is too big
VIEW IN TELEGRAM
Qiamullail di Masjid al-Aqsa malam tadi. Hampir setiap sudut dipenuhi oleh para jemaah.

Dianggarkan 250,000 rakyat Palestin hadir malam tadi walaupun dikenakan pelbagai sekatan oleh Zionis Israel.

Semoga Masjid al-Aqsa terus aman daripada pencerobohan Zionis. #AlAqsaMilikKita #HandsOffAlAqsa

Untuk sumbangan ke Palestin Ramadan ini,
KLIK 👉🏼 http://mycare.qrd.by/myramadanaq
Hari-Hari Terakhir Ramadan

Ramadan telah berada di penghujung. Semoga setiap kita diberi kekuatan membuat “finishing” yang terbaik. Jika kita peserta larian 400 meter, kita sedang berada di 100 meter terakhir. Pecutan akhir ini perlu dilakukan sedaya mungkin bagi menentukan kedudukan kita berjaya ditempat pertama atau sebaliknya….

Kata ulama;

العبرة بكمال النهايات لا بنقص البدايات

“Yang menjadi ukuran itu adalah akhir yang sempurna, bukan permulaan yang penuh kekurangan.”

Sesuai dengan hadis Rasulullah SAW

وَإِنَّمَا الأعْمَالُ بِالْخَوَاتِيمِ

"Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada pengakhirannya (penghujungnya)” (HR. Bukhari No: 6607).

Hasan al-Basri rahimahullah berkata: Perbaikilah hari-hari yang tersisa ini semoga Allah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu.

Gunakanlah kesempatan hari-hari berbaki Ramadan ini sebaik mungkin kerana kita tidak tahu bilakah rahmat Allah itu datang untuk kita. Boleh jadi di hari-hari terakhir Ramadan ini. Begitu juga Lailatul Qadar, barang kali malam ini atau mungkin juga esok atau seterusnya?

Marilah kita bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan hari-hari berbaki Ramadan kita pada tahun ini.

اللَّـهُـمَّ اخْـتِـمْ لَـنَا رَمَـضَانَ بِالْغُـفْـرَانِ وَالْعِـتْـقِ مِنَ النِّـيرَانِ

Ya Allah, tutuplah Ramadan kami ini dengan keampunan dan pembebasan dari siksaan api neraka.

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Perginya Ramadan Ditangisi

Perginya Ramadan bermakna segala kehebatan anugerah Allah Azza wa Jalla kepada umat ini juga turut pergi meninggalkan kita.

Perginya Ramadan bermakna tiada lagi keistimewaan dibukakan pintu syurga buat kita seperti semasa Ramadan bersama kita...

Perginya Ramadan bermakna tiada lagi keistimewaan ditutup rapat pintu neraka buat kita...

Perginya Ramadan bermakna tiada lagi keistimewaan Lailatul Qadar yang menjanjikan ganjaran melebihi 1000 bulan buat kita....

Perginya Ramadan bermakna tiada lagi keberkatan Ramadan, keberkatan memberi makan untuk berbuka puasa kepada orang yang berpuasa...

Perginya Ramadan bermakna Syaitan Iblis dah bebas berkeliaran untuk menggoda kita...

Berlalunya Ramadan bermakna tiada lagi jaminan khusus keampunan segala dosa yang lalu kepada orang yang berpuasa dan orang yang menghidupkan malam hari dengan penuh keimanan dan keikhlasan...

Jangan pergi duhai bulan keampunan.
Jangan pergi duhai bulan rahmat.
Jangan pergi duhai bulan barakah.
Jangan pergi duhai bulan yang membentuk kita menjadi insan bertaqwa.

Namun apakan daya… Ramadan tetap akan pergi meninggalkan kita. Tahun hadapan belum tentu kita dapat bersama dengan Ramadan.

Yang kita mampu hanya berdoa mengharap bertemu kembali dengan Ramadan.

اللهم اوصلنا الى رمضان كريم اعواما عديدة

Ya Allah, sampaikanlah (usia kami) hingga ke Ramadan Karim tahun-tahun mendatang.

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ.

Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkau-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Masih berbaki sehari dua Ramadan untuk kita dakap sebelum dia pergi... manfaatkan Ramadan ini sebaik mungkin untuk melipat gandakan ibadat..

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Hakikat Hari Raya

Sebahagian salafusolleh menyebutkan;

ليس العيد لمن لبس الجديد

Hari raya bukanlah bagi orang yang memakai pakaian baru

إنما العيد لمن طاعاته تزيد

Sesungguhnya hari raya adalah bagi orang yang bertambah ketaatannya.

ليس العيد لمن تجمل باللباس والركوب

Hari raya bukanlah bagi orang yang indah pakaian dan kenderaannya

إنما العيد لمن غفرت له الذنوب

Sesungguhnya hari raya adalah bagi orang yang telah diampuni kesalahan dan dosanya.

ليس العيد لمن كسب الربياة

Hari raya bukanlah bagi orang yang memiliki wang ringgit

إنما العيد لمن وجد الرحمة

Sesungguhnya hari raya adalah bagi orang yang mendapatkan rahmat Allah.

ليس العيد لمن كثر الاشراب و الطعام

Hari raya bukanlah bagi orang yang banyak makan dan minum

إنما العيد لمن عمل الصواب و الدوام

Sesungguhnya hari raya adalah bagi orang yang benar amalnya dan berterusan.

ليس العيد لمن ذهب في اي المكان

Hari raya bukanlah bagi orang yang boleh pergi kemana sahaja tempat yang dia suka

إنما العيد لمن يزيد الايمان

Sesungguhnya hari raya adalah bagi orang yang bertambah keimanannya.

Imam Hasan Al-Basri rahimahullah berkata;

كل يوم لا يُعصى الله فيه فهو عيد

Setiap hari yang padanya tidak dilakukan derhaka kepada Allah maka ia adalah hari raya.

Eid Mubarak…

Selamat Hari Raya

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ.

Semoga Allah menerima amalan dari kami dan dari kalian.

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Syawal Dan Ziarah

Saling ziarah menziarahi adalah antara amalan yang dituntut di dalam Islam.

Menjadi tradisi dalam masyarakat di Malaysia apabila menjelang Aidil Fitri ialah amalan saling kunjung mengunjung sama ada antara kaum kerabat mahupun jiran tetangga. Tujuannya untuk saling bermaafan dan mengeratkan hubungan silaturahim mahupun ukhuwah.

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW telah bersabda :

مَنْ عَادَ مَرِيضًا أَوْ زَارَ أَخًا لَهُ فِي اللهِ نَادَاهُ مُنَادٍ أَنْ طِبْتَ وَطَابَ مَمْشَاكَ وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الجَنَّةِ مَنْزِلاً

”Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah SWT maka nanti akan diseru dengan kata-kata : engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.” (HR Tirmizi No: 2008). Status: Hadis Sahih

Walaupun kita telah berada dalam suasana endemik COVID-19, namun amalan ziarah menziarahi di musim perayaan perlu sentiasa menjaga sop yang dibenarkan.

Perlu diingatkan agar sentiasa mematuhi syariat dan adab bersilaturahim dan berukhuwah. Antaranya;

1. Pastikan memakai pakaian sopan dan menutup aurat.

2. Tidak menziarahi terlalu lama.

3. Sebaiknya meminta izin dan memilih masa yang sesuai kerana kita perlu menghormati privasi orang yang diziarahi.

4. Berusahalah untuk mengeratkan ukhuwah serta silaturahim dengan kaum kerabat melalui ziarah yang dilakukan.

Sabda Rasulullah SAW;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ وَأَنْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung hubungan silaturahim. (Sahih Bukhari No: 5639) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Bagi kita yang masih ada ibu bapa, adik beradik, serta kaum kerabat yang tidak dapat diziarahi secara fizikal, manfaatkan teknologi yang ada untuk bertanya khabar mereka dalam kerangka mengeratkan silaturahim.

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Jadilah Rabbani Bukan Ramadani

Para salafus soleh pernah berkata:

كُنْ رَبَّانِيًا وَلَا تَكُنْ رَمَضَانِيًا

Maksudnya: “Jadilah kamu hamba Allah yang Rabbani dan bukan menjadi hamba Ramadan (mengenal Allah hanya di bulan Ramadan).”

Insan Rabbani adalah mereka yang keluar dari Madrasah Ramadan dengan cemerlang dan berterusan dalam kecemerlangan amal soleh mereka.

Insan Rabbani adalah mereka yang sentiasa berusaha melaksanakan amal yang boleh menjadi penghapus segala dosa sepanjang masa.

Insan Rabbani adalah mereka yang sentiasa menjadikan kebiasaan melaksanakan ibadat fardu dengan sempurna serta melipatgandakan segala ibadat sunat yang menjadi pelengkap dan penyempurna segala ibadat fardhu.

Antara Tanda Insan Rabbani:

• Sentiasa mendampingi Allah setiap masa, berterusan dalam ibadah dan tidak terputus daripada amal soleh.

• Sentiasa menjaga solat berjamaah di masjid tanpa mencuaikan dalam solat-solat fardunya (bagi kaum lelaki).

• Sentiasa memastikan hubungan berterusan dengan membaca, mentadabbur, menghafaz dan beramal dengan al-Quran dan tidak memisahkannya pada bulan-bulan selepas Ramadan. Berhati-hati dari tenggelam bersama mereka yang meninggalkan al-Quran seperti peringatan Allah kepada Nabi SAW tentang mereka:

وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَٰرَبِّ إِنَّ قَوۡمِي ٱتَّخَذُواْ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ مَهۡجُورٗا ٣٠

Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.(al-Furqan: 30)

• Tidak terputus daripada melakukan puasa sunat antara dua Ramadan. Disunatkan puasa di bulan Syawal seperti yang dinyatakan oleh nabi saw apabila seorang hamba mendirikan puasa Syawal selepas Ramadan ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun.

Sebenarnya momentum kesungguhan ibadat pada bulan Ramadan itu hendaklah diteruskan pada bulan yang lain agar semangat kesungguhan mengabdikan diri kepada Allah sentiasa berterusan.

Marilah kita menginsafi diri dengan berterusan memperbaiki diri dengan segala amal soleh pada setiap detik dan ketika. Jangan sesekali menjadikan kita sebagai hamba Allah hanya di bulan Ramadan.

Jadilah Rabbani bukan Ramadani.

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Selesakah Kita?

Kita baru sahaja melalui bulan Tarbiah di bulan Ramadan. Saya yakin dan percaya, pelbagai ibadat telah kita gandakan. Namun adakah kita merasa selesa dengan apa yang kita telah lakukan?

Sekali lagi di hujung Ramadan kita mendengar khabar saudara kita di Palestin berjuang mempertahankan Baitul Maqdis dengan darah dan nyawa. Mereka menyambut hari lebaran dengan peluru dan titisan darah. Namun adakah kita merasa selesa berhari raya di Negara kita dengan mercun dan bunga api? Atau hanya bersedih kerana terpaksa berhari raya secara terkejut dan tidak sempat membuat persiapan seperti yang dirancang. Atau tidak boleh beraya di kampung bertemu keluarga dan sanak saudara kerana bertugas wajib.

Mungkin juga kita terus merasa tenang dan terus tertipu dengan ketenangan, keselesaan dan kehebatan apabila kita menjauhkan diri dari orbit ibadah, dakwah dan tarbiah. Tiada lagi kesibukan bertilawah, berqiamullail juga bersedekah. Aktiviti usrah, katibah, daurah dan pelbagai wasilah dakwah kita dah tak kisah.

Ketahuilah, orang yang beramal akan sentiasa merasa kerdil apabila memikirkan untung nasib ketika berhadapan dengan Rabbul Jalil nanti.

Ketahuilah, orang yang beramal akan sentiasa merasa kekurangan apabila melihat segala amalnya berbanding salafussoleh terdahulu.

Ketahuilah, orang yang perihatin terhadap nasib umat Islam lain seperti di Palestin, Syria dan lain-lain akan sentiasa merasa bersalah apabila kemampuan terbatas dan terhad untuk memberi bantuan dan pertolongan.

Ketahuilah, dakwah akan terus berjalan, sama ada penumpangnya ramai atau sedikit, sama ada kita bersama atau tidak, sama ada kita bantu atau tidak, sama ada kita suka atau tidak....... ia akan terus berjalan.

Maka berungtunglah sesiapa yang sentiasa memperbaiki segala amalnya.

Maka beruntunglah sesiapa yang sentiasa perihatin dan memberikan segala bantuan kepada orang lain.

Maka beruntunglah sesiapa yang terus bersama dengan dakwah.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua untuk terus bersama dalam memperbaiki amal, keprihatinan serta medan dakwah sehingga ke nafas yang terakhir...

Semakin dekat kita dengan paksi orbit ini maka makin kita terasa 'kita di mana' dalam pandangan Allah SWT.

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Menjemput Rezeki dan Kebaikan

Kalau nak tangkap ayam, jangan dikejar nanti kita penat dan ayam pun lari. Caranya, taburlah beras atau makanan, nanti terkedek-kedek ayam datang.

Begitulah rezeki, jika nak rezeki datang, bersedekahlah! Nanti rezeki akan datang menghampiri.

Kalau ingin memelihara kupu-kupu, Jangan tangkap kupu-kupunya kerana kupu-kupu pasti akan terbang.

Tetapi, tanamlah bunga. Nescaya kupu-kupu akan datang sendiri dan membentangkan sayapnya yang indah.

Bahkan bukan hanya kupu-kupu sahaja yang datang, tetapi kawanan yang lain juga akan datang seperti lebah, pepatung, dan lainnya menambah warna warni keindahan.

Sama halnya dalam kehidupan di dunia ini. Ketika kita menginginkan kebahagiaan dan keuntungan, maka tanamlah kebaikan demi kebaikan, kejujuran demi kejujuran.

Maka kebahagiaan dan keuntungan akan datang sebagai anugerah langsung dari Allah. Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 56:

إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الْمُحْسِنِينَ

“Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”

Allah SWT juga mengingatkan kita dalam Surah al-Isra ayat 7:

اِنْ اَحْسَنْتُمْ اَحْسَنْتُمْ لِاَنْفُسِكُمْ ۗوَاِنْ اَسَأْتُمْ فَلَهَاۗ

“Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri. Dan jika kamu berbuat jahat, maka (kerugian kejahatan) itu untuk dirimu sendiri”.

Marilah kita menyemai kebaikan dan amal soleh sepanjang kehidupan ini. Jangan sekali-kali kita menyemai amal buruk serta dimurkai Allah.

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Musibah Sebenar

Kata Ibn ‘Athoillah: Musibah yang sebenar bukanlah orang yang kematian ahli keluarga, atau kehilangan harta, mahupun pangkat dan jawatan. Tetapi, musibah yang sebenar adalah orang yang bergelumang dengan dosa, dikuasai oleh syahwat, dan diuliti dengan pelbagai kesalahan.

Musibah yang sebenar adalah mereka menghabiskan waktu mudanya untuk meraih segala kenikmatan, mereka yang menghabiskan umur untuk melakukan segala maksiat dan alpa dengan ibadat.

Orang yang benar-benar ditimpa musibah adalah mereka yang bermaksiat pada Allah dan tidak bertaubat dari dosa. Mereka memasukkan kotoran maksiat ke dalam hati mereka yang bersih! Mereka penuhkan noda dan dosa dalam kalbu mereka sehingga kematian mereka.

Seorang soleh berkata: Apabila engkau di tanya tentang ‘Apakah yang patut diratapi?’, maka, engkau jawablah: "Yang sepatutnya diratapi adalah seorang hamba yang Allah kurniakan kesihatan dan kekayaan, namun dia menghabiskan kedua-duanya untuk bermaksiat pada Allah….”

Perlu diingat! Jangan engkau menganggap orang yang berduka dan mendapat musibah adalah mereka yang terkena penyakit, dilanda kemiskinan, atau sedang dipenjara. Boleh jadi, semua itu membuatkan mereka lebih dekat dengan Allah dan memperoleh redhaNya. Adakalanya kesembuhan itu datang setelah meminum ubat yang pahit.

Tahukah kita bahawa, musibah dalam bentuk penyakit, kesusahan, keperitan adalah kerana Allah ingin memberikan kebaikan kepada hambaNya. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW:

أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُصِبْ مِنْهُ

Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa dikehendaki Allah kebaikan, maka Dia akan mengujinya (memberi musibah)." (HR Bukhari No: 5213)

Orang yang diuji dengan suatu musibah berbentuk penyakit atau kesusahan adalah salah satu tanda Allah ingin menganugerahkan kebaikan padanya. Allah berfirman:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ

“Sungguh, Kami akan menguji kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan khabar gembira bagi orang-orang yang bersabar” (QS. Al Baqarah: 155).

Moga kita dipelihara oleh Allah Azza wa Jalla daripada bergelumang dengan maksiat hingga menjadikan ia sebagai musibah sebenar buat kita.

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Ibarat Berpuasa Sepanjang Tahun

Kita baru sahaja menunaikan ibadat puasa sebulan di bulan Ramadan. Semoga Allah menerima ibadat kita. Disamping ibadat puasa fardhu, terdapat juga galakan untuk kita mengerjakan puasa sunat. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Daripada Abu Ayyub Al-Ansari RA bahawa ia telah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan puasa enam hari dari bulan Syawal maka seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim No: 1984) Status: Hadis Sahih

Berdasarkan hadis di atas, mereka yang berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan dan diikuti puasa sunat Syawal sebanyak enam hari, seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang tahun. Menurut Imam Nawawi: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa 60 hari atau dua bulan”.

Terdapat juga hadis yang menerangkan kelebihan kepada mereka yang berpuasa sunat selain Sunat Syawal. Antaranya puasa tiga hari setiap bulan, sama ada puasa Isnin atau Khamis juga puasa pada hari-hari Puteh (13, 14 dan 15 haribulan Hijrah). Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al ‘Ash, Rasulullah SAW bersabda,

صَوْمُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ

“Puasa pada tiga hari setiap bulan adalah seperti puasa sepanjang tahun.” (HR. Bukhari no. 1979)

Puasa tiga hari menyamai puasa tiga puluh hari atau sebulan.

Dari Abu Dzar, Rasulullah SAW bersabda padanya,

يَا أَبَا ذَرٍّ إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

“Wahai Abu Zar, jika engkau ingin berpuasa tiga hari setiap bulan, maka berpuasalah pada tanggal 13, 14, dan 15 (dari bulan Hijriyah).” (HR. Tirmidzi no. 761) Hadis Hasan.

Puasa juga menjadi penghapus dosa. Puasa Sunat Arafah boleh menghapuskan dosa setahun sebelum dan setahun selepas (dosa kecil).

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ... أَهْلُ الْعِلْمِ صِيَامَ يَوْمِ عَرَفَةَ إِلَّا بِعَرَفَة

Daripada Abu Qatadah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Puasa hari 'Arafah -saya berharap dari Allah- dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya." Para ulama mensunnahkan puasa 'Arafah kecuali jika berada di 'Arafah. (Sunan Tirmizi No: 680) Status: Hadis Sahih

Selain itu, Puasa Asyura pula ganjarannya dapat menghapuskan segala dosa setahun yang lalu (Imam Nawawi kata segala dosa kecil). Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA, beliau mengatakan:

سئل عن صوم يوم عاشوراء فقال كفارة سنة

Nabi SAW ditanya tentang puasa Asyura, Baginda menjawab: “Puasa Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu.” (HR. Muslim No: 1976). Status: Hadis Sahih

Puasa adalah antara ibadat yang menjadikan seseorang hamba dekat dengan syurga dan jauh daripada neraka. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ صَامَ يَوْمًا فِى سَبِيلِ اللَّهِ بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, aku mendengar Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa melakukan puasa satu hari di jalan Allah (dalam melakukan ketaatan pada Allah), maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun. (HR Bukhari No: 2840) Status Hadis Sahih

Di kesempatan Syawal yang masih ada ini, bagi yang belum memulakan puasa sunat Syawal, rebutlah peluang yang ada, kerana kita tidak pasti akan bertemu Syawal pada tahun akan datang atau tidak.

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Amal Islam Dengan Permulaan Yang Selamat

Dalam melaksanakan amal di dalam Islam, Al-Banna memulakannya dengan pembinaan individu, keluarga dan masyarakat ke arah daulah Islamiyah.

Membina sesuatu yang agung bermula dengan asas yang ampuh. Allah SWT berfirman;

أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى تَقْوَى مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ

Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar takwa kepada Allah dan keredaan-Nya itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahanam. (At-Taubah 109).

Permulaan yang baik dan selamat bermula dengan:

1. Kefahaman yang sahih, sempurna dan sejahtera.

Sesuai dengan matlamat menegakkan daulah dan khilafah Islamiyah di muka bumi, ia memerlukan kefahaman yang sempurna agar Islam yang tertegak adalah yang benar. Apatah lagi setiap kita adalah anasir yang terlibat secara langsung dalam proses ke arah amal Islam yang lebih besar bermula dengan membina individu yang soleh sehinggalah penegakan daulah Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang berilmu dan faham itu lebih menyukarkan syaitan berbanding seribu ahli ibadat.” (at Tarmizi 5/46, No 2681)

Kelebihan bukan hanya diukur dengan banyaknya pengetahuan dan amalan, akan tetapi ia diukur dengan kefahaman yang sahih lagi sejahtera.

Kita lihat apa kata seorang ulama ketika memberi komentar terhadap golongan Khawarij: “Meskipun mereka terkenal dengan wara`, zuhud serta kuat beribadat, namun kefahaman yang menyeleweng dari apa yang sepatutnya membuatkan mereka terseleweng jauh dari kebenaran.” [Majmuk al Fatawa, juzuk 28].

2. Keperluan amal

Orang beriman yang faham, dituntut untuk beramal. Namun untuk beramal, perlu kefahaman yang jelas.

Kaedah Syariah menyebutkan:

مَا لا يَتِمُ الوَاجب إلا به فهو واجب

Tidak sempurna sesuatu yang wajib kecuali dengannya, maka ia adalah wajib.

Perbandingan kefahaman jika tidak sempurna, umpama si buta bercerita tentang gajah. Sudah pasti amal bercanggah dan tidak tepat.

Justeru dalam melaksanakan amal memerlukan kefahaman yang benar dan betul.

3. Memelihara garisan penyelewengan.

Dalam melaksanakan amal pastikan bertepatan dengan panduan al-Quran dan al-Hadis bagi mengelakkan penyelewengan atau ikut nafsu.

Saidina Umar RA berpesan kepada utusan atau wakil yang dihantar ke luar dari wilayah;

“Ikutlah al-Quran, bukannya al-Quran yang mengikut kamu. Sesiapa yang al-Quran mengikutnya, al-Quran akan menolak belakangnya hingga jatuh ke dalam neraka. Sesiapa yang ikut al-Quran, al-Quran akan memimpinnya masuk ke dalam Syurga”

Sebagai mereka yang hidup kerana Islam dan untuk Islam, kita akan bekerja juga semata-mata untuk Islam bagi melaksanakan fungsi sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Antara perkara yang menjadi asas keperluan ialah perlu memiliki kefahaman yang betul dan sahih terhadap Islam.

#MemburuTaqwaMenyebarRahmah
https://t.me/kapsul_tazkirah
Waktu Dalam Kehidupan Seorang Muslim

Waktu amat berharga dalam kehidupan kita. Waktu yang berlalu tidak akan kembali. Tidaklah datang suatu hari yang baru melainkan ia berkata kepada anak Adam sebagaimana yang diriwayatkan; telah berkata al-Imam Hassan al-Basri,

يا ابن آدم انا خلق جديد وعلى عملك شهيد
فتزود منى بعمل صالح فإنى لا أعود الى يوم القيامه

"Wahai Anak Adam, aku (hari baharu) adalah ciptaan baru. Aku menjadi saksi atas amalanmu. Berbekal lah daripadaku dengan amal salih. Kerana aku tidak akan kembali sehingga hari Kiamat".

Waktu yang terkumpul ini kita berikan unit ukuran seperti saat, minit, jam, hari, minggu, bulan dan sebagainya, akhirnya membentuk sesuatu yang kita panggil umur dan usia.

Sesungguhnya kesempatan umur dan usia yang dimiliki oleh setiap individu, banyak menentukan kelangsungan usia dan ajal sesuatu umat.

Firman Allah :

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٞۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ ٣٤

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan (Al-Araf: 34)

Masa yang kita lalui, umur yang kita miliki akan dipersoal kelak. Justeru kita perlu memanfaatkan masa dan usia ini untuk diri kita, juga untuk agama, keluarga, masyarakat dan negara.

Waktu yang datang seringkali membuatkan manusia tertipu. Ia merasakan esok masih ada. Sedangkan waktu dan hari yang berlalu pergi meninggalkan kita tidak akan kembali sehingga hari kiamat.

Alangkah sedihnya mengenangkan waktu yang berlalu tanpa dimanfaatkan. Semoga waktu dan hari yang ada ini kita rebut kesempatan menyediakan bekalan. Bukan sahaja untuk survival diri, juga untuk survival Islam dan umat ini.

Pepatah Melayu menyebutkan, Masa Itu Emas. Perlu diguna dan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Pepatah Arab menyebutkan;

الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك

"Masa Seperti Pedang, Andai Engkau Tidak Memotongnya, Dia Akan Memotongmu."

Jangan kita biarkan masa berlalu tanpa kita gunakan dengan cara yang bermanfaat. Waktu yang berlalu tidak akan kembali.

https://t.me/kapsul_tazkirah
Sumbanglah Sesuatu Yang Berkualiti

Dalam melakukan amal soleh, setiap kita perlu melakukan dengan ikhlas, bersungguh-sungguh serta yang paling baik dan sempurna. Sama ada dalam bentuk ibadat khususiah seperti solat, puasa, tilawah al-Quran mahupun ibadat umum seperti berniaga, perkhidmatan dan sebagainya.

Islam menekankan kualiti dalam setiap perkara. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَيَقْبَلُ إِلاَّطَيِّبَا

“Sesungguhnya Allah itu baik (suci bersih) dan Allah tidak akan menerima kecuali yang baik (suci bersih – berkualiti) juga” Riwayat Muslim

Sesuatu yang dilakukan akan diterima sebagai ibadah apabila ianya memenuhi syarat baik (suci bersih dan berkualiti), termasuk dilakukan dengan ikhlas (syarat diterima amal), bersungguh-sungguh dan sempurna.

Al-Quran menegur kualiti barang atau kerja yang berkualiti rendah. Diriwayatkan oleh Imam Hakim: Kisah sahabat yang sering membawa buah kurma daripada dusun ke masjid untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Pada suatu hari salah seorang membawa buah kurma yang kualitinya rendah sedangkan dia mampu memberikan yang lebih baik. Lalu turun ayat surah al-Baqarah: 267

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الأرْضِ وَلا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيهِ إِلا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ (٢٦٧)

“Wahai orang-orang yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji”.

Berdasarkan ayat di atas;

1. Allah mengarahkan orang beriman untuk menghasilkan atau menyumbang sesuatu di dunia sebagai bekalan di akhirat.

2. Dalam menghasilkan atau menyumbang sesuatu, seperti harta, barangan, perkhidmatan, pengurusan, pengajaran, dan lain-lain, maka perlu dipersembahkan yang terbaik.

3. Kita juga tidak ingin menerima sesuatu yang buruk atau tidak berkualiti.

Menyumbanglah sesuatu yang paling baik daripada kita. Sebagai pekerja, sumbangkanlah perkhidmatan kita yang terbaik kepada organisasi dan klien agar ia menjadi fixed deposit untuk kita di akhirat nanti. Jangan hanya melakukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Keikhlasan amal menuntut kesungguhan melaksanakannya bukan sekadar buat sahaja.

https://t.me/kapsul_tazkirah