INFO SEMASA OFFICIAL
793K subscribers
191K photos
43K videos
27 files
24.7K links
Memaparkan maklumat awal dan kemaskini terkini berkaitan kemalangan, bencana, jenayah dan isu-isu semasa dalam dan luar negara setiap hari.
Download Telegram
33 tangkapan sepanjang tempoh PKP

SERAMAI 33 individu ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan sejak di negeri ini hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata, daripada jumlah itu seramai 19 individu adalah tangkapan harian kes ingkar arahan PKP semalam.

“Kesemua tangkapan disiasat dan akan didakwa mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan tidak mematuhi apa-apa perintah yang sah dikeluarkan oleh mana-mana pegawai yang diberikan kuasa, boleh disabitkan mengikut Seksyen 24 Akta 342 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, kesalahan turut disiasat mengikut Peraturan (3) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM 1,000.

“Justeru itu, masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa berada di rumah dan tindakan yang tegas akan diambil bagi mereka yang tidak mematuhi PKP ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 3:24 PM

#HarianMetro
@infosemasaofficial
130 kes baharu Covid-19, 3 kematian hari ini

JUMLAH kematian akibat koronavirus baharu (Covid-19) yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di Malaysia setakat ini ialah 26 orang.

Ia pertambahan tiga kes kematian termasuk satu kes dilaporkan pagi tadi, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, untuk hari ini, sebanyak 130 kes baharu dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 2,161 kes keseluruhan setakat hari ini.

“Bilangan pesakit Covid-19 yang berjaya disembuhkan meningkat 259, ini termasuk 44 pesakit terbaru yag telah sembuh dan discaj (hari ini).

“Sebanyak 71 kes daripada jumlah baru adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan di Seri Petaling, manakala baki 101 kes masih lagi dalam siasatan dan mungkin berkaitan dengan lain-lain kluster,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, sebentar tadi.

“Seramai 54 kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 34 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya menerusi ciapan di twitter, KKMPutrajaya, hari ini

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 5:21 PM

#HarianMetro
@infosemasaofficial
Siasatan awal KKM mendapati terdapat 4 kluster di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid, di Simpang Renggam, Kluang.

Ia melibatkan 4 individu yg pernah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan menghadiri kenduri di dua kawasan itu.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, Daerah Kluang, Johor melaporkan sebanyak 88 kes positif COVID-19, dengan 74 adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di dua kawasan itu bertujuan membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut dan bagi memutuskan rangkaian jaringan penulasan COVID-19.

Langkah iniakan membolehkan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) dari rumah ke rumah dilaksanakan, selain aktiviti nyahkuman dijalankan di kawasan berkaitan.

KKM sasar 300 sampel ujian diambil setiap hari bermula
hari ini. Persampelan diutamakan kpd kontak rapat, individu bergejala dan golongan berisiko.

- KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

@infosemasaofficial
2 lelaki dipenjara, denda langgar PKP

DUA lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput (U), di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak Covid-19.

Kedua-dua tertuduh iaitu pekerja kilang, Muhamad Saiful Izhar Roslan, 25, dan pengusaha salon rambut, Chan Chee Heng, 36, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Berdasarkan pertuduhan Muhamad Saiful Izhar di dakwa enggan memberhentikan motosikal yang ditunggangnya dalam sekatan jalan raya walaupun sudah diarahkan polis untuk berbuat demikian.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dalam sekatan jalan raya berhampiran Kem Balak Jaya Setia, Sungai Siput pada 5.15 petang 26 Mac (semalam).

Manakala Chan pula didakwa enggan memberi dokumen pengenalan diri apabila diminta polis untuk berbuat demikian di hadapan Dewan Persatuan Penduduk Sungai Buloh, Sungai Siput pada 9.15 malam, semalam.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau boleh dikenakan denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Berdasarkan fakta kes, Muhamad Saiful Izhar diminta memberhentikan motorsikalnya ketika sekatan polis dilakukan.

Namun, tertuduh bertindak memecut motorsikal yang ditungganginya namun terbabas di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Chan pula ditemui ketika pihak polis membuat pemantauan dan mendapati tertuduh bersama rakannya sedang duduk di atas motorsikal sambil menghisap rokok.

Pihak polis ketika itu memberi amaran kepada Chan terhadap kedua-dua mereka namun tertuduh enggan berganjak dan tidak mahu memberi dokumen pengenalan diri ketika diminta berbuat demikian.

Sebaliknya tertuduh memarahi penjawat awam yang bertugas.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap mereka.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari bermula dari tarikh tangkapan dan denda RM5,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 1:07 PM

#HarianMetro
@infosemasaofficial
Bersembang di kedai sampai tengah malam

POLIS menahan penjaga kedai runcit bersama pelanggannya selepas mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Tersusun, Padang Besar, Kangar tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, dua lelaki berusia 64 dan 45 tahun itu ditahan pihaknya pada jam 12.15 tengah malam tadi, selepas didapati berada di dalam kedai runcit yang beroperasi melebihi had masa ditetapkan.

Katanya, dua lelaki terbabit gagal memberikan alasan yang munasabah menyebabkan mereka terpaksa ditahan.

“Mereka ditahan anggota yang bertugas membuat rondaan PKP di kawasan terbabit.

“Polis menemui kedai berkenaan masih beroperasi melebihi masa ditetapkan dan ketika pemeriksaan, terdapat pelanggan bersama penjaga kedai masih berbual,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad Halim berkata, hasil pemeriksaan ke atas dua suspek tidak menemui barangan yang menyalahi undang-undang.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan pagi ini kedua mereka sudah direman dua hari bermula hari ini.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana berkumpul menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 12:03 PM

#HarianMetro
@infosemasaofficial
Berhimpun, buat bising, main muzik dengan kuat

TINDAKAN seorang lelaki menjemput enam rakannya lepak di hadapan bilik sewanya di Jalan Pantai Chenang, Langkawi, membawa padah apabila mereka ditahan polis kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tujuh lelaki berusia antara 27 dan 44 tahun itu ditahan sepasukan anggota Balai Polis Padang Matsirat pada 10 malam.

“Terdahulu, hasil aduan awam, sepasukan anggota polis yang menjalankan tugas rondaan mengesan tujuh lelaki didakwa berhimpun sambil membuat bising di hadapan sebuah bilik, selain memainkan muzik dengan kuat.

“Anggota polis yang tiba di lokasi menasihati kumpulan lelaki terbabit supaya bersurai, namun tidak diendahkan dan enggan memberi kerjasama apabila diminta menunjukkan dokumen peribadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Iqbal berkata, berikutan itu semua individu terbabit ditahan kerana sengaja menghalang pegawai polis menjalankan tugas dan gagal mengemukakan alasan munasabah untuk berada di luar premis ketika tempoh pelaksanaan PKP.

“Siasatan awal mendapati semua suspek mengakui berada di tempat pemeriksaan dilakukan bagi tujuan melepak, minum dan mendengar muzik.

“Ini adalah tangkapan pertama di Langkawi membabitkan tingkah laku degil orang ramai yang cuba mengingkari penguatkuasaan PKP bagi menghalang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman dan disiasat bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Sesiapa yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang ini akan didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 11:32 AM

#HarianMetro
@infosemasaofficial
Penjara setahun kerana langgar polis

PADAH melanggar seorang anggota polis trafik yang bertugas ketika Penguatkuasaan OP Covid-19, seorang pekerja pendawaian dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Shah Alam hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, itu adalah kes pertama dituduh di daerah IPD Shah Alam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Suspek dituduh di Mahkamah Shah Alam pada hari ini dan mengaku bersalah di atas pertuduhan serta dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dari tarikh tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramsay berkata, dalam kejadian pada 20 Mac lalu, seorang anggota polis trafik IPD Shah Alam yang sedang bertugas dalam Penguatkuasaan OP Covid-19 dilanggar suspek yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

“Kejadian ini berlalu yang mana mangsa dan dua lagi anggota trafik sedang menjalankan tugas di belakang bangunan IDCC Seksyen 15.

“Mangsa patah tulang rusuk kiri, luka di bahagian atas bibir dan betis.

“Suspek berumur 32 tahun berjaya ditangkap dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020,” katanya.

Justeru itu katanya, orang awam dinasihatkan agar memberikan kerjasama yang sepenuhnya dengan mematuhi setiap arahan yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh PKP ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:28 PM

#HarianMetro
@infosemasaofficial
Tutup 11 laluan tikus PKPD di Simpang Renggam

SEBANYAK 11 laluan tikus di dua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Kluang dikawal dan ditutup sepenuhnya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata, langkah itu bagi memastikan dua kawasan PKPD itu tidak dibolosi oleh penduduk dan orang luar.

Katanya, seramai 181 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerahkan membuat kawalan di dua kawasan PKPD itu bagi memastikan tiada akses pergerakan keluar masuk sepenuhnya sehingga perintah berkenaan berakhir.

“Pasukan Gerakan Am (PGA) dikerahkan bagi mengawal 11 laluan tikus yang menghubungkan dua kawasan PKPD itu dengan kawasan lain bagi memastikan ia tidak dibolosi.

“Dua kawasan PKPD itu dikelilingi ladang sawit dan nanas dengan 11 laluan tikus itu membabitkan jalan ladang atau kebun.

“Malam tadi hanya 81 anggota dan pegawai membuat kawalan di dua kawasan PKPD berkenaan, namun hari ini seramai 100 lagi dikerahkan membuat kawalan dengan tiga penggiliran tugas selama 24 jam.

“Sekatan jalan raya di laluan utama kawasan PKPD berkenaan juga ditambah menjadi tujuh lapisan hari ini berbanding hanya lima malam tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malam tadi dilaporkan mengumumkan, dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD mulai tengah malam ini selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19.

Dua kawasan itu membabitkan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang.

Perintah PKPD membabitkan 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga di dua kampung berkenaan.

Mengulas lanjut, Ayob Khan, berkata semua pegawai dan anggota yang ditugaskan di dua kawasan PKPD itu akan menjalani proses menyahkuman yang dilakukan ATM setiap kali giliran penugasan mereka berakhir sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata, menerusi siasatan awal peningkatan mendadak kes positif wabak Covid-19 di kawasan berkenaan mempunyai kaitan dengan kluster tabligh Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Ya mungkin ada faktor kenduri di dua kawasan berkenaan yang menyebabkan kes positif Covid-19 tinggi di situ, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:25 PM

#HarianMetro
@infosemasaofficial
Harga runcit petrol, diesel turun lagi

HARGA runcit petrol RON95 dan RON97 turun sebanyak enam sen seliter, masing-masing kepada RM1.38 dan RM1.68 bermula esok sehingga 3 April ini.
Penurunan sama turut dialami harga runcit diesel yang turun tujuh sen kepada RM1.68 seliter.

Kementerian Kewangan Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, penurunan harga runcit produk petroleum itu disebabkan harga minyak mentah dunia yang terus menurun berikutan ketidaktentuan ekonomi global akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 6:22 PM

#HarianMetro
@infosemasaofficial
Berapa banyak bantuan dan penjimatan yang Makcik Kiah sekeluarga dapat dari Pakej PRIHATIN?

- Buletin Tv3
@infosemasaofficial