1 Hari 1 Hadis
116K subscribers
68 photos
10 videos
2 files
3.43K links
Perkongsian Hadis Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
Download Telegram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Allah Benci Kepada Orang Yang Kuat Bermusuhan

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أَبْغَضَ الرِّجَالِ إِلَى اللهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang paling kuat bermusuhan. (HR Muslim No: 2668) Status : Hadis Sahih

Pengajaran :

1.  Orang yang paling Allah benci ialah mereka yang paling kuat bermusuhan.

2.  Menurut Muhammad Fuad Abdul Baqi, yang dimaksudkan الألد  ialah permusuhan yang keras. Manakala perkataan  الخصم  pula bermaksud permusuhan atau penentangan yang salah dalam menegakkan kebenaran ataupun menthabitkan kebatilan (Syarh Sahih Muslim).

3.  Hal ini menunjukkan perkara yang dibenci Allah itu tidak terhad pada golongan batil sahaja, akan tetapi Allah juga benci pada golongan yang ingin menegakkan kebenaran namun memusuhi orang lain (dia saja yang betul sedangkan orang lain salah).

Firman Allah SWT:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ

Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras. (Al-Baqarah ayat 204)

4. Janganlah kerana kita tidak bersetuju dengan seseorang atau sekelompok, menjadikan kita benci dan memusuhi mereka hingga seolah-olah tiada kebaikan pada mereka malah kita berusaha memburuk-burukkan.

Jagalah akhlak dan wasilah kita dalam menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan agar kita tidak termasuk dalam golongan yang dibenci Allah.

Pemimpin Khadam Umat

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

12hb Ogos 2023
25hb Muharam 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin Yang Allah Tutup Rahmat dan Bantuan

عن أبي مريم الأزْدي، قال سمعتُ رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَاحْتَجَبَ دُونَ حَاجَتِهِمْ وَخَلَّتِهِمْ وَفَقْرِهِمْ احْتَجَبَ اللَّهُ عَنْهُ دُونَ حَاجَتِهِ وَخَلَّتِهِ وَفَقْرِهِ

Daripada Abu Maryam al-Azdiy berkata: aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang Allah 'azza wajalla serahkan kepadanya sebahagian urusan orang muslim (kepimpinan) namun ia menutup diri dari melayani keperluan mereka dan kefakiran mereka, nescaya Allah menutup diri darinya dan tidak melayani keperluannya, serta kefakirannya (pada hari kiamat)." (Sunan Abu Daud No: 2559) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap orang yang diberikan tanggungjawab kepimpinan perlu memiliki sikap amanah menunaikan kewajipan mereka yang berada di bawah kepimpinannya.

2.  Antara tanggungjawab kepimpinan ialah sentiasa memenuhi keperluan orang di bawah mereka di samping membantu kesusahan yang mereka alami.

3.  Pemimpin yang tidak mengindahkan keperluan dan kesusahan orang yang berada di bawah kepimpinannya, nescaya Allah juga tidak akan memenuhi keperluan dan kesusahannya pada hari Kiamat kelak.

4.  Sebagai pemimpin dimana sahaja peringkat kepimpinan, berusahalah memenuhi keperluan mereka yang berada di bawah kita tanpa mengira bangsa, agama mahupun kumpulan.

5.  Pemimpin yang dilantik mesti bersedia menjadi khadam kepada rakyat. Bukan rakyat yang terpaksa menjadi khadam kepada pemimpin.

Jadilah pemimpin yang berintegriti, sentiasa prihatin dan berusaha memenuhi keperluan orang yang berada di bawah kepimpinannya.

Pemimpin Khadam Rakyat

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

13hb Ogos 2023
26hb Muharam 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin Wajib Bekerja Bersungguh-sungguh Untuk Rakyat

عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَبِي الْمَلِيحِ  أَنَّ عُبَيْدَ اللَّهِ بْنَ زِيَادٍ عَادَ مَعْقِلَ بْنَ يَسَارٍ فِي مَرَضِهِ فَقَالَ لَهُ مَعْقِلٌ إِنِّي مُحَدِّثُكَ بِحَدِيثٍ لَوْلَا أَنِّي فِي الْمَوْتِ لَمْ أُحَدِّثْكَ بِهِ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ أَمِيرٍ يَلِي أَمْرَ الْمُسْلِمِينَ ثُمَّ لَا يَجْهَدُ لَهُمْ وَيَنْصَحُ إِلَّا لَمْ يَدْخُلْ مَعَهُمْ الْجَنَّةَ

Daripada Qatadah dari Abu al-Malih, bahawa Ubaidullah bin Ziyad mengunjungi Ma'qil bin Yasar ketika ia sedang sakit, Ma'qil kemudian berkata kepadanya, 'Sesungguhnya aku menceritakan kepadamu sebuah hadis, kalau bukan kerana aku berada di ambang kematian, nescaya aku tidak menceritakannya kepadamu. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak seorang pemimpin pun yang mengurus perkara kaum muslimin, kemudian dia tidak bersungguh-sungguh bekerja untuk mereka dan menasihatinya, kecuali dia pasti tidak akan masuk syurga bersama mereka'." (HR Muslim No: 205) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap pemimpin bertanggungjawab bekerja bersungguh-sungguh memberi khidmat dan memberi nasihat untuk mereka yang berada di bawah kepimpinannya.

2.  Sebagai pemimpin, perlu sentiasa memikirkan bahawa seluruh tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan dihisab oleh Allah SWT satu persatu secara terperinci di Akhirat kelak.

3.  Pemimpin perlu bersungguh-sungguh menjaga kebajikan, keperluan, kasih sayang, keselamatan, keselesaan dalam kalangan kakitangan atau rakyat yang dipimpin, bukannya penyokong yang memilihnya sahaja.

4.  Rasulullah SAW memberi amaran kepada pemimpin yang tidak bersungguh-sungguh bekerja mengurus rakyat di bawah kepimpinannya dengan tiada jaminan syurga.

5.  Saidina Umar Ibnu Khattab RA pernah menyatakan: "Andainya seekor kambing berjalan mencari makan dari Madinah ke Kufah dan patah kakinya dipinggir Sungai Dajlah lalu mati lantaran jalannya rosak, aku takut Allah SWT akan mempertanggungjawabkan ke atas aku di Akhirat kelak."

Bagi mereka yang dilantik sebagai pemimpin tidak kira diperingkat mana pun, seperti Menteri, Wakil Rakyat, Pegawai Kerajaan dan lain-lain, anda wajib melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan bersungguh-sungguh.
Pemimpin adalah khadam kepada rakyat.

Tunaikan tanggung jawab dan amanah yang diberi untuk mewujudkan kemakmuran dan kebahagiaan terhadap seluruh rakyat di Negara ini tanpa mengira mereka penyokong atau pembangkang.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

14hb Ogos 2023
27hb Muharam 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
Hentikan Sengketa

Alhamdulillah, telah berlalu tempoh yang agak panjang bagi mereka yang merasakan bahang kempen pilihan raya di 6 buah negeri.

Kini, masanya telah tiba untuk setiap pemimpin yang dipilih dan mendapat mandat rakyat mencurahkan segala jasa dan bakti buat rakyat tanpa sebarang kezaliman, penindasan dan “pilih bulu”. Kita adalah pemimpin yang terpilih untuk setiap rakyat di kawasan kita. Lihat nilai takwa Saidina Umar al Khattab ketika memerintah;

“Andai mati seekor kambing di persisiran Sungai Furat yang terbiar tanpa pembelaan, aku khawatir akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak.” (Hilyah al-Auliya’)

Seterusnya, rakyat, pemimpin dan pengikut mesti meninggalkan segala ketaksuban politik melampau yang menjurus kepada keruntuhan akhlak, penyebaran fitnah, ganggu-gugat keharmonian dan kesejahteraan negara. Ingat lah firman Allah SWT yang memerintahkan untuk mentaati pemimpin selagi mana dia tidak meminta kalian untuk melanggar perintah Allah SWT.

Hentikan sengketa, kasihani lah semua,
Hormati lah setiap insan di sekeliling kita,
Hargai lah hubungan persaudaraan dan kasih sayang sesama kita,
Bekerja lah untuk memajukan diri, masyarakat, agama dan negara.

Kita manusia yang lemah, hamba kepada Pemilik Setiap Kerajaan.

https://t.me/kapsul_tazkirah
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin Perlu Pembantu Jujur

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ

Daripada Aisyah RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri pemimpin maka Allah akan menjadikan baginya menteri (pembantu) yang jujur, apabila ia lupa maka ia akan mengingatkannya dan apabila ia ingat maka ia akan membantunya. Dan apabila Allah menghendaki selain itu (keburukan) pada diri seorang pemimpin maka Allah jadikan baginya menteri (pembantu) yang buruk, apabila ia lupa maka ia tidak mengingatakannya, dan apabila ia ingat maka ia tidak membantunya." (HR Abu Daud No: 2543) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pemimpin memikul tugas dan tanggungjawab yang berat. Pemimpin memerlukan pembantu yang boleh meringankan tugas kepimpinan.

2.  Jika Allah mahukan kebaikan kepada pemimpin, nescaya akan diberikan kepadanya pembantu yang baik dan jujur. Pembantu yang baik, akan berusaha dengan kemahiran yang ada membantu melaksanakan tugas-tugas ketua dengan cemerlang dan sentiasa diredhai Allah.

3.  Pembantu dan pekerja yang baik memiliki sifat kuat (berkemampuan) dan amanah seperti firman Allah:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَئْجَرْتَ الْقَوِىُّ الاَمِينُ

Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. [al-Qasas:26]

Sebaik-baik pekerja  ialah yang memiliki dua sifat iaitu kuat yang merujuk kepada skill serta kemampuan melaksanakan tugas dan amanah yang merujuk kepada orang yang dipercayai dan takut kepada Allah serta tidak menyeleweng.

4.  Pembantu yang baik akan memberikan maklumat yang tepat dan benar kepada ketua agar tindakan dapat diambil dengan tepat dan hikmah.

5.  Pembantu yang jujur, akan mengingatkan kepada ketua jika lupa atau silap dan akan segera membantu, bukan turut sama mengiakan kesilapan.

6.  Pemimpin atau ketua sewajarnya melantik pembantu yang benar-benar layak, amanah dan bertaqwa untuk membantunya memimpin organisasi atau Negara dengan baik.

7.  Jika kita sebagai ketua, pastikan pembantu yang dipilih benar-benar layak dan sentiasa bersedia mengingatkan pemimpin bukan hanya pembodek dan pengambil kesempatan.

Jika kita pembantu, jadilah kita orang yang berusaha memastikan ketua kita berada di atas landasan yang betul dan diredhai Allah bukan membiarkan ketua berterusan dalam kemurkaan Allah.

Pemimpin Khadam Umat

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

15hb Ogos 2023
28hb Muharam 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Memandang Mudah Dosa Kita Pada Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ  قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ  إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ  وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya hari ini (di dunia) sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham (hari Kiamat). Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya. (HR Bukhari No: 2282) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu sentiasa berusaha menghindarkan diri dari melakukan dosa dan maksiat sama ada kepada Allah mahupun sesama manusia lain.

2.  Barangsiapa yang pernah melakukan kesalahan terhadap orang lain,  sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta maaf semasa hidup.

3.  Jika dosa seseorang terhadap orang lain tidak dimaafkan, dibimbangi ia menjadi hutang yang perlu dibayar dengan pahala amalan solehnya di akhirat nanti.

4.  Jika amal kebaikan yang dimiliki telah habis kerana membayar hutang kepada orang lain, maka dosa saudaranya itu akan dipikulkan kepadanya.

5.  Ingatlah firman Allah SWT:

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ

Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu.(Surah al-Zumar : 31)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Zubair bin Awwam, dia berkata: Ketika turunnya ayat 31 Surah al-Zumar (di atas), Zubair bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah perkara yang terjadi di antara kita di dunia akan diungkit kembali di samping dosa-dosa peribadi?” Baginda SAW menjawab:

نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَّ عَلَيْكُمْ حَتَّى يُؤَدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقٍّ حَقُّهُ

Ya, benar. Semuanya akan diungkit semula sehingga setiap orang memperoleh hak yang semestinya. (HR: Tirmizi No: 3236)

Imam al-Suyuti ketika mengulas ayat ini berkata: “Orang yang dizalimi menuntut (haknya) daripada orang yang zalim, orang yang lemah menuntut haknya daripada orang yang menindas, sehinggalah setiap mereka dipulangkan hak-hak mereka. Apabila telah dipulangkan hak masing-masing, maka diperintahkan kepada ahli syurga untuk masuk ke syurga manakala ahli neraka untuk masuk ke dalam neraka.” (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/16)

Semoga kita tidak memandang mudah dosa yang kita lakukan kepada orang lain semasa di dunia seperti dosa memfitnah, mengumpat melalui media sosial yang dengan mudah tersebar keseluruh dunia. Jika kita berdosa, maka bersegeralah meminta maaf dan tidak mengulangi lagi.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#TekadPerpaduanPenuhiHarapan
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

16hb Ogos 2023
29hb Muharam 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tertangguh Keampunan Kerana Persengketaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا

Daripada Abu Hurairah RA bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Semua dosa hamba yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu akan diampuni, kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya terdapat kebencian dan perpecahan (bersengketa)." Lalu dikatakan kepadanya: 'Tangguhkanlah dua orang ini hingga mereka berdamai! Tangguhkanlah dua orang ini hingga mereka berdamai! Tangguhkanlah kedua orang ini hingga mereka berdamai! ' (HR Muslim No:  4652) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pintu syurga dibuka setiap hari Isnin dan Khamis.

2.  Hari Isnin dan Khamis ada kelebihannya dimana Rasulullah SAW suka berpuasa sunat pada hari tersebut.

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِى وَأَنَا صَائِمٌ

“Berbagai amalan diangkat (pada Allah) pada hari Isnin dan Khamis, maka aku suka jika amalanku diangkat  sedangkan aku sedang berpuasa.” (HR. Tirmidzi No: 747) Status: Hadis Hasan

3.  Dosa setiap mukmin akan diampunkan dengan syarat tidak melakukan syirik.

4.  Dosa setiap mukmin tidak akan diampunkan segera jika dia membenci dan tidak bertegur sapa  dengan Muslim yang lain sehinggalah dia berdamai dan berkasih sayang.

5. Diulang tiga kali agar ditangguhkan keampunan daripada dosa bagi mereka yang masih tidak bertegur dan berdamai, menunjukkan pentingkan perdamaian dan berkasih sayang.

Ayuh kita saling mengasihi. Berdamailah segera jika bergaduh dan bermusuh sesama Muslim.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#TekadPerpaduanPenuhiHarapan
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

17hb Ogos 2023
30hb Muharam 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
Media Sosial

Perkembangan dunia teknologi dan media massa menjadikan kerja semakin mudah dan efisien. Banyak pekerjaan mampu dilaksanakan dengan berkesan oleh kepintaran teknologi yang tercipta hari ini. Walau bagaimanapun, perlu diambil cakna akan kehancuran yang bakal menimpa sesebuah tamadun sekiranya tidak diambil langkah waspada terhadap kesan-kesan negatif kemudahan teknologi yang ada.

Manusia berperanan menyusun dan merencana agar kebaikan sentiasa menjadi matlamat utama setiap tindakan yang ingin diambil. Misalnya, menggunakan platform yang wujud seperti Facebook, Twitter, Instagram,   YouTube, WhatsApp, Telegram, TikTok dan banyak lagi bagi tujuan pendidikan, dakwah, perniagaan adalah inisiatif yang sangat baik.

Malangnya, terdapat golongan yang menyalahguna media sosial dengan melakukan perbuatan hina, keji dan terlarang dalam agama. Melakukan maksiat dan dosa dengan menyebarluas berita palsu, menimbulkan fitnah, menyalakan api kebencian dan permusuhan, menghasut, menipu, memperdaya dan banyak lagi. Tidakkah ini dipanggil sebagai mengkufuri nikmat?

Ingatlah firman Allah SWT;

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.” (Surah al-Maidah ayat: 91)

Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A:

‏ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ ‏

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (HR Bukhari no: 6056)

Berusahalah kita menjadi ejen penyatu bukan pemisah apatah lagi pemusnah.

https://t.me/kapsul_tazkirah
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jaga Hak Allah, Diri dan Masyarakat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَأْخُذُ عَنِّي هَؤُلَاءِ الْكَلِمَاتِ فَيَعْمَلُ بِهِنَّ أَوْ يُعَلِّمُ مَنْ يَعْمَلُ بِهِنَّ فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَقُلْتُ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَخَذَ بِيَدِي فَعَدَّ خَمْسًا وَقَالَ اتَّقِ الْمَحَارِمَ تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ وَارْضَ بِمَا قَسَمَ اللَّهُ لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النَّاسِ وَأَحْسِنْ إِلَى جَارِكَ تَكُنْ مُؤْمِنًا وَأَحِبَّ لِلنَّاسِ مَا تُحِبُّ لِنَفْسِكَ تَكُنْ مُسْلِمًا وَلَا تُكْثِرْ الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ

Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Siapakah yang mahu mengambil beberapa kalimat daripadaku lalu mengamalkannya atau mengajarkan pada orang yang akan mengamalkannya?" Abu Hurairah menjawab: Saya, wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah memegang tanganku lalu menyebut lima perkara; Jauhkanlah larangan-larangan nescaya kamu akan menjadi orang yang paling beribadah, terimalah pemberian Allah dengan rela nescaya engkau akan menjadi orang paling kaya, berbuat baiklah kepada jiran tetangga nescaya kamu akan menjadi orang yang benar-benar beriman, kasihilah orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri nescaya engkau akan menjadi orang muslim yang sebenar-benarnya dan, janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati." (HR Tirmidzi No: 2227) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Rasulullah SAW mengajar kepada kita untuk mengambil pesanan baginda bagi di amalkan dan disampaikan kepada orang lain. Antara pesanan untuk dilaksanakan dan disampaikan:

a.Jauhi larangan dan tegahan seperti minum arak, mencuri, meninggalkan perintah wajib umpama solat dan sebagainya agar kita menjadi orang yang paling beribadat.

b.Merasa reda dan puas hati dengan apa yang dikurniakan Allah. Tidak merasa keluh kesah, kecewa serta tamak dengan apa yang dimiliki. Yakin setiap sesuatu itu adalah ketentuan taqdir Allah nescaya kita akan menjadi orang yang paling kaya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW baginda bersabda: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati." (HR Bukhari No: 5965)

c.Berbuat baik kepada jiran tetangga dengan sentiasa menyayangi, memberi pertolongan, menziarahi, tidak menyakitinya sama ada dengan perbuatan, perkataan dan sebagainya. Menjaga hak jiran sama ada Muslim mahupun tidak, adalah bukti kesempurnaan iman.

d.Mengasihi orang lain sepertimana kita mengasihi diri sendiri adalah bukti keislaman dan keimanan seseorang. Tidak boleh menzalimi dan menganiaya serta menyakiti saudara kita. Firman Allah:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَة

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara (Hujurat: 10)

e.Jangan banyak ketawa kerana banyak gelak ketawa akan melalaikan seseorang daripada mengingati Allah serta akan menjadi penyebab menghalang cahaya petunjuk dan boleh mematikan hati.

2. Marilah kita menjaga hak Allah, hak diri dan hak manusia. Peliharalah hubungan yang baik sama ada hubungan dengan Allah juga dengan masyarakat seluruhnya.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#TekadPerpaduanPenuhiHarapan
#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

18hb Ogos 2023
01hb Safar 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rahmah Kepada Orang Yang Kasar

عَنْ اَنَسٍ رض قَالَ كُنْتُ اَمْشِى مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَ عَلَيْهِ بُرْدٌ نَجْرَانِيٌّ غَلِيْظُ اْلحَاشِيَةِ فَاَدْرَكَهُ اَعْرَابِيٌّ فَجَذْبَهُ بِرِدَائِهِ جَذْبَةً شَدِيْدَةً فَنَظُرْتُ اِلَى صَفْحَةِ عُنُقِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَ قَدْ اَثَرَ بِهَا حَاشِيَةُ الرّدَاءِ مِنْ شِدَّةِ جَذْبَتِهِ ثُمَّ قَالَ يَا مُحَمَّدُ مُرْلِى مِنْ مَالِ اللهِ الَّذِى عِنْدَكَ فَالْتَفَتَ اِلَيْهِ فَضَحِكَ ثُمَّ اَمَرَ لَهُ بِعَطَاءٍ

Daripada Anas RA, ia berkata : Dahulu saya pernah berjalan-jalan bersama Rasulullah SAW, Baginda memakai kain burdah buatan Najran (Yaman) yang tebal / kasar bahagian tepinya. Kemudian ada seorang Arab kampong menemui Rasulullah SAW dan menarik selendangnya dengan tarikan yang sangat kuat daripada belakang. Lalu saya melihat leher Rasulullah SAW ada bekas akibat tarikan kasar. Kemudian orang itu berkata, “Wahai Muhammad, berikan kepadaku harta Allah yang ada padamu!”. Kemudian Baginda menoleh kepadanya dan tertawa, lalu menyuruh sahabat memberikan sesuatu pemberian kepada orang itu. (HR Bukhari  No: 5738) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Rasulullah SAW adalah contoh teladan yang paling baik.

2.  Rasulullah SAW sentiasa bersikap lemah lembut terhadap orang lain. Tidak mudah untuk menyalahkan pihak lain sebelum mengetahui alasan di sebalik suatu perbuatan.

3.  Rasulullah SAW memahami karakter dan sikap orang yang berada di sekelilingnya termasuk Arab Badwi yang memiliki sikap agak kasar. Namun Baginda tidak memarahi atau membalas perbuatan tersebut.

4.  Islam sentiasa menganjurkan agar berbuat baik kepada orang lain.

5.  Melakukan perbuatan baik kepada seseorang yang pernah berbuat baik kepada kita adalah perkara biasa, tetapi berbuat baik kepada seseorang yang pernah berlaku buruk kepada kita adalah sesuatu yang luar biasa.

Sebagai warganegara yang penyayang, marilah kita menjadi ibarat pepohon rendang yang berbuah lebat, walaupun dibaling dengan batu namun ia membalas dengan menggugurkan buah-buah yang masak.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

19hb Ogos 2023
02hb Safar 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
Budaya Takfir

Takfir atau maksudnya dalam tulisan ini mengkafirkan seorang yang beragama Islam merupakan larangan dalam agama. Perbuatan ini mengundang kepada implikasi, jenayah dan mudarat yang lebih besar.

Islam melarang sekerasnya perbuatan menyakiti umat Islam apatah lagi menuduh seorang muslim itu terkeluar daripada agama Islam.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”
(Surah al-Ahzab: 58)

Budaya Takfir ini amat bahaya dan bakal memporak-perandakan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat Islam. Perbezaan pandangan tidak membolehkan kita saling mengkafirkan.

Zarruq daripada Ibn Furak menyatakan:

الغلط في إدخال ألف كافر بشبهة الإسلام خير من الغلط في إخراج مسلم واحد بشبهة كفر

Maksudnya: “Tersilap memasukkan seribu orang kafir dengan syubhat Islam lebih baik berbanding tersilap mengeluarkan (mengkafirkan) seorang Islam dengan syubhat kekufuran.” (Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, hlm. 31 Kaedah 85)

Berhati-hati dan waspada terhadap setiap kata-kata dan perbuatan kita yang boleh menjerumuskan kita ke arah kelompok yang suka menuduh dan mengkafirkan seorang muslim.

https://t.me/ILMAN_channel
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rahmah Terhadap Orang Jahil

عن أنس بن مالك بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ مَهْ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَمَرَ رَجُلًا مِنْ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ

Daripada Anas B. Malik RA. Beliau berkata: “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing didalam masjid. Para sahabat Rasulullah SAW ingin mengertaknya, tetapi Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah SAW memanggil dan menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan membuat kotor, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Quran.” Atau sebagaimana sabda Nabi SAW yang sesuai. Setelah itu, Nabi SAW memerintahkan seorang sahabat untuk mengambil satu baldi air dan menyiram keatas kencingnya.” (HR Muslim, 2/133, no. 429). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Masjid merupakan tempat suci yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya.

2.  Masjid adalah tempat untuk berzikir (mengingati Allah), melaksanakan solat, membaca al-Quran, dan majlis ilmu.

3.  Rasulullah SAW menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan dalam menangani orang yang jahil iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan mengotorkan masjid, tetapi Rasulullah SAW tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan.

4.  Sikap lemah-lembut dan kesantunan lebih memberi kesan dalam penyampaian dakwah kerana ianya boleh menarik dan mendekatkan sasaran kepada kebenaran. Sebaliknya kekasaran akan menyebabkan sasaran menjauhkan diri.

5.  Islam mengajar kaedah menolak kemudaratan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut dicegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudarat yang lebih besar. Mungkin ia akan terkejut lalu lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh-badannya pula.

6.  Kebijaksanaan Rasulullah SAW, dengan  tidak diperlakukan orang jahil itu dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Rasulullah berjaya menasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah kepada Badwi tersebut.

7.  Kita tidak boleh mencegah sesuatu kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah sesuatu keburukan dengan cara yang buruk juga.

8.  Kita hendaklah meneliti di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadahnya (keburukan) dengan pertimbangan yang tepat. Kita tidak boleh mengingkari sesuatu kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain. Kita juga tidak boleh mengingkari kemungkaran sehingga menyebabkan berlaku kemungkaran yang lebih besar lagi.

Dalam hidup bermasyarakat dan bernegara, kita menghadapi pelbagai jenis dan karenah manusia. Ada yang melakukan tindakan seperti orang jahil. Berlaku hikmahlah dalam menghadapi mereka.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

20hb Ogos 2023
03hb Safar 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tidak Masuk Syurga Kerana Memudaratkan Jiran

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga, orang yang jiran tetangganya tidak aman dari bahayanya." (Sahih Muslim No: 66) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berbuat baik dan memuliakan jiran tetangga adalah pokok kehidupan bermasyarakat yang bahagia dan harmoni.

2.  Keberadaan kita sebagai jiran sentiasa dirasai bermanfaat dan membawa keamanan dan kesejahteraan.

3.  Jadilah jiran yang mendorong orang lain menjadi baik dan bahagia di dunia dan akhirat.

4.  Elakkan menganggu jiran atau melakukan perkara yang memudaratkan jiran sama ada dengan perbuatan mahupun perkataan.

5.  Tidak akan masuk syurga seseorang yang dengan sebab perbuatan atau perkataannya, menyebabkan jirannya  mendapat mudarat dan musibah.

6.  Ingatlah pesanan Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah RA berkata:

قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ فُلَانَةَ يُذْكَرُ مِنْ كَثْرَةِ صَلَاتِهَا، وَصِيَامِهَا، وَصَدَقَتِهَا، غَيْرَ أَنَّهَا تُؤْذِي جِيرَانَهَا بِلِسَانِهَا، قَالَ: هِيَ فِي النَّارِ

Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW:     “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini     terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan     bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya     dengan lidahnya.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Dia akan   masuk ke dalam neraka.”    (HR Ahmad No: 9675)   Sanadnya Hasan

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

21hb Ogos 2023
04hb Safar 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Akhirat Kita Berkait Dengan Jiran

عَنِ ابْنِ عُمَرَ  قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  يَقُولُ :كَم مِن جَارٍ مُتَعَلِّقٍ بِجَارِهِ يَومَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ: يَارَبِّ هَذَا أَغْلِقُ بَابَهُ دُونِي فَمَنَعَ مَعْرُوفَهُ

Daripada Ibnu Umar RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Berapa ramai orang di hari kiamat (nasibnya) bergantung pada tetangganya yang lain, (tetangganya itu) berkata: “Wahai Tuhanku, orang ini menutup pintunya untukku, dia tidak mahu memberi miliknya kepadaku” (HR Hannad dalam kitab Az-Zuhd No 2/58) Status: Hadis Hasan dalam Silsilah Ahadits Ash-Sahihah No:2616.

Pengajaran:

1.  Sebagai Muslim kita bertanggungjawab terhadap jiran tetangga.

2.  Dalam hidup bermasyarakat dan bernegara, kita ada jiran yang terdiri daripada kerabat, ada jiran sesama Islam dan ada jiran bukan Islam. Setiap mereka ada hak yang menjadi tanggungjawab kepada kita untuk ditunaikan. Antara hak jiran yang menjadi tanggungjawab kita ialah sikap prihatin dan mengambil tahu hal ehwal jiran. Menunaikan tanggungjawab melalui memberi menasihati, mengajak kepada maaruf dan mencegah kemungkaran. Tidak lupa juga memberi bantuan kepada yang memerlukan.

3.  Berbuat baik kepada jiran dengan menunaikan hak mereka merupakan sebahagian dari tanggungjawab iman kita. Daripada Abi Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari   akhirat,  maka hendaklah dia berbuat baik kepada   jirannya.” (HR Muslim No: 77)

4.  Jangan sampai di hari kiamat, ketika kita nak masuk syurga tetapi tertahan kerana ada jiran mendakwa semasa di dunia, kita tidak ambil tahu hal jiran. Dibiarkan jiran tanpa keprihatinan dan bantuan dari kita.

Jangan biarkan jiran kita tanpa disantuni dan bersendiri.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

22hb Ogos 2023
05hb Safar 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Warganegara Bermanfaat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ , وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi SAW  bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh (HR Tobarani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453. Status hadis hasan dalam Sahih Al Jaami’ no. 176).

Pengajaran:

1.Sebagai anggota masyarakat dalam sebuah negara, berusahalah menjadi orang yang paling bermanfaat kepada orang lain kerana orang yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.

2.Hidup bermasyarakat menuntut setiap kita cakna terhadap orang di sekeliling. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang,  membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya.

3.Realiti hidup pada masa kini ada yang terkesan dengan pelbagai masalah antaranya kemiskinan, penyakit, masalah pekerjaan juga keluarga. Orang yang prihatin akan sentiasa menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan serta meringankan masalah orang lain. Perbuatan tersebut lebih dicintai Allah daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi.

4. Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan, marilah kita menjadi orang yang bermanfaat dengan sentiasa berusaha mewujudkan masyarakat dan negara yang bersatu padu dan diredhai Allah.  Berusahalah kita menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Keberadaan kita dalam organisasi,  masyarakat dan negara amat dirasai manfaat kebaikannya. Ketiadaan kita pula akan ditangisi.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

23hb Ogos 2023
06hb Safar 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Dzar RA ia berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." (Sunan Tirmizi No: 1910)  Status: Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dimana-mana sahaja berada dan dalam setiap waktu.

2.  Takwa ialah sentiasa melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menjauhi perkara yang dilarang.

3.  Takwa itu ialah sifat berhati-hati dan sentiasa merasakan diri diawasi oleh Allah.

4.  Abu Darda berkata: Taqwa yang paling sempurna ialah seorang hamba yang takut kepada Allah hinggakan dalam urusan seberat zarahpun dia masih takut. Setengah perkara yang halal pun ditinggalkan kerana takut ia menjadi haram.

5.  Lakukanlah amal kebaikan kerana ia boleh menjadi penyebab kepada penghapusan dosa yang dilakukan seperti beristighfar, berwuduk, solat, sedekah dan sebagainya.

6.  Berakhlak baiklah dalam pergaulan sesama manusia sama ada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sepejabat mahupun anggota masyarakat yang Muslim dan Non Muslim.

7.  Jagalah akhlak dalam perhubungan sesama kita dalam organisasi dan masyarakat. Elakkan umpatan, fitnah, hinaan, merendah-rendah orang lain dan sebagainya.

Jadilah kita orang bertaqwa, yang melakukan amal solleh dan menjauhi mungkar, serta berakhlak mulia dalam pergaulan sesama manusia. Bersamalah kita membina masyarakat dan negara yang harmoni dan sejahtera.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

24hb Ogos 2023
07hb Safar 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mendamaikan Perselisihan Lebih Utama

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَفْضَلَ مِنْ دَرَجَةِ الصِّيَامِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّدَقَةِ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِصْلَاحُ ذَاتِ الْبَيْنِ وَفَسَادُ ذَاتِ الْبَيْنِ الْحَالِقَةُ

Daripada Abu Darda RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama dari darjat puasa, solat dan sedekah?" para sahabat berkata, "Tentu ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Mendamaikan orang yang sedang berselisih. Dan rosaknya orang yang berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan)." (Sunan Abu Daud No: 4273)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibadah Puasa, Solat dan Sedekah adalah antara amal ibadah yang utama dalam kehidupan Muslim yang biasa dilaksanakan.

2.  Mendamaikan dua orang yang berselisih atau dua kelompok yang bergaduh adalah lebih utama berbanding ibadat peribadi seperti puasa, solat dan sedekah

3.  Perselisihan atau pergaduhan antara dua orang atau dua kelompok boleh menjadi pengikis pahala yang mungkin dicetuskan dari penyakit hasad dengki dengan saling mengumpat, menghina dan merendah-rendahkan pihak yang satu lagi

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar." (Sunan Abu Daud No:4257)

Hidup bermasyarakat dan bernegara memerlukan warganya saling bertolak ansur dan mengelakkan perselisihan yang membawa kepada pergaduhan. Bersikap ramah dan rahmah dengan berusaha mendamaikan dua saudara atau kelompok yang berselisih kerana ia adalah amal soleh yang utama.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

#TeguhBersama
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

25hb Ogos 2023
08hb Safar 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Yang Memasukkan Kita Ke syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَنْبِئْنِي بِعَمَلٍ إِنْ عَمِلْتُ بِهِ دَخَلْتُ الْجَنَّةَ قَالَ أَفْشِ السَّلَامَ وَأَطِبْ الْكَلَامَ وَصِلْ الْأَرْحَامَ وَقُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلْ الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya ia mendatangi Nabi SAW seraya berkata; Ya Rasulullah, Beritakanlah kepadaku tentang amalan yang jika aku kerjakan maka aku akan masuk syurga?" maka baginda bersabda: "Sebarkanlah salam, ucapkanlah perkataan yang baik, sambunglah hubungan silaturahim dan solatlah di waktu malam ketika manusia sedang nyenyak tidur, maka engkau akan masuk syurga dengan selamat." (Musnad Ahmad No: 10027) Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Tsiqah

Pengajaran:

1.  Satu daripada kaedah mempelajari Islam ialah bertanya kepada mereka yang arif dan mahir seperti mana sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW.

2.  Antara amalan yang jika di kerjakan boleh menjadi asbab seseorang masuk syurga ialah menyebarkan ucapan salam kepada orang Islam yang kita kenal mahupun yang tidak dikenali.

3.  Menuturkan sesuatu perkataan yang baik  merupakan amalan yang dijanjikan syurga.

4.  Memelihara hubungan silaturahim juga adalah amalan yang wajib kepada orang mukmin dan menjadi antara prasyarat jaminan syurga.

5.  Solat sunat di waktu malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur adalah antara amalan yang akan memasukkan seorang Muslim ke syurga dengan selamat.

Dalam kita membina masyarakat dan negara yang teguh dan kukuh, suburkanlah amalan yang mengeratkan ukhuwah dan silaturahim kita sesama kita serta kaum kerabat antaranya dengan menyebarkan salam, ucapkanlah perkataan yang baik-baik sesama kita dan  sambunglah hubungan silaturahim sesama kerabat.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023. Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

#TeguhBersama
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

26hb Ogos 2023
09hb Safar 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Golongan Penghuni Syurga

عن عياض بن حمار المجاشعي رضي الله عنه عن النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال : وَأَهْلُ الْجَنَّةِ ثَلَاثَةٌ ذُو سُلْطَانٍ مُقْسِطٌ مُتَصَدِّقٌ مُوَفَّقٌ وَرَجُلٌ رَحِيمٌ رَقِيقُ الْقَلْبِ لِكُلِّ ذِي قُرْبَى وَمُسْلِمٍ وَعَفِيفٌ مُتَعَفِّفٌ ذُو عِيَالٍ

Daripada Iyadh bin Himar al-Mujasyai RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: "Penghuni syurga itu terdiri daripada tiga golongan; iaitu penguasa yang berlaku adil, gemar bersedekah dan diberi kurnia taufik (Allah), seorang yang penuh kasih sayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim, dan seorang yang suci dan miskin namun menjaga dirinya dari meminta-minta”  (Sahih Muslim No: 5109) Status : Hadis Sahih

Pengajaran

Antara golongan yang akan menjadi penghuni Syurga ialah:

1.  Penguasa atau pemimpin yang adil, sentiasa pemurah dengan bersedekah dan diberi kurnia taufik oleh Allah dalam menjalankan tanggungjawab.

2.  Orang yang memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim yang lain.

3.  Orang yang suci hatinya walaupun miskin namun menjaga dirinya dari menjadi peminta sedekah.

Sebagai warganegara, sama ada kita seorang pemimpin mahupun pengikut, berusahalah memiliki sifat adil, berkasih sayang dan lemah lembut kepada orang lain serta menjadi pemberi bukan peminta.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023. Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

#TeguhBersama
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

27hb Ogos 2023
10hb Safar 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kasihi Yang Muda Hormati Yang Tua

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا وَيَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَ عَنْ الْمُنْكَرِ

Daripada Ibnu Abbas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang tua kami, serta tidak menyuruh yang makruf dan melarang yang mungkar." (HR Tirmidzi No: 1844) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang tidak mengasihi anak-anak kecil dan menghormati orang tua – mereka tidak mengikuti sunah Rasulullah SAW dan Adab seorang Muslim.

2.  Menghormati orang yang lebih tua daripada kita termasuk sunnah Nabi. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ جِبْرِيلَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنِي أَنْ أُكَبِّرَ

"Jibril telah menyuruhku untuk mendahulukan orang-orang yang lebih tua" (HR. Ahmad  No:1555)

3.  Keutamaan menghormati orang yang lebih tua termasuk dalam mengagungkan Allah. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ إِجْلَالِ اللَّهِ إِكْرَامَ ذِي الشَّيْبَةِ الْمُسْلِمِ

"Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah adalah menghormati orang muslim yang sudah tua" (HR Abu Daud No: 4203)

4.  Dahulukan orang yang lebih tua dari kita. Malik bin Mighwal rahimahullah berkata:

كُنْتُ أَمْشِيْ مَعَ طَلْحَةَ بْنِ مُصَرِّفٍ  فَصِرْنَا إِلَى مَضْيَقٍ فَتَقَدَّمَنِيْ ثُمَّ قَالَ لِيْ : لَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ أَنَّكَ أَكْبَرُ مِنِّيِ بِيَوْمٍ مَا تَقَدَّمْتُكَ

"Dahulu aku berjalan bersama Talhah bin Musharrif, sampailah kami ke sebuah jalan sempit, maka beliaupun mendahuluiku, seraya berkata kepadaku: Seandainya aku mengetahui bahawa engkau lebih tua satu hari daripada aku nescaya aku tidak akan mendahuluimu" (Diriwayatkan oleh Al-Khathiib Al Baghdaady dalam Al Jaami' li Akhlaaqi Ar Raawii wa Aadaabi As Saami', no: 249)

5. Menjadi tanggung jawab Muslim untuk mengajak orang lain kepada kebaikan dan melarang kemungkaran berlaku.

Dalam kita hidup bermasyarakat dan mewujudkan negara Malaysia yang harmoni dan utuh, setiap kita bertanggungjawab untuk bersifat rahmah dengan  sentiasa beradab dan menyantuni orang yang lebih tua dari kita apatah lagi jika dia pemimpin kita dan sayangilah orang yang lebih muda dari kita.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2023. Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

#TeguhBersama
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

28hb Ogos 2023
11hb Safar 1445H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram