1 Hari 1 Hadis
116K subscribers
67 photos
10 videos
2 files
3.41K links
Perkongsian Hadis Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor
Download Telegram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلًا كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid pada pagi atau petang hari, maka Allah akan menyediakan persinggahan baginya di syurga, setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi atau petang hari." (HR Muslim No:1073) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang yang sentiasa solat waktu di masjid pagi dan petang akan disediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga.

2.Rasulullah SAW menjanjikan perlindungan di hari kiamat kepada tujuh golongan, satu daripada golongan itu adalah …. mereka yang hatinya terikat dengan masjid walau di mana dia berada:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ….. وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (di hari Akhirat): …. seorang yang hatinya sentiasa terikat ke masjid. (Sahih Bukhari: 660)

3.Bersungguhlah menjaga solat berjemaah khususnya di masjid bagi kaum lelaki. Ingatlah kisah Sulaiman Ibn Hamzah al-Maqdisi keturunan Ibn Qudamah seorang ketua hakim di Syam, beliau pernah berkata: Aku tidak pernah solat fardu secara sendirian kecuali 2 kali dan sehingga sekarang aku seakan-akan merasa masih belum mengerjakannya (padahal usianya ketika itu mencecah 90 tahun) (dalam ar-Raqaik oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid)

Tempat pertama yang Rasulullah SAW bina ketika sampai ke Quba dalam peristiwa hijrah baginda adalah Masjid iaitu masjid Quba. Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan masjid sebagai rumah kedua kita untuk menunaikan solat berjemaah, mendalami ilmu agama, dan mengeratkan hubungan ukhuwah sesama ahli kariah. Sahutlah seruan muazin ketika azan dikumandangkan … “Hayya a’lal Solah, Hayya a’lal Falah” (mari menunaikan solat, mari menuju kejayaan)… Kunjungilah masjid khususnya apabila masuk waktu solat fardhu.

Al-Falah Pemacu Malaysia Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

10hb Julai 2024
04hb Muharram 1446H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari No: 12) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Kesempurnaan iman seseorang ditunjukkan dengan sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri.

3.  Mengikut Sarjana Muslim, maksud kasih sayang adalah:

a.  Sifat memberikan manfaat kepada orang lain

b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang lain atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Sebelum peristiwa Hijrah, Rasulullah SAW telah mengislamkan beberapa orang pimpinan kaum Aus dan Khazraj dan mereka telah dipersaudarakan yang sebelum ini puluhan tahun sering berperang dan bermusuhan tanpa henti. Tiada lagi permusuhan antara mereka, bahkan mereka saling berkasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain. Apabila berlaku peristiwa hijrah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan pula golongan Muhajirin dan Ansar. 

5.  Langkah strategik Rasulullah SAW mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang digeruni dan dihormati oleh kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi.

6.  Marilah kita menjadikan peristiwa hijrah ini dengan menyemarakkan ikatan saling berkasih sayang. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama.

JOM sempena Maal Hijrah 1446 ini kita sempurnakan iman dengan saling berkasih sayang dan berukhuwah untuk mewujudkan Negara Malaysia yang cemerlang dan diampuni Allah. Al-Falah Pemacu Malaysia Madani

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

11hb Julai 2024
05hb Muharram 1446H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Asyura

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ

Daripada Ibnu Abbas RA, beliau mengatakan: “Saya tidak pernah melihat Nabi SAW memilih satu hari untuk puasa yang lebih baginda utamakan dari pada yang lainnya kecuali puasa hari Asyura, dan puasa bulan Ramadan.” (HR Bukhari No: 1867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara ibadat puasa yang menjadi keutamaan kepada Rasulullah SAW untuk kita contohi selain puasa dibulan Ramadan ialah puasa pada hari Asyura (10hb Muharam)

2.  Puasa Asyura ganjarannya dapat menghapuskan segala dosa setahun yang lalu (Imam Nawawi kata diampunkan segala dosa kecil). Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA, beliau mengatakan:

سئل عن صوم يوم عاشوراء فقال كفارة سنة

Nabi SAW ditanya tentang puasa Asyura, Baginda menjawab: “Puasa Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu.” (HR. Muslim No: 1976). Status: Hadis Sahih

Rebutlah peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura. Semoga amalan berpuasa sunat Asyura akan menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu. Jadilah Muslim yang memiliki jati diri yang kukuh, bersih dari dosa dan maksiat. Kita perlu melahirkan warganegara yang merdeka daripada dosa, dan dalam masa yang sama memiliki peribadi yang utuh untuk membangunkan Negara Malaysia yang Sejahtera. Al-Falah Pemacu Malaysia Madani.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

12hb Julai 2024
06hb Muharram 1446H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharram)

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُا حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Abdullah bin Abbas RA, beliau menceritakan: Ketika Nabi SAW melaksanakan puasa Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk puasa. Kemudian ada sahabat yang berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang diagungkan orang Yahudi dan Nasrani. Kemudian Nabi SAW bersabda: “Tahun depan, Insha Allah kita akan berpuasa pada hari ke sembilan.” Namun, belum sampai tahun depan, Nabi SAW diwafatkan. (HR. Muslim No: 1916) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara hari yang digalakan berpuasa pada bulan Muharam ialah puasa sunat hari Tasu'a (9hb Muharam) iaitu sehari sebelum hari Asyura (10hb Muharam)

2.  Puasa dua hari iaitu puasa sunat Tasu'a (9hb Muharam)  dan puasa sunat Asyura (10hb Muharam) adalah untuk membezakan amalan berpuasa seorang Muslim dengan puasa orang Yahudi dan Keristian.

3.  Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:

a)  Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari selepas Asyura  (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).

b)  Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.

c)  Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.

Marilah kita tunaikan puasa Sunat Tasu'a (9hb Muharam) yang jatuh pada 15hb Julai hari Isnin dan puasa Sunat Asyura (10hb Muharam) pada 16hb Julai hari Selasa. Moga Allah akan mengampukan dosa-dosa kita setahun yang lalu.

Mungkinkah Muharam ini tidak akan kita temui pada tahun hadapan?

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

13hb Julai 2024
07hb Muharram 1446H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Menjauhkan Dari Api Neraka

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ صَامَ يَوْمًا فِى سَبِيلِ اللَّهِ بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, aku mendengar Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa melakukan puasa satu hari di jalan Allah (dalam melakukan ketaatan pada Allah / jihad ), maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun. (HR Bukhari No: 2840) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Puasa adalah antara ibadat yang menjadikan seseorang hamba dekat dengan syurga dan jauh daripada neraka.

2.  Puasa adalah perisai kepada seorang mukmin. Rasulullah SAW bersabda:

الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدْ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka” (HR Ahmad 3/241) Status: Hadis Sahih

3.  Sehari ibadat puasa oleh seorang Mukmin yang dilakukan dengan ikhlas akan menjauhkan seseorang dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan.

4.  Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk melakukan puasa sunat khususnya pada bulan Muharam. Antara hari yang digalakkan berpuasa selain daripada Isnin dan Khamis, puasa Tasu’a (9 Muharam) dan puasa Asyura (10 Muharam) juga puasa sunat pada pertengahan bulan hijrah atau dipanggil puasa hari puteh (13, 14 dan 15 haribulan Hijrah)

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Dari Abu Dzarr RA dia berkata; "Rasulullah  SAW  memerintahkan kami agar berpuasa tiga hari Bidh  (Putih) dalam sebulan iaitu tiga belas, empat belas dan lima belas." (HR Nasai No: 2380) Status: Hadis Hasan

Marilah kita melakukan puasa sunat pada sepanjang bulan Muharam ini selain daripada puasa pada hari ke 9 (Tasu’a), hari ke 10 (Asyura). Disamping  puasa sunat hari Isnin dan Khamis juga puasa hari-hari puteh pada 13hb, 14hb dan 15hb Muharam.

Moga ibadat puasa akan menghindarkan kita dari api neraka.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

14hb Julai 2024
08hb Muharram 1446H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berpuasa Hari Asyura Tanda Kecintaan Kepada Rasul

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَالْيَهُودُ تَصُومُ عَاشُورَاءَ فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ ظَهَرَ فِيهِ مُوسَى عَلَى فِرْعَوْنَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَنْتُمْ أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصُومُوا

Daripada  Ibnu 'Abbas RA dia berkata; "Ketika Rasulullah SAW  tiba di Madinah, baginda melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura` (10 muharam), mereka berkata; "Lebih tepatnya pada hari Musa mengalahkan Firaun. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya: "Kalian lebih berhak terhadap Musa daripada mereka, maka berpuasalah." (HR Bukhari No: 4312) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibadat Puasa adalah antara syariat yang diwajibkan keatas umat terdahulu. Puasa Hari Asyura (10 muharam) adalah antara syariat Nabi Musa sebagai tanda bersyukur diselamatkan dari Firaun dan tenteranya.

2.  Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura sejak sebelum kewajipan berpuasa Ramadan dan mengajak para sahabat juga berpuasa.

3.  Kita sebagai umat Islam lebih wajar menunjukkan tanda kecintaan kepada para Rasul termasuk kepada Nabi Allah Musa AS. Antara tanda kecintaan itu dengan berpuasa pada hari Nabi Allah Musa AS mengalahkan Firaun dan tenteranya yang ditenggelamkan di laut Merah.

Moga Allah sentiasa menjadikan kita orang yang cinta dan kasih kepada para RasulNya. SELAMAT BERPUASA sunat di bulan Muharam.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

15hb Julai 2024
09hb Muharram 1446H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
*PUASA SUNNAH BULAN MUHARRAM 1446H / 2024M*

*9 Muharram 1446 H (Puasa Tasu'a): Isnin, 15 Julai 2024*

*10 Muharram 1446 H (Puasa Asyura): Selasa, 16 Julai 2024*

*11 Muharram 1446 H (Puasa Selepas Asyura): Rabu, 17 Julai 2024*

*12 Muharram 1446 H (Puasa hari Khamis): Khamis 18 Julai 2024*

*13 Muharram 1446 H (Puasa Ayyamul Bidh): Jumat, 19 Julai 2024*

*14 Muharram 1446 H (Puasa Ayyamul Bidh): Sabtu, 20 Julai 2024*

*15 Muharram 1446 H (Puasa Ayyamul Bidh): Ahad, 21 Julai 2024*

*16 Muharram 1446 H (Puasa Hari Isnin): Isnin 22 Julai 2024*

*19 Muharram 1446 H (Puasa Hari Khamis) 25 Julai 2024*

*23 Muharram1446 H (Puasa Hari Isnin) 29 Julai 2024*

*26 Muharram 1446 H (Puasa Hari Khamis) 1 Ogos 2024*
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Pintu Kebaikan

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari. (Musnad Ahmad No: 21628). Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Nabi SAW  menyampaikan pesanan tentang pintu-pintu kebaikan kepada umatnya iaitu Ibadat puasa, sedekah dan qiamullail.

2.  Pintu kebaikan pertama ialah Ibadat puasa. Puasa menjadi benteng atau perisai kepada seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Puasa adalah perisai yang akan melindungi daripada kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri daripada terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar.

3.  Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah. Puasa adalah perisai seseorang dari api neraka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka” (HR Ahmad No: 3868 dalam sahih al-Jami’).

4.  Puasa sunat pada bulan Muharam antaranya puasa Tasu’a pada 9hb Muharam dan puasa Asyura pada 10 hb Muharam moga menjadi salah satu pintu kebaikan serta perisai buat kita dari api neraka.

5.  Pintu kebaikan kedua ialah bersedekah. Sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api. Kita dianjurkan bersedekah khususnya kepada mereka yang memerlukan.

6.  Ambillah kesempatan untuk menyumbang dan menderma. Semoga sumbangan kita menjadi antara pintu kebaikan serta pelebur dosa dan penghindar kita dari api neraka. Sabda Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma. (Sahih Bukhari No: 5677) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

7.  Pintu kebaikan ketiga adalah menghidupkan malam dengan Qiamullail. Antaranya dengan melaksanakan solat sunat malam, memperbanyakkan zikir dan munajat kepada Allah. Semoga amalan ini  mampu membina kekuatan rohani kita.

Marilah kita melaksanakan amal-amal  yang menjadi antara pintu kebaikan iaitu membanyakkan puasa sunat, bersedekah dan qiamullail.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

16hb Julai 2024
10hb Muharram 1446H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada An Nu'man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh badan. Apabila ada salah satu anggota tubuh badan yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya) ' (HR Muslim No: 4685) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang mukmin sesama mukmin adalah bersaudara.

2.  Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan.

3.  Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan.

4.  Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji

5.  Wajib memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan.

6.  Kejayaan Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijrah membina Negara Madinah yang makmur dan harmoni apabila baginda berjaya mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajiran untuk sama-sama bertolong bantu membangunkan Negara Islam Madinah.

Ayuh kita tunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama mukmin dan bertolong bantu membina Ummah Sejahtera Yang Berkualiti. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, menunaikan hak persaudaraan ini juga wajib.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

17hb Julai 2024
11hb Muharram 1446H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mengutamakan Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَعَثَ إِلَى نِسَائِهِ فَقُلْنَ مَا مَعَنَا إِلَّا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَضُمُّ أَوْ يُضِيفُ هَذَا فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ أَنَا فَانْطَلَقَ بِهِ إِلَى امْرَأَتِهِ فَقَالَ أَكْرِمِي ضَيْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ مَا عِنْدَنَا إِلَّا قُوتُ صِبْيَانِي فَقَالَ هَيِّئِي طَعَامَكِ وَأَصْبِحِي سِرَاجَكِ وَنَوِّمِي صِبْيَانَكِ إِذَا أَرَادُوا عَشَاءً فَهَيَّأَتْ طَعَامَهَا وَأَصْبَحَتْ سِرَاجَهَا وَنَوَّمَتْ صِبْيَانَهَا ثُمَّ قَامَتْ كَأَنَّهَا تُصْلِحُ سِرَاجَهَا فَأَطْفَأَتْهُ فَجَعَلَا يُرِيَانِهِ أَنَّهُمَا يَأْكُلَانِ فَبَاتَا طَاوِيَيْنِ فَلَمَّا أَصْبَحَ غَدَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ضَحِكَ اللَّهُ اللَّيْلَةَ أَوْ عَجِبَ مِنْ فَعَالِكُمَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ: (وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ )

Daripada Abu Hurairah RA bahawa ada seorang lelaki (yang susah) datang kepada Nabi SAW lalu baginda memberitahu para isteri baginda (jika ada sesuatu yang boleh diberi). Para isteri baginda berkata; "Kami tidak mempunyai apa-apa selain air". Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada orang ramai: "Siapakah yang mahu mengajak atau menjamu orang ini?". Maka seorang lelaki Ansar berkata; "Aku". Lelaki Ansar itu pulang bersama lelaki tadi menemui isterinya lalu berkata; "Muliakanlah tamu Rasulullah SAW ini". Isterinya berkata; "Kita tidak memiliki apa-apa kecuali sepotong roti untuk anak kita". Lelaki Ansar itu berkata; "Sediakanlah makanan itu, tidurkanlah anak kita dan matikanlah lampu". Ketika mereka hendak menikmati makan malam, maka isterinya menyediakan makanan itu lalu mematikan lampu dan menidurkan anaknya kemudian dia berdiri seakan hendak memperbaiki lampunya, lalu dimatikannya kembali. Suami-isteri hanya menggerak-gerakkan mulutnya (seperti mengunyah sesuatu) seolah keduanya turut menikmati hidangan. Kemudian keduanya tidur dalam keadaan lapar kerana tidak makan malam. Ketika pagi harinya, lelaki Ansar menemui Rasulullah SAW. Maka baginda berkata: "Malam tadi Allah kagum kerana perbuatan kalian berdua". Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam Surah al-Hasyr ayat 9 yang artinya: (Dan mereka lebih mengutamakan orang lain (Muhajirin) dari pada diri mereka sendiri sekalipun mereka memerlukan apa yang mereka berikan itu. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung). (HR Bukhari No: 3514) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik dengan berusaha tidak menghampakan setiap yang datang menemui baginda

2.  Melayani tetamu adalah antara tuntutan akhlak terpuji seorang Muslim

3.  Memiliki sifat "itsar”  (mengutamakan orang lain) melebihi diri sendiri adalah akhlak yang dikagumi dan suatu kemuliaan di sisi Allah

4.  Mengutamakan dan memuliakan orang lain adalah satu daripada akhlak terpuji yang perlu diasuh sebagai satu daripada sifat RAHMAH seorang Muslim.

Marilah kita berusaha untuk memiliki sifat “itsar” agar menjadi orang yang mulia disisi Allah.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

18hb Julai 2024
12hb Muharram 1446H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Masjid Sebagai Rumah Orang Bertaqwa

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ اَلْمَسْجِدُ بَيتُ كُلِّ تَقِيٍّ وَتَكَفَّلَ اللهُ لِمَن كَانَ الْمَسْجِدُ بَيْتَهُ بِالرَّوحِ وَالرَّحْمَةِ وَالْجَوَازِ عَلَى  صِرَاطٍ إِلَى رِضْوَانِ اللهِ إِلَى الْجَنَّةِ

Daripada Abi Darda, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Masjid itu rumah bagi orang-orang yang bertaqwa. Allah menjamin kepada orang yang menjadikan masjid sebagai rumahnya dengan roh yang damai rahmat dari Allah melimpah-limpah dan melepasi titian sirat menuju reda Allah di dalam syurga” (HR Tabrani No 6020) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Masjid adalah rumah untuk orang yang bertaqwa.

2.  Usahakanlah Masjid sebagai rumah ke dua kita yang tetap kita "pulang" ketika masuk waktu solat fardhu.

3.  Allah menjamin kepada orang yang menjadikan masjid sebagai rumahnya untuk dimakmurkan dengan limpahan rahmat kasih sayang Allah yang melimpah ruah.

4.  Masjid akan menjadi syafaat kepada pemakmurnya  di hari kiamat sebagai kenderaan untuk melintas titian sirat menuju ke syurga.

5.  Jadikanlah kunjungan ke masjid sebagai bukti keimanan kita. Sabda Nabi SAW:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسَاجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Daripada Abi Said al-Khudri daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda: Apabila kamu melihat seseorang lelaki sentiasa mengunjungi masjid, maka saksikanlah yang ia adalah seorang yang beriman” (HR Ibn Majah No : 794)

Masjid Quba dan Masjid Madinah adalah bangunan pertama yang Rasulullah dirikan dalam peristiwa hijrah sebagai asas pembinaan ummah. Ayuh ajak ahli keluarga kita bersama untuk  memakmurkan masjid. Semoga ia menjadi syafaat untuk kita memasuki Syurga.

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

19hb Julai 2024
13hb Muharram 1446H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Didik Anak Untuk Solat

عَنْ عَمِّهِ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ الرَّبِيعِ بْنِ سَبْرَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمُوا الصَّبِيَّ الصَّلَاةَ ابْنَ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا ابْنَ عَشْرٍ

Daripada Abdul Malik bin Ar Rabi' bin Sabrah dari Ayahnya dari datuknya ia berkata; "Rasulullah SAW  bersabda: "Ajarkanlah solat kepada anak-anak diumur tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika meninggalkan solat di umur sepuluh tahun." (HR Tirmizi No: 372) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Didiklah anak-anak kita untuk mengerjakan solat sejak dari kecil. Ajaklah mereka solat bersama dan berjemaah.

2.  Proses membimbing, memujuk, dan menggalakkan anak-anak agar menunaikan solat sejak berumur 7 tahun hingga 10 tahun dengan sabar dan bersungguh-sungguh (3 tahun mengasuh dan membimbing anak agar solat sehingga ia menjadi tabiat dan kebiasaan).

3.  Disiplinkan anak-anak dengan menghukum mereka apabila berumur 10 tahun jika masih enggan menunaikan solat .

4.  Sayangilah anak-anak kita dengan memberikan didikan yang betul dan bersungguh-sungguh sejak berusia 7 hingga 10 tahun dengan belaian, bimbingan, pujukan, penghargaan selama 3 tahun. Namun selepas berusia 10 tahun, jika mereka masih enggan melaksanakannya maka perlu didisiplinkan dengan menghukum dengan kadar yang dibenarkan syara.    
     
Ayuh, didik anak-anak agar solat dengan cara yang betul.     

#BangunkanJiwaTaqwa
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

20hb Julai 2024
14hb Muharram 1446H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram