Aina Dayana Hilmi
81 subscribers
174 photos
2 videos
1 file
24 links
Guru pendidikan khas bermasalah pendengaran, suka membaca dan suka berkongsi cerita kehidupan dari sisi positif yang boleh membawa kebaikan.

Jemput berukhwah di :
Facebook Aina Dayana Hilmi
Instagram : Aina Dayana Hilmi
Telefon : 0133613516
Download Telegram
Bismillahirrahmanirrahim.

Ada dalam kalangan ibu ayah dalam fasa mengajar anak al-Quran? Memang mencabar fasa ini. Kena SABAR dan besarkan syukur 😘

Pn Khadijah Gani, pengasas Kad Imbas Khadijah ada berkongsi pengalaman beliau mendidik anak kecil mengaji.

Sementelah beliau turut membuka kelas pengajian al-Quran untuk anak-anak di kejiranannya maka ada banyak perkara beliau perhatikan.

Sedikit sedutan dari buku beliau bertajuk Saya Suka Mengaji, saya kongsikan intipatinya. Semoga bermanfaat.

#MalaysiaMembaca
#MisiMembaca2019
Siapa tidak kenal dengan Ibnu Battuta? Seorang ilmuwan yang terkenal sebagai pengembara yang mengelilingi dunia mendahului Marco Polo.

Saya belum pernah berkesempatan membaca biografi beliau yang pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka lama dahulu. Seingat saya, saya masih di bangku sekolah ketika iklan buku itu sangat gah di mana-mana media.

Lalu, apabila terjumpa buku ini dalam senarai yang boleh dipinjam di laman sesawang Perpustakaan Negara, saya terus klik dan baca.

Bila baca buku Ibnu Battuta ini, beliau pernah berhadapan dengan wabak yang menakutkan pada sekitar tahun 1438. Nama wabak itu ialah The Black Plague atau Wabak Hitam yang berpunca daripada kutu.

Kutu itu membawa sejenis kuman yang dikenali sebagai Yersinia Pestis. Kutu-kutu itu hidup dan membiak dalam bulu tikus sebelum merayap masuk ke dalam guni, bulu haiwan tunggangan, dan juga pakaian.

Ia menjangkiti manusia melalui gigitan kutu dan pesakit mengalami gejala mual, sakit di bahagian abdomen, sakit kepala dan sukar tidur. Muntah darah pula adalah petanda pesakit sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Beribu orang mati dalam sehari sehingga menimbulkan ketakutan. Ia merebak dengan cepat dan menjangkiti orang di negara-negara luar asbab kutu yang tersembunyi dalam barang dagangan. Pesakit akan ditumbuhi bisul pada ketiak, paha dan pelipat.

πŸ˜₯

Kita pula berhadapan dengan Wabak Covid-19 yang juga menakutkan. Insya Allah, Allah ada πŸ’ͺ

Jemput baca lanjut di :

https://ainadayana.com/ibnu-battuta-pengembara-ulung-islam/

#MalaysiaMembaca
#MisiMembacaAina
#BukuAina2020
#DudukRumahBacaBuku
Buku Agar Aku Sehebat Mereka

Ditulis oleh Ustaz Muhammad Luqman Makhtar dan diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd. Ini juga buku Siri Keempat dalam siri Solusi Hati.

Ia adalah buku yang menghimpunkan lebih 50 orang insan berpengaruh dalam sejarah dan boleh menjadi sumber inspirasi.

Terbahagi kepada 4 bab utama merangkumi Ulama Salaf, Sahabat Nabi, Tempat dan Peristiwa dan Ulama Masa Kini.

Awal-awal sudah terpaku pada biografi Ibn Sirin. Seorang ulama yang ceria dan suka bergurau. Beliau terkenal menguasai pelbagai bidang malah pakar mentafsir mimpi. Namun ia tidak dijadikan sebagai pengkhususan beliau.

Begitu jujurnya beliau dalam berniaga sehinggakan sanggup membuang kesemua minyak wangi yang dibeli dengan modal 40 ribu dirham gara-gara terjumpa seekor tikus mati di dalam salah satu bekas.

Ini yang menyebabkan beliau dipenjara kerana tidak mampu membayar semula duit berkenaan.

Ketinggian adab dalam berilmu Imam Bukhari atau namanya Muhammad bin Ismail turut menjadi inspirasi. Terkenal kerana tiga perangai khususnya :

1. Tidak banyak bercakap.
2. Tidak teringin apa yang orang lain inginkan.
3. Tidak sibuk dengan urusan orang lain.

Sirah Nabi sollallahu alaihi wasallam seharusnya dilihat dalam konteks yang lebih luas. Sebelum ini jika disebut sirah Nabi, seolah-olah tergambar keadaan perang, perang dan perang. Sedangkan hanya ada beberapa buah sahaja yang berlaku sepanjang hidup nabi.

Kisah para sahabat nabi ada banyak sisi inspirasi dan mengujakan. Bagaimana peribadi hebat insan-insan ini terbina dan kita dapat ambil tauladan daripadanya untuk diamalkan.

Lihat keluarga Anas bin Malik. Subhanallah. Setiap orang bukan calang-calang insan. Dan salah satu insan yang dikagumi ialah ibunya sendiri.

t.me/ainadayanadotcom
#MisiMembacaAina
#MalaysiaMembaca
Ada yang pernah baca? Sungguh halus adab seorang pencinta al-Quran. Bukan sahaja adab guru yang mengajar, tetapi adab pelajar yang belajar al-Quran dan cara memuliakan al-Quran.

Ditulis secara teratur, satu-persatu dan terperinci oleh Imam Nawawi. Banyak "teguran" beliau membuatkan saya melihat kembali cara saya dengan al-Quran.

Antaranya apabila terbaca hadis berbunyi : Bersopan santunlah terhadap orang yang akan kamu ajar dan orang yang kamu belajar daripadanya. (Riwayat Ibnu al-Sunni)

Serta-merta refleksi diri terhadap cara pengajaran sendiri selama ini. Dan terbayang juga di kotak fikiran, beberapa orang guru dahulu yang sangat sabar dan lemah-lembut ketika mengajar. Subhanallah, ia sunnah rupanya.

Ibrahim al-Khawwas pernah berkata, ubat hati ada 5 iaitu :

1. Membaca al-Quran dengan tadabbur.
2. Perut yang kosong (puasa).
3. Qiamullail.
4. Berdoa dengan penuh rendah hati di waktu sahur.
5. Duduk semajlis bersama golongan yang soleh.

Imam Nawawi seterusnya ada menukilkan :

+ Waktu paling utama membaca al-Quran ialah di dalam solat.
+ Membaca al-Quran di luar waktu solat, waktu paling utama ialah sebelah malam di separuh kedua malam berbanding separuh pertama malam.
+ Bacaan ketika di antara maghrib dan isyak.
+ Bacaan sebelah siang paling utamanya dibaca selepas Subuh.

Tapi waktu lain pun digalakkan membaca al-Quran.

Bagi yang berkesempatan dapatkan buku ini, selamat membaca.

Buku 1 / 2021

#AinaBaca2021
#MisiMembacaAina
#MalaysiaMembaca
Ensiklopedia Serangga Dalam al-Quran Untuk Anak-anak.

Membaca buku ini mengubah persepsi saya terhadap serangga yang Allah ciptakan. Dahulu terasa menyusahkan (astaghfirullah), kini rasa bersyukur dengan kejadian makhluk ini.

Ada 12 bab di dalam buku Ini. Kesemuanya mengupas secara ilmiah akan serangga yang disebut dalam al-Quran seperti :

πŸ‘‰ Nyamuk
πŸ‘‰ Belalang
πŸ‘‰ Kutu
πŸ‘‰ Rama-rama
πŸ‘‰ Lalat
πŸ‘‰ Anai-anai
πŸ‘‰ Semut
πŸ‘‰ Lebah

Laras bahasa buku ini mudah dan mesra kanak-kanak. Penerangan mudah difahami anak-anak dengan gambar berwarna penuh. Sesekali disertakan kisah dari sirah nabi yang berkaitan.

Misalnya anai-anai.

Anak geli baca bab anai-anai πŸ˜‚ Tapi kena terang yang Allah cipta anai-anai ada manfaatnya.

Rupanya kelkatu tu ialah anai-anai bersayap. Mereka keluar dari sarang untuk bina koloni baru. Bila sayap mereka tanggal, maknanya mereka sedia untuk mengawan dan membina sarang baru.

Anak kata "Ooooo patutlah anai-anai hilang lepas sayap dia tanggal. Rupanya dorg masuk tanah dah."

Siapa berkesempatan bolehlah dapatkan buku ini. Selamat membaca!

Buku 2 / 2021

#AinaBaca2021
#MisiMembacaAina
#MalaysiaMembaca
Novel awal remaja. Saya suka dengan jalan ceritanya. Real. Sekurang-kurangnya bagi anak-anak yang membaca akan terkesan dengan mesejnya.

Keluarga ini terdiri daripada ayah, mak dan 4 orang anak. Anak sulung mereka selalu culas bab tanggungjawab sendiri sehinggakan mak penat berleter. Kebersihan bilik, membantu kerja dapur dan seumpamanya.

Sama sahaja dengan adik lelakinya. Berbeza dengan 2 adik perempuan yang lebih taat dengan arahan mak. Sesekali berlaku keinginan si sulung yang bertentangan dengan kehendak mak ayah. Di sini dapat lihat bagaimana keluarga ini menyelesaikannya.

Pelajaran along sederhana. Tetapi beruntungnya dia mempunyai kawan-kawan rapat yang positif dan selalu memberi nasihat.

Sehingga berlaku kemalangan ngeri yang menimpa mak ayahnya. Bermulalah kehidupan kelam-kabut along mengurus adik-adik dan rumah. Mak koma di hospital. Ayah juga cedera parah. Tidak sanggup melihat adik-adik dibawa pulang ke kampung, along menyatakan kesanggupan untuk menjaga semuanya.

Letih, penat, dan seribu satu rasa lagi menyebabkan along kelelahan. Dengan peperiksaan PMR yang bakal tiba, kerenah adik yang keanak-anakan, konflik dengan rakan dan kebimbangan terhadap keadaan mak ayah. Along harus bijak merencana masanya.

Buku 3 / 2021

#AinaBaca2021
#MisiMembacaAina
#MalaysiaMembaca
Cantik ilustrasi dalam komik ini. Asalnya, beli untuk anak lelaki. Membaca blurb buku, ia diinspirasikan daripada kisah benar Kapten James Tan, seorang juruterbang muda yang pernah membuat penerbangan solo ke seluruh dunia.

Istimewanya, beliau seorang dyslexic. Ada disentuh sedikit tentang kesukaran belajarnya semasa kecil. Huruf-huruf dilihat terapung apabila beliau membuat kerja sekolah. Pernah dimarahi guru dan akhirnya bertukar sekolah pendidikan khas selepas mendapat diagnosis daripada doktor.

Kesukaran belajar ini dihadapi sehingga dewasa. Memasuki akademi latihan penerbangan, sesi pembelajaran lebih mencabar. Lagi-lagi mendapat pensyarah yang sangat tegas.

Namun ketegasan Itu sebenarnya mahu mendidik beliau untuk terus cemerlang. Kesannya, beliau berhati waja meneruskan misi penerbangan solo sehingga mendapat perhatian negara. Satu dana khas turut diberi kepada beliau sewaktu DS Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Bukan mudah terbang solo. Keadaan cuaca yang teruk, kedudukan gunung-ganang, memasuki kawasan perang mahupun terpaksa menjaga kesihatan diri dan memastikan keselamatan pesawat antara cabaran utama yang harus dilalui!

Ada gambar Kapten James singgah sebentar ke negara-negara yang sempat dikunjungi. Syukurlah misinya berjaya! Namanya tercatat di dalam buku Guinness Book of Record.

Buku 4 / 2021

#AinaBaca2021
#MisiMembacaAina
#MalaysiaMembaca
Mencari Unta Merah Jepun

Siapa sangka al-Quran Bawa Ustaz Abdullah ke Jepun.

Perkenalan dengan Saudara Zulkarnain membuka satu lembaran baru dalam perjalanan dakwah Ustaz Abdullah. Negara Jepun adalah negara maju dari segi teknologi dan rakayatnya terkenal dengan disiplin dan budi yang tinggi.

Namun begitu, Islam masih lagi minoriti di negeri matahari terbit itu. Saudara Zulkarnain, bekas jurutera Malaysia yang kini menumpukan sepenuh perhatian terhadap dakwah kepada orang Jepun terpanggil untuk menggalas misi mengislamkan orang Jepun.

Beliau yang berkahwin dengan rakyat Jepun, awalnya berasa bimbang dengan akidah anak dan keturunannya selepas ini. Untuk menjamin keutuhan akidah, satu biah soleh perlu diwujudkan. Maka, komuniti Islam di Jepun harus dikembang dan diperluaskan lagi.

Cabaran dalam mengajak orang Jepun memeluk Islam ialah adat budaya mereka sudah hampir menyamai nilai Islam. Maka, beliau menggunakan pendekatan al-Quran semasa berdakwah dengan mereka.

Subhanallah, telah ramai yang Muslim di tangannya dan kini kita juga berpeluang menikmati peluang itu dengan cara membantu usaha dakwahnya melalui saluran dana.

Ziarah Ustaz Abdullah beberapa kali ke Jepun membuahkan hasil. Ikuti perjalanan kembaranya dalam buku ini. Saya doakan usaha penulis, Saudara Zulkarnain dan semua yang terlibat diberkati Allah dan semoga Islam bertapak kukuh di Jepun.

Buku 5 / 2021

#AinaBaca2021
#MisiMembacaAina
#MalaysiaMembaca
Hati mudah tersentuh akhir-akhir ini. Apa sahaja buku yang dibaca pasti terbit air jernih dari mata jika tiba bahagian yang menyentuh hati.

Buku Bumerang Kasih ini, seperti kata aluan Bonda Nor, kisah di dalamnya menyedarkan kita. Untuk menerima, kita harus memberi.

Membaca kisah pertama sudah buat saya sebak. Kisah seorang ayah yang terpaksa pergi bekerja dan dalam masa yang sama, anak sulung berumur 6 tahun sedang mengamuk mahu ikut.

Rajuk itu berlanjutan seharian. Terobek hati seorang ayah apabila melihat lukisan anaknya tertulis "Abah jahat! Tak nak bawa jalan-jalan." Allahuakbar.

Serta-merta refleksi diri sendiri. Sehari dua ini emosi saya bercelaru. Saya mudah marah. Anak-anak menjadi mangsa. Banyak perkara dalam fikiran mengganggu saya sehingga sedikit kesalahan berlaku, saya tidak boleh mengawal emosi.

Sedangkan apabila dilihat semula. Perkara dalam kepala saya ini tiada kaitan pun dengan anak-anak. Berdosa sungguh saya rasakan. Sukar mengikut sunnah nabi. Yang santun dengan anak kecil, yang meraikan fitrah mereka, yang menggembirakan hati semua.

Begitulah. Membaca kisah orang, sebenarnya mendidik diri supaya koreksi diri, menambah baik akhlak dan tidak mengulangi kesalahan orang lain.

Buku 6 / 2021

#AinaBaca2021
#MisiMembacaAina
#MalaysiaMembaca
Saya gemar baca Siri Bercakap Dengan Cermin ini. Buku Meludah Ke Langit menghimpunkan pengalaman pahit para penulis akan kesalahan yang pernah dilakukan. Bukan mudah mahu mengakui kesilapan apatah lagi mencatatnya!

Namun, hasil pembacaan ini membuatkan saya berfikir dan muhasabah diri. Secara tidak langsung membuka minda dan melahirkan empati terhadap orang lain.

Buku 7 / 2021

#AinaBaca2021
#MisiMembacaAina
#MalaysiaMembaca
Membaca buku Didik Anak Cemerlang memberi perspektif berbeza. Prof mengadun pengalaman hampir 30 tahun yang mana jelas sekali penekanan terhadap keperluan akhirat yang perlu seimbang dengan keperluan dunia.

Mahu anak cemerlang?
Tidak salah menekankan akademik. Namun intipati utama ialah kita harus jadi ibu bapa cemerlang terlebih dahulu. Bagaimana caranya? Sudah pasti kitalah dahulu menjaga hubungan baik dengan Allah.

Mahukan anak cemerlang?
Tidak salah bergadai berusaha menghantar anak ke pelbagai kelas. Namun terlebih dahulu kita boleh jadikan rumah kita sebagai universiti kehidupan terunggul meskipun tenaga pengajarnya terhad.

Kerana apa?
Kerana mendidik itu satu proses sepanjang hidup, satu perjalanan bermatlamatkan akhirat yang mana kita berharap agar semua sekali dapat berkumpul di syurga ❀️

Terkesan dengan pesanan beliau :-

βœ… Berdoalah.
Jangan malas berdoa untuk anak-anak. Berdoa tidak kira waktu. Jadikan rutin.

βœ… Mendidik anak solat.
Perkara utama ditekankan Nabi untuk didik anak seawal usia. Apabila anak menjaga solat insya Allah hubungannya dengan makhluk juga akan terjaga.

βœ… Mengajar kepentingan ketenangan hati.
Bagaimana mahu dapatkan hati yang tenang? Berzikir. Ia sesuatu yang jarang diajar oleh ibu bapa. Ia membantu kawalan emosi anak-anak dalam menghadapi apa juga cabaran dalam hidup. Zikirlah mengingati Allah ketika senang dan ketika susah.

βœ… Tidak kedekut ilmu.
Sungguh, segala ilmu dan kepandaian kita adalah milk Allah. Bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik. Kadang boleh blur semasa menjawab peperiksaan, kadang tidak faham langsung ketika berada dalam kuliah.

Jadi jika ada kemahiran atas sesuatu subjek, ajarkanlah kepada rakan-rakan yang memerlukan bimbingan kerana :

❇️ Ilmu itu tidak akan berkurang. Malah, mungkin akan menambah ingatan dan kefahaman.
❇️ Allah jua yang memberi kefahaman. Semoga menjadi asbab keberkatan menuntut ilmu.

βœ… Adab.
Potensi diri anak boleh dilonjakkan lagi dengan adanya akhlak yang baik. Menghormati guru, saudara-mara, rakan-rakan dan sesama manusia.


Buku 49/2021

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#MalaysiaMembaca
Dah lama nak baca buku ini. Comel sangat ha. Serupa dengan buku pink betul!

Ada 2 siri. Yang ini siri pertama. Lebih kepada perkongsian pengalaman JM (Jururawat Masyarakat) dan para doktor. Buku siri kedua (Buku Pink 2.0) lebih banyak info dan fakta. Best juga tu tapi belum habis baca.

Buku Pink siri 1

Selain catatan pengalaman, ada 5 tambahan info dalam ini :

βœ”οΈ Klinik Dr Suhaidin
βœ”οΈ Klinik Dr Izzat
βœ”οΈ Isu semasa
βœ”οΈ Jargon buku pink - glosari istilah yang digunakan dalam pemeriksaan ibu hamil
βœ”οΈ Mitos Buku Pink

Teringat masa mengandung kali kedua tapi kiranya anak pertama sebab kandungan kali pertama missed miscarriage. Saya banyak mencari maklumat dengan membaca buku dan majalah. Sampai geleng kepala kawan tengok buku-buku saya bertanda dengan sticker dan nota. Katanya, biasalah anak pertama memang rajin membaca. Saya senyum sahajalah waktu itu.

Bagus buku ni kupas pasal mitos sepanjang kehamilan.

❌ Pakai baju kuning nanti baby kena kuning
❌ Makan zat besi nanti baby besar
❌ Minum kopi kulit anak jadi hitam

Dan lain-lain.

Macam-macam peel ibu mengandung ni ya. Bersabarlah JM dan doktor nak hadap. Ada juga yang tipu tarikh akhir datang haid dengan alasan mak suruh supaya nanti nak bersalin tak perlu warded lebih awal. Sebenarnya ia mengundang risiko kepada ibu dan bayi dalam kandungan, bukan?

Ada juga suami yang kena lempang semasa isteri meneran nak bersalin. Aduhai penyabarnya si suami.

Ada yang sedang atau bakal hamil? Disyorkan baca buku ini sebagai persediaan anda sepanjang kehamilan. Selamat membaca.

Buku 34 / 2021

Boleh dapatkan di sini :
https://jtbooks.onpay.my/order/form/SEJT/AinaDayana

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#MalaysiaMembaca
"Ibu cerdik tidak semestinya belajar tinggi hingga ke universiti tetapi bijak memanfaatkan sebarang peluang untuk membentuk masa depan anak yang gemilang."

Masya Allah.

Ayat pembuka untuk Kisah Ummu Sulaim ini sangat menarik hati untuk terus membaca. Apa yang dibuatnya sehingga penghargaan tinggi diberi kepadanya?

Tatkala Baginda sollallahu alaihi wasallam tiba di Madinah, semua orang berebut beri hadiah pada baginda. Tetapi disebabkan Ummu Sulaim tiada harta lain, maka beliau serahkan anaknya Anas bin Malik berkhidmat dengan Nabi. Mengagumkan!

Bayangkan anak kecil dapat asuhan langsung dari baginda Nabi. Meskipun atas nama memberi khidmat, namun sudah pasti Anas bin Malik sentiasa dekat dengan baginda. Dapat lihat perbuatan, pertuturan Nabi, malah sudah pasti meriwayatkan hadis daripada baginda.

Betapa besarnya pahala Ummu Sulaim sehingga kita masih dapat mengetahui hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ini.

Saya tertarik dengan carta keluarga Ummu Sulaim ini.

Siapa belum baca, elok dapatkan buku ini. Jom jadi Sehebat Mereka ❀️

#FitrahHomeLibrary
#MisiMembacaAina
#BukuAina2020
#MalaysiaMembaca
#RakanDakwah
Ceritalah... Dia Ada Di Sisi

Mengenali Kak Dian yang disebut oleh Prof dalam buku ini mengingatkan pertemuan kami di Homestay Raudhah Segamat ketika sama-sama menghadiri kursus penulisan gaya MKI. Apabila Prof bertanya, "Apakah kehilangan paling besar dalam hidup anda?" Jawapan Kak Dian meruntun hati.

Beliau kehilangan anak dalam kejadian tsunami 2014. Allah ya Allah. Waktu itu Kak Dian berada di Mekah menunaikan fardu haji. Apa dayanya berada beribu batu jauhnya dari bumi Indonesia. Beliau berdoa saban waktu agar Allah menyelamatkan anaknya.

Malu mahu meminta lebih, Kak Dian berdoa agar sekurang-kurangnya seorang anaknya diselamatkan. Perancangan Allah lebih baik. Dua orang anak Kak Dian ditemui selamat. Anak sulung dan kedua. Sebaliknya anak bongsu berumur 4 tahun hingga kini tidak ditemui.

Baru kali ini Prof nukilkan ceritanya. Terima kasih Prof.

Dalam catatan DZ mahupun Prof, apa yang ditulis adalah sebahagian kisah yang kita mungkin pernah alami. Namun olahan mereka membuatkan kita lebih memahami mengapa ia berlaku dan bagaimana Allah menunjukkan kasih sayangnya kepada manusia.

Saya suka gandingan kedua penulis ini. Laras bahasanya mudah dan mendamaikan. Tidak terlihat ego mahupun menunjuk-nunjuk. Boleh pelajari gaya penulisan begini. Menarik minat pembaca untuk menghadam mesej yang disampaikan.

Bacaan pertama bulan Ogos.
Buku 88 / 2021

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#BacaanOgos
#MalaysiaMembaca
Cek Mek Molek Sokmo

Membaca kisah ibu-ibu dalam buku Legasi Emak ini banyak ilmu dapat saya ketahui. Nasihat-nasihat orang lama yang banyak membantu di dapur. Sepanjang empat buah buku dalam siri ini yang saya baca, kebanyakannya pasti sebut memasak ini kena sabar. Tak boleh nak cepat siap sahaja. Nanti masakan kurang menjadi.

Ada juga ibu yang berpesan supaya kena cergas di dapur. Tak boleh lambat / perlahan sangat buat kerja. Kena tangkas maksudnya. Juga satu pesanan yang melekat di ingatan - ada dua keperluan yang wajib disediakan untuk anak-anak walau sesukar manapun iaitu makanan dan pelajaran.

Resipi yang dikongsikan semuanya adalah resipi air tangan ibu masing-masing. Ada pelbagai jenis. Nak buat atau tidak sahaja. Heee.

Bacaan kedua bulan Ogos.
Buku 89 / 2021

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#BacaanOgos
#MalaysiaMembaca
PKP ini tak boleh nak ke mana-mana, kan. Dengan kes Covid-19 yang masih tinggi, kita dalam keadaan berjaga-jaga. Antara pilihan buku yang dibaca waktu ini ialah genre travelog.

Bukan sekadar baca. Kita ambil mana yang baik. Kadang boleh belajar dari budaya mereka. Mana yang tidak sesuai, kita jadikan sempadan.

Legasi Ustaz UK

Pertama kali melihat kulit buku ini saya rasa cantik dan kemas sekali. Tahniah ustaz. Buku Legasi Ustaz UK ialah prekuel kepada Buku Travelog Dakwah UK Dari Jendela Queensborough Terrace. Jika buku pertama menghimpunkan pengalaman sepanjang bertugas sebagai Atase Pendidikan di bumi London, buku kedua ini lebih sarat dengan emosi. Pasti menyentuh hati pembaca.

Pengalaman bertugas selama dua tahun di bumi ratu dirangkumkan catatannya buat pedoman semua. Setuju dengan penulis, memori kehidupan yang tidak dicatat dalam rakaman tulisan akan hilang memorinya ditelan masa. Apabila ditulis, sekurang-kurangnya kita dapat imbas kembali dan merenung hikmah yang Allah beri kemudiannya.

Hidup di negara luar, toleransi antara kaum dan agama menjadi faktor menyumbang kepada kesejahteraan bermasyarakat. Pengalaman menyempurnakan jenazah saudara semuslim di luar negara, menjadi tempat rujukan nikah cerai, mengendalikan program dakwah dan lain-lain menambah rencah dalam memori kehidupan penulis.

Semoga ada ibrah dan manfaat yang dapat diteruskan di sini. Tahniah.

(Ulasan buku ke-39 / 2021)

#MisiMembacaAina
#AinaBaca2021
#MalaysiaMembaca
Antara pesanan Ummi Profazz, Pn Hjh Nadzrah ialah :

1) Doa, doa dan doa untuk anak. Ibu jangan tidur selagi belum doakan anak-anak. Sebut nama satu-persatu. Redha ke atas anak dapat melapangkan rezeki mereka.
2) Solat dan solat. Jika ada masalah, solat. Jika sedih gelisah lagi, terus solat lagi sehingga diangkat perasaan itu. Insya Allah diberi ketenangan.
3) Menjaga mutabaah amal. Mengikuti rutin ibadah mampu mendisiplinkan dan memanfaatkan waktu seharian dengan kebaikan.
4) Menjaga tutur kata. Bila ibu emosi, memang pelbagai perkataan boleh meluncur spontan. Jaga emosi, jaga perkataan.
5) Bina bonding dengan anak.

Terima kasih ummi. Sebak baca Wahai Ibu, Bertabahlah...

#MisiMembacaAina2019
#MalaysiaMembaca