TASAWWUR ISLAM SPM
3.9K subscribers
1.8K photos
231 videos
782 files
927 links
Himpunan Bahan Tasawwur Islam SPM @TasawwurIslam99

Untuk pertanyaan serta perkongsian bahan , sila PM @TASAWWUR_ISLAMbot
Download Telegram
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Malu Sebahagian Daripada Iman

حَدَّثَنَا أَبُو مَسْعُودٍ عُقْبَةُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ

Telah bercerita kepada kami Abu Mas'ud 'Uqbah berkata; Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya diantara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) (yang disepakati) para Nabi adalah; "Jika kamu tidak malu maka  buatlah apa yang kamu suka". (HR Bukhari No: 3224) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Malu adalah akhlak yang mendorong seseorang untuk meninggalkan perbuatan yang buruk dan tercela, sehingga mampu menghalangi seseorang dari melakukan dosa dan maksiat serta mencegah sikap melalaikan hak orang lain.

2.  Rasa malu merupakan satu perkara yang diwariskan oleh para Nabi kepada manusia generasi demi generasi hingga kepada generasi umat Nabi Muhammad SAW. Di antara perkara yang didakwahkan oleh para Nabi terdahulu kepada umatnya adalah berakhlak malu.

3.  Ungkapan ini bermaksud “ancaman”, (Apabila engkau tidak lagi memiliki rasa malu, maka perbuatlah sesukamu), kerana Allah pasti akan membalas perbuatan tersebut dengan yang setimpal. Firman Allah ta’ala:

اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ  إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Perbuatlah apa yang kamu kehendaki; Sesungguhnya Dia Maha melihat apa yang kamu kerjakan”. (Surah Fushshilat  ayat: 40)

4.  Ibnu Qutaibah menyatakan: “Barangsiapa yang tidak lagi memiliki rasa malu, ia akan berbuat sesukanya, sebab yang menghalanginya untuk berbuat keburukan adalah rasa malu, barangsiapa yang tidak lagi memiliki rasa malu, pasti akan terjerumus dalam setiap amalan keji dan mungkar”.

5.  Orang yang memiliki sifat malu, tidak akan melakukan sesuatu sesuka hati tanpa mengira dosa dan pahala. 

6.  Malu adalah sifat yang mendorong pemiliknya untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk.

Miliki sifat malu yang menjadi pencegah daripada melakukan sesuatu yang dilarang.

11hb Nov.  2023
27hb Rabiul Akhir 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Iman dan Istiqamah

عَنْ أَبِي عَمْرو وَقِيْلَ : أَبِي عَمْرَةَ سُفْيَانُ بْنِ عَبْدِ اللهِ الثَّقَفِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ قُلْ لِي فِي اْلإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَداً غَيْرَكَ . قَالَ : قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ 

Daripada Abu Amru, menurut satu pendapat Abu Amrah Sufian bin Abdullah al-Thaqafi RA beliau berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah. (HR Muslim No: 38) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang Mukmin dituntut agar sentiasa mengambil berat soal iman, dan aqidahnya, selalu memperbaharui imannya kepada Allah, seterusnya beristiqamah menunaikan tuntutan iman yang didakwa itu.

2.  Istiqamah adalah berpendirian teguh atas kebenaran atau beriltizam dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah sama ada dalam i’tiqad, kata-kata mahupun perbuatan.

3.  Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan.

4.  Istiqamah perbuatan dan amalan meliputi tekun bekerja melakukan apa sahaja yang baik yang diredai Allah SWT meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan kebenaran dalam perbuatan seharian.

5.  Orang yang istiqamah menunaikan tuntutan iman akan bersama dengan malaikat. Firman Allah:

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَٰمُواْ تَتَنَزَّلُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡمَلَٰئِكَةُ أَلَّا تَخَافُواْ وَلَا تَحۡزَنُواْ وَأَبۡشِرُواْ بِٱلۡجَنَّةِ ٱلَّتِي كُنتُمۡ تُوعَدُونَ ٣٠

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh (istiqamah) di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fushshilat ayat: 30).

6.  Rasulullah SAW memerintahkan agar kita istiqamah di atas tauhid dan mengikhlaskan ibadah hanya kepada Allah SWT.

12hb Nov.  2023
28hb Rabiul Akhir 1445H
Perkongsian hadis serta maklumat terkini di Palestin dan dunia Islam.
https://t.me/hadispalestin
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amal Masuk Syurga

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صل الله عليه و سلم فَقَالَ:  أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ الْمَكْتُوبَاتَ، وَصُمْتُ رَمَضَانَ، وَأَحْلَلْتُ الْحَلاَلَ، وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ، وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئاً ؛ أَدْخُلُ الْجَنَّةَ؟ قَالَ: نَعَمْ

Daripada Abu Abdullah Jabir bin Abdullah al-Ansoori RA, bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: Apa pandanganmu jika aku mendirikan sembahyang yang difardhukan, aku berpuasa bulan Ramadhan, aku menghalalkan perkara yang halal dan aku mengharamkan perkara yang haram. Aku tidak akan menambah apa-apa lagi lebih daripada itu. Apakah aku akan masuk syurga? Baginda bersabda: Ya!.  (HR Muslim No: 15) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap muslim dituntut untuk bertanya kepada orang yang arif tentang syariat Islam, tentang kewajibannya dan apa yang dihalalkan dan diharamkan baginya jika hal tersebut tidak diketahuinya.

2.  Penghalalan dan pengharaman merupakan aturan syariat, tidak ada yang berhak menentukannya kecuali Allah SWT.

3.  Keinginan dan perhatian yang besar dari para sahabat terhadap syurga diperlihatkan pada kesungguhan mereka dalam mencari jalan untuk sampai ke sana dengan bertanya kepada Rasulullah SAW melalui amal soleh yang boleh dilakukan.

4.  Seorang mukmin perlu beriltizam dengan segala yang difardhukan dan meninggalkan yang haram sebagai asas kejayaan untuk mendapat ganjaran syurga.

5.  Apabila seorang mukmin menunaikan segala tanggungjawab agama yang fardhu dengan sempurna (tanpa cacat) seperti solat fardhu dan puasa di bulan Ramadan, menghalalkan perkara yang halal (mengambilnya) dan mengharamkan perkara yang haram (meninggalkan), dia akan masuk syurga dengan kemurahan dan rahmat Allah SWT terhadap hamba-hambaNya, walaupun dia tidak melakukan amalan-amalan sunat yang lain.

6.  Dalam menyampaikan dakwah, seorang daie perlu berhikmah dengan mengambil kira kepelbagaian manusia disekelilingnya. Ada yang kuat dan ada yang lemah. Ada yang mudah melaksanakan dan ada yang sukar.

13hb Nov.  2023
29hb Rabiul Akhir 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Setiap Kebaikan Adalah Sedekah

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْحَارِثِ بْنِ عَاصِمٍ الْأَشْعَرِيِّ  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيْمَانِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلآنِ – أَوْتَمْلأُ – مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَالصَّلاَةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَائِعُ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Bersuci itu separuh daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi (bukti). Sabar itu adalah sinaran (memberi cahaya). Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi (berusaha), ada yang menjual dirinya (sama ada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsu dengan melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), ada yang memerdekakan dirinya (daripada kehinaan di dunia dan azab akhirat) dan ada pula yang mencelakakan dirinya (dengan melakukan maksiat). (HR Muslim No: 223) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  lslam amat menitikberatkan soal kebersihan, sehingga menganggapnya separuh daripada lman. Menjaga kebersihan adalah amat dituntut.

2.  Bersuci merupakan syarat sahnya ibadah. Malah kesucian hati dan ketulusan niat juga menentukan kelurusan amalan setiap individu Muslim. Justeru setiap Muslim perlu sentiasa mengambil perhatian.

3.  Menjaga ibadat solat akan mendatangkan cahaya petunjuk dan mampu memperbaiki diri seorang muslim terhadap manusia lain, menjadikan ia  berakhlak dan berperilaku terpuji, memiliki sifat kewarakan dan ketakwaan di sisi Allah.

4.  Semua amalan soleh merupakan kebaikan dan keindahan bagi seorang mukmin dan mempunyai nilai yang tinggi. Ada amalan yang menjadi hujah baginya, ada yang menjadi cahaya baginya, ada yang menjadi pemberat timbangannya dan sebagainya. Antaranya;

a.  Zikir al-Hamdulillah akan memenuhi neraca timbangan.

b.  Zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi.

c.  Solat adalah cahaya.

d.  Sedekah adalah saksi (seruan untuk berinfaq pada jalan kebaikan dan bersegera melakukannya dimana hal tersebut merupakan pertanda dan bukti benarnya keimanan).

e.  Sabar adalah sinaran (bersabar ketika mengalami musibah, khususnya apa yang dialami seorang muslim kerana perbuatan amar ma’ruf nahi munkar yang dilakukan).

f.  Al-Quran adalah hujah bagi mukmin (Membaca Al-Quran dengan pemahaman dan mentadabbur (merenungkan) maknanya, mengamalkan kandungannya kerana hal tersebut dapat memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat).

5.  Setiap manusia dalam kegiatan hariannya mendedahkan dirinya sama ada kepada kebaikan atau kecelakaan. Ada yang menjual dirinya kepada Allah, lalu beroleh kebaikan dan kejayaan dan pula ada yang menjual dirinya kepada syaitan lalu beroleh kecelakaan.

6.  Pastikan segala aktiviti harian kita membawa kebaikan dan pahala bukan keburukan dan dosa.

14hb Nov.  2023
30hb Rabiul Akhir 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Larangan Melakukan Kezaliman

عن أبي ذر الغفاري رضي الله عنه  عن النبي  صلى الله عليه وسلم  فيما يرويه عن ربه عز وجل أنه قال : يَا عِبَادِي: إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّماً فَلاَ تَظَالَمُوا. يَا عِبَادِي: كُلُّكُمْ ضَالٌّ إِلاَّ مَنْ هَدَيْتُهُ فَاسْتَهْدُونِي أَهْدِكُمْ. يَا عِبَادِي: كُلُّكُمْ جَائِعٌ إِلاَّ مَنْ أَطْعَمْتُهُ فَاسْتَطْعَمُونِي أَطْعِمْكُمْ. يَا عِبَادِي: كُلُّكُمْ عَارٍ إِلاَّ مَنْ كَسَوْتُهُ فَاسْتَكْسُونِي أَكْسُكُمْ. يَا عِبَادِي: إِنَّكُمْ تُخْطِئُونَ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَأَنَا أَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعاً فَاسْتَغْفِرُونِي أَغْفِرْ لَكُمْ. يَا عِبَادِي: إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضُرِّي فَتَضُرُّونِي وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُونِي. يَا عِبَادِي: لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَتْقَى قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ مَا زَادَ ذَلِكَ فِي مُلْكِي شَيْئاً. يَا عِبَادِي: لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ كَانُوا عَلَى أَفْجَرِ قَلْبِ رَجُلٍ وَاحِدٍ مِنْكُمْ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِنْ مُلْكِي شَيْئاً. يَا عِبَادِي: لَوْ أَنَّ أَوَّلَكُمْ وَآخِرَكُمْ وَإِنْسَكُمْ وَجِنَّكُمْ قَامُوا فِي صَعِيْدٍ وَاحِدٍ فَسَأَلُونِي فَأَعْطَيْتُ كُلَّ وَاحِدٍ مَسْأَلَتَهُ مَا نَقَصَ ذَلِكَ مِمَّا عِنْدِي إِلاَّ كَمَا يَنْقُصُ الْمِخْيَطُ إِذَا أُدْخِلَ الْبَحْرَ. يَا عِبَادِي: إِنَّمَا هِيَ أَعْمَالُكُمْ أُحْصِيهَا لَكُمْ ثُمَّ أُوَفِّيكُمْ إِيَّاهَا فَمَنْ وَجَدَ خَيْراً فَلْيَحْمَدِ اللهَ وَمَنْ وَجَدَ غَيْرَ ذَلِكَ فَلاَ يَلُومَنَّ إِلاَّ نَفْسَهُ

Daripada Abu Zar al-Ghifari RA daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Baginda daripada Allah SWT bahawa Dia berfirman: Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi diantara satu sama lain. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua sesat kecuali sesiapa yang Aku berikan petunjuk, maka mintalah petunjuk (hidayah) dariKu nescaya akan Ku berikan petunjuk. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu meminta makanan daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu makanan. Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikannya pakaian, maka hendaklah kamu meminta pakaian daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu pakaian. Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampunkan semua dosa, maka mintalah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan kamu. Wahai hamba-hambaKu! Selamanya kamu tidak akan mampu mendatangkan kememudaratan yang boleh menyakitiKu.  Dan kamu tidak akan mampu mendatangkan faedah yang boleh memberi manfaat kepada Ku. Wahai hamba-hambaKu! Kalau semua manusia, yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu, dari kalangan manusia dan jin, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya semua manusia yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak akan mengurangkan apa-apapun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya semua manusia yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, dari kalangan manusia dan jin, sekiranya mereka semua berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalangan mereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum. Wahai hamba-hambaKu! Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri.
(HR Muslim No: 2577) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Zalim adalah suatu sifat keji yang diharamkan Allah SWT ke atas diri-Nya dan ke atas hamba-hamba-Nya. Barangsiapa yang melakukan kezaliman bererti dia telah melampaui batasan yang digariskan oleh Allah SWT.

2.  Menegakkan keadilan di antara manusia serta haramnya berlaku zalim di antara mereka merupakan tujuan dari ajaran Islam yang paling penting.

3.  Semua hamba adalah berhajat dan bergantung penuh kepada kurniaan dan kemurahan Allah SWT. Dialah Tuhan yang memberikan petunjuk, memberikan rezeki, memberi pakaian dan Dia juga Tuhan Yang Maha Pengampun segala dosa hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya rahmat Allah sentiasa mendahului murka-Nya.

4.  Segala permohonan hendaklah hanya diajukan kepada Allah SWT, sama ada permohonan meminta hidayah, rezeki, makanan dan pakaian juga permohonan agar diampunkan segala dosa.

5.  Sesungguhnya Allah SWT Maha Gagah Perkasa. Manusia sekali-kali tidak mampu memberikan-Nya manfaat dan mudarat.

6.  Segala perbuatan manusia sama ada ketaqwaan atau kejahatan, walaupun pada tahap yang paling maksimum dan paling dahsyat, semuanya tidak akan menambah atau menjejaskan kedudukan Allah SWT walaupun sedikit.

7.  Segala kurniaan Allah kepada seluruh manusia dan jin, biar betapa banyak sekalipun, ia tidak akan mengurangkan apa yang dimiliki-Nya walaupun sedikit. la hanya umpama air yang terlekat pada sebatang jarum kerdil yang dijunamkan ke lautan luas.

8.  Setiap amalan manusia akan dihitung satu persatu oleh Allah SWT dan Dialah yang akan menyempurnakan pembalasannya, sama ada balasan baik mahupun buruk.

15hb Nov.  2023
01hb Rejab 1445H
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kurniaan dan Keluasan Rahmat Allah

عَنْ أَبي ذَرٍّ رضي الله عنه قال: أَنَّ أُنَاسَاً مِنْ أَصحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالوا للنَّبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَارَسُولَ الله: ذَهَبَ أَهلُ الدثورِ بِالأُجورِ، يُصَلُّوْنَ كَمَا نُصَلِّيْ، وَيَصُوْمُوْنَ كَمَا نَصُوْمُ، وَيَتَصَدَّقُوْنَ بفُضُوْلِ أَمْوَالِهِمْ، قَالَ: أَوَ لَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُوْنَ؟ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيْحَةٍ صَدَقَة.وَكُلِّ تَكْبِيْرَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَحْمَيْدَةٍ صَدَقَةً وَكُلِّ تَهْلِيْلَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بالِمَعْرُوْفٍ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ وَفِيْ بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيَأْتِيْ أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُوْنُ لَهُ فِيْهَا أَجْرٌ؟ قَالَ:أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فَيْ حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فَي الحَلالِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ

Daripada Abu Dzar RA  bahawa ada beberapa sahabat  berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya raya telah pergi membawa pahala yang banyak. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami juga berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka (sedangkan kami tidak boleh bersedekah).” Baginda SAW bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan untuk kamu sesuatu untuk kalian boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya setiap tasbih itu adalah sedekah, setiap takbir itu adalah sedekah, setiap tahmid itu adalah sedekah, setiap tahlil itu adalah sedekah, memerintahkan kepada hal yang makruf itu adalah sedekah, mencegah kemungkaran itu adalah sedekah, dan dalam kemaluan kalian itu juga terdapat sedekah.” Para sahabat bertanya, ”Wahai Rasulullah, apakah salah seorang dari kami jika menyalurkan syahwatnya dia akan mendapatkan pahala?” Baginda bersabda, “Bagaimana pendapat kamu seandainya dia memuaskan nafsu syahawatnya pada yang haram, bukankah berdosa? Demikianlah sebaliknya kalau ia menyalurkannya pada yang halal, tentu dia memperoleh pahala.” (HR Muslim No: 1006) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap orang sama ada miskin mahupun kaya berpeluang melakukan amal soleh

2.  Muslim yang berharta, di samping melaksanakan ibadat solat dan puasa, dia berpeluang melakukan amal soleh yang lain seperti  bersedekah.

3.  Muslim yang tidak berharta (miskin) juga berpeluang memperolehi ganjaran pahala seperti orang kaya malah mungkin lebih baik. Selain daripada ibadat solat dan puasa kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW  menjana ganjaran pahala melalui amalan tasbih, takbir, tahmid, tahlil  dan melakukan kerja dakwah iaitu menyeru kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

4.  Ganjaran pahala juga diberikan kepada mereka yang memberi nafkah kepada ahli keluarga seperti makan minum dan pakaian juga mendapat pahala apabila seorang suami mengauli isteri atau sebaliknya.

5.  Diantara kebesaran kurniaan Allah kepada Muslim ialah perlakuan suatu adat kebiasaan akan berubah menjadi bentuk ibadah yang diberi pahala apabila disertai dengan niat yang baik kerana Allah dan tidak bercangah dengan syarak.

16hb Nov.  2023
02hb Jamadil Awal 1445H
۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞
Modalmu hanyalah umurmu, maka penuhilah umurmu itu dengan perbuatan yang baik dan kedermawaan.

- Habib Salim As Syatiri -