Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin
3.24K subscribers
97 photos
168 videos
14 files
104 links
MANUSKRIP BERCAKAP DENGAN JIN
Karya TAMAR JALIS
🀲al fatihah kpd penulis
Allahyarham dlm memori
(13.9.1940 - 26.8.2018)
.
.
KISAH SERAM / CERPEN
πŸ“ Koleksi seram pelbagai sumber termasuk pengalaman admin dan followers BDJ sendiri.
Download Telegram
"Panggilkan Pak Su kamu," perintah Lebai Timin menyuruh Sahak Domeh beritahu Ripin Jegil. Lama juga Ripin Jegil belajar agama dari dia sebelum adik iparnya itu ke Kelantan mengaji pondok.

Sahak Domeh tidak membantah apa-apa. Dia terus sahaja ke rumah Ripin Jegil. Tatkala Ripin Jegil jejakkan kaki ke rumahnya, Anjang Tiamah menjadi gementar lantas memaki-maki adiknya itu. Tersenyum Ripin Jegil kerana dia dapat mengagak tentu kakaknya diganggu syaitan yang merasuk ke dalam dirinya.

Apabila dia duduk di sisi kakaknya, tidak bertangguh Anjang Tiamah meludah ke mukanya. Tetapi Ripin Jegil tidak pedulikan apa-apa. Lebai Timin juga dapat merasakan adik iparnya sudah dapat membaca apa sebenarnya yang berlaku ke atas diri Anjang Tiamah.

"Belum apa-apa, kau dah tunjuk belang!" lantas Ripin Jegil mengejek dengan mencebek bibir.

"Belang apa pula?" tersengih-sengih Anjang Tiamah apabila dia tidak boleh berdalih dengan tuduhan Ripin Jegil itu.

"Anjang Tiamah tak ludah aku!" jerkah Ripin Jegil mengisar tapak tangan. "Aku nampak syaitan penanggal yang meludah," ujarnya menampar tangan hingga menyebabkan Anjang Tiamah tersedak-sedak laksana makan sesagun tersekat di tekak.

Tersengih-sengih Anjang Tiamah mahu menyembunyikan muka. Terasa malunya kepala mengheret usus perut itu yang merasuknya disebabkan Ripin Jegil dapat menuduh. Memang Ripin Jegil tahu kakaknya dirasuk syaitan yang menjelma dengan kepala mengheret usus perut berjela-jela itu.

"Hah, ke mana nak menyorok?" Lebai Timin pula bersuara keras lantas beristighfar beberapa kali. Kemudian dia membaca-kan doa tiga kali:

Wa-imma yanza ghannaka minasy syaitoni nazghunfasta'iz billahhi innahu sami'un 'alim.

Tiba-tiba sahaja Anjang Tiamah ketawa terkekeh-kekeh mengangkat muka menatap Lebai Timin. "Benarlah Lebai, dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui," lantas Anjang Tiamah mencebek bibir dengan melerek senyum sebaik sahaja ketawanya mengendur.

Terkejut juga Lebai Timin apabila isterinya lancar sahaja menyebut makna doa yang di-bacakannya. Tidak pernah pula Anjang Tiamah tahu mengenai makna ayat-ayat al-Quran yang dibacakannya sebelum itu. Dari mana pula isterinya belajar makna surah al-Araaf ayat 200 yang dibacakannya apakala berhadapan dengan sesiapa sahaja diganggu syaitan.

Tersenyum Ripin Jegil dengan kelakuan kakaknya yang berubah-ubah sikap. Tetapi dia dapat melihat yang terconggok di sisi Anjang Tiamah bayangan arwah neneknya Bidan Suh bersama lembaga berjubah kuning. Mereka berdua memijak kepala yang mengheret usus perut berjela-jela itu sampai kepala itu tercungap-cungap.

"Syaitan penanggal ni memang degil!" parau sahaja suara lelaki berjubah kuning menghayun cematinya ke kiri dan ke kanan. "Dah dihalau pun dia datang lagi," gerutunya marah benar dengan kepala yang mengheret usus perut itu, terkial-kial di bawah tapak kaki.

Bersambung...

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
Selamat menyambut Ramadhan Mubarak & selamat berpuasa kepada semua warga SBDJ.
#KoleksiTokAwangNgahBab130

KEPALA MENGHERET TALI PERUT

(Bab 130 bahagian 2)

"Bukan syaitan penanggal je degil!" sahut Ripin Jegil menuding tangan ke arah muka Anjang Tiamah yang terkebil-kebil mata sama dengan bayangan arwah neneknya Bidan Suh. "Syaitan macam awak ni pun degil, kenapa nak ganggu Anjang Tiamah ni?" bentak Ripin Jegil menggertap bibir terus membacakan:

Innama ilahukumullah hullazi la-ilaha illahuwa, wasi'a kulla syai-in 'ilman, walau-anna Quranan suiyirat bihil jibalu au-qotti'at bihil ardh au-kullima bihil mauta bal-lillahhil amru jami'an ya syafi, ya kafi ya mu'afi wabil haqqi anzalnahu wabilhaqqi nazala.

Apabila Ripin Jegil menampar tapak tangannya ke lantai lantas di kisar kuat, serentak dengan itu Anjang Tiamah terjeluih muntah berketul-ketul uri tembuni laksana tauhu dilumak dalam air sirap berwarna merah.

"Hah, kenapa awak muntah?" sengaja Lebai Timin mengejek setelah isterinya terbatuk-batuk mengusap dada akibat muntah terjeluih.

"Kenapa kau buat macam ni, Ripin?" keras suara Anjang Tiamah membentak mengerling Ripin Jegil.

"Sebab kau setan!" sahut Ripin Jegil memberi amaran akan terus menyerang selagi lembaga di sisi Anjang Tiamah tidak berundur.

"Aku bukan setan," beritahu bayangan arwah Bidan Suh terketar-ketar mengusap dadanya akibat daging uri tembuni melambak keluar bersama muntahnya.

"Cukuplah, jangan paksa Anjang Tiamah buat kerja terkutuk ni!" ujar Ripin Jegil mengisar duduk.

Menggeleng-geleng Bidan Suh seolah-olah berdalih tidak mahu mengakui perbuatannya. Masakan bidan sepertinya mahu menganiaya jiran-jiran dengan memakan uri tembuni perempuan bersalin. Air matanya tergenang menatap muka Ripin Jegil yang menuduhnya lakukan perbuatan tersebut.

Kemudian dia menuding jari ke arah kepala yang mengheret usus perut berjela-jela yang dipijaknya bersama Tok Syeikh berjubah kuning. Lidah Bidan Suh menjadi kelu tidak dapat bercakap apa-apa, setiap kali kepala mengheret usus perut itu menjelirkan lidah menjilat uri tembuni berkeping-keping yang melambak dari muntah Bidan Suh. Tetapi Ripin Jegil tidak peduli siapa pun tuduh menuduh di antara tiga lembaga di hadapannya. Memang dia tahu arwah neneknya tidak pernah amalkan petua menyimpan penanggal yang boleh ceraikan kepala dari tubuh dengan mengheret usus perut berjela-jela.

Bidan Suh sekadar harapkan Tok Syeikh berjubah kuning datang membantu sekiranya perempuan sarat mengandung diganggu syaitan tatkala tengah bersalin. Kalau tidak diseru Tok Syeikh berjubah kuning memang syaitan penanggal itu datang menjelma. Sebaik sahaja uri tembuni keluar, nescaya syaitan penanggal itu yang menerpa menjilat darah yang melambak.

Memang banyak benar cabaran menjadi bidan di tengah kampung. Kalau tak cekal hati memang mudah terpedaya sampai amalkan petua menyimpan syaitan penanggal itu. Sekiranya tidak amalkan petua nescaya anak sendiri akan menjadi mangsa hingga terkejang dengan mata terbelalak sebaik sahaja melahirkan anak.

Tahu sangat Bidan Suh mengenai Nenek Ibun yang tidak mempunyai anak selepas menjadi bidan kampung. Anak-anaknya yang lahir sebelum menjadi bidan pun menerima musibah, apakala menggelepar terkejang dengan mata terbelalak sebaik sahaja melahirkan anak.

Bukan takat anak perempuan Nenek Ibun sahaja menanggung musibah, anak lelaki juga mati mengejut tatkala tengah tidur nyenyak. Terharu benar dia melihat anak lelakinya mati dengan darah memercik di segenap rongga. Kalau mahu dituduh perbuatan hantu tinggi,

Nenek Ibun tahu masakan hantu linggi boleh menyusup ke dalam rumah. Lainlah hantu raya boleh menjelma sampai terconggok di tengah rumah. Kalau hati tabah bertahan, hantu raya pun tidak akan menjelma mahu berdepan. Hantu raya juga akan bersembunyi biar siapa pun tidak cam tuan yang mengirimnya. Kalau merasuk ke dalam tubuh pun, bomoh yang mengubati mangsa sekadar boleh menuduh tidak menentu.
Hantu tinggi akan berligar keliling rumah sahaja menunggu mangsa melintas keluar. Pelesit atau bajang juga tidak akan masuk ke rumah. Pelesit kadang-kala menjelma seperti belalang yang melonjak ke tepi dinding. Apabila dibakar bulu ketiak, bila-bila belalang pelesit itu akan terhumban ke lantai akibat bau hangit yang menusuk ke hidung.

Memang kepantangan belalang pelesit terhidu bau hangit bulu ketiak dibakar itu. Mudah sahaja dia mabuk hingga tidak dapat bertahan di tepi dinding. Sekaligus belalang pelesit menerpa ke lantai sampai dapat ditangkap.
Cepat-cepat pula tuan rumah mematahkan tengkuk belalang pelesit sampai nampak ketul beras di tengkuknya. Tuan yang memelihara pelesit akan berasa seluruh badannya sengal-sengal hingga demam terkejang tidak bangun dua tiga hari. Pelesit yang menjelma seperti belalang itu akan mengurung diri tidak berani jengahkan muka di depan tuannya.

Tetapi yang dibunuh oleh orang kampung sekadar jelmaan belalang sahaja. Pelesitnya tetap dipelihara tuannya selagi dia amalkan petua membela pelesit semata-mata mahu menjaga hartanya supaya tidak diambil orang. Siapa berani mencapai buah-buahan di dusunnya kalau tidak meminta izin dari tuannya?

Bukan takat mencapai buah rambutan masak di hujung dahan sahaja, tersepakkan buah kelapa gugur pun nescaya akan dirasuk pelesit. Bila-bila sahaja mulut terkancing gigi dengan bibir lebam diketap sebaik sahaja dirasuk pelesit. Sepanjang malam pula akan merapik bercakap tidak menentu sampai berbuih-buih mulut.

Kalau tidak dijemput tuannya nescaya pelesit akan mengganggu sampai habis satu keluarga. Tetapi siapa pun tidak dapat cam tuan yang memelihara pelesit. Mereka akan panggil bomoh sahaja biar dihalaunya pelesit balik semula kepada tuan-nya.

Marah benar tuan pelesit apabila dipanggil bomoh datang membakar kemenyan. Apabila dicecahkan lada hitam di ibu jari kaki mangsa sekaligus pula tuan pelesit akan menggelinjang kepanasan bagaikan kakinya dicucuh bara tengah menyala. Sudah tentu sampai seminggu pula dia berjalan terdengkot-dengkot akibat kesakitan ibu jari kaki.

Sebab itu Nenek Ibun tidak boleh bertahan kalau tidak menyimpan petua mempertahankan diri semasa berbidan! Mudah sahaja perempuan lepas bersalin dirasuk syaitan penanggal sampai turun darah bersama uri tembuni. Dia tidak rela dirinya diganggu syaitan penanggal hingga terpaksa menyimpan cuka setempayan di ceruk dapur.

Di situlah syaitan penanggal berendam setelah menjilat darah perempuan bersalin. Asal sahaja terhidu bau hanyir darah perempuan bersalin kepalanya sakit mengentak-ngentak laksana ditusuk duri onak. Dia akan jatuh menggelapar hingga terasa kepalanya tertanggal dari tengkuk lantas mengheret tali perut keluar.

Sekaligus pula kepalanya bersama usus perut melayang ke udara dijinjing syaitan penanggal mencari perempuan baru bersalin. Kalau nasibnya malang bidan sudah letakkan mengkuang berduri di bawah rumah tergantung di tempat perempuan bersalin terbaring. Sekiranya dia berkeras mahu menjilat juga darah yang basah di tikar alas tidur, nescaya usus perutnya tersangkut pada duri mengkuang.

Asal sahaja cuba lepaskan diri usus perut akan berbelit-belit di situ. Sampai siang pun usus perut tidak akan dapat melepaskan diri dari tersangkut pada duri mengkuang. Sekaligus pula ayam berkeliaran di bawah rumah akan mematuk usus tersebut laksana bangkai dihurung langau.

Tahu sangat Nenek Ibun memang syaitan penanggal akan mencari bidan biar selamatkan mereka daripada gangguan. Kalau bidan boleh diperdayakan tentu duri mengkuang tidak disangkutkan di bawah rumpat tempat perempuan bersalin terbaring tidur. Bila-bila sahaja syaitan penanggal boleh menyusup ke bawah rumah menjilat darah hanyir di situ.

Sebab itu Bidan Ibun lebih rela dampingkan diri dengan Tok Syeikh berserban kuning. Dia percaya Tok Syeikh berjubah kuning sahaja satu-satunya yang ditakuti oleh siapa sahaja jenis syaitan yang mahu mengganggu. Bukan takat syaitan penanggal sahaja, malah pelesit, bajang, hantu raya pun tidak berani berdepan.
"Aku jenis jin Islam," beritahu Tok Syeikh berjubah kuning ketika dia mula menjelma di depan Nenek Ibun. Manalah Nenek Ibun mahu pastikan jenis jin yang menjelma tatkala dia membakar kemenyan menyeru segala keramat di kampungnya menjelma.

Sebaik sahaja Tok Syeikh berjubah kuning memberi jaminan akan membantunya, dia bersedia menerimanya. Tentu Tok Syeikh tidak memperdaya-kan dirinya setiap kali menjelma lembaga itu memberi salam. Tok Syeikh berjubah kuning akan mengajar dia jampi mentera dengan dimulakan Bismillahhir Rahmaannir Rahim.

Tatkala Junah Mengah merengek-rengek tidak lepas mahu bersalin, keluarganya sudah mula cemas. Tetapi Nenek Ibun yang dijemput membidankan Junah Mengah tidak merasa bimbang. Dia terpaksa membakar kemenyan menyeru Tok Syeikh berjubah kuning membantu. Sebaik sahaja lembaga berjubah kuning itu menjelma di depannya, lantas sahaja Nenek Ibun memberi isyarat supaya sediakan air satu cawan.

Mereka yang menghadap Junah Mengah sekadar melihat Nenek Ibun yang membacakan jampi mentera. Tetapi Nenek Ibun tahu ketika ini hanya Tok Syeikh yang mengajarnya membacakan:

Tulang badar tulang maliku, tiga tulang halus, daging berkuak darah beralur, urat mina bersusuk beralur kala, yang beku minta pecahkan, yang kusut minta usaikan, ah bukan aku yang punya tawar, Tok Syeikh berjubah kuning yang punya tawar, berkat la-ilaha illallah hu...

Setelah air siap dijampi diberi minum pada Junah Mengah, tidak sampai dua minit dia lahirkan anak mudah sahaja disambut Nenek Ibun. Sebab itu Nenek Ibun tidak pernah berpisah dengan Tok Syeikh serban dan berjubah kuning setiap kali dijemput membidankan orang.

Petua amalannya itulah diturunkan pada Bidan Suh dengan dipantangkan makan barang berdarah sampai genap 44 hari ikut perempuan bersalin dalam pantang. Jangan kata mahu menyembelih ayam atau menjamah daging masak rendang, menyiang ikan pun menjadi pantang larang pada Nenek Ibun.

Memang Bidan Suh pegang kuat amalan petua yang diturunkan oleh neneknya Nenek Ibun. Dia tetap menyeru Tok Syeikh berjubah kuning datang membantu setiap kali dijemput berbidan. Bidan Suh tidak akan bimbang berdepan dengan sesiapa sahaja jenis syaitan yang datang mengganggu.

Cubalah syaitan penanggal menyeringai mahu menjilat darah perempuan lepas bersalin, nescaya akan dirembat dengan cemati oleh Tok Syeikh berjubah kuning!

Hantu tinggi juga jangan berani menghalang dia kalau dijemput orang tatkala tengah malam. Asal sahaja hantu tinggi menghadang jalan, tidak bertangguh Tok Syeikh serban dan jubah kuning melontar dengan bola berapi hingga kelihatan Iaksana kilat memancar dari udara.

Serentak dengan itu pula petir akan menerjah ke dada hantu tinggi sampai terpelanting bagaikan debu ditiup angin. Cubalah, ganggu Bidan Suh! Di mana sahaja syaitan mahu mengganggu Bidan Suh nescaya Tok Syeikh berjubah kuning menjelma pertahankan dia.

Seisi kampung tahu benar dengan keberanian Bidan Suh kalau sudah bersatu dengan jelmaan Tok Syeikh berjubah kuning. Bukan takat perempuan lepas bersalin sahaja harapkan pertolongan Bidan Suh, Mat Jisin hilang di hutan semasa mencari kayu api pun emaknya merayu Bidan Suh carikan.

Memang bimbang juga Ngah Limah apabila anaknya Mat Jisin tidak balik santak asar apabila masuk ke tengah belukar mencari kayu api. Apa lagi budak baru berumur 12 tahun itu bukannya tahu apa-apa sangat di tengah belukar. Lagi pun dia sendiri sama-sama masuk ke tengah belukar bersama Mat Jisin.

Apabila Mat Jisin tidak kelihatan di mana-mana, Ngah Limah menuduh anaknya sudah balik terlebih dahulu. Budak malas macam Mat Jisin memang mudah mencari helah tidak mahu memikul beban kayu api. Tentu Mat Jisin balik dulu ke rumah tinggalkan emaknya di tengah belukar di darat kampung.
Tetapi hingga santak asar Mat Jisin tidak juga balik ke rumah. Sebab itulah Ngah Limah tidak bertangguh dapatkan Bidan Suh. Siapa lagi boleh diharapkan di dalam kampungnya kalau bukan Bidan Suh yang menjadi bidan dan bomoh besar.
Bidan Suh sendiri masuk ke belukar di darat kampung bersama jiran-jiran mencari di tempat Ngah Limah ke situ. Di tempat kayu api dilonggokkan Mat Jisin itu Bidan Suh membakar kemenyan hingga mereka dapati angin bertiup kencang macam ribut menyerbu.
Sebaik sahaja angin kencang berhenti bertiup, mereka melihat Bidan Suh meliuk-liukkan badan laksana pucuk teberau dipuput bayu. Lama kelamaan dia menegakkan badannya sambil mendongak ke atas dengan mata tidak berkedip.

"Macam mana Tok Syeikh, jembalang ni nak menguji aku ke?" bergetar suara Bidan Suh mencepak-cepak bibir.
Lama dia mendongak, Bidan Suh menunduk semula dengan terangguk-angguk. Dia tersenyum lantas mengusap-usap dagu bagaikan Tok Syeikh mengusap janggut.

"Kerja orang bunian nampaknya," gerutu Tok Syeikh perlahan, tetapi jiran-jiran sekitar mendengar Bidan Suh yang menuturkan.

Tiba-tiba sahaja Bidan Suh bingkas bangun lantas memberi isyarat kepada jiran-jiran lelaki mengikutnya ke batu besar macam hidung sebesar reban ayam di perdu pohon enau. Dia menudingkan jari ke perdu pohon enau, menyuruh mereka memotong anak-anak kayu dan akar yang berjuntaian menyerkup batu berkenaan.

Cepat-cepat mereka patuhi perintah Bidan Suh yang tercegat tidak bergerak menudingkan jari ke batu berkenaan. Tetapi Ngah Limah dapat mengagak Bidan Suh tidak tercegat di situ. Dia percaya Bidan Suh berdiri di atas bahu Tok Syeikh berjubah kuning. Bidan Suh sekadar menerima petua dari Tok Syeikh berjubah kuning melakukan apa sahaja yang diperlukan.

Memang Bidan Suh tercegat di bahu Tok Syeikh berjubah kuning memerhati jiran-jirannya meruntuhkan pagar besi di sekeliling perkampungan orang bunian. Bercempera orang bunian yang mengawal di sekelilng pagar besi menyelamatkan diri apakala jiran-jiran merobohkan tembok di sekeliling dengan dibantu oleh Tok Syeikh.

Setiap kali mereka cuba bertahan, Tok Syeikh melimparkan bola berapi hingga membakar di sekeliling pagar. Ketika mereka bercempera inilah Bidan Suh nampak Puteri Andam Dewi berdiri di atas batu mencebek bibir akibat marah dengan perbuatan Tok Syeikh berjubah kuning.

"Tak tahu adab Tok Syeikh ni!" rungut Puteri Andam Dewi menggertap bibir.

"Kamu yang tak beradab!" bentak Tok Syeikh memberi amaran. "Kenapa kamu larikan anak buah Tiamah?" semakin keras dia ingatkan perempuan di hadapan yang mencabarnya.

"Dia ceroboh kawasan kami," beritahu Puteri Andam Dewi tidak puas hati disebabkan kawasannya diceroboh orang-orang kampung.

"Ceroboh atau tak ceroboh, aku tak peduli!" ujar Tok Syeikh tidak mahu mengalah. "Serahkan anak buah Tiamah, atau aku bakar kawasan kamu ni?" dia terus mengancam lantas memukul wanita itu dengan cemati di tangan.

Puteri Andam Dewi cuba mengelak tetapi pukulan Tok Syeikh terlalu pantas hingga cemati hinggap di mana-mana. Bekas pukulan cemati itu memercik darah sampai berbirat melintang di bahagian muka. Wajah Puteri Andam Dewi herubah menjadi hodoh laksana perempuan tua berkedut-kedut kulit.
Orang bunian yang bertahan di keliling pagar juga bercempera mencari tempat berlindung disebabkan cemati yang dipukul memancar api menyala marak. Ke mana sahaja mereka berlindung pancaran api itu menerjah tidak bersisa.

"Serahkan anak buah Tiamah!" gema suara Tok Syeikh menggegar di sekeliling kawasan orang bunian.

Ketika ini jiran-jiran yang menebas di sekeliling batu laksana hidung tersergam sebesar reban ayam itu terang benderang. Di bawah batu di selaput akar pohon enau berjuntaian itu mereka melihat Mat Jisim tertiarap tidak sedarkan diri. Hairan juga mereka bagaimana Mat Jisim menyusup masuk ke celah akar-akar berjuntaian itu sekiranya dia sendiri ke situ.

Mereka percaya memang perbuatan orang bunian yang mengheret Mat Jisim hingga terperosok ke bawah batu tersebut. Kalau tidak ditebang tebas memang siapa pun tidak boleh membolos masuk. Tetapi siapa pula boleh mengesan Mat Jisim terperosok di bawah batu itu kalau sekadar mencari merata belukar.
Sebab itulah mereka harapkan Bidan Suh. Setelah dibakar kemenyan tentu Tok Syeikh yang mendampingi Bidan Suh menjelma serta merta. Dia akan tunjukkan di mana Mat Jisim diperosok oleh orang bunian. Perkara di sebalik kemampuan akal manusia mencarinya, memang perlukan cara gunakan petua kebatinan juga.

Seisi kampung tahu jasa Bidan Suh tidak boleh dihitung semasa hayatnya. Setelah Bidan Suh meninggal dunia memang kepada Anjang Tiamah mereka gantungkan harapan. Tok Syeikh berjubah kuning yang menjelma itulah pantangkan Anjang Tiamah supaya tidak menjamah benda berdarah selepas bidankan orang bersalin.

Kalau Anjang Tiamah berkeras mahu menjamah juga nescaya dia akan muntah terjeluih. Sekaligus pula syaitan penanggal dengan kepala mengheret usus perut itu menjelma menjilat-jilat muntahnya.

Dia tahu syaitan penanggal itu tidak akan memperdayakan dia kerana Tok Syeikh akan tercegat lindungkan dirinya. Tetapi berhari-hari juga Anjang Tiamah terpaksa menanggung senak perut memual-mual semata-mata disebabkan menjamah benda berdarah.

Lebih baik dia tidak menjamahnya kalau terpaksa menahan senak perut memual-mual. Bukannya lama sangat dia terpaksa berpantang kalau amalkan petua yang diturunkan oleh arwah neneknya Bidan Suh, Selagi perempuan bersalin berpantang selama 44 hari selama itulah juga dia terpaksa berpantang sama.

"Tak perlu kita meminta pertolongan Tok Syeikh, anjang," beritahu Ripin Jegil ingatkan kakaknya supaya tidak bergantung kepada Tok Syeikh berjubah kuning yang diwariskan oleh arwah Bidan Suh. "Dia juga makhluk yang tak boleh lindungkan kita!" tegasnya tidak bersetuju dengan amalan petua kakaknya.

Sikap Anjang Tiamah berkeras pertahankan amalan petua arwah neneknya itu menyebabkan Ripin Jegil tersinggung. Apa lagi Anjang Tiamah mengejeknya sama macam air bertengah tin berkocak kuat kalau dibandingkan dengan air penuh di dalam tin yang tidak pernah berkocak.

Marah juga Lebai Timin dengan sikap isterinya perkecilkan Ripin Jegil yang lama mengaji pondok di Kelantan. Anjang Tiamah tidak peduli sama ada suaminya menyebelahi Ripin Jegil atau pun tidak. Kalau suaminya tidak bersetuju dia sanggup tinggalkan Lebai Timin bersendirian di rumah. Biarlah dia merajuk membawa hati ke rumah anaknya Sahak Domeh sampai berhari-hari.

Hingga Lebai Timin meninggal akibat sesak nafas sewaktu tidur pun, Anjang Tiamah memang di rumah Sahak Domeh. Dia tidak terkejut semasa diberitahu oleh Utih Deman mengenai kematian Lebai Timin secara mengejut itu. Sikapnya itulah yang menyebabkan Ripin Jegil bertambah marah terhadap kakaknya. Tahu sangat Ripin Jegil memang Anjang Tiamah rela Tok Syeikh berjubah kuning itu memijak dada Lebai Timin, disebabkan abang iparnya tidak bersetuju dengan amalan petua memuja-muja Tok Syeikh.

"Kalau suami tak setuju dengan amalan tu, sama juga macam derhaka dengan suami," keluh Ripin Jegil apabila kenangkan kejadian yang menimpa kakaknya Anjang Tiamah ketika saya bersama Utih Deman ke rumahnya. Tidak lama selepas itulah dia berpindah meninggalkan kampung halamannya.

Tamat bab 130.

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab131

BAHANA DENDAM PUAKA CAPIK

(Bab 131 bahagian 1)

TERLALU banyak kelkatu terbang menghurung lampu di siling rumah sampai makan malam pun terpaksa ditangguhkan. Biarlah selepas isya baru menjamah nasi supaya kelkatu yang banyak itu terbang semula keluar rumah. Tetapi angin bertiup perlahan di luar menyebabkan kelkatu tersebut masuk ke tengah rumah.

Kalau di kampung tentu Mak Ngah Jiyah sudah berkira-kira mencari cendawan busut selepas habis solat subuh. Tahu sangat Mak Ngah Jiyah kalau sebelah malamnya kelkatu banyak masuk ke rumah, memang cendawan busut tumbuh merata. Biasanya Mak Ngah Jiyah akan jengah di bawah rumpun pisang kelat di baruh dapur.

Macam dapat sahaja dia mengagak di situlah cendawan busut banyak tumbuh sekiranya kelkatu terbang meliar menerpa lampu. Cepat-cepat pula Mak Ngah Jiyah tadahkan besen air di tengah rumah biar kelkatu berkenaan menjunam ke situ.

Tetapi ayah saya akan gantungkan lada besar berdekatan lampu sekiranya kelkatu banyak berterbangan menghurung lampu. Ayah saya tidak percaya sangat mengenai cendawan busut banyak tumbuh kalau kelkatu banyak berterbangan.

Kadangkala sengaja emak saya mengejeknya apabila terserempak cendawan busut di sebelah pagi apakala kelkatu banyak berterbangan di sebelah malam. Sampaikan tengah menyudu sup cendawan busut pun emak saya akan mengejeknya. Tetapi ayah saya tidak peduli apa-apa. Dia percaya semuanya berlaku secara kebetulan sahaja. Tidak ada kait mengaitnya cendawan busut banyak tumbuh dengan kelkatu yang berterbangan menghurung lampu.

Disebabkan kelkatu banyak berterbangan cepat-cepat isteri saya padamkan lampu. Biarlah kelkatu di tengah rumah keular menghurung lampu di tepi jalan. Sudah tentulah pula burung layang-layang menunggu peluang untuk menyambar kelkatu yang menghurung lampu di tepi jalan itu.

"Mana nak cari cendawan busut tumbuh!" keluh isteri saya setelah menutup makanan dengan tudung saji di atas meja.

"Tunggu di pasar," sengaja saya mengusik sambil mengerling ke arahnya. "Tentu orang jual di pasar kalau cendawan busut banyak tumbuh," ujar saya apabila kenangkan Mak Ngah Jiyah akan terbongkok-bongkok memastikan di rumpun pisang kelat di baruh dapurnya cendawan busut tumbuh apakala malamnya kelkatu banyak berterbangan.

Bukan Mak Ngah Jiyah sahaja percaya cendawan busut akan tumbuh sekiranya kelkatu banyak berterbangan di sebelah malam, Andak Libit pun percaya benar. Dia tidak peduli anak-anaknya mengejek apabila pagi-pagi lagi sudah menjengah di belukar senduduk di darat rumah. Di situ tempat cendawan busut sering tumbuh menguntum kalau kelkatu berterbangan di malam hari.

Cam benar Andak Libit tempat cendawan busut tumbuh di belukar senduduk itu. Biarlah siapa pun ejek dia kerana percaya sangat perkara tahyol demikian. Tetapi Andak Libit akan tersenyum puas apabila cendawan busut penuh sekendung kain dibawa balik. Bukan anak-anak-nya sahaja tersengih-sengih, malah suaminya Semail Bujuk juga tidak ketahuan disebabkan mengejek dia sebelum itu.

Asal sahaja kelkatu banyak berterbangan menghurung lampu memang isteri saya ingat sangat Andak Libit di Lenggong. Sudah lama juga kejadian kelkatu banyak masuk ke rumah itu berlaku, lebih tiga puluh tahun dulu. Kadangkala saya sendiri sudah lupa mengenai kejadian itu, semasa Acik Mikon menetap di sana.

Memang jalan ke rumah Acik Mikon itu melintasi di hadapan halaman rumah Andak Libit. Berjalan kaki sahaja dari jalan tanah merah berdebu apabila turun bas. Tidak ada jalan minyak tar melalui kampung berkenaan ketika itu.

Lainlah macam sekarang sudah banyak jalan minyak tar, malah bas juga masuk jauh ke dalam kampung. Tetapi sewaktu Acik Mikon menetap di sana sekeliling kampung pun masih belukar sampaikan rumput di tepi jalan pun banyak puyuh membuat sarang.

Semenjak Acik Mikon sudah masuk felda memang tidak pernah lagi saya jejak kaki ke Lenggong. Kalau ke sana pun semata-mata ziarah Acik Miko bapa saudara isteri saya. Beberapa kali dia buat kenduri kahwin nikahkan anak-anaknya, memang tidak pernah saya tidak hadir sama.
Hanya kejadian semasa ke rumah Acik Mikon di Lenggong itulah masih segar dalam ingatan isteri saya apakala kenangkan kelkatu banyak berterbangan di dalam rumah menghurung lampu di siling.

"Banyak cendawan busut ni," tersengih-sengih Cu Selemah memberitahu Acik Mikon tatkala dia menadah besen berisi air biar kelkatu yang berterbangan men-junam ke situ.

"Angin di luar tu kuat, sebab itulah kelkatu masuk ke rumah," sahut Acik Mikon tidak percaya sangat dengan kata-kata isterinya lantas mengerling ke arah saya. "Cu kamu tu memang begitu, asal sahaja kelkatu banyak kononnya ada cendawan busut," tersengih-sengih dia mencebek bibir.

"Kalau ada cendawan busut boleh kita rebus aje," isteri saya menambah dengan harapan tekaan Cu Selemah itu akan menjadi kenyataan. Manalah tahu cendawan busut akan banyak tumbuh di sebelah baruh rumah di perdu pokok rambutan.

"Nanti kita cari Yah," Cu Selemah merasakan dirinya dicabar oleh Acik Mikon. "Besok kalau kita jumpa cendawan busut, jangan kita beri Acik kamu tu jamah!" gerutunya macam menyimpan dendam.

Tetapi Acik Mikon sekadar ketawa. Dia tahu isterinya cuma bergurau. Masakan Cu Selemah tidak benarkan dia menjamah makanan cendawan busut kalau sudah dihidangkan. Acik Mikon pun gemar juga apakala melihat sup cendawan busut tengah berasap panas. Menghirup kuah pun sudah memadai kalau sup cendawan busut dihidangkan di hadapannya.

Dia sekadar tidak percaya dengan kelkatu yang berterbangan tengah rumah menunjukkan cendawan busut akan tumbuh esok harinya. Cendawan busut mudah tumbuh apabila musim hujan tatkala tanah lembab. Lambat sahaja dikutip kuntumnya akan mengambang. Cendawan busut itu akan busuk berulat kalau tidak ditemui menjelang tengah hari.

Acik Mikon sendiri akan beli cendawan busut kalau terserempak dijual orang di pekan Rabu. Biarlah seringgit beberapa kuntum sahaja Acik Mikon akan bell juga. Kepalang sedapnya cendawan busut masak sup atau digulai masak lemak kuning cili padi!

Perkara cendawan busut tumbuh di tanah lembab tidak ada kena mengena dengan kelkatu yang menyerbu masuk ke tengah rumah menghurung api pelita. Kalau tidak disebabkan kilauan api nescaya kelkatu berkenaan tidak menerpa masuk. Dalam keadaan gelap malam di luar kelkatu berkenaan tidak dapat bertahan dengan tiupan angin. Sebab itu kelkatu yang banyak menyerbu mencari cahaya berkilau di dalam rumah.

"Pagi-pagi besok kita cari !" Cu Selemah berjanji mengajak isteri saya sama-sama ke baruh rumah. Memang pagi lagi Cu Selemah sudah mengajak isteri saya ke perdu pokok rambutan di baruh rumah. Dia memerhati di celah rumput memanjang, tetapi tidak sekuntum pun cendawan busut tumbuh di situ. Puas mencari di perdu pokok rambutan, Cu Selemah mengajak pula ke tubir telaga. Sampai matahari naik segalah memang mereka tidak bertemu pun cendawan busut tumbuh.

Ketika memerhati ke busut berhampiran rumpun pisang Cu Selemah nampak kepak kelkatu bertaburan Cepat-cepat dia menarik bahu isteri saya mahu memastikan di tempat itu cendawan busut tumbuh. Tetapi kecewa benar dia kerana tidak sekuntum pun cendawan busut ditemuinya.

"Tak ada rezeki kita, keluh Cu Selemah menghela nafas. Dia sekadar mengharapkan cendawan busut tumbuh, bukannya menjanjikan dapat se kendong kain cendawan busut di situ. Biarlah tidak menjamah hidangan cendawan busut, kalau terpaksa meranduk semula belukar di serata kampung. Kalau gagahi juga mencari di celah-celah belukar, Cu Selemah percaya tentu boleh juga terserempak cendawan busut tumbuh berkuntum-kuntum.

"Hah, tak dapat pun tak apa, Cu," sahut isteri saya tersengih-sengih kerana menyedari kehampaan Cu Selemah.

Sewaktu menyediakan sarapan pagi, memang Acik Mikon sengaja mengusik isterinya disebabkan tidak menemui cendawan busut itu. Tetapi Cu Selemah tidak pedulikan sangat. Perkara sama ada menemui cendawan busut atau tidak selepas kelkatu berterbangan di sebelah malam bukannya menjadi kesalahan pada dirinya. Dia sekadar mendengar petua orang tua-tua kalau kelkatu hanyak berterbangan di dalam rumah menunjukkan cendawan busut tumbuh banyak di mana-mana.
Sekiranya tidak ditemui cendawan busut itu tentulah bukan rezekinya. Tidak patut Acik Mikon mengejeknya semata-mata percayakan petua orang tua-tua. Kalau Acik Mikon tidak mahu mempercayainya bukanlah penting sangat, terpulanglah pada diri masing-masing sama ada mahu mempercayai petua orang tua-tua atau pun tidak.

"Kempunanlah kita nak makan gulai cendawan busut, ustaz," tersengih-sengih Acik Mikon mengerling isterinya hidangkan sarapan pagi ke tengah serambi.

"Kalau ada cendawan busut, tak guna juga jika kita tak mahu masakkan," sahut Cu Selemah mencemik muka tersinggung dengan sikap suaminya. Tetapi Acik Mikon ketawa memanjang dengan sindiran Cu Selemah itu.

"His, takkan kerana cendawan busut pula kita nak berbalah," cepat-cepat isteri saya mencelah dalam gurauan, biar bapa saudaranya tidak terus menerus mengusik Cu Selemah.

"Acik kamu tu bukannya malu pada ustaz tu," Cu Selemah masih menyimpan rasa mendongkol di hati. Tak malukan anak menantu pun, malulah pada ustaz," dia mencebek bibir.

"Nak malu apa pula," sahut Acik Mikon ketawa mengejek. "Ustaz, ustaz pun, kalau di rumah ni dia anak menantu aku juga," ujarnya kian galak ketawa.

Tidak dapat cendawan busut pun, Cu Selemah sudah sediakan pisang muda untuk digulai dengan ikan kering. Memang isteri saya sendiri cadangkan supaya masak gulai pisang muda sahaja. Sedap juga menjamah gulai pisang muda kalau lama tidak dimasak demikian.

Cepat sediakan masakan, boleh cepat pula kami balik. Kalau terlambat bimbang pula ketinggalan bas. Ketika itu tidak banyak bas pengangkutan di situ, apalagi melalui jalan tanah merah berlubang-lubang. Kadang-kala berdebu sampai rambut pun disinggahi tanah merah apakala bas melalui jalan berkenaan.

Tetapi lebih tiga puluh tahun dulu memang tidak sama dengan sekarang. Jalan ke kampung Acik Mikon di Lenggong itu sudah diturap tar. Bukan bas buruk lagi melalui jalan berkenaan tetapi bas ekspres yang selesa dinaiki. Sekali sekala sahaja Acik Mikon balik ke kampungnya kalau dijemput kenduri kahwin sanak saudara.

Semenjak menetap di felda memang Acik Mikon tidak peduli sangat mengenai kampung halamannya. Kalau tidak ada hal penting apalah gunanya membazir wang balik ke kampung halaman, kerana di felda itu pun sudah menjadi kampung halamannya juga.

Sewaktu Cu Selemah bersama isteri saya menyiang pisang muda untuk dimasak gulai dengan ikan kering inilah Andak Libit terkedek-kedek datang bawakan sebesen kecil cendawan busut. Dia juga tahu saya datang jengah Acik Mikon dan bermalam di situ. Sebab itulah dia berikan cendawan busut yang ditemuinya di bawah perdu rumpun pisang di baruh dapur.

Cam sangat Andak Libit asal sahaja kelkatu banyak berterbangan di dalam rumah semalaman, pagi-pagi lagi dia akan jengah ke perdu rumpun pisang kelat di baruh dapur. Tentu cendawan busut banyak tumbuh menguntum di tanah lembab.

Sekiranya lambat dijengah sudah ditentu dikekas ayam pula. Betapa ruginya dia kalau ayam mengekas terlebih dahulu sebelum dia mengutip. Bukan mudah mahu mencabut cendawan busut tumbuh menguntum kalau tidak diikut petuanya. Bila-bila cendawan busut itu akan terputus semasa ditarik keluar.

Tahu sangat Andak Libit fasal petua mencabut cendawan busut supaya tidak terputus habis. Dia akan jentik dulu tanah di perdu rumpun pisang tiga kali, lantas bersalawat tiga kali. Kemudian dia akan menyeru perlahan.

"Hai nenek ungguh anggah, tabek nenek cucu nak ambil sayur, lepaskan jangan terputus, cucu tahu sayur nenek yang tumbuh, kalau tak izin kembang-kan kuntumnya, kalau izin bulatlah kuntumnya."

Dia akan memerhati cendawan busut yang tumbuh ber-selerak itu. Sekiranya kuntum cendawan busut itu mengembang, Andak Libit tidak akan menyentuh sekuntum pun. Sudah menjadi petua yang dipantangkan oleh neneknya, dia tidak boleh berkeras mengutipnya. Kalau dikutip juga nescaya semua akan putus tidak berguna apa-apa lagi. Tahu sangat Andak Libit sekiranya dikutip juga cendawan busut yang kembang kuntum setelah dibacakan jampi petuanya nescaya tidak sempat dibawa balik ke rumah. Semuanya akan menjadi lebur macam lumpur diramas.
Setelah dibacakan jampi petuanya memang cendawan busut itu mudah dicabut macam mencabut rumput di tengah lumpur sawah. Sebab itu tidak bertangguh dia bacakan jampi petua sebaik sahaja ternampak dua tiga kuntum cendawan busut di perdu rumpun pisang. Sebaik sahaja dia bacakan jampi petua-nya di merata tempat cendawan busut tumbuh menguntum banyak.

"Ada pula rezeki sikit," jelas Andak Libit semasa menyerahkan besen penuh berisi cendawan busut itu. "Eloklah dimasak sekarang, nanti tunggu petang kembang pula," ujarnya setelah bermurah hati memberikan sebahagian daripada cendawan busut yang dikutipnya.

"Saya cari juga tapi tak dapat," Cu Selemah pula memberitahu fasal dia meranduk embun pagi ke tepi belukar sen-duduk di darat rumah.

"Kalau dia nak beri mudah aje kita jumpa, kalau tak nak beri memang jenuh mencari pun tak jumpa,” tersengih-sengih Andak Libit menatap muka isteri saya.

Memang sekali sekala sahaja kami ke Lenggong, tetapi jiran-jiran Acik Mikon semuanya melayani kami dengan baik. Kalau balik pun akan diberikan dengan ubi kayu, pisang atau keladi. Terasa juga berat mahu menjinjing sewaktu menaiki bas, tetapi saya bimbang mereka akan berkecil hati. Terpaksa juga diterima apa pun yang mereka beri kuat bekalan balik.

Lainlah kalau ada kereta sendiri boleh juga diperosokkan semuanya di bonet belakang. Masa tiga puluh tahun dulu memang bas itulah kenderaan pengangkutan menjadi pilihan.

"Terima kasihlah Andak, dapat juga kami merasa cendawan busut," ujar isteri saya memerhati Andak Libit di pelantar rumah.


Tidak bertangguh pula Cu Selemah masak cendawan busut celur air sahaja, disebabkan pisang muda sudah digulai dengan ikan kering. Sekiranya lambat memasak, bimbang pula saya akan ketinggalan bas. Bukannya banyak sangat bas masuk ke kampung melalui jalan tanah merah itu. Kadangkala Iebih dua jam baru melintas sebuah bas buruk hingga jenuh menunggu di tepi jalan.

Belum pun jam sebelas setengah pagi makanan sudah dihidang oleh Cu Selemah. Memang dia desak juga saya suami isteri makan nasi terlebih dulu sebelum balik. Sekali sekala datang menjengah ke Lenggong tentulah dia terkilan sekiranya tidak dapat melayani saya suami isteri dengan sempurna.

Sebaik sahaja nasi terhidang Acik Mikon tidak bertangguh menghirup kuah cendawan busut celur air. Tersengih-sengih dia mengerling Cu Selemah bagaikan mengejek perempuan itu kerana dia dapat menikmati rebus celur air cendawan busut itu. Tidak perlu pun bersusah payah terbongkok-bongkok mencari merata belukar, tetapi dihantarkan sampai ke tangga rumah oleh Andak Libit.

Tahu sangat Acik Mikon, sekiranya dicari sungguh-sungguh siapa pun tidak akan terserempak cendawan busut tumbuh menguntum banyak.

Mereka yang menemui cendawan busut itu bukan terniat iangsung mahu mencarinya. Acik Mikon pun pernah menemui cendawan busut sewaktu mengheret kambing tepi belukar mencari rumput muda tengah menghijau. Sebaik sahaja sampai di perdu pohon enau, dia nampak memutih sahaja kuntum cendawan busut di bawah rumput menghijau itu.

Bersambung...

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab131

BAHANA DENDAM PUAKA CAPIK

(Bab 131 bahagian 2)

Memang dia tidak berniat langsung mahu mencari cendawan busut. Dia juga tidak cam sama ada kelkatu banyak berterbangan di sebelah malamnya atau pun tidak. Lantas sahaja dia mengutip cendawan busut yang banyak menguntum sampai tidak sempat ikatkan kambing-kambingnya.

"Rezeki ustaz ni," beritahu Acik Mikon menghulurkan pinggan sebaik sahaja saya duduk di hadapannya.

"Rezeki kita bersama," sahut saya perlahan berselera memerhati cendawan busut yang dihidangkan.

Teringin juga saya mahu bertambah disebabkan berselera benar makan sayur cendawan busut dan gulai pisang muda campur ikan kering itu, tetapi terpaksa juga membasuh tangan setelah berasa kenyang sedikit. Memang segera makan tidak boleh diikutkan sangat terutama tatkala menikmati makanan yang lazat.

Cukuplah dengan terasa kenyang sedikit untuk berhenti makan. Sekiranya mahu menjamah lagi, tunggulah sehingga terasa lapar semula. Inilah amalan saya apabila menghadapi hidangan yang menyelerakan. Apalagi masak sayur cendawan busut itu memang kegemaran saya sejak masih kecil-kecil lagi.

Bukan cendawan busut sahaja menyelerakan saya, malah cendawan kulat yang tumbuh di pokok getah tumbang pun sedap dimasak gulai lemak kuning cili padi. Cepat sahaja Tok Aji menyuruh berhenti makan apakala dilihatnya saya terlalu gelojoh makan gulai cendawan kulat masak lemak kuning cili padi itu.

Selepas makan tidak bercadang pula saya mahu menunggu zohor. Segera saya berkemas-kemas mahu balik. Kalau terlambat tentulah ketinggalan bas pula yang melintas jam 1.00 tengah hari. Sekiranya terlepas bas yang melintas pada waktu itu, tentulah terpaksa menunggu sampai lebih jam 3.00 petang baru ada bas melintas.

Sebaik sahaja mahu turun menjinjing beg, Semail Bujuk tercegat di tengah halaman memanggil Acik Mikon. Cemas sahaja dia memberitahu mengenai isterinya Andak Libit menggelepar sampai keluar darah di mulut selepas makan rebus cendawan busut. Leka benar Andak Libit meratah sayur cendawan busut rebus celur air, sampai dia tersedak beberapa kali.

Ketika tersedak inilah darah bersemburan dari mulutnya. Apabila Semail Bujuk cuba membantu, Andak Libit sudah menggelapar dengan terbalik mata. Sekaligus pula darah merenik-renik keluar dari bulu romanya laksana memercik peluh.

"Cendawan busut tu dah busuk agaknya," keluh Semail Bujuk menuduh tatkala bergegas-gegas mendesak Acik Mikon segera naik ke rumah. Saya juga terpaksa batalkan balik ke tempat kerja setelah diberitahu mengenai kejadian yang menimpa Andak Libit.

"Aku pun makan cendawan busut yang dihantarnya tadi," sahut Acik Mikon tidak percaya cendawan busut itu yang menjadi punca. Seisi rumahnya sama menjamah sup celur air cendawan busut yang diberi oleh Andak Libit, tidak seorang pun yang menggelapar sampai termuntah darah.

"Tentu cendawan busut tu beracun!" semakin cemas Semail Bujuk duduk di sisi isterinya.

"Kalau beracun tentu aku pun kena," Acik Mikon mencepak bibir memerhatikan darah di rekahan bibir Andak Libit. Bulu romanya juga memercik darah merenik-renik.

"Kami semua dah makan sayur cendawan busut tu," beritahu Cu Selemah bercampur bimbang apabila kenangkan sayur cendawan busut yang diberi oleh Andak Libit.

Tetapi cendawan busut yang diberi oleh Andak Libit itu, dia sendiri memasaknya. Bukannya sayur cendawan busut yang sudah siap dimasak diberi oleh Andak Libit. Tentu bukan berpunca daripada sayur cendawan busut itu menyebabkan Andak Libit menggelepar termuntah-muntah darah.

Lantas sahaja Cu Selemah mengagak perencah yang dimasukkan ke dalam belanga memasak itulah mengandungi racun. Manalah tahu garam yang dicampur oleh Andak Libit ke dalam belanga itu baja pokok yang disangkanya garam masak. Tetapi guni baja pokok bukannya diletakkan di dapur, memang diperosok oleh Semail Bujuk di tepi reban ayam.
Cepat sahaja Cu Selemah menuduh baja pokok dicampakkan ke perdu rumpun pisang di baruh dapur menyebabkan cendawan busut yang tumbuh menguntum mengandungi racun. Apabila kenangkan cendawan busut tumbuh disebabkan baja pokok, bimbang juga Cu Selemah sekiranya dia juga menerima bahana.

"Kita jaga tangkal bisa dulu," ujar Acik Mikon menyuruh Semail Bujuk kaitkan kelapa muda. Sekiranya cendawan busut itu mengandungi racun tentu biasanya akan madal setelah dijampi dengan air kelapa muda. Tahu sangat Acik Mikon petua matikan bius racun kalau benar-benar Andak Libit termakan cendawan busut beracun.

Tidak bertangguh Semail Bujuk memanjat pokok kelapa di hujung halaman. Dia juga tahu cara mengambil buah kelapa dibuat ubat, pantang dikait sampai buahnya jatuh terhempas ke tanah. Pokoknya mesti di pejabat sampai cecah pelepah. Buahnya mesti dipetik dibawa turun ke bawah dengan tidak boleh jatuh terhempas.

Terpaksa Semail Bujuk patuhi petua tersebut supaya isterinya dapat diselamatkan. Biarlah dia bersusah payah memanjat hingga dadanya melecet tersendal ke pokok kelapa, Semail Bujuk tetap lakukan juga. Isterinya Andak Libit mesti diselamatkan juga.

Setelah dipetik buah kelapa muda, Semail Bujuk sendiri memangkas kulit biar kelapa muda itu tidak terjejas melanggar petua. Tahu sangat dia kalau memanggil Acik Mikon ubatkan bisa racun, memang banyak petua yang mesti dipatuhi. Sudah beberapa kali dia mengikut Acik Mikon mengubati orang terkena bisa racun, hingga cam sangat pantang larang yang diamalkan.

Dia tebuk tempurung kelapa muda itu dengan boleh ditutup semula kulit tempurungnya. Kemudian dimasukkan tiga butir ibu garam sebelum dihulurkan kepada Acik Mikon. Sebaik sahaja buah kelapa muda itu disorongkan ke hadapannya lantas Acik Mikon memusingkan tiga kali. Kemudian perlahan dia membacakan:

Β· Bismillahhil lazi layadhuru ma'asmihi syai-un fil-ardhi wala fis-sama-i wahuwas sami'ul 'alim, fauttahazat min dunihim hijaban fa-arsalna ilaina rohana fatamassala laha basyoran sawiyan.

Tiga kali dibacakan doa oleh Acik Mikon, tiba-tiba jari telunjuknya lurus tidak dapat dibengkokkan. Tersenyum Acik Mikon dengan kejadian menimpa dirinya, seolah-olah dia memahami cabaran yang perlu di hadapinya.

"Hah, nampaknya nak berkeras ni!" gerutu Acik Mikon berpaling kepada saya, "Jangan tunggu lagi ustaz, dia nak tunjuk belang," ujarnya menggertap hibir.

Sebaik sahaja saya menginsut punggung merapati Acik Mikon, sekaligus buah kelapa muda di hadapannya melompat sampai tertampan ke dinding. Terpaksa pula Semail Bujuk menerpa menangkapnya, tetapi segera ditegah oleh Acik Mikon.

Biarlah buah kelapa muda itu bergolek di tepi dinding tertonggeng ke lantai. Dia tidak perlukan lagi air kelapa muda itu setelah didoakan petua menghiIang bisa. Masakan buah kelapa berkenaan boleh melayang tertampan ke dinding tidak bersebab!

Kalau takat dikirim santau angin Acik Mikon tahu tentu Andak Libit termuntah sebaik minum air kelapa muda siap didoakan. Masakan buah kelapa itu melayang laksana dilontar ke dinding. Dia dapat mengagak bukan santau angin menyebabkan Andak Libit menggelepar tidak sedarkan diri.

"Di mana tempat Andak kutip cendawan?" saya mencuit bahu Semail Bujuk.

"Di baruh dapur, dekat rumpun pisang," sahut Semail Bujuk memuncung bibir ke baruh dapur.

Terus sahaja saya turun ke tengah halaman diikuti oleh Cu Selamah. Memang dia tahu benar rumpun pisang kelat tempat Andak Libit mengutip cendawan busut itu. Siapa lagi diharapkan mahu menunjukkan tempat tersebut kalau bukan Cu Selemah?

Semail Bujuk tidak akan berganjak dari tempat duduknya selagi isterinya masih menggelepar mengerang-erang. Tentu Acik Mikon juga terpaksa terconggok tidak beralih ke mana. Dia satu-satunya yang diharapkan oleh Semail Bujuk dalam saat demikian. Bila-bila Semail Bujuk akan lakukan apa sahaja sekiranya disuruh oleh Acik Mikon.
Memang seisi kampung harapkan Acik Mikon apabila keluarga sakit tidak menentu. Kalau mahu dihantar ke hospital susah melalui jalan tanah merah kerana tidak ada kereta yang melalui kampung mereka. Lainlah kalau ada teksi sapu memang boleh juga mereka sewa sampai ke hospital. Ketika itu memang mereka di kampung pun tidak peduli sangat dengan hospital di pekan.

Siapa lagi diharapkan kalau bukan Acik Mikon. Kadangkala anak-anak kecil menangis tengah malam akibat kembung perut pun mereka akan menyerbu ke rumah Acik Mikon. Mereka tidak segan silu memanggil dari tengah halaman sekalipun Acik Mikon tengah nyenyak tidur.

Terkuap-kuap Acik Mikon bangun sebaik sahaja dipanggil orang. Dia tidak akan membantah sekira dijemput tengah macam pun. Perkara jaga hati jiran-jiran bukan boleh dikuis macam menyepak gopong tempurung di tepi parit. Acik Mikon tidak boleh mengelak setelah seisi kampung menggantungkan harapan kepada bomoh seperti dia.

"Di sini ada kesan cendawan busut, Ustaz" beritahu Cu Selemah sebaik sampai ke perdu rumpun pisang. Memang di situ kelihatan memutih serpihan cendawan busut sisa dikutip oleh Andak Libit.

Sewaktu saya mendongak ke atas ternampak sarang lebah tergantung hampir sebesar tempayan di dahan nangka yang bersanggit dengan pelepah pisang.

"Ada sarang lebah," ujar saya perlahan ingatkan Cu Selemah supaya tidak mara ke hadapan.

"Besarnya sarang lebah ni, tentu dah lama bersarang di situ," Cu Selemah berundur sedikit sebaik sahaja melihat sarang lebah sebesar tempayan. Geli gelemam dia melihat sarang lebah yang bergerak-gerak apabila lebah-lebah berkenaan berebut-rebut hinggap.

"Cubalah Cu tengok dekat perdu rumpun pisang tu," usik saya sengaja bergurau dengan Cu Selemah.

"Nak tengok apa, serpih cendawan busut nampak laaa," tersengih-sengih Cu Selemah dengan usikan itu.

Dia tidak sama dengan Acik Mikon. Lainlah suaminya boleh mengagak apa yang berlaku di situ. Perkara mengutip cendawan busut memang siapa pun tidak menduga apa-apa. Andak Libit juga tahu petua apabila terserempak cendawan busut banyak menguntum. Dia tahu jampi petua supaya cendawan busut itu tidak busuk sebelum sempat dibawa batik ke rumah.

Saya sendiri tidak tahu kenapa perasaan saya kuat sangat mahu melihat sendiri tempat Andak Libit mengutip cendawan busut itu. Manalah tahu di perdu rumpun pisang itu Semail Bujuk menabur baja, sekalipun pisang kelat itu sia-sia sahaja dibubuh baja. Lainlah kalau pisang rastali, pisang emas, pisang nangka atau pisang embun yang boleh dijual dengan harga mahal sedikit.

Pisang kelat memang tidak siapa pun mahu membelinya. Kadangkala bertahan buahnya masak dicampakkan sahaja oleh Semail Bujuk ke tengah halaman biar dimakan ayam atau itik. Hanya sekali sekala sahaja Acik Mikon perlukan pucuk bulatnya untuk dibuat tempat menadah mengubati orang terkena santau. Memang Acik Mikon perlukan pucuk bulat pisang kelat apabila orang mengadu terkena santau. Pucuk pisang itu dikerat panjang sehasta kemudian dikembangkan dan ditadah di bawah dada dengan mangsa santau itu menelungkup sambil mengangkat dadanya sedikit. Acik Mikon akan menepuk belakang mangsa dengan api pelita mesti dipadamkan.

Sepuluh kali dia bacakan doa diikuti dengan surah al-Quraisy tujuh kali, Acik Mikon akan menepuk belakang mangsa beberapa kali. Selepas itu dia akan menyuluh ke atas pucuk pisang yang ditadahkan hingga nampak merenik-renik serbuk kaca bercampur miang rebung dan serpihan bangkai ulat bulu di situ.

Sebab itu sengaja Semail Bujuk pelihara rumpun pisang kelat itu biar mudah sesiapa mahu gunakan pucuk bulatnya tatkala Acik Mikon memerlukan untuk berubat. Beberapa kali juga Cu Selemah merungut kerana menuduh disebabkan pucuk pisang kelat itu digunakan mengubati orang kena santau kemungkinannya Andak Libit bagaikan termakan santau apa-bila menjamah sayur cendawan busut tumbuh di perdu rumpunnya.

Tetapi saya ingatkan dia mengenai sayur cendawan busut itu juga sama-sama dimakan oleh keluarganya setelah menerima pemberian Andak Libit. Kenapa pula seisi rumah Cu Selemah termasuk saya dan isteri saya tidak mengalami keracunan?
Dalam keadaan serba salah itu saya menyuruh Cu Selemah duduk bertimpuh tidak jauh dari rumpun pisang. Saya menyuruh dia pejamkan mata dengan mem-bacakan al-Fatihah 17 kali, surah al-Ikhlas 17 kali dan Ayatul Kursi 17 kali. Sebaik sahaja Cu Selemah selesai membacanya saya ketuk dahinya dengan jari telunjuk dengan membacakan:

Allahhu yatawaffal anfusa hino mautiha wallati lamtamut fi-mana miha fayumsikullati qoda 'alaihal mauta wayursilul ukhro ila-ajalin musamman inna fi zalika la-ayatin liqaumin yatafakkarun.

Beberapa minit sahaja tiba-tiba Cu Selemah menggeletar dengan peluh memercik di dahi. Jarinya menuding ke arah perdu rumpun pisang kelat dalam keadaan ketakutan. Kalau tenaganya gagah memang Cu Selemah akan melompat lari. Tetapi saat ini dia sekadar terconggok dengan tidak ada tenaga apa-apa.

"Kenapa Cu?" bisik saya meletakkan telunjuk di atas ubun-ubunnya.

"His, orang tua di perdu rumpun pisang tu," keluh Cu Selamah serba salah. "Orangnya capik kaki, tetapi kuku jarinya tajam macam nak cengkam tengkuk Andak Libit," ujar Cu Selemah terketar-ketar suara menahan ketakutan.

"Jangan takut, syaitan takkan boleh lawan ilmu manusia," lantas saya ingatkan Cu Selemah. Kemudian saya pusarkan ibu jari telunjuk ke ubun-ubunnya dan menyuruh dia membacakan surah al-Ikhlas 11 kali dihembuskan ke arah lembaga lelaki tua berkaki capik di perdu rumpun pisang itu.

Tersenyum Cu Selamah memberitahu hembusannya mengeluarkan api hingga melecur sebahagian tubuh lembaga berkenaan. Ketika ini juga terdengar jeritan Andak Libit dari tengah rumah. Setelah saya bisikkan kepadanya supaya bertenang, Cu Selemah semakin berani mengukuhkan duduk timpuhnya.

Pandangannya tajam merenung ke perdu rumpun pisang dengan mencebek bibir. Dia melihat lembaga lelaki tua berkaki capik di situ berkeras mahu melawan. Apabila saya menyuruh Cu Selemah membacakan al-Fatihah 7 kali dengan mengembangkan bahu supaya tubuhnya menjadi besar, jeritan halus Andak Libit di tengah rumah gementar memberitahu tubuh Cu Selemah terlalu besar.

"Kepala Cu Selemah mencecah ke awan," terketar-ketar Andak Libit menerangkan.

"Kalau berani, kau lawanlah!" lantas Acik Mikon mengejek bagaikan mencabarnya.

Tetapi saya tidak peduli apa pun yang berlaku di tengah rumah. Memang Acik Mikon juga tahu apa sebenarnya saya lakukan bersama Cu Selemah di perdu rumpun pisang itu. Semakin lama Cu Selemah terconggok dia semakin berani berdepan dengan lelaki tua berkaki capik itu.

Merungut-rungut Cu Selemah memberitahu lembaga itu puaka capik yang cuba mengganggu. Marah benar dia dengan puaka capik itu sengaja mencari kesempatan di perdu rumpun pisang kelat. Setiap kali dia ingatkan puaka capik itu supaya jangan berkeras mahu mengancam Andak Libit, kedengaran jeritan berulang kali di tengah rumah.

Puaka capik itu semakin terdesak apakala melihat saya berdiri di tengah lingkaran cahaya putih yang memancar panas. Di sisi saya pula Andak Libit nampak tubuh Cu selemah membesar hingga kepalanya mencecah ke awan. Sekaligus pula kaki Cu Selemah sebesar bukit memijak kepala puaka Capik itu.

Setelah tidak kedengaran lagi jeritan Andak Libit, barulah Cu Selemah termengah-mengah memberitahu terlalu dahaga. Apakala saya tidak meletakkan lagi telunjuk .di ubun-ubunnya, Cu Selemah jatuh tergolek di atas rumput. Segera saya bacakan al-Fatihah tiga kali dengan menjentik perlahan dahinya. Ketika ini Cu Selemah membuka mata lantas bingkas bangun berdiri terpinga-pinga.

"Mana puaka capik tu?" gerutunya masih lagi menyimpan perasaan marah. "Puaka capik yang buat angkara," keluh Cu Selemah menggertap bibir sambil melingas-lingas memandang ke kiri ke kanan.

Apabila saya memujuknya supaya naik semula ke rumah, Cu Selemah tidak membantah apa-apa. Dia terus naik ke rumah dalam keadaan masih juga terpinga-pinga tidak menentu. Sebaik sahaja naik ke rumah dia berbaring kerana terasa pening kepala. Hampir lima belas minit dia terbaring barulah Cu Selemah segar semula.

"Tak pernah saya buat kerja macam ni," beritahu Cu Selemah perlahan memicit-micit dahinya.
Tersenyum Acik Mikon melihat isterinya termangu dengan kejadian yang dialaminya, kerana ketika ini Andak Libit sudah pun duduk dalam keadaan sudah pulih.

"Macam mana?" Semail Bujuk mengusap rambut Andak Libit setelah isterinya meneguk minuman.

"Entahlah, Cu Selemah besarnya," bergetar suara Andak Libit menggeleng lemah. "Tapak kaki Cu Selemah macam bukit memijak kepala puaka berkaki capik tu!" katanya perlahan sambil menunduk menyebabkan Semail Bujuk tersengih-sengih mengerling Cu Selemah.

Memang Semail Bujuk tidak tahu apa-apa mengenai kejadian yang menimpa dua orang perempuan itu. Cu Selemah juga tidak bercakap apa, kecuali beberapa kali mengesat pelupuk matanya.

Lama selepas itu baru Cu Selemah beritahu jiran-jiran mengenai puaka capik yang mahu mencengkam tengkuk Andak Libit. Bukan dia sahaja macam tidak percaya dengan apa yang berlaku, malah Andak Libit juga mengakui mengenai puaka capik yang mahu menerkamnya. Kalau tidak dihalang oleh Acik Mikon memang kuku-kuku runcing puaka capik itu sempat mencengkamnya.

Memang isteri saya juga tetap ingat kejadian berkunjung ke Lenggong beberapa tahun dulu ke rumah Acik Mikon, apabila melihat kelkatu berterbangan menerpa lampu di tengah rumah. Kadangkala tersenyum dia apabila kenangkan Andak Libit gementar apabila ceritakan fasal tubuh Cu Selemah membesar hingga kepalanya cecah ke awan.

Tamat bab 131.

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab132

PUAKA MENJELMA DIHUJAN PANAS

(Bab 132 bahagian 1)

MAHU dikatakan sudah lama berlalu tidak juga kerana adik bongsu Andak Libit meninggal dunia semasa berusia tiga tahun, ketika itu dia sudah anak dara sunti. Adiknya Matan menangis nyaring mahu mengikut ayahnya ke kedai, sampai tidak sempat dihalang oleh emaknya.

Memang Pak Sulah tidak mahu membawa anak kecil itu ke kedai dengan menunggang basikal melalui jalan kecil berlubang-lubang. Lainlah kalau di kedai kopi dalam kampung memang seringkali juga Pak Sulah dukung anaknya Matan. Sudah menjadi kebiasaan anak kecil itu asal sahaja ayahnya tinggalkan rumah, dia tetap mahu mengikut sama. Kalau dilarang kemahuannya Matan akan menggila menangis sampai hilang suara.

Disebabkan Pak Sulah sudah berjanji dengan jirannya Long Zidin mahu ke Lenggong menunggang basikal, dia terpaksa mengelak daripada anaknya Matan. Sengaja Pak Sulah turun ikut jalan dapur mengheret basikal buruknya dengan menyuruh Andak Libit awasi Matan. Tetapi semasa menarik basikalnya Matan dapat juga melihat kelibat ayahnya cepat-cepat tinggalkan rumah.

Tidak bertangguh Matan berkejar mengekori dari belakang mahu menjejaki ayahnya yang sudah jauh ke darat kampung. Pak Sulah tahu Long Zidin tentu lama menunggu di rumahnya, kerana lorong tersebut melalui halaman rumah Long Zidin juga.

Tangisan Matan mengekori ayahnya menjadikan emaknya Mak Tmbun serba salah juga. Tidak disangkanya keras sangat hati Matan sampai mengejar dari belakang dengan tidak hiraukan lorong kecil itu dipenuhi belukar di kiri kanan. Jalan mahu ke rumah Long Zidin itu pula dipisahkan oleh parit kecil dengan dihubungkan titian batang pinang.

"Adik kamu tu tengok, Libit," laung Mak Tambun setelah melihat anaknya melepasi selekoh yang dilindung belukar senduduk di kiri kanan lorong.

Tidak bertangguh Andak Libit mengejar adiknya pula. Bimbang juga dia sekiranya Matan jatuh ke dalam parit longkang hingga dihanyutkan air. Memang air di dalam parit itu cetek dan tidak deras, tetapi manalah tahu kalau geruh mahu datang menimpa. Tentu adiknya terjatuh semasa melalui titian batang pinang melintang parit itu.

Belum pun sempat Andak Libit sampai ke parit berkenaan, adiknya Matan sudah berpatah balik. Tersenyum Andak Libit kerana Matan tidak berani mahu meneruskan perjalanan mengejar ayahnya. Cepat-cepat pula dia memeluk Matan yang datang berlari menerpa ke arahnya.

"Andak, aku takut," beritahu Matan pelat-pelat dalam sedu sedan tangisnya.

"Takut apa?" pujuk Andak Libit terus mendukung adiknya dibawa balik ke rumah.

"Ada orang dekat titi," Matan tersengguk-sengguk menangis sampai ke halaman rumahnya.

Setelah dipujuk oleh emaknya, lantas sahaja Matan beritahu dia hampir jatuh sewaktu mahu meniti titian batang pinang melintang parit. Tetapi orang tua berkaki capik datang membantunya dengan memegang tubuhnya. Terkejut benar Matan apakala melihat muka hodoh lelaki itu dengan bibirnya berlumuran darah.

Tersengih-sengih lelaki tua itu membawa dia balik ke tebing parit. Lantas lelaki itu memujuknya supaya balik semula ke rumah. Semasa Matan meniti titian itu memang dia nampak lelaki tua itu berjalan di dalam parit dengan terjengket-jengket disebabkan kakinya capik.

Tangisan Matan menjadi bertambah kuat bukan disebabkan marah ayahnya tinggalkan dia, tetapi lelaki tua itu memujuknya supaya balik ke rumah. Dia juga terkejut kerana muka lelaki itu terlalu hodoh hingga kulitnya berkedut-kedut macam kertas diramas di dalam air.

Mak Tambun tersenyum dengan cerita anaknya yang pelat-pelat itu. Anak kecil berusia lebih tiga tahun itu sengaja mahu berdalih disebabkan hatinya mendongkol ditinggalkan oleh ayahnya yang tidak mahu dia sama menunggang basikal ke kedai. Tentulah Matan meluahkan rasa marahnya dengan membuat cerita bohong demikian.

Setelah dipujuk, Matan tidur juga disebabkan keletihan sampai santak petang. Sehingga Pak Sulah balik dari kedai sebelah petangnya barulah dia terbangun dari tidur. Sengaja Pak Sulah belikan coklat untuk memujuk Matan supaya tidak berterusan mendongkol perasaan.
Sebaik sahaja Matan terkejut bangun, lantas Pak Sulah hulurkan coklat yang dibelinya di kedai. Tahu sangat dia tentu Matan tidak akan merajuk lagi setelah dibelikan coklat kegemarannya. Tidak bertangguh pula Matan membuka pembungkus coklat sebaik sahaja dihulurkan kepadanya.

Ketika Matan menjamah, coklat, Andak Libit sengaja mengusiknya dengan memintanya sedikit. Matan tidak kedekut pun. Dihulurnya sebahagian coklat itu, tetapi Andak Libit menggeleng sahaja. Dia sekadar mengusik adiknya yang masih terpisat-pisat bangun dari tidur.

Apabila Mak Tambun siap menyediakan minuman petang, Pak Sulah terus mendukung Matan ke dapur. Kesal juga dia tidak membawa anaknya bersama ke Lenggong apabila melihat bekas air mata masih terbayang di pipinya. Tetapi mahu dibawa Matan menunggang basikal jauh sangat sampai berbatu-batu jaraknya. Lainlah dia berseorangan mengayuh basikal tidak terasa apa-apa, kerana tenaganya masih gagah.

Matan tidak galak bermain semasa duduk berpangku ayahnya di dapur. Dilayan oleh emaknya bercakap pun, Matan tidak menyahut apa-apa. Dia kelihatan lesu dan tubuhnya panas.

"Demam budak ni agak-nya," gerutu Mak Tambun apabila meletakkan tapak tangan ke dahi Matan. "Panas kepalanya, memang dia demam," ujarnya mengagak lantas merapati anak kecilnya.

"Budak bangun tidur, tentulah panas badan," sahut Pak Sulah mengusap kepala anaknya.

"Awak tengok tu, letih aje dia!" tegas Mak Tambun terus memangku Matan. Dia selak baju suakan ke mulut Matan biar anak kecil itu menyusu, tetapi Matan menggeleng. Selepas menjamah coklat dia tidak mahu lagi menyusu pada emaknya.

"Adik demam ke?" Andak Libit pula mendekati adiknya.

Matan mengangguk. Semenjak petang itu pula demam Matan semakin bertambah. Sepanjang malam dia merengek tidak menentu. Terpaksa pula Mak Tambun jaramkan kepalanya dengan daun bunga raya, biar suhu panas beransur sejuk.

Tiga hari Matan merengek demam, dengan tidak mahu lagi menyusu Long Zidin mendesak dibawa sahaja ke hospital. Serba salah juga Pak Sulah mahu hantar Matan ke hospital kerana dia dapat mengagak anaknya demam kepialu. Suhu panas badan Matan memang disebabkan demam kepialu dengan perutnya kembung sepanjang hari.

"Panas jatuh ke dalam ni," ujar Long Zidin tidak sabar lagi mendesak sepupunya hantar sahaja anaknya itu ke hospital.

Dalam keadaan serba salah, Pak Sulah hantar juga anaknya ke hospital jauh di bandar. Memang di hospital pun Matan dikatakan dihinggapi typhoid menyebabkan suhu badannya bertambah panas. Pak Sulah tidak peduli pun apa penyakit anaknya, tetapi kesal terus menusuk di hatinya kerana dia menjadi punca anaknya dihinggapi penyakit.

Memang Long Zidin juga beritahu typhoid itu demam kepialu. Pak Sulah tidak bimbang sekiranya Matan dihinggapi demam kepialu. Tahu sangat dia kalau demam kepialu boleh dijaram dengan daun pulasan diperah air. Kepala Matan juga perlu dipupuk dengan daun sedingin biar wap panas segera hilang.

Tetapi di hospital dia tidak boleh berkeras. Apa lagi ketika itu siapa pun tidak berani angkat muka di hadapan doktor atau jururawat. Mereka orang kampung terangguk-angguk di depan doktor dengan memanggilnya tuan berulang kali. Doktor pula tersengih-sengih dengan telatah orang kampung yang terketar-ketar apakala berhadapan dengannya.

Lainlah kalau Matan terkejang di rumah. Memang Pak Sulah akan pupuk kepala anaknya dengan daun sedingin. Demam kepialu bukan membimbangkan sangat pada orang-orang kampung. Lainlah penyakit hawar yang mengganggu mereka beberapa tahun sebelum itu. Setiap hari sampai enam tujuh orang penduduk kampung meninggal dunia akibat termuntah-muntah. Doktor orang putih yang datang melawat menuduh mereka diganggu taun. Belum pun sempat kubur digali, sudah ada orang memberitahu mengenai jiran mereka baru sahaja meninggal dunia. Menjelang senja bergilir-gilir pula orang menggali kubur.
Tetapi Utih Semik tidak percaya dengan penyakit taun. Dia percaya wabak hawar yang melanda kampung mereka. Sebab itu Utih Semik desak seisi kampung buat sembahyang hajat setiap malam. Macam mana doktor orang putih menuduh mereka diganggu penyakit taun, kerana tiga bulan sebelum wabak hawar melanda, orang-orang kampung melihat terlalu banyak belalang berkeliaran.

Kadangkala bagaikan gelap langit apakala belalang-belalang berkenaan terbang di udara. Apabila hingga di pelepah kelapa, tidak sampai sepuluh minit daun kelapa hanya tinggal lidi sahaja akibat dimakan oleh belalang yang terlalu banyak.

Utih Semik percaya wabak hawar memang bala disebabkan perbuatan manusia yang mungkar. Dia tetap tidak percaya wabak taun melanda kampung sampai mereka termuntah-muntah akibat demam tidak menentu. Kalau tidak masakan terlalu banyak belalang masuk ke kampung. Jangan katakan hinggap di daun padi tengah sawah, hingga di pelepah kelapa pun habis dimamah sampai tinggal lidi.

Memang padi di tengah sawah dimakan belalang sampai ke umbi. Mereka tidak tahu dari mana belalang yang terlalu banyak itu datang menyerbu ke tengah kampung macam kelkatu berterbangan merata tempat. Utih Semik yang kumpulkan seisi kampung di surau sembahyang hajat minta Allah jauhkan mala petaka dari kampung.

Tiga malam berturut-turut sembahyang hajat, mereka tidak nampak lagi kelibat belalang yang banyak laksana lebah mencari sarang. Tidak seorang pun pegawai orang putih yang datang menjengah kampung mereka sekalipun penghulu sudah sampaikan kejadian tersebut. Lama selepas gangguan belalang, itulah seisi kampung diserang wabak hawar.

Tiba-tiba sahaja mereka berasa pening kepala, kemudian perut memual-mual hingga termuntah tidak bertahan. Tiga hari sahaja mereka mengidap demam tidak menentu memang tidak dapat diselamatkan lagi. Dalam masa beberapa hari sahaja sampai enam tujuh orang meninggal dunia setiap hari tidak kira kanak-kanak, perempuan, lelaki atau orang dewasa.

Biarlah seisi kampung percaya pegawai orang putih memberitahu mereka mengidap wabak taun, tetapi Utih Semik tetap berkeras menuduh wabak hawar. Seisi kampung mesti sembahyang hajat beramai-ramai memohon perlindungan Allah supaya hindarkan wabak hawar itu dari kampung halaman mereka.

Tetapi pegawai orang putih tidak peduli orang-orang kampung berkeras melawan perintah mereka mahukan setiap orang disuntik. Penghulu sendiri iringkan pegawai perubatan orang putih memaksa semua orang mesti disuntik. Mereka tidak dibenarkan lagi buang air besar di sungai, tetapi mesti dibina tandas tiap-tiap rumah.

Siapa pun tidak berani membantah apabila pegawai orang putih sendiri masuk ke kampung mereka. Utih Semik juga terpaksa mematuhi dengan membiarkan bahunya disuntik ubat. Bimbang juga dia mahu membantah kalau pegawai berkenaan masuk bersama polis lengkap pakaian seragam. Manalah tahu menjadi kesalahan pula sampai boleh ditahan di balai kalau mereka membantah setiap orang mesti disuntik.

Disebabkan Utih Semik juga disuntik, orang-orang kampung terpaksa mematuhi perintah penghulu. Mereka terpaksa menahan sakit suntikan jarum dengan alasan mahu mencegah wabak taun daripada merebak. Tidak lama selepas mereka sembahyang hajat dan disuntik ubat, memang penyakit tersebut serta merta sahaja terhindar.

Sebab itulah Alang Lipah marah benar dengan keputusan menantunya Pak Sulah membawa Matan ke hospital. Siapa mahu jengah Matan terlantar di hospital disebabkan jauh dari kampung. Alang Lipah percaya tentu Matan disuntik seluruh badan sama macam orang-orang kampung menderita akibat wabak hawar itu.

"Kenapa tak bertanya pada Utih Semik?" gerutu Alang Lipah memarahi anaknya Mak Tambun. "Matan tu mesti diubat dulu, sebelum dihantar ke hospital!" mendongkol benar hatinya dengan keputusan Pak Sulah itu.

"Long Zidin yang desak," beritahu Mak Tambun serba salah apabila emaknya tidak bersetuju Matan dibawa ke hospital.

"Matan tu anak kamu ke, atau anak Long Zidin?" semak in geram Alang Lipah dengan jawapan anaknya.
Kalau Matan terkejang akibat demam kepialu memang Alang Lipah tidak peduli sangat Pak Sulah mahu bawa ke hospital. Tetapi Andak Libit yang beritahu dia Matan terkejut semasa mahu meniti titian batang pinang apabila melihat lelaki hodoh capik memeluknya. Kalau lelaki tua capik itu tidak datang membantu nescaya Matan jatuh ke dalam parit.

Matan sendiri terangkan pada kakaknya apabila berpatah balik dalam keadaan ketakutan. Memang dia terkejut melihat lelaki tua capik yang tidak dikenalinya. Tiba-tiba sahaja dia nampak lelaki berkenaan berjalan terdengkot-dengkot di dalam air paras betis. Disebabkan terserempak lelaki hodoh berkaki capik itulah Matan hampir terjatuh kerana terkejut benar. Cepat-cepat pula lelaki hodoh capik itu menyambutnya lantas membantu balik semula ke tebing parit. Matan nampak mulut lelaki itu berbuih dengan darah dalam senyumnya yang melirik.

"Matan tu demam kepialu?" keras suara Alang Lipah membantah. "Anak kamu Libit kata, Matan terkejut nampak orang tua capik!" tegasnya mencebek bibir kerana Mak Tambun tidak percaya dengan penjelasan Matan.

"Emmm, cakap budak-budak, bukan boleh percaya," keluh Mak Tambun perlahan cuba pertahankan suaminya.

"Kamu memang percaya cakap orang dari cakap anak kamu sendiri," Alang Lipah memang geram benar. Mak Tambun sengaja mahu berkeras menghantar Matan ke hospital dengan tidak berunding sesama sanak saudara. Apa salahnya tanyakan dia terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa dibawa ke hospital.

Bukan Matan sahaja terserempak lelaki tua hodoh berkaki capik melalui parit berkenaan, Alang Lipah juga pernah terserempak. Beberapa orang di kampung tersebut juga nampak kelibat lelaki hodoh berkenaan terutama tatkala hujan panas turun menyerak.

Sudah diingatkan oleh Utih Semik sekiranya terserempak lelaki hodoh itu berjalan terdengkot-dengkot di dalam parit, tidak perlu takut apa-apa. Biarlah dia melalui parit itu sampai hilang dari pandangan dengan tidak perlu ditegur. Tahu sangat Utih Semik mengenai rahsia lelaki hodoh yang selalu ditemui orang-orang kampung. Sia-sia dia menjadi pawang besar di situ kalau tidak memahami rahsia di sekeliling kampung! Asal sahaja hujan panas turun bersesak janganlah melalui parit berkenaan sekiranya lemah semangat.

Siapa sahaja lemah semangat tentu mudah terkejut sambil demam terketar-ketar. Sekiranya lambat dipulihkan semangat mangsa tidak dapat lagi diselamatkan. Tentulah mereka tuduh diganggu demam kepialu apabila demam tidak menentu. Tetapi Utih Semik dapat mengagak tentulah puaka yang menjelma macam lelaki tua hodoh berkaki capik membawa semangat mangsa itu bersamanya.

"Dia sekadar nak berkawan," ujar Utih Semik apabila ditanyakan mengenai jelmaan lelaki hodoh berkaki capik itu. "Sebab itu diajaknya kemana saja, sampai mangsanya tak tahu jalan balik, dia melanjutkan sambil mengeluh perlahan.

Sebab itu Alang Lipah terkilan dengan keputusan Pak Sulah kerana tidak memberitahu Utih Semik. Sengaja Pak Sulah tidak mahu mempercayai penjelasan Matan mengenai lelaki hodoh berkaki capik itu. Siapa lagi yang ditemui oleh Matan tatkala hujan panas turun renyai-renyai di parit berkenaan kalau bukan puaka berkenaan menjelma?

Sudah berkali-kali Utih Semik ingatkan supaya jangan melintas parit itu tatkala hujan panas turun renyai-renyai sekira-nya lemah semangat. Lelaki tua hodoh berkaki capik itu memang tidak mengganggu sesiapa pun, tetapi dia mahu mencari kawan sahaja. Utih Semik tahu mengenai rahsia jelmaan puaka itu dari ayahnya sendiri Pawang Minin.

Bersambung...

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.