Kisah Seram t.me/BercakapDenganJin
3.31K subscribers
97 photos
168 videos
14 files
104 links
MANUSKRIP BERCAKAP DENGAN JIN
Karya TAMAR JALIS
🀲al fatihah kpd penulis
Allahyarham dlm memori
(13.9.1940 - 26.8.2018)
.
.
KISAH SERAM / CERPEN
πŸ“ Koleksi seram pelbagai sumber termasuk pengalaman admin dan followers BDJ sendiri.
Download Telegram
Manalah Cikgu Sidik yang lama merantau itu tahu dengan suasana dalam kampung. Lagi pun semenjak bersara Cikgu Sidik mudah sahaja tidur sebaik habis isya, disebabkan tidak banyak masalah mengganggu fikiran.
Manalah Cikgu Sidik tahu fasal keadaan yang menyelubungi rumah peninggalan Anjang Kimin. Perkara gangguan yang ditakuti orang untuk tinggal di kuarters sekolah tempat Cikgu Sidik berkhidmat tentulah tidak sama dengan rumah peninggalan Anjang Kimin itu.

"Kalau takut, tunggul pun kita sangka hantu," Cikgu Sidik mengusik jirannya yang percaya sangat dengan kejadian di rumah Iimas tersergam itu tatkala malam menjelang.

"Saya dah seminggu menunggu tak ada dengar apa-apa pun," ujar Mat Cebek disebabkan hampa untuk melihat sendiri kejadian yang berlaku. Sewaktu mereka berkumpul di tangga surau selepas solat zohor berjemaah, Melah Becok termengah-mengah memberitahu anaknya Mat Cebek mengenai bunyi orang bertukang rumah dari arah rumah limas tersergam itu. Mat Cebek tidaklah tergesa-gesa mahu menjengah kerana bunyi orang bertukang rumah di siang hari hanya perkara biasa sahaja.

Tetapi Melah Becok mengakui bunyi orang bertukang itu datang dari rumah limas berkenaan. Sampaikan anak gadisnya Mayah pun gementar tidak menentu sebaik sahaja mendengar bunyi orang bertukang. Terketar-ketar Mayah memberitahu emaknya dia nampak Anjang Kimin memanjat tangga betulkan dinding dapur rumah limas itu yang tergajai jatuh.

Disebabkan mereka diberitahu mengenai Mayah ketakutan hingga pucat bibir, segeralah Mat Cebek mengajak jemaah lain ke rumah emaknya. Dia sendiri di antara percaya dengan tidak sahaja dakwaan emaknya mengenai bunyi orang bertukang di rumah Anjang Kimin.
Kalau adiknya Mayah menuding ke arah rumah itu memberitahu nampak Anjang Kimin memanjat tangga, tentulah perkara lain pula. Dia mesti desak adiknya beritahu apa sebenarnya yang dilihat. Setelah dua tahun Anjang Kimin meninggal dunia kenapa tiba-tiba sahaja jelmaannya muncul di siang hari?

Ketika mereka sampai di rumah Melah Becok, tidak siapa pun mendengar bunyi orang bertukang rumah. Alang Limah yang datang ke situ juga tidak mendengar apa-apa. Kalaulah benar bunyi bertukang itu datang nya dari rumah Anjang Kimin, tentulah dia lebih jelas mendengar disebabkan kedudukan rumahnya lebih dekat.

"Eh, Anjang Kimin jatuh tangga," terjengket-jengket Mayah mahu melompat terjun tingkap seolah-olah mahu membantu Anjang Kimin. "Cepatlah tolong Anjang Kimin jatuh tu, kesian dia!" rintih Mayah setelah ditegah oleh jiran-jiran supaya tidak terjun ikut tingkap.

"Mana ada Anjang Kimin!" jerkah Mat Cebek memarahi adiknya yang meronta-ronta mahu melepaskan diri.

"Adik kamu ni sakit, Mat " lantas Malim Kecik mengingatkan. "Kena diubati, bukannya diherdik-herdik macam ni," tegasnya macam memarahi anak muda itu yang terburu-buru bertindak.

"Kamu tak tahu ke bezakan orang sakit dengan tidak?" Alang Limah juga tidak senang dengan sikap Mat Cebek demikian.

Terdiam Mat Cebek. MenyesaI juga dia apabila memarahi adiknya tidak bersebab. Dia menyangka Mayah sengaja berpura-pura menuduh Anjang Kimin jatuh memanjat tangga disebabkan terlalu ketakutan. Mungkin juga Mayah terkejut setelah seisi kampung gempar dengan cerita mengenai rumah Anjang Kimin ada penunggu.

Tetapi Mayah benar-benar dirasuk. Mulutnya mula berbuih dengan mata terbalik. Kalaulah jiran-jiran lambat sampai apabila Melah Becok berkejar ke surau menjemput Mat Cebek, belum tahu apa akan terjadi. Boleh jadi Mayah akan terkejang menggelepar dengan tidak dibantu apa-apa.

"Nak buat apa sekarang ni?" Melah Becok tidak keruan dengan keadaan anak gadisnya resah mahu melarikan diri. Dia mahu segera menyerbu ke rumah limas tersergam untuk membantu Anjang Kimin. Berkali-kali dia memberitahu Anjang Kimin jatuh tangga memanjat untuk betulkan dinding rumah yang tergajai.

"Macam mana cikgu?" segera Mat Cebek berpaling memandang Cikgu Sidik yang terkebil-kebil mata. Hairan juga dia kejadian yang menimpa Mayah sekalipun jauh di sudut hatinya tidak percaya sangat mengenai bayangan Anjang Kimin.
Kenapa seisi kampung tidak melihat Anjang Kimin jatuh tangga untuk betulkan dinding rumah yang tergajai? Dia sendiri tidak melihat siapa pun di situ, apatah lagi bunyi orang bertukang rumah mengetuk martol memaku ke dinding.

Tetapi memang dia nampak tangga reput tersandar di bahagian dapur rumah, sedangkan dinding dapurnya tidaklah tergajai. Semua dinding masih kukuh sekalipun sudah dua tahun terbiar disebabkan tidak berpenghuni. Dua kali hari raya berlangsung pun, Utih Bedah tidak balik ke kampung. Dia berhari raya bersama anak-anak sahaja dengan tidak menjengah ke rumah peninggalan.

Bukanlah Utih Bedah mahu melupakan kampung halaman. Sayu juga dia beritahu Alang Limah mengenai sikap anak-anaknya yang tidak mahu balik ke kampung. Mereka semua tidak perlu lagi balik ke kampung setelah membawa emaknya tinggal bersama.

Utih Bedah tidak boleh berkeras sekiranya anak-anaknya tidak mahu menghantar dia balik ke kampung. Lagi pun tentu dia berseorangan sahaja di kampung kalau anak-anak tidak balik menjengah. Bahari tidak benarkan dia balik ke kampung kalau sekadar mahu berhari raya sehari dua.

Bukan Bahari sahaja tidak rela emaknya balik ke kampung berhari raya, malah Semah juga mendesaknya supaya ke Johor Bharu. Dia sendiri akan menjemput emaknya supaya berhari raya ke Johor Bharu. Tentu abangnya Bahari juga akan ke Johor Bharu kalau mahu berhari raya dengan emaknya.
Tidak ada apa-apa diharapkan di kampung setelah ayahnya Anjang Kimin meninggal dunia. Keluarga emaknya tidak ada di kampung, kecuali saudara jauh sahaja. Biarlah emaknya dibawa tinggal bersama mereka daripada terbiar di kampung tidak ada sesiapa menjengah.

"Tak tahu saya nak buat macam mana," beritahu Cikgu Sidik setelah keadaan Mayah semakin pasang. "Kalau tak ada jalan lain, kita hantar sahaja ke hospital," desaknya agar mereka tidak membuang masa menghadap Mayah dalam keadaan gelisah tidak menentu itu.

"Hah, penyakit ni tak sesuai dihantar ke hospital," cepat sahaja Ngah Saenah membantah. Masakan keadaan Mayah meracau tidak menentu itu boleh dihantar ke hospital. Kalau berkeras dihantar ke hospital tentu Mayah dituduh demam panas.

Tahu sangat Ngah Saenah kalau sakit meracau-racau demikian tentu dituduh diganggu demam panas. Doktor sendiri yang ingatkan apabila seseorang itu suhu panasnya tinggi, tentu akan meracau-racau disebabkan hilang ingatan.

Tetapi Ngah Saenah tidak percaya Mayah diganggu demam panas. Hujung kaki Mayah juga sejuk macam ketul ais apabila dia meramas-ramas perlahan. Mayah juga terus menuding ke rumah Iimas tidak jauh dari situ memberitahu mengenai Anjang Kimin masih terjelepoh di tanah tidak dapat bangun setelah jatuh tangga.

"Kesian Anjang Kimin, dia jatuh!" tegasnya mengeluh pendek sambil mata liar melingas ke kiri ke kanan. Kalau tidak dipaut beramai-ramai memang Mayah akan menyerbu ke rumah Iimas itu kerana mahu membantu Anjang Kimin.

"Mana Anjang Kimin?" sengaja Ngah Saenah memujuknya supaya memberi tahu apa yang berlaku ke atas dirinya.

"Tak nampak ke Anjang Kimin jatuh tangga tu?" ujar Mayah menuding kasau atap seolah-olah menunjukkan ke arah rumah limas tersergam.

"Ngah tak nampak pun," tersengih-sengih Ngah Saenah mengusiknya kerana dia memang tidak nampak siapa pun di kasau atap. Sepanjang malam juga Mayah meracau mengenai Anjang Kimin jatuh tangga kerana membaiki dinding rumah tergajai. Sudah dijemput Itam Sidin di Pelangai pun keadaan Mayah tidak juga berubah. Dia ketakutan hingga pucat bibir setiap kali menuding kasau atap memanggil-manggil Anjang Kimin. Merintih sayu Mayah kerana tidak dapat membantu Anjang Kimin yang dikatakanya terkial-kial merangkak mahu naik ke rumah.

Menggeleng kepala Itam Sidin dengan keadaan yang berlaku ke atas diri Mayah. Kalau mahu dituduh dirasuk polong atau pelesit peliharaan Anjang Kimin masakan dia belas kesihan terhadap nasib yang menimpa orang tua itu. Lagi pun jiran-jiran percaya memang Anjang Kimin tidak memelihara polong atau pelesit.
Tahu sangat mereka sesiapa yang memelihara polong atau pelesit jangan cuba mengambil harta bendanya dengan tidak meminta izin. Bukan takat mengambil buah-buahan yang masak ranum musim menjadi, bahkan menyepak buah kelapanya tergolek di tepi pagar pun tentu akan dirasuk.

Siapa sahaja dirasuk pelesit atau polong akan meracau menyebut apa sahaja yang dilakukan terhadap harta benda tuan yang memelihara. Dia akan merungut fasal mencuri buah-buahan atau menyepak buah kelapanya di tepi pagar. Apa sahaja perbuatan yang tidak disenangi oleh tuan pemelihara polong atau pelesit akan diracau sepanjang malam.

Tetapi Itam Sidin percaya memang Mayah tidak dirasuk polong atau pelesit. Dia sendiri dapat mengagak keadaan rumah peninggalan Anjang Kimin itu tidak ada tanda-tanda orang tua itu pernah memelihara polong atau pelesit.
Cubalah pelesit atau polong menjelma di situ nescaya mudah sahaja diperangkap oleh Itam Sidin. Siapa yang berani menguji dia mengenai pelesit atau polong di kampungnya? Memang tahu sangat mereka yang diam di Pelangai mengenai keistimewaan Itam Sidin kalau dia sudah meramas-ramas kemenyan ke dalam bara.

Bersambung...

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab138

BAYANG PENUNGGU DI RUMAH TINGGAL

(Bab 138 bahagian 2)

Belum sempat dia hembuskan asap kemenyan, lantas sahaja orang yang dirasuk pelesit akan terjerit. Tidak bertangguh dia memberitahu siapa tuan yang memelihara. Serentak dengan itu belalang hijau sebesar kelengkeng akan jatuh tergolek di depannya. Menggelepar belalang itu terkial-kial kaki menendang angin hingga keluar tujuh helai rambut melilit seluruh tubuh. Belalang itu akan terkejang mati setelah tubuhnya dibelit rambut tersebut.

Di mana sahaja pelesit tidak dapat bersembunyi apabila Itam Sidin sudah mengukuhkan duduk lantas membacakan jampi serapahnya:

Ungguh-ungguh anggah-anggah, datang nenek tongkat besi, terlanda engkau patah terpijak engkau mati, mata kamak mata kamu, kamu ku budang badang siah kiri siah kanan siahkan kata araku, aku tahu asal engkau jadi, darah ular sekati munur asal engkau jadi, terserak ke laut jadi tahi nagan, terserak ke darat jadi mambang kuning, ingang ingut di lautan gedang Yassin kata Allah, Yassin kata Muhammad, Yassin kata Rasullullah...

Habis sahaja Itam Sidin menghembus ke arah siapa sahaja dirasuk nescaya tuan yang memelihara pelesit akan lemah tidak bertenaga. Seluruh tubuhnya akan terbakar seperti dihumban ke tengah api marak menyala. Segala belalang pelesit yang disimpannya akan berterbangan tidak menentu hingga bercempera menyelamatkan diri.

Sebab itu Malim Kecik desak juga Mat Cebek menjemput Itam Sidin di Pelangai. Biarlah jauh sedikit sampai ke Pelangai, memang Malim Kecik percaya bapa saudaranya itu mampu menghalau pelesit atau polong yang mengganggu Mayah.

"Bukan dirasuk pelesit atau polong!" gerutu Itam Sidin perlahan sambil menghela nafas.

"Takkan Anjang Kimin yang pelihara," sahut Ngah Saenah berharap supaya tidak siapa pun menuduh abangnya memelihara polong atau pelesit. Lagi pun abangnya sudah meninggal dunia, tidak patut lagi diungkit-ungkit. Biarlah semuanya disimpan baik-baik dalam hati jangan sampai terluah perasaan dendam kesumat.

"Memang dia tak simpan polong atau pelesit," tegas Itam Sidin memberi jaminan memang arwah Anjang Kim in tidak amalkan apa-apa.

"Tapi, macam mana dengan Mayah ni?" gelisah juga hati Melah Becok dengan keadaan anak gadisnya masih tidak dapat dipulihkan.

Tiba-tiba ketika ini Alang Limah ternampak api terpasang di bilik tidur rumah limas peninggalan Anjang Kimin, sewaktu dia menjengah di tingkap untuk meludahkan air sirih. Berdebar benar dia lantas menggamit suaminya Malim Kecik supaya mara ke arahnya. Mereka semua sama-sama memerhatikan ke arah rumah limas tersergam. Memang nampak cahaya lampu malap di bahagian bilik tidur tempat yang digunakan oleh arwah Anjang Kimin. Tidak bertangguh Mat Cebek turun ke tengah halaman mahu memastikan cahaya lampu yang sudah seminggu ditunggunya.

Sebaik sahaja Mat Cebek melangkah menuju ke rumah limas, Itam Sidin bersama Malim Kecik juga mengekor dari belakang. Mereka juga hairan dengan cahaya lampu di rumah yang tidak didiami sesiapa itu. Kalau Utih Bedah balik ke kampung pun dia tidak akan tidur di situ,

Sewaktu mengendap di bawah rumah, mereka bertiga terbau kemenyan dibakar. Keliling kawasan rumah memang sudah ditumbuhi rumput memanjang, bimbang juga mereka sekiranya ular berlingkar di situ. Dalam gelap demikian masakan mereka boleh melihat di tengah rumput memanjang sekiranya ular berlingkar menunggu mangsa.

Tetapi perkara ular di tengah belukar rumput bukanlah menakutkan Malim Kecik. Kadangkala ular berlingkar itu akan menghambur lari tidak bertangguh sekiranya terhidu bau Malim Kecik melintas. Kalau ular berkeras mahu menerkam bila-bila sahaja akan disambar tengkuknya oleh Malim Kecik sampai tidak boleh mengangkat kepala.

Asal sahaja kepala ular sudah digenggam oleh Malim Kecik, dia akan biarkan binatang itu memagut tangannya sampai memercik darah. Selepas itu Malim Kecik akan sapu kepala ular itu dengan darahnya. Sebaik sahaja kepala ular sudah disapu dengan darah memang tenaga ular berkenaan menjadi lemah.
Apabila dipanggil Malim Kecik dia tidak perlu gunakan besi perejang menusuk kepala ular berkenaan. Dia akan masuk ke reban terus mengheret ular sawa ke tengah halaman. Tetapi MalIim Kecik tidak benarkan siapa pun membunuh ular yang ditangkapnya. Biarlah dia sendiri melepaskan semula ular berkenaan ditengah hutan.

Sekiranya mereka mahu bunuh juga, Malim Kecik tidak mahu dibunuh di depannya. dia balik ke rumah dulu kalau berkeras mahu membunuh ular yang telah ditangkap itu. Sudah menjadi pantang larang Malim Kecik tidak akan melihat ular dibunuh di depannya.
Sebab itu Mat Cebek juga tidak bimbang meranduk rumput memanjang di tengah halaman sampai ke kaki tiang. Tahu benar dia Malim Kecik boleh diharap buangkan bisa kalau dipatuk ular sekalipun. Siapa yang ubatkan Andak Siti dipatuk ular tiung di betis tatkala selamatkan itiknya dibelit di perdu rumpun senduduk?

Siapa yang selamatkan Busu Cot dipatuk ular tedung senduk kalau bukan Malim Kecik? Memang mereka harapkan Malim Kecik membantu sekira-nya geruh dipatuk ular bisa. Asal sahaja Malim Kecik letakkan batu geliga hitam di tempat dipatuk ular nescaya batu tersebut melekat seperti paku diketuk ke dinding sekiranya bisa tengah pasang.
Apabila batu geliga hitam tertanggal jatuh bermakna tidak ada lagi bisa yang meracuni sampai menusuk ke jantung. Ketika ini Malim Kecik akan jampikan supaya darah tidak banyak mengalir keluar.

"Ada perempuan menangis," bisik Malim Kecik memegang bahu Itam Sidin sebaik sahaja mereka terdengar esakan tangisan yang mendayu-dayu. Mat Cebek juga mara ke dinding mahu rmengintai, dari celah dinding. Puas terhendap-hendap dia dapat melihat melalui lubang di celah dinding reput. Tidak ada siapa pun dilihatnya di ruang bilik tidur itu selain elusan angin yang menyeramkan di tengah malam demikian.

"Nampak apa-apa?" Malim Kecik mendekati Mat Cebet tidak berganjak memerhatikan sekeliling bilik.

"Suara tangisan tu bukannya di bilik tidur," ujar Mat Cebek perlahan lantas berundur memberi laluan kepada Malim Kecik untuk mengintai di celah lubang berkenaan.

"Dari arah tengah rumah," beritahu Itam Sidin dengan berhati-hati mencari arah datang-nya esak tangisan yang berhenjut-henjut itu.

Tetapi mereka tidak mendengar siapa pun bercakap merintih-rintih. Puas mengendap di bahagian bilik tidur memang mereka tidak dapat melihat apa-apa pun. Belum sempat mereka mahu mencari ruang mengendap ke tengah rumah, tiba-tiba sahaja lampu dipadamkan. Kawasan rumah menjadi gelap gelita.

Lama mereka menunggu kalau-kalau esak tangisan itu terus merintih, tetapi tidak lagi kedengaran apa-apa. Terpaksalah Itam Sidin mengajak Malim Kecik dan Mat Cebek balik semula ke rumah Melah Becok. Ketika mereka naik ke rumah, Mayah sudah terlena tidur. Sebaik sahaja mereka turun menuju ke rumah limas tersergam, memang Mayah tidak lagi merengek-rengek. Dia dapat lelapkan mata akibat keletihan setelah lama meracau-racau.

"Nampak sesiapa di rumah tu?" tidak bertangguh Alang Limah mendesak suaminya.

"Ah, syaitan bukan boleh nampak dengan mata kasar," sahut Malim Kecik hampa.

"Kami di sini pun dengar tangisan merintih-rintih tu, beritahu Ngah Saenah semaca terkilan kerana siapa pun tidak dapat memastikan suara siapa dari arah rumah limas tersergam itu.

"Kalau arwah Anjang Kimin, kenapa suaranya perempuan?" hairan juga Melah Becok apabila fikirkan bagaimana suara perempuan merintih itu kedengaran dari rumah peninggalan Anjang Kimin.

Memang mereka tidak dapat menuduh punca esak tangisan tersebut. Kalau mahu dituduh orang kampung sendiri naik ke rumah tersebut, tidak ada kesan pintu dibuka. Bagaimana mereka naik ke rumah tersebut sekira-nya pintu tertutup rapat?

Apa pula kaitan dengan gangguan yang merasuk Mayah, apabila tiba-tiba sahaja dia tidak lagi meracau setelah suara tangisan di dengar dari arah rumah limas tersergam.

"Malam esok kita tengok lagi!" beritahu Itam Sidin semasa turun untuk balik semula ke Pelangai.
Tetapi keesokan paginya Mayah sudah bingkas bangun. Dia kelihatan segar seolah-olah tidak diganggu apa-apa penyakit pun. Apabila ditanyakan mengenai gangguan yang merasuknya, Mayah sendiri tidak tahu apa yang telah berlaku.

Dia hanya menyedari semasa di tingkap dapur ternampak seolah-olah arwah Anjang Kimin memanjat tangga untuk memaku dinding rumah yang tergajai. Tiba-tiba sahaja anak tangga patah meyebabkan dia tercampak ke tanah. Mayah nampak Anjang Kimin melambai lambai tangan ke arahnya meminta bantuan untuk memapahnya naik ke rumah.

Selepas itu dia sendiri tidak tahu lagi apa yang berlaku. Hanya apabila terjaga pagi harinya, Mayah terasa tubuhnya penat-penat sahaja. Dia gagahi untuk bangun mandi biar seluruh tubuhnya segar semula. Selepas mandi pagi memang Mayah terasa tubuhnya sihat setelah disirami air.

Kebetulan Itam Sidin termuntah-muntah apabila balik dari rumah Melah Becok, menyebabkan dia tidak dapat memenuhi janjinya untuk datang semula menjengah. Mat Cebek juga tidak datang menjemputnya setelah dia memberi pengakuan untuk datang sendiri.

Tetapi setelah disampaikan pesan oleh Itam Sidin mengenai dirinya termuntah-muntah akibat perut memual-mual, Melah Becok tidaklah mendesak sangat. Lagi pun Mayah sendiri sudah pulih betul sepanjang hari.

"Kalau benar ada gangguan di rumah limas tu, mari kita sama-sama buat sembahyang hajat," Cikgu Sidik mencadangkan supaya jiran-jiran tidak mengharapkan orang lain untuk selamatkan kampung mereka. Kalau kampung mereka diganggu bencana tentulah mereka sendiri wajib lindungkan.

"Siapa nak mulakan?" Malim Kecik juga bersetuju menerima cadangan Cikgu Sidik. Apalah salahnya mereka menerima cadangan yang baik asal sahaja memberi manfaat kepada semua penduduk.

"Kita sama-sama buat di surau!" tegas Cikgu Sidik guru bersara yang sudah berumur lebih 70 tahun. Tidak ada sebab mengapa dia tidak mampu mengajak jiran-jiran disebabkan pengalamannya yang luas. Bukan takat merantau ke beberapa tempat semasa mengajar sebagai guru, tetapi sudah kerap-kali melalui pengalaman demikian apabila bertugas di kawasan perndalaman.

"Cikgu imamkan," lantas sahaja Mat Cebek memberi pengakuan untuk sama-sama tunaikan.

Mereka semua berkumpul di surau sebelum masuk waktu maghrib. Sengaja Cikgu Sidik mengajak berjemaah maghrib dan isya terlebih dahulu sebelum mereka dirikan sembahyang hajat. Biarlah doa mereka makbul untuk jauhkan bencana di dalam kampung.

Ketika mulakan sembahyang hajat, Cikgu Sidik menyuruh mereka semua buat empat rakaat dengan dua salam. Rakaat pertama selepas al-Fatihah dia suruh bacakan Ayatul-Kursi tujuh kali, dan diikuti rakaat kedua selepas al-Fatihah mem baca dua ayat terakhir dari surah at-Taubah lima kali.

Habis sahaja sembahyang hajat lantas Cikgu Sidik memanggil Mat Cebek mara ke hadapan. Dia menyuruh Mat Cebek duduk berzikir sambil merenung tapak tangannya yang diangkat tinggi melepasi kepala. Semasa Mat Cebek menguatkan zikir yang tidak dilafazkan, tetapi bergema jauh ke dalam sanubari, Cikgu Sidik berdoa perlahan:

Allahhu yatawaffal anfusahi-na mautiha wallati lamtamut fi manamiha fayumsikullati qoda 'alaihalmauta wayursilul ukhra ila ajalim musammam inna fi zalika la ayatim liqaumim yatafakkarun.

Sekaligus Mat Cebek melihat tapak tangan Cikgu Sidik hitam hingga kelilingnya menjadi gelap. Dia seolah-olah menyusup ke dalam genggaman Cikgu Sidik apabila tapak tangannya mengembang menjadi lebar. Sebaik sahaja dia digenggam oleh Cikgu Sidik sayup-sayup suara orang tua itu menyuruh dia keluar dari gelungan gelap.

Sebaik sahaja Mat Cebek melepaskan diri dari serkup gelap, dia terasa tercampak ke tengah halaman rumah limas tersergam. Kelilingnya terang benderang sehingga Mat Cebek nampak seolah-olah Anjang Kimin memanjat tangga mahu memaku papan dinding.
Apabila anak tangga patah, terus sahaja Anjang Kimin tercampak ke tanah. Akibat jatuh terhentak pinggang, tiba-tiba sahaja Anjang Kimin tidak boleh bangun lagi. Kakinya kejang tidak boleh digerakkan. Siapa pun tidak datang membantu semasa Anjang Kimin jatuh tidak bertahan.
Dalam masa dia terkial-kial iniilah Mat Cebek nampak seorang perempuan muda mara mendapatkan Anjang Kimin. bersusah payah perempuan itu mahu membantu, tetapi segera dibantah oleh Anjang Kimin. Dia lebih rela terkial-kial seorang diri merangkak daripada mengharapkan bantuan perempuan berkenaan.

"Kenapa kau tak mahu dibantu, Kimin?" pujuk perempuan ilu seolah-olah mahu menggoda berterusan.

"Aku dah tua, biarlah aku lumpuh macam ni!" tegas Anjang Kimin tetap berdegil.

"Kaki kau boleh dipulih-kan," perempuan itu tetap berkeras memujuk Anjang Kimin.

Ketika ini Mat Cebek terdengar Cikgu Sidik menyuruhnya membacakan al-Fatihah tiga kali lantas dihembuskan ke arah perempuan berkenaan. Apabila dibacakan oleh Mat Cebek hembusan nafasnya bertukar menjadi api memancar seperti kilat menyambar tubuh perempuan berkenaan.

Tercampak perempuan itu akibat disambar api kilat dari hembusan Mat Cebek. Sebaik dia ternampak Mat Cebek tercegat di depannya perempuan itu terketar-ketar bagaikan menyerah kalah. Tetapi Mat Cebek mendengar Cikgu Sidik membacakan:

Qul mai yunajjikum min zuluma-til barri walbahri tad 'unahu tadharru 'au wakhufyatan la-in anja-na min hazihi lanaku nanna minasy syakirin.

Ketika ini perempuan itu berputar dikisar angin kencang hingga dia terbongkok-bongkok muntah tidak bertahan. Dia mendongak memerhati Cikgu Sidik meminta belas kasihan supaya tidak menyeksanya berterusan.

"Cukuplah, tuan haji..." dia merintih-rintih menahan sebak di dada. "Dah lama saya menderita, janganlah seksa saya lagi," rayunya tersengguk-sengguk menangis.

"Apa yang kau sedihkan sangat!" segera Mat Cebek bertanya dengan merenung perempuan itu tidak berkedip mata.

"Suamiku lumpuh, disebabkan jatuh masa bertukang," beritahu perempuan itu bergetar mengharapkan belas ihsan.

"Itu bukan suami kau, itu Anjang Kimin," tegas Mat Cebek menuding Anjang Kimin yang terkial-kial akibat para pinggang terhentak ke tanah. Tetapi Cikgu Sidik tidak benarkan Mat Cebek terus melayani perempuan tersebut.

Orang tua itu mengancam akan terus menyerang kalau perempuan tersebut terus bertahan di rumah limas tersergam. Perempuan itu tidak berhak mengganggu orang-orang kampung dengan menjelma di situ sekalipun tidak memudaratkan sesiapa.

"Tolonglah aku, tuan haji," rintih perempuan mengharapkan Cikgu Sidik berhenti membaca-kan doa-doanya.

Selagi perempuan itu berkeras, Cikgu Sidik tetap membacakan al-Fatihah, surah al-lkhlas dan Ayatul-Kursi berulang kali. Serentak dengan itu petir berdantam dari udara menyambar di mana sahaja perempuan itu berlindung.
Setelah perempuan itu mengaku meninggalkan kawasan rumah limas, barulah Mat Cebek terasa tubuhnya dicengkam semula oleh Cikgu Sidik. Sewaktu dia membuka mata, Mat Cebek terpinga-pinga di tengah surau dikelilingi jemaah.

"Kau dah tengok, Mat?" usik Cikgu Sidik tersenyum menepuk-nepuk bahu Mat Cebek.

Mat Cebek tidak menyahut. Dia sekadar mengangguk lemah seolah-olah bangun dari tidur mengingatkan mimpi yang dialaminya.

Seminggu selepas itu baru Itam Sidin mengajak saya ke kampung tersebut. Sewaktu bertemu di rumah Melah Becok lama Cikgu Sidik cuba camkan saya. Memang pernah juga terserempak dia sewaktu tunaikan umrah di Mekah, tetapi hampir terlupa saya kerana beberapa kali menemui dia semasa berkunjung ke rumah arwah Ustaz Mat Dah sepupu saya. Cikgu Sidik mengaku lama juga dia belajar dengan Ustaz Mat Dah.

Sambung di bab 139.

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab139

JANJI LEMBAGA BERKEPALA TUJUH

(Bab 139 bahagian 1)

MEMANG tanah bersempadan dengan tapak rumah Alang Limah itu dibeli oleh Anjang Kimin dari pesaka peninggalan keluarga Alang Limah sendiri. Terpaksa pula mereka ke pejabat tanah untuk pecahkan geran supaya mudah membayar cukai masing-masing. Alang Limah sendiri tidak berupaya mahu menghalang apabila emak saudaranya Uda Kesum berkeras mahu jualkan. Kadangkala bertengkar juga mereka fasal mahu membayar cukai ke pejabat daerah. Uda Kesum jarang mahu dahulukan bayar cukai, kalau Malim Kecik kepejabat daerah urusan cukai tanah berkenaan.

Apa lagi mahu pecahkan geran tentulah Uda Kesum mengelak. Kalaulah tidak disebabkan dia mandul sampai tidak beranak seorang pun memang dia rela turunkan tanah pesaka itu kepada anaknya Alang Limah.

Tidak lama selepas jualkan tanah tersebut kepada Anjang Kimin, tiba-tiba sahaja Uda Kesum diganggu sakit dalam perut. Puas berubat hingga ke Jerantut pun, penyakitnya tidak mahu seruh. Duit hasil jual tanah yang diterima daripada Anjang Kimin juga habis digunakan untuk berubat menemui dukun ke sana ke mari.

Setelah didesak oleh Alang Limah supaya berubat ke hospital, terpaksa juga Uda Kesum mematuhi. Siapa lagi boleh diharap kalau bukan anak saudara sendiri. Lama juga terkejang di hospital akhirnya Uda Kesum menutup mata rapat-rapat akibat lumpuh seluruh badan selepas mengidap sakit perut berpanjangan.

"Kami beli pun selepas berunding dengan Limah," jelas Utih Bedah setelah diberitahu mengenai gangguan di rumah limas peninggalan suaminya Anjang Kimin. Dia sendiri terkejut setelah diceritakan oleh Cikgu Sidik kejadian Saerah terserempak jelmaan Anjang Kimin memaku dinding rumah.

Tetapi Utih Bedah mengakui suaminya seringkali mengeluh kerana bermimpi jatuh tangga reput hingga terasa pinggangnya sakit. Kadangkala kakinya lenguh-lenguh tidak menentu sebelum jatuh sakit terkejang di tempat tidur. Bagaimana Utih Bedah mahu mempercayai kalau suaminya sekadar bermimpi. Beberapa kali juga Anjang Kimin merangkak di bawah katil akibat diganggu mimpi berkenaan.

Memang dia melihat dinding dapur rumah tergajai disebabkan papannya sudah reput. Tidak bertangguh dia mencapai martol untuk memaku semula papan dinding biar kukuh tidak tergajai. Dia juga sandarkan tangga untuk memaku dinding yang tinggi melangkaui kepala.

Sewaktu tangannya mahu memaku dinding kakinya berjejak goyah di tangga disebabkan reput. Belum sempat tangannya berpaut tubuhnya sudah tercampak ke tanah. Apabila dia terkial-kial mahu bangun terasa pinggangnya sakit hingga kaki juga lemah tidak bermaya. Serentak dengan itu dia terjaga dengan tergolek di bawah katil terkial-kial.

Sebab itu Utih Bedah ketawakan dia sampai terkekeh-kekeh di tengah malam. Geli benar hatinya apabila kenangkan suaminya yang sudah tua boleh jatuh dari katil. Lainlah budak-budak tengah lasak memang tidak menghairankan sekiranya jatuh ke bawah katil demikian.

Malah dia tidak peduil sangat apabila Anjang Kimin beritahu mengenai mimpinya. Beberapa kali jatuh katil memang Anjang Kim in diganggu mimpi yang sama. Bukan isterinya Utih Bedah sahaja tertawakan dia fasal mimpi berkenaan, malah anaknya Bahari juga tertawakan.

"Ayah percaya dengan mimpi?" usik Bahari mengerling ayahnya yang murung setiap kali kenangkan mimpi berkenaan.

"Buat malu aje, dah tua-tua jatuh katil!" sengaja Utih Bedah mengejek suaminya.

"Aku pun tak mahu jatuh!" sahut Anjang Kimin kesal dengan ejekan Utih Bedah. "Tapi, ini bukan perkara mimpi, mungkin perkara lain," dia mendengus seolah-olah terkilan dengan kejadian yang menimpa dirinya.

"Perkara apa lagi?" Bahari tetap tidak percaya dengan alasan yang diberikan oleh ayahnya. "Ayah mimpi jatuh tangga, sebenarnya ayah jatuh katil," ujar-nya ketawa memanjang disebabkan ayahnya terlalu percaya kepada mimpi.
Sepanjang dia terkejang sakit, memang Anjang Kimin tidak mahu berubat ke hospital. Biarlah dia tengadah kasau atap di rumahnya kalau anak-anaknya tidak berupaya menemukan ubatnya. Dia tetap berpegang kepada mimpi yang dialaminya hingga beberapa kali jatuh dari katil.

Bukan mudah mahu memujuk Anjang Kimin supaya di-bawa ke hospital. Marah benar dia asal sahaja didesak, sekalipun sepanjang malam dia mengerang kesakitan. Terpaksa-lah Utih Bedah mematuhi apa sahaja kemahuannya selama terkejang di tempat tidur.

Tetapi tanah pesaka yang dibeli dari Uda Kesum itu tidak ada kena mengena dengan Anjang Kimin. Memang Uda Kesum sendiri yang mendesak supaya mereka bell sahaja disebabkan sukar mahu membayar cukai selagi tidak pecah geran. Kadangkala tersinggung juga Uda Kesum apabila didesak oleh anak saudaranya Alang Limah.

Kalau tidak kenang anak kakaknya sendiri memang mahu juga Uda Kesum mencarut-carut biar Alang Limah terkebil-kebil mata! Apa sangat yang dihebohkan dengan cukai tanah kampung yang tidak seberapa. Siapa sahaja yang pegang geran boleh bayar cukai terlebih dahulu. Selepas itu mereka boleh berkira sama ada dibahagi dua atau pun tidak.

Disebabkan dia tidak mahu berpanjangan sebok mengenai cukai tanah, fasal itulah Uda Kesum rela jualkan sahaja tanah berkenaan. Puas juga dia memujuk Anjang Kimin membelinya biar mudah dipecah geran. Apa sangat dikira dengan tanah peninggalan emaknya, kerana dia sendiri sudah memadai dengan tapak rumah yang diwariskan oleh suaminya.

"Tapi, Uda Kesum memang pernah beritahu saya," tutur Alang Limah apabila diberitahu mengenai mimpi yang dialami oleh arwah Anjang Kimin itu.

"Fasal Anjang Kimin?" berdebar juga hati Utih Bedah dengan penjelasan Alang Limah. Kalau dia sudah tahu kenapa didiamkan sahaja selama dengan tidak diberitahu kepadanya.

"Bukan Anjang Kimin," sahut Alang Limah mengisar duduk berpaling ke arah saya yang terconggok di sebelah Cikgu Sidik. "Arwah Uda Kesum beritahu mengenai moyangnya Pateh Deman," gementar juga suara Alang Limah apabila kenangkan cerita yang disampaikan oleh Uda Kesum kepadanya.

Cikgu Sidik juga berpaling ke arah saya sambil menghela nafas. Kalau tidak saya yang memulakan bertanya mengenai tanah pesaka tersebut, memang Alang Limah sendiri tidak ambil peduli sangat mengenai nenek moyangnya Pateh Deman itu.

Memang kampung tersebut diteroka lama semenjak Pateh Deman datang ke situ. Bukan mudah meneroka tanah hutan yang banyak binatang liar melintas. Kadangkala tengah malam ngauman harimau juga dapat didengar di sebalik bukit.

Sebab itu tidak siapa pun berani meneroka tanah hutan kalau tidak berani berhadapan dengan gangguan binatang liar. Semenjak datang ke situ memang Pateh Deman tidak bimbang kalau takat binatang liar terjongol di tepi belukar. Isterinya Nenek Birah sendiri sudah beberapa kali terserempak suaminya tidur di atas perut harimau apabila keletihan selepas penat memugar kebun. Sementara dia bawakan nasi bekal ke kebun baru diteroka, Pateh Deman akan berteduh di bawah pokok rendang untuk berehat. Dia tidak peduli sama ada berbaring di sisi harimau belang tengah lapar sekalipun.

Memang tergamam juga Nenek Birah apabila pertama kali melihat kejadian demikian. Tetapi setelah beberapa kali terserempak dia sendiri tidak bimbang apa-apa. Lantas sahaja dia melaung dari jauh supaya suaminya bangun segera. Sekiranya Pateh Deman masih tidur bimbang juga dia mahu merapati harimau yang terkuap-kuap sambil menjelirkan lidah tatkala menganga lebar itu.

Sebaik sahaja dikejutkan setelah dilaung oleh Nenek Birah, segera sahaja Pateh Deman bingkas bangun. Dia akan menampar-nampar punggung harimau itu supaya berundur masuk ke dalam belukar. Tidak bertangguh harimau garang itu menyusup masuk ke dalam belukar.

"Awak ni, musuh pun buat main-main!" gerutu Nenek Birah memerhati suaminya bersiap-siap untuk menyuap nasi.

"Manalah pula musuh, kalau musuh tentu dah dibahamnya aku," sahut Pateh Deman tersengih-sengih mengerling isteri-nya.

"Lambat laun tentu dibaham-nya juga," ujar Nenek Birah melepaskan geram.
"Kalau ajal memang terletak pada taring dia, macam mana nak elakkan," selamba Pateh Deman menjelaskan lantas menyuap nasi ke mulut.

Sebelum jejak kaki ke situ, memang Pateh Deman sudah bersedia menghadapi apa sahaja. Perkara harimau liar di tengah hutan tentu tidak sama dengan dia disuruh gurunya bertapa sampai seratus hari. Tatkala berseorangan di tengah gua jauh di, hutan belantara, dia mengalami bermacam-macam ujian yang perlu ditempuhi.

Bukan takat harimau belang tercangkung di depannya menjilat-jilat dada, malah ular sebesar batang kelapa juga menelannya sampai terasak ke usus. Kalau tidak tabah menempuh ujian demikian, tentu Pateh Deman tidak sempat balik menemui gurunya. Selepas gurunya mati, Pateh Deman sengaja mengambil keputusan untuk berhijrah ke Tanah Melayu.

Dia berkahwin dengan Nenek Birah juga bukanlah di kampung berkenaan. Tetapi setelah bernikah di Johor barulah dia berpindah mencari tempat untuk meneroka. Tidak pernah pun dia beritahu mengenai amalannya kepada Nenek Birah.

Apabila ramai orang meneroka di kampung itu, mereka kenali Pateh Deman memang pandai bertukang kayu. Bukan takat dirikan rumah dia boleh bertukang, sampaikan buat sarung dan ulu parang pun orang-orang kampung tempah pada Pateh Deman.

Seisi kampung tahu dia tukang kayu yang mahir. Di sebalik kemahiran Pateh Deman itulah Nenek Birah memahami asal sahaja dia mengetuk paku ke dinding nescaya anak gadis akan mencarinya. Mereka tahan tercangkung memerhatikan Pateh Deman bertukang sambil mengusik dengan senda gurau.

Memang cemburu juga Nenek Birah apabila gadis-gadis yang datang mengilai ketawa tatkala usik mengusik dengan Pateh Deman. Tetapi dia terpaksa pendamkan rasa cemburu itu jauh di sudut hati kerana suaminya tidak pernah mencari gadis-gadis berkenaan. Hanya gadis-gadis itu datang melangut sehari suntuk sebaik sahaja mendengar Pateh Deman mengetuk paku ke dinding.

"Wak ajarlah kita bertukang," usik Tisah gadis berusia enam belas tahun yang datang melihat Pateh Deman bertukang rumah. Sengaja dia ke situ hingga tidak jadi mahu ke sungai membasuh pakaian.

"Ah, orang perempuan kerjanya membasuh pakaian, bukannya bertukang rumah," ujar Pateh Deman berpura-pura menasihati gadis berkenaan.

"Kalau wak ajar apa salah-nya, boleh juga saya bantu wak bertukang," terkekeh-kekeh Tisah mengerlingnya lantas melontarkan kain ke arah lelaki tersebut.

Bukan Tisah sahaja yang tergoda kalau mendengar Pateh Deman mengetuk paku ke dinding. Ramai gadis sebaya di kampungnya akan berebut-rebut menjengah muka di tempat Pateh Deman bertukang. Kalau tidak bertukang rumah pun, mereka akan cari juga di rumah Pateh Deman apabila lelaki itu mengetuk paku ke mana-mana. Siapa pun tidak berani melarang sekiranya gadis-gadis itu datang mencari Pateh Deman. Bimbang juga mereka sekiranya gadis-gadis itu dipengapakan oleh lelaki itu. Kalau tidak digalang tentu Pateh Deman tidak akan merosakkan gadis-gadis yang boleh dianggap anak-nya itu.

Lagi pun anak-anak Pateh Deman sendiri sudah ada yang berkahwin. Tentulah dia tidak tergamak mahu merosakkan gadis-gadis berkenaan itu sekiranya orang-orang kampung tidak menyinggung perasaan dia. Takat usik mengusik apa sangat salahnya.

Tetapi Nenek Birah tidak boleh biarkan Pateh Deman menggoda gadis-gadis yang masih muda. Lambat laun tentu hati suaminya akan terbuka juga mahu mengambil gadis ber-kenaan menjadi isteri. Masakan boleh dibiarkan panggang di depan kucing sekalipun takat dihidu-hidu sahaja!

Memang nikah juga Pateh Deman dengan Tisah setelah beberapa kali mereka bertemu. Keputusan Pateh Deman mahu menikah gadis yang sebaya dengan anaknya itu tidak dapat dihalang oleh sesiapa pun. Malah anak-anaknya juga tidak berani membantah setelah ayahnya membuat keputusan demikian.

Nenek Birah yang mula-mulanya terkilan dengan perbuatan suaminya itu, terpaksa juga mematuhi. Apalah gunanya dia menggalang kalau Tisah sendiri sudah rela dimadukan. Bukannya Tisah tidak tahu mengenai Pateh Deman yang sudah beristeri dan beranak pinak!
Tiga bulan selepas Pateh Deman bernikah dengan Tisah itulah tiba-tiba Nenek Birah dikejutkan tengah malam oleh bayangan wanita muda berpakaian serba putih kain kasa. Terkejut juga Nenek Birah kerana disangkanya dia bermimpi.

Tetapi dia belum pun tidur tatkala bayangan wanita muda itu menjelma. Dia masih terconggok di tengah rumah menganyam tikar, disebabkan Pateh Deman bermalam di rumah Tisah.

"Kakak tahu ke, Pateh Deman dah melanggar pantang," beritahu wanita muda itu mengibas-ngibas pakaiannya hingga terbau haruman wangi di segenap penjuru rumah.

"Ah, biarlah!" sahut Nenek Birah tergamam dengan jelmaan bayangan wanita berkenaan.

"Jangan kata biar, kakak," lantas wanita muda itu mengingatkan dia. "Ilmu amalan dia tu dipantangkan nikah dua, lainlah kalau isteri tuanya meninggal dunia," ujar wanita muda itu tersengih-sengih macam mengejek Nenek Birah.

"Biarlah dia tanggung sendiri!" sengaja Nenek Birah melepaskan geram kerana menuduh wanita muda itu sengaja mahu menyakiti hatinya.

"Manalah tahu dia akan bunuh kakak, kerana takut terlanggar pantang," semakin galak wanita muda itu menghasut biar Nenek Birah hilang sabar. Tetapi dia tabahkan hatinya melawan godaan itu kerana menyedari di hadapannya hanya jelmaan syaitan yang mahu merosakkan rumah tangganya.

"Pateh Deman bukan gila!" tegas Nenek Birah mencemik muka meluahkan rasa bencinya

"Sebelum dia bunuh kakak, eloklah kakak bunuh dia," tersengih-sengih bayangan wanita muda itu menghasut untuk menimbulkan rasa dendam Nenek Birah.

Disebabkan Nenek Birah tidak termakan hasutan, berulang kali bayangan wanita muda itu menjelma. Malah tatkala Pateh Deman balik bermalam di rumah pun jelmaan wanita muda itu tercegat di depan Nenek Birah sewaktu Pateh Deman tengah nyenyak tidur.

Tetapi Nenek Birah tetap berkeras tidak mempercayai hasutan bayangan wanita yang menjelma itu. Hinggalah Pateh Deman terjatuh memanjat tangga untuk memaku dinding tatkala bertukang rumah, tiba-tiba sahaja Tisah memarahi Nenek Birah. Berkeras dia menuduh Nenek Birah sengaja menolak tangga sampai Pateh Deman jatuh tertumus ke tanah. Hairan juga Nenek Birah apabila dia dituduh sengaja mahu cederakan suami sendiri hingga tergamak menolak tangga sewaktu Pateh Deman memanjat.

Memang Tisah nampak Nenek Birah yang menolak tangga berkenaan. Apabila dia menerpa datang cepat-cepat Nenek Birah berlari meninggalkan tempat itu. Disebabkan terlalu geram terus sahaja Tisah menyerbu ke rumah Nenek Birah. Tidak percaya dia sekali-pun Nenek Birah mengaku dia tidak pernah jejak kaki melihat Pateh Deman bertukang.

"Buat apa aku nak aniaya Pateh Deman!" marah benar Nenek Birah apabila diserbu oleh Tisah demikian.

"Sebab Kak Birah mahu sama-sama putih mata," ujar Tisah bercekak pinggang tidak mahu menerima alasan yang diberikan oleh madunya.

"Pateh Deman balik atau tak balik ke rumah, aku tak hairan," jelas Nenek Birah tulus ikhlas kerana tidak berasa terkilan se-kalipun suaminya tidak balik ke rumah.

"Habis, kenapa Kak Birah tolakkan tangga sampai wak jatuh?" Tisah semakin garang kerana tidak mahu mengalah.

"His, aku tak apa-apa, buat apa nak bising!" segera Pateh Deman memujuk Tisah supaya tidak berkeras sangat mahu melawan Nenek Birah.

Tetapi Tisah tidak puas hati. Dia menuduh Pateh Deman sengaja mahu berdalih untuk melindungi Nenek Birah. Memang dia sendiri melihat Nenek Birah tercegat di kaki tangga sewaktu Pateh Deman memanjat mahu memaku dinding rumah. Belum sempat Tisah melarang, Nenek Birah sudah menolak tangga berkenaan sampai Pateh Deman terhumban ke tanah.

Terkial-kial Pateh Deman bangun sambil menepis-nepis pasir yang melekat ke kaki seluar. Sekalipun Tisah menuduh Nenek Birah yang menolak tangga, memang Pateh Deman tidak melihat sesiapa pun tercegat di kaki tangga berkenaan. Dia sekadar tidak dapat imbangkan badan menyebabkan tergelincir daripada tangga hingga terhumban ke tanah. Lagi pun tidak patut Tisah merungut marah, kerana dia tidak cedera apa-apa.

"Wak sengaja nak lindungkan Kak Birah!" gerutu Tisah tidak puas hati dengan keputusan suaminya menyebelahi Nenek Birah.
"Memang aku tak nampak Birah menolak tangga," dia tetap berkeras menjelaskan kejadian sebenarnya.

"Tapi, saya nampak Kak Birah yang buat!" ujar Tisah semacam tidak percaya dengan kejadian yang dilihatnya sendiri.
Masakan dia berbohong sebaik sahaja nampak Nenek Birah menjeling ke arahnya lantas menolak tangga yang dipijak oleh Pateh Deman.

"Agaknya kau terkeliru," perlahan Pateh Deman menuturkan setelah menyedari dia meIanggar patang larang amalannya.

Tahu sangat dia permainan mengetuk paku ke dinding itu sekadar mahu memikat perempuan sahaja. Dia tidak dibenarkan nikah dengan perempuan yang dipikat demikian, kecuali isteri tuanya meninggal dunia. Selagi Nenek Birah masih hidup, bayangan wanita muda itu akan menjelma mengganggunya.

Geli geleman juga Pateh Deman apabila kenangkan wanita muda yang menjelma itu. Memang dia tahu jelmaan puteri malam apabila mendampinginya semasa tercegat di tengah gua amalkan petua gurunya. Puteri malam itu hodoh dengan kulitnya bersisik laksana ular membelit mangsa. Dia mesti melayani kemahuan puteri malam itu, kalau memerlukan ilmu pemikat yang digeruni.

Bersambung...

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab139

JANJI LEMBAGA BERKEPALA TUJUH

(Bab 139 bahagian 2)

Asal sahaja dia tidak berkahwin lebih dari satu, sampai bila pun puteri malam tidak akan menjelma di sisinya. Tetapi Pateh Deman sudah bersedia melawannya disebabkan dia amalkan banyak petua untuk mempertahankan diri. Kalau puteri malam mahu mencuba, bila-bila Pateh Deman akan seru sanggurung yang menjaga tujuh lurah mendampingi dirinya!

Apabila jelmaan sanggurung sudah meresap dalam dirinya tidak siapa pun boleh halangi dia hatta puteri malam sekalipun! Sanggurung berkepala tujuh akan tercegat memusnahkan siapa sahaja yang cuba menguji ke-tangkasan Pateh Deman.

Memang puteri malam tidak berani tunjukkan muka setelah sanggurung berkepala tujuh tercegat melindungi Pateh Deman. Setelah menyedari gangguan puteri malam itu, terpaksa Pateh Deman menyeru sanggurung berkepala tujuh itu meresap dalam dirinya. Hingga dia dapat merasakan dirinya terconggok di celah-celah tengkuk sanggurung melayang ke udara. Sebaik sahaja sampai di tengah padang luas tidak bertepi mereka ter-serempak puteri malam menunggu dengan mata bersinar memancar api.

"Kau telah melanggar pantang, Deman!" bentak puteri malam mencebek bibir.

"Apa kau nak buat sekarang?" sanggurung berkepala tujuh bertempik hingga suaranya bergemuruh di udara.

"Salah seorang isteri kau mesti dihapuskan!" sahut puteri malam selamba dengan ejekan menyakiti hati.

"Kalau kau ganggu isteri Deman, aku akan hancurkan kau," tegas sanggurung memberi amaran keras.

"Kamu jangan masuk campur urusan ini!" marah juga puteri malam apabila diancam demikian.

"Jangan tunjuk keras kepala," sanggurung berkepala tujuh menghembuskan pancaran api hingga membakar keliling puteri malam.

Terpaksa puteri malam melayang ke udara mengelakkan diri dari terjahan api itu. Pateh Deman sendiri melihat puteri malam termengah-mengah melarikan diri dengan dendam membara. Tetapi Pateh Deman tidak bimbang apa-apa selagi sanggurung berkepala tujuh itu melindungi dia.

Hanya beberapa minggu selepas itu Tisah pula terkejut apabila wanita muda itu menjelma di bilik tidur tatkala menunggu Pateh Deman balik ke rumah. Berdebar juga hatinya apabila puteri malam perkenalkan diri sebagai sahabat yang mahu membantunya.

Mudah sangat dia mempengaruhi Tisah yang memang berdendam dengan Nenek Birah, sebaik sahaja dituduh madunya mahu aniaya dirinya. Sengaja puteri malam tunjukkan bisa santau yang mahu diberikan oleh Nenek Birah untuk membunuh Tisah.

"Tapi, kakak tak sampai hati nak buat pada adik," pujuk puteri malam sengaja menimbulkan syak wasangka di hati Tisah.

"Dia beri pada kakak suruh santau saya?" menggertap bibir Tisah setelah diberitahu demikian.

"Takkan kakak nak buat, kakak kesihankan adik," sahut puteri malam mengunjukkan botol berisi ulat bubuk kepada Tisah. "Simpanlah santau ini, dan gunakan bila adik perlu," jelas puteri malam tersenyum setelah Fisah mempercayai desakan dia.

"Bolehkah santau ni diubat?" sengaja Tisah ingin tahu sekiranya masih boleh ditemui penawar. Tentulah dia tidak dapat sembunyikan rahsia sekiranya Nenek Birah dapat mencari penawar santau berkenaan.

"Semua penyakit ada penawar," beritahu puteri malam ingatkan dia supaya berhati-hati.

Tisah tidak beritahu apa-apa pada Pateh Deman mengenai jelmaan puteri malam itu. Dia sendiri bangga setelah diberi botol berisi ulat bubuk yang boleh terbang mencari mangsa. Asal sahaja diseru nama mangsa nescaya ulat bubuk itu akan menuju ke sasaran. Sekaligus debu santau akan jatuh ke dalam makanan sebaik sahaja kepaknya dikembang-kuncupkan.

Memang sudah lama juga Tisah harapkan orang akan membantu dia pisahkan Pateh Deman daripada Nenek Birah. Dia tahu anak-anak Nenek Birah memang memusuhi dirinya disebabkan berkahwin dengan ayah mereka. Tentu anak-anak Nenek Birah dihasut supaya membenci dirinya!

Sebab itulah dendam Tisah lama sangat bergejolak dalam hatinya. Kalau puteri malam tidak menjelma mengunjukkan ulat bubuk bersantau pun, memang Tisah akan usahakan juga. Hati siapa tidak terluka apabila suami sendiri menyebelahi madu tatkala berbalah panjang.
Tersinggung benar dia apabila Pateh Deman sengaja mempertahankan Nenek Birah, sekalipun dia nampak madunya itu menolak tangga hingga suami mereka jatuh berguling di tanah. Tetapi Pateh Deman sengaja berpura-pura tidak melihat Nenek Birah melakukannya. Sepatutnya Pateh Deman menyebelahi dirinya kerana mahu menyelamatkan suami sendiri dianiaya.

Sebaik sahaja diberi botol berisi ulat bubuk, tidak bertangguh Tisah ikutkan petua yang ditunjukkan. Selepas diasap dengan kemenyan, dia terus lepaskan bubuk berkenaan dengan memerintah ke rumah Nenek Birah. Dia sendiri dapat bayangkan bagaimana bubuk itu melayang pantas mencari air minuman di rumah Nenek Birah.

Memang Tisah seolah-olah nampak ulat bubuk itu taburkan serbuk halus dari bawah kepak-nya, hingga dia sendiri tersentak tatkala ubat bubuk berkenaan balik semula ke dalam botol tidak sampai beberapa saat.

Dua hari selepas itu Tisah diberitahu mengenai Nenek Birah meninggal dunia akibat muntah darah berterusan. Puas Pateh Deman cuba memulihkan tetapi dia tidak dapat selamatkan isterinya. Tergerak juga hatinya mahu menuduh Tisah, tentu siapa pun tidak mempercayai.

Bila pula masanya Tisah mahu bubuhkan santau ke dalam minuman Nenek Birah, sedangkan isteri mudanya memang tidak pernah amalkan apa-apa. Lagi pun Tisah tidak pernah datang menjengah ke rumah Nenek Birah. Masakan santau boleh digunakan sekiranya mereka tidak berbaik-baik terlebih dahulu sebelum itu.

Sekiranya bermusuhan terus tentulah mangsanya boleh berhati-hati. Sampai bila pun Tisah tidak boleh gunakan santau selagi Nenek Birah sentiasa berhati-hati setiap kali berhadapan. Sebab itu Pateh Deman tidak syak apa-apa terhadap Tisah.

Selepas kematian Nenek Bisah perasaan Pateh Deman sentiasa tidak tenteram. Berturut-turut malam dia mimpikan Nenek Birah menuduhnya sengaja biarkan Tisah aniaya dia. Memang berdebar juga hati Pateh Deman dengan tuduhan itu sekalipun sekadar bertemu Nenek Birah di dalam mimpi.

Mahu dituduh Tisah tentu isteri mudanya tidak akan mengaku. Masakan dia sanggup mengaku melakukan perbuatan demikian! Tetapi dia percaya Tisah tidak melakukan. Tahu sangat dia mengenai Tisah yang tidak pernah amalkan apa-apa petua.

Bagaimana Tisah mahu lakukan kalau tidak tahu apa-apa petua yang diamalkan. Bukan mudah mahu amalkan petua sekiranya tidak menempuh banyak dugaan. Takat hafalkan jampi serapah sampai bila pun tidak memberi kesan apa-apa!

Sebab itulah Pateh Deman terpaksa juga membakar kemenyan seru sanggurung berkepala tujuh datang menjelma. Selagi tidak diseru sanggurung datang membantu selama itulah pula dia diganggu mimpi demikian. Biarlah sanggurung berkepala tujuh itu buktikan siapa sebenarnya melakukan perbuatan menganiaya Nenek Birah.

Sebaik sahaja diseru tatkala tengah malam bulan mengambang penuh, memang Pateh Deman sudah mengagak lembaga sanggurung berkepala tujuh terlalu marah. Terkejut juga Pateh Deman dengan keadaan sanggurung mendengus-dengus hembuskan api marak menyala dari hidungnya.

"Kau yang salah Deman!" gerutu sanggurung mencemik muka macam mengejeknya.

"Kenapa pula salah aku?" keras suara Pateh Deman mem-bentak.

"Kau biarkan puteri malam menipu Tisah!" sahut sanggurung melenggok-lenggok tujuh kepalanya yang berleher panjang.

"Jadi, kenapa kau tak bantu aku?" Pateh Deman terkilan kerana sahabatnya tidak membantu tatkala dia memerlukan pertolongan.

"Macam mana aku nak bantu, kalau kau sendiri tak meminta?" lantas sanggurung mengingatkan Pateh Deman.

Tentulah dia tidak datang membantu sekiranya tidak diseru setiap masa. Pateh Deman sendiri memahami pertolongan makhluk seperti sanggurung tentulah tidak sama dengan pertolongan Allah Subhanahu Wa-taala. Sanggurung tidak akan memberi pertolongan kalau tidak diberi ganjaran, setidak-tidaknya sediakan ancak dengan daging kambing mentah di tujuh lurah tempat angin membolos.
Terpaksa pula diseru sampai sanggurung menjelma baru boleh meminta pertolongan sebagai syarat bersahabat. Kalau dia tidak menjelma masakan Pateh Deman boleh menyuruh halang puteri malam menghasut Tisah. Lain-lah Tisak tidak sama seperti Nenek Birah yang berulang kali digoda puteri malam.

"Sekarang aku nak minta tolong!" Pateh Deman tidak dapat lagi mengawal perasaan. "puteri malam mesti dihapus-kan," lantas dia menggenggam tangan menghentak ke bumi.

Sekali imbas dia nampak sanggurung mengangguk terus menyerbu ke udara. Memang Pateh Deman melihat sendiri lembaga sanggurung berkepala tujuh itu menerkam ke arah puteri malam. Tangannya yang keras mencengkam tengkok puteri malam lantas disiat-siat bagaikan mencarik kain buruk tidak berguna.

Jeritan halus puteri malam tenggelam dalam cengkaman sanggurung seolah-olah segala dendam Pateh Deman sudah berbalas. Hingga santak subuh baru Pateh Deman melelapkan mata setelah sepanjang malam didampingi oleh sanggurung berkepala tujuh itu.

Belum pun sempat dia melelapkan mata, jirannya cemas memanggil dia dari tengah halaman. Sepanjang malam jiran-jiran terpaksa berjaga di rumah isteri mudanya Tisah apabila tidak semena-mena memekik ketakutan diserbu lembaga berkepala tujuh.

"Ah, apa pula balanya ni?" rungut Pateh Deman yang terpaksa bermalam di rumah peninggalan Nenek Birah apakala mahu menyeru sanggurung.

"Tak tahulah wak, tiba-tiba aje Tisah menjerit dia nampak lembaga berkepala tujuh," jelas jiran itu mendesak supaya Pateh Deman segera balik ke rumah isteri mudanya.

"Huh, syaitan!" gerutu Pateh Deman sewaktu melangkah turun meninggalkan rumah Nenek Birah.

Memang dia sudah menduga puteri malam tentu menyerap isterinya Tisah sehingga sanggurung tidak dapat membezakan di antara satu sama lain. Tentu sanggurung bertindak terhadap siapa sahaja yang berdamping dengan puteri malam, setelah dia sendiri meminta pertolongan.

Ketika Pateh Deman jejakkan kaki ke rumah Tisah memang dilihatnya seluruh tubuh perempuan itu calar balar bagai-kan dicakar kuku runcing. Hairan juga jiran-jiran dengan keadaan tubuh Tisah berubah seperti dicakar harimau ganas setelah terkejang kaku menjadi mayat.

Mengeluh panjang Pateh Deman dengan kejadian yang menimpa Tisah. Jauh di sudut hatinya dia dapat mengagak memang Tisah yang aniaya Nenek Birah. Tentu Tisah sudah dirasuk puteri malam sehingga sanggup gunakan santau yang dipuja dari jauh untuk memusnahkan mangsa.

Memang dia sendiri tidak dapat renggangkan diri dengan puteri malam selagi amalkan petua mengetuk paku ke dinding itu. Hentakan paku ke dinding itu memang meruntun perasaan siapa sahaja wanita yang dimakrifatkan terlekat di hatinya. Selagi paku itu tidak dicabutkan dari dinding selama itu perasaan wanita berkenaan terlekat tidak dapat melupakan dia.

Sebab itulah puteri malam pantangkan dia berkahwin lebih dari satu sekiranya amalkan petua tersebut. Asal sahaja bulan mengambang puteri malam akan menjelma meminta dilayani. Pateh Deman tidak boleh membantah sekiranya mahu meneruskan amalan petua memaku ke dinding itu.

"Setelah Pateh Deman meninggal dunia pun, jiran-jiran kerapkali nampak dia bertukang," jelas Alang Limah apabila kenangkan cerita emak saudaranya Uda Kesum.

Kadangkala tengah hari waktu matahari tegak di kepala pun pernah jiran-jiran nampak jelmaan Pateh Deman memanjat tangga memaku dinding. Malah mereka juga dengar dentaman martol diketuk memaku dinding itu. Tetapi dalam masa beberapa minit sahaja bayangan itu hilang setelah jelmaan di atas tangga itu jatuh terguling ke tanah.

"Memang tanah yang dibeli Anjang Kimin itu tapak rumah Pateh Deman kononnya," bergetar suara Alang Limah ketakutan tatkala menceritakan semula kejadian berkenaan. Dia sendiri tidaklah tahu sangat kalau tidak diterangkan oleh Uda Kesum.

Memang Uda Kesum mengaku sudah beberapa kali ternampak jelmaan orang bertukang rumah di kawasan belukar tidak jauh dari rumahnya. Sekalipun tidak ada rumah tersergam di situ, tetapi dia seolah-olah nampak bayangan rumah papan berbalam-balam.
Terpaksa pula dia menggosok-gosok mata mahu memastikan, namun dalam sekelip mata sahaja bayangan itu laksana kabus ditiup angin.

Siapa mahu percayakan Uda Kesum kalau dia beritahu jiran-jiran. Sebab itulah dia sengaja pendamkan sahaja kejadian yang dialaminya sehingga tanah berkenaan dijual kepada Anjang Kimin. Tidak sempat dia mahu ceritakan pada Anjang Kimin mengenai tanah peninggalan Pateh Deman itu, Uda Kesum sudah jatuh sakit berterusan.

Dia juga tidak sempat mahu beritahu Anjang Kimin tapak rumah dia dirikan rumah limas tersergam itu kononnya di situlah tapak rumah Pateh Deman. Tetapi kalau dia beritahu pada Anjang Kimin pun, masakan lelaki itu mahu mempercayainya. Tentu dia sendiri ditertawakan oleh Anjang Kimin kerana percayakan sangat dengan kejadian demikian.

"Macam mana ustaz, tentu ustaz pun tak percaya agaknya?" lantas Malim Kecik menatap muka saya.

"Ini bukan perkara percaya atau tidak," sahut Cikgu Sidik setelah diterangkan oleh Alang Limah di depan Utih Bedah sendiri. "Tetapi iman kita kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala yang nyata dan yang tersembunyi," sengaja dia memintas sebelum sempat saya menjawab.

Apa sangat dengan kejadian yang diceritakan oleh Alang Limah itu kalau bandingkan dengan mereka yang sengaja menjadikan syaitan penolong dengan menyeru segala puaka. Masakan puaka itu mampu membantu sekiranya gangguan syaitan yang lain merasuk.

Tentulah siapa sahaja yang akan menjadi mangsa syaitan yang sengaja mengelirukan diri masing-masing. Kadangkala jelamaan yang tercegat di depan mata pun semata-mata mahu memperdayakan. Sebab itulah Cikgu Sidik cepat sahaja memintas cakap Malim Kecik apa-bila menanyakan kepada saya sama ada percaya atau pun tidak.

Cikgu Sidik sendiri sudah mengagak tentu Alang Limah tidak akan membuka mulut, sekiranya saya tidak bertanya mengenai tanah pesaka yang dibeli oleh arwah Anjang Kimin itu. Tentulah ada sebab-sebab di sebalik pertanyaan saya mengenai tanah pesaka itu kepunyaan siapa, sebelum mendoakan Saerah yang terkejut apabila nampak lembaga Anjang Kimin bertukang rumah.

Tahu sangat dia sepanjang hubunganya dengan sepupu saya Mat Dah, memang banyak pengalaman yang ditempuh. Beberapa kali dia mengikut Mat Dah semasa sama-sama mengajar di kampung pendalaman tatkala perintah orang putih.

Dia sendiri akan tertawakan siapa sahaja kalau terserempak bayangan lembaga di mana-mana. Apabila kenangkan kejadian dia tersuluh kelawar berterbangan di celah atap kuarters sekolah, memang Cikgu Sidik geli hati benar sekiranya orang terkejut terserempak lembaga di tengah malam.
Lantas sahaja dia menuduh mereka yang terlalu takut, tersuluhkan tunggul pun akan disangka hantu. Tetapi selepas dia sendiri melihat bayangan gadis tergantung di pokok medang tepi sungai berhampiran surau, ke-berah-berahan juga Cikgu Sidik.

Tatkala jemaah lain sudah naik ke surau, dia masih lagi mengambil wuduk di tebing sungai. Ketika inilah dia mendengar rintihan halus di sebelah hulu. Tatkala dia mendongak ke pokok medang tubir tebing, berderau darahnya apabila nampak perempuan tergantung dengan tercerut leher.

Tidak bertangguh dia lari ke kaki tangga surau sebelum sempat mengambil wuduk. Selesai jemaah dirikan solat maghrib pun, Cikgu Sidik masih terkaku di tangga surau tidak bergerak. Memang dia ingat apa yang berlaku, tetapi tubuhnya sahaja tidak boleh digerakkan tidak ber-sebab.

Selepas didoakan oleh Mat Dah barulah dia dapat mengucap panjang. Malu benar dia apabila mengaku terkejut melihat perempuan tergantung di pokok medang. Sebelum itu memang sudah beberapa kali kawan-kawannya ternampak, tetapi bayangan itu akan hilang seperti asap sebaik sahaja ditegur.

"Perkara macam ni jangan kita ikutkan perasaan," ujar Cikgu Sidik perlahan sambil tersenyum mengerling saya. "Ustaz ni tentu lebih tahu, tapi, mesti tambahkan iman kita, hanya kepada Allah sahaja memohon pertolongan," katanya mengusap-usap muka lantas beristighfar beberapa kali.

Tamat bab 139.

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab140

LELAKI TIDAK BERKEPALA MENJELMA

(Bab 140 bahagian 1)

LAMA tidak mengunjungi Mamak Bandaro hampir lima tahun semenjak saya kerapkali ke pantai timur. Kalau tidak bertemu Mamak Bandaro pun dia akan menelefon saya juga. Kadangkala saya juga akan menelefonnya, sekalipun dia berulang-alik meninggalkan Bukittinggi.

Ketika saya jejak kaki ke Bukittinggi memang Mamak Bandaro menunggu di Tabing Padang. Sengaja dia mengajak bermalam terlebih dahulu di Hotel Pangeran sebelum bertolak ke Bukittinggi. Mamak Bandaro memang ada urusan perniagaannya di Padang, sebab itulah dia mengajak bermalam sekalipun saya sampai di Tabing belum pun pukul 12.00 tengah hari.

Kebetulan pula dia sudah berjanji dengan kawannya mahu menunggu rakan kongsi kawannya itu dari Medan. Tidak tahu saya apa pun mengenai temu janji mereka di Padang. Sewaktu saya memberitahu akan datang ke Sumatera, memang Mamak Bandaro sendiri memberikan tarikhnya supaya mudah dia menunggu di Tabing Padang.

Tidak perlu lagi turun di Medan, kemudian baru meneruskan perjalanan ke Padang. Ketika bertolak dari Kuala Lumpur, saya hanya singgah di Pekan Baru hampir setengah jam. Kemudian terus sahaja menuju ke Padang.

Dalam perjalanan ke Pekan Baru itulah kebetulan saya berkenalan dengan Haji Mazis yang ramah berbual. Lama dia menetap di Kedah sejak negeri perintah orang putih lagi. Kemesraan dalam perjalanan inilah Haji Mazis mengakui dia berasal dari Bangkinang sebelum menetap di Kedah.

Ketika datang ke Tanah Melayu terpaksa dia menumpang kapal barang meranduk ombak laut yang menggulung. Setiap kali Haji Mazis menuturkan peristiwa masa silamnya menyeberangi laut ini, terasa pula sebak di hati saya apabila kenangkan Tok Aji melalui perjalanan yang sama seperti Haji Mazis.

Lama juga Tok Aji di Pekan Baru sebelum dia menyeberang ke Tanah Melayu. Memang dia mengakui ramai kenalan di Bangkinang ketika menetap di Pekan Baru itu. Tentulah Haji Mazis belum lahir pun sewaktu Tok Aji berulang alik dari Pekan Baru ke Bangkinang.

"Abang nak ke mana?" Haji Mazis yang duduk di sebelah menegur saya sebaik sahaja menghulurkan makanan.

"Ke Padang," ujar saya perlahan melirik senyum dengan kemarahan Haji Mazis.

"Tentu abang ni orang Minang," lantas sahaja dia membuat andaian.

Saya tidak menyahut. Perkara dari mana asal usul itu tidak penting sangat, kerana semua umat Islam itu bersaudara. Tetapi saya tidak salahkan Haji Mazis yang berbangga dengan asal usulnya dari Bangkinang itu. Sebab itu dia balik juga jejak kaki ke kampung halaman setelah Iama menjadi peniaga di Kedah.

Tiap-tiap tahun Haji Mazis balik menemui kaum kerabatnya di Bangkinang. Biarlah anak-anaknya tidak mahu jejak kaki ke Bangkinang, dia tetap balik juga. Dia tidak mahu tali persaudaraan terputus akibat dipisahkan laut yang terbentang.

"Selalu abang balik ke Padang?" semakin ramah Haji Mazis lantas membantu saya membukakan kotak makanan yang dihulurkan oleh pekerja pesawat.

"Sekali sekala aje,": jelas saya memerhati kotak makanan.

"Kalau ke Kedah, abang datanglah ke kedai saya," Haji Mazis mempelawa makan, kemudian terhangak-hangak memerhati ke hadapan apabila isterinya melambai.

Cepat-cepat dia mara ke hadapan sebaik sahaja isterinya menggamit. Lama juga dia meninggalkan tempat duduknya. Tetapi saya tidak pedulikan sangat Haji Mazis apabila mendapatkan isterinya yang duduk di bangku hadapan bersama anak perempuannya.

Sampai habis saya makan buah yang diberikan oleh pekerja pesawat, barulah Haji Mazis datang semula. Dia mengeluh pendek kerana anak perempuannya pitam menahan sakit kepala berdenyut-denyut.

"Nak kata tak pernah naik kapalterbang, belajar dah sampai ke Amerika," gerutu Haji Mazis semacam kesal apabila anak perempuannya merasa pening kepala sebaik sahaja naik pesawat. Puas digosok minyak oleh isterinya pun, pening kepala itu tidak juga beransur hilang.

"Siapa nama anak awak tu?" sengaja saya tanyakan dalam keadaan Haji Mazis semakin gelabah.

"Zamiah," beritahu Haji Mazis memanjangkan leher ke hadapan mahu memastikan keadaan anak nya itu.
"Tak apalah aji," saya cuba tenteramkan hatinya yang rusuh ketika ini. "Awak letakkan tapak tangan ke dahinya," ujar saya menyuruhnya ke hadapan semula.

Ketika ini pekerja pesawat juga sudah mendekati Zamiah untuk membantu.
Sebaik sahaja Haji Mazis meletakkan tapak tangan ke dahi anaknya, segera saya doakan dengan membaca:

Bismillahhir Rahmannir Rahim, tiga kali dan diikuti dengan doa: A'uzubi 'izzatillahhu wa qudratihi min sarrima tajidu watuhaziru,

sebanyak tujuh kali. Saya mengulangi sampai tiga kali lantas perlahan-lahan dihembuskan ke arah Zamiah.

Dalam beberapa minit sahaja Zamiah mulai reda hingga terus terlelap di situ. Apabila Haji Mazis datang semula ke sisi saya memberitahu mengenai anaknya sembuh tiba-tiba, saya sekadar bersyukur ke hadrat Illahi sahaja kerana Dia yang menyembuhkan segala penyakit.

Hingga pesawat mendarat di Pekan Baru pun Zamiah masih terlelap akibat keletihan menahan kesakitan kepala berdenyut-denyut. Terpaksa pula Hajah Pipah isteri Haji Mazis kejutkan sampai berulang kali.

"Sakit kepala macam mana?" tegur saya ketika sama-sama menuruni tangga pesawat untuk berhenti di bilik menunggu di lapanganterbang Pekan Baru itu.

"Entahlah pakcik, macam ditusuk jarum," jelas Zamiah masih lemah dan berpaut pada lengan emaknya.

"Kalau boleh, abang bekalkan ubatnya," lantas Haji Mazis mendesak supaya saya doakan air sejuk membolehkan mereka buat bekal sebagai penawar.

"Tak payahlah aji," bisik saya memberi jaminan penyakit Zamiah tidak akan berulang. "Cubalah bawa jumpa doktor, boleh jadi magerin," ujar saya supaya dia tidak cemas sangat dengan gangguan sakit kepala anaknya.

Zamiah sendiri mengaku dia pernah diganggu magerin semasa menuntut di Amerika. Memang doktor juga sahkan memang dia mengidap penyakit itu. Tentulah Haji Mazis tidak perlu bimbang sekiranya sudah diketahui punca penyakit. Kalau berdoa pun sekadar memohon pertolongan Allah supaya jauhkan dan hilangkan rasa kesakitan sahaja, kerana perkara menyembuhkan itu memang hak Allah Azza Wajjalla.

Disebabkan Haji Mazis bersama keluarganya mahu ke Bangkinang memasuki Pekan Baru, kami menuju ke lorong yang berlainan. Saya menyimpang ke bilik menanti penerbangan akan berlepas, sementara Haji Mazis masuk ke pintu pemeriksaan. Tetapi sempat juga dia memberitahu saya kunjungannya ke Bangkinang sampai sebulan. Sesekali balik ke kampung halaman dia mahu bertemu dengan semua sanak saudara.

Sudah beberapa kali juga saya ke Pekan Baru, tetapi tidak pernah pula ke Bangkinang. Ketika ke Siak bersama dengan Mamak Bandaro, kami hanya bermalam di Hotel Mutiara sahaja. Kemudian pagi-pagi lagi sudah ke Siak menemui kawannya di situ, petang baru balik ke Pekan Baru. Selepas itu pagi juga bertolak ke Bukittinggi, hingga tidak ada masa mahu ke mana-mana.

"Masih ada saudara mara kita di Bangkinang," beritahu Mamak Bandaro apabila saya ceritakan pertemuan dengan Haji Mazis di dalam pesawat penerbangan. "Nantilah, kalau ada masa lain kali kita ke Bangkinang;" tutur Mamak Bandaro memberi jaminan.

Tetapi siapalah yang saya kenali sama ada di Bukittinggi atau di Pekan Baru, selain daripada Mamak Bandaro. Kalau dia tidak perkenalkan saya dengan Haji Salim di Batusangkar pun, saya tidak mengenali sepupu arwah Tok Aji itu.
Lainlah orang berniaga seperti Mamak Bandaro memang ramai kenalan. Sebab itu dia berusaha mencari keturunan Tok Aji untuk hubungkan semula tali kekeluargaan yang sekian lama terpisah. Lama juga dia menjejaki keluarga di Tanah Melayu hinggalah bertemu dengan saya melalui kenalan rapatnya di Taiping.

Cuma Tok Aji satu-satunya saudara lelaki arwah emak Mamak Bandaro. Sebab itulah dia berpegang kepada nasab keturunannya iaitu dari mamak kekamanakan itu.

Saya sendiri memang harapkan Mamak Bandaro menemukan dengan sanak saudara di Sumatera. Kalau harapkan saya sendiri mencari sampai bila pun tidak akan bertemu. Lagipun bukan selalu saya jejakkan kaki ke Sumatera untuk mengunjungi sanak saudara di sana.
"Memang ada keluarga di sana," ulangi Mamak Bandaro apabila kenangkan kaum kerabat di Bangkinang. "Arwah mamak dulu berkahwin di Kapur Sembilan dekat Bangkinang," jelasnya memberitahu mengenai Tok Aji pernah berkahwin di Bangkinang sebelum berhijrah ke Tanah Melayu.

Tahu sangat Mamak Bandaro mengenai keluarga Tok Aji di Bangkinang, kerana sudah beberapa kali bertemu. Sebab itulah Tok Aji sendiri dikenali Aji Kampar semasa dia menetap di kampung nenek hingga membuka madrasah di situ. Disebabkan lama di Bangkinang itulah Tok Aji bertemu dengan Wak Samin sebelum menyeberangi Selat Melaka. Kalau tidak ada kawan yang sehaluan, mungkin Tok Aji juga akan meninggalkan Sumatera. Apalagi isterinya orang Kapur Sembilan itu meninggal dunia selepas mendapat dua orang anak.

Sebab itulah Mamak Bandaro jejak kaki juga ke Bangkinang mencari sepupunya di sana. Lama juga dia berusaha baru dapat menemui Mamak Melano dan Mak Tua Siamah iaitu anak-anak Tok Aji di Bangkinang. Mamak Bandaro juga yang berikan alamat ayah saya kepada dua orang saudaranya di Kapur Sembilan itu, menyebabkan mereka seringkali berhubungan surat menyurat.
Kalaulah tidak disebabkan Mamak Bandaro banyak urusan lain di Bukittinggi memang dia teringin juga mahu singgah di Kapur Sembilan sewaktu mengajak saya ke Siak. Lagipun kami sudah bermalam di Hotel Mutiara, hanya tidak sampai setengah jam perjalanan sekiranya mahu singgah menjengah sanak saudara.

Tetapi apalah gunanya menjengah kalau sekadar beberapa minit sahaja. Sebab itulah Mamak Bandaro mahu menunggu masa terluang. Boleh juga bermalam dengan mereka. Mamak Melano sendiri harapkan saya akan dapat bermalam di rumahnya kalau singgah di Kapur Sembilan.

"Abang dengar dari Bandaro, angah tu ada iras-iras ayah kita," Mamak Melano menulis surat kepada ayah saya. "Kalau dia ke Bukittinggi, suruhlah dia temui abang," dia berpesan setiap kali menulis surat kepada ayah saya.

Memang dia tahu saya sudah beberapa kali jejak kaki ke Bukittinggi menemui Mamak Bandaro. Terkilan juga dia disebabkan saya tidak datang ke Kapur Sembilan. Tetapi saya tidak dapat ke sana bukanlah disebabkan perbezaan hidup di antaranya dengan Mamak Bandaro yang menjadi penghalang, sebaliknya ruang masa masih belum mengizinkan.

Apabila bertemu Haji Mazis dalam pesawat penerbangan lantas saya teringatkan Mamak Melano sebaik sahaja dia menyebut mahu ke Bangkinang itu. Tetapi sengaja saya tidak memberitahu Haji Mazis mengenai bapa saudara saya di Kapur Sembilan. Manalah tahu saya tidak berkesempatan mahu ke sana.

Tetapi saya tidaklah berharap sangat Mamak Bandaro mahu segera ke Pekan Baru, disebab-kan sudah membuat temu janji dengan rakan kongsi kawannya dari Medan. Sebab itulah saya lebih senang tinggal sahaja di bilik hotel, sementara dia keluar semula ke Tabing untuk menunggu rakan kongsi kawannya itu. Saya sendiri belum lagi bertemu dengan kawan Mamak Bandaro yang sama-sama menunggu rakan kongsinya dari Medan.

Sewaktu tinggal di bilik hotel itu saya melihat dari anjung ombak Lautan Hindi yang menggulung besar. Di bawah ramai orang mandi di kolam renang di dalam kawasan hotel berkenaan. Disebabkan saya tidak mahu turun ke mana-mana, sengaja saya berbaring sahaja melepas-kan penat.

Setelah selesai urusan per-niagaan tentu Mamak Bandaro akan balik ke Bukittinggi. Sekiranya dia sibuk anaknya Fitriati atau menantunya Agoes tidak keberatan mengajak saya ke mana sahaja kalau mahu ziarah sanak saudara. Memang saya akan kunjungi juga Haji Salim di Batusangkar setelah beberapa tahun tidak bertemu.

Ketika balik dari Batusangkar melalui jalan ke Baso untuk ke Paya Kumboh, pernah juga Agoes mengajak berhenti makan di restoran tengah sawah. Memang berselera saya makan masakan Minang. Singgah pula dia madrasah di Paya Kumboh menemui sepupu Agoes yang mengajar di situ.
Apabila dikenang perjalanan yang jauh tatkala jejak kaki ke Sumatera beberapa tahun dahulu, terasa seolah-olah menempuh perjalanan hidup yang terlalu banyak yang dilihat. Tetapi saya tidak merasa asing sangat setiap kali jejak kaki di ranah Minang, disebabkan sanak saudara menyambut bagaikan tidak mahu dilepaskan pergi.

Alangkah megahnya Tok Aji sekiranya dia masih hidup kalau melihat sanak saudara menyambut demikian mesra!
Tetapi Tok Aji meninggalkan kampung halaman bukan disebabkan tidak disenangi sanak saudara. Dia lebih suka mengajar agama ke mana sahaja merantau. Sebab itulah di Bangkinang juga dia dirikan madrasah sebelum berhijrah ke Tanah Melayu.

"Jangan lupa Kapur Sembilan juga, itu pun kampung halaman aku," pernah arwah Tok Aji ingatkan ayah saya mengenai kampung halamannya di Sumatera. Dia tetap mengakui Kapur Sembilan dan Kampar kampung halamannya disebabkan lama dia di sana.

Hinggalah ayah saya menerima surat dari Mamak Melano barulah dia menyedari mengenai sanak saudaranya di Kapur Sembilan itu. Memang dia juga nak saya ke Bangkinang untuk bersua muka dengan Mamak Melano yang seringkali berutus surat sahaja.

Tatkala di Kapur Sembilan inilah Tok Aji beberapa kali diuji orang sebaik sahaja dia membuka madrasah di Bangkinang. Sewaktu dijemput kenduri di rumah bapa saudara isterinya, tiba-tiba sahaja jag air yang dihulur kepadanya untuk minuman melompat katak. Terkejut juga mereka yang datang ke situ apa-bila katak melompat dari jag air kemudian jatuh menggelupur di lantai .

Menggeleng kepala bapa saudara isterinya Bagindo Labeh kerana tidak diduganya kejadian itu berlaku. Bangkai katak yang jatuh menggelupur di lantai itu pula berbuih mulut macam lumut hijau. Masakan sengaja dimasukkan katak ke dalam jag berkenaan itu kerana mereka yang menyambut dari dalam tidak melihat pun katak mengapung di dalam air. Tetapi Tok Aji tidak bimbang apa-apa dengan ujian demikian. Ketika mahu menyuap nasi pula tiba-tiba sahaja pinggannya pecah berderai hingga nasi bertaburan di lantai.

"Nampaknya ada orang nak rosakkan kenduri kita ni, aji!" marah benar Bagindo Labeh dengan kejadian itu kerana bimbang mereka yang datang ke majlisnya akan menuduh dirinya.

"Sabarlah, bang," sahut Tok Aji terus mengaut nasi yang bertaburan itu sambiI meramas-ramas kaca pinggan bercampur nasi.

Kemudian dia meminta tetamu yang lain juga bersabar dengan kejadian tersebut. Disebabkan kenduri dibuat sebelum masuk waktu zohor, memang matahari tengah tegak di kepala. Segera Tok Aji campakkan nasi yang dikaut di lantai itu ke tengah halaman. Sebelum bayang nasi itu jatuh ke tengah halaman mereka melihat di tempat yang ditaburkan oleh Tok Aji tumbuh padi tengah berbuah muda. Dalam sekelip mata sahaja mereka dikejutkan oleh seekor bapak lembu meranduk padi tumbuh di tengah halaman.

Apabila mahu dihalau oleh Bagindo Labeh cepat-cepat Tok Aji menegahnya. Tidak bersisa bapak lembu itu meragut padi tengah berbuah muda sampai habis ke perdu rumpun. Habis sahaja bapak lembu itu meragut rumpun padi, tiba-tiba sahaja dia terhuyung-hayang. Mulutnya bersemburan darah menyebabkan dia jatuh tersungkur sebelum sempat meninggalkan halaman.

"Lembu siapa agaknya tu?" gerutu tetamu yang datang bertambah hairan kerana kesan rumpun padi tumbuh tidak ada lagi di tengah halaman sebaik sahaja bapak lembu tergolek di penjuru pagar.

"Tak apalah, marilah kita semua makan angko-angko dan mamak semua," lantas Tok Aji mengajak tetamu semuanya menjamah hidangan setelah bapak lembu berkenaan ter-sungkur.

"Nanti kita beritahu tuan-nya," ujar Bagindo Labeh memujuk tetamu supaya bertenang semula.

Sudah tentulah menjadi tanggungjawab dia untuk memberitahu tuan bapak lembu itu mengenai kejadian tersebut. Dia sendiri tidak nampak dari arah mana bapak lembu itu datang meranduk sebaik sahaja rumpun padi tumbuh subur di tengah halamannya. Kalau datang dari arah baruh tentu dapat diagak lembu peliharaan Malim Bawar, kerana dia yang banyak lembu peliharaan.